Friday, August 13, 2010

4 Ramadhan: Menjadikan Poligami Pilihan Bersama



Di kesempatan Ramadhan kali ini, ingin saya berkongsi sedikit sebanyak dari persepsi seorang isteri, yang ALLAH izin menjadi isteri yang kedua [terlibat dengan poligami].. Perkongsian saya ini pastinya terbuka pada kesilapan dan kritikan. Ungkapan maaf terlebih dahulu disua andai ada coretan keterlaluan yang menyinggung perasaan.

Tulisan di bawah dicoret setelah beberapa bulan berkahwin, betapa ketika itu saya cenderung menyokong poligami atas beberapa faktor, dan kini setelah setahun enam bulan bergelar isteri, alhamdulillah saya masih cenderung melihat syariat poligami disuburkan..

                               *                                         *                                         *

Poligami itu umumnya berat diterima isteri. Kerana apa ya..? Di sana ada rasa dan alasan yang berbeza bagi isteri yang tidak menyenangi hasrat suami untuk berpoligami. Secara peribadi, bagiku ia terasa berat kerana dirasakan seandainya suami kahwin lagi, suami akan membawa pergi sayang dan kasihnya meninggalkan diri ini. Kasih sayang suami akan beralih ke isteri baru yang mungkin lebih baik dari kita dalam banyak aspek. Rasa dilupakan. Rasa tidak disayangi seperti sebelumnya.. Itulah antara yang datang membolak balik hati dan perasaan.

Sedangkan kalau suamiku kahwin lagi, mungkin itu ubat yang terbaik untuk hati ini. Suamiku adalah kurnia ALLAH yang besar, benar-benar untuk menguji diri ini. Saat yang aku lalui tika ini dilimpahkan kesenangan yang ALLAH berikan melalui usaha seorang suami. Perhatianku dan sayangku banyak tertumpu pada suami. Rasa bersemangat dengan hadirnya suami di sisi. Rasa sepi dan sunyi bila suami meninggalkan diri.

Melalui suami  dan perkahwinan juga, kadangkala ALLAH datangkan ujian yang selalu  membawa diri ini bermujahadah untuk terus mendahulukan redha tuhan dari kepuasan perasaan.

Rindu. Lumrah bila rasa rindu menjelma pada suami. Lumrah jua merasa bahagia dan gembira dengan hadirnya pasangan yang setia di sisi.. Namun apa khabar dengan rindu pada Ilahi…? Di mana gembira dan bahagia bercinta kerana Ilahi? 

Ku tercari-cari rindu dan semangat yang pernah subur dalam cintaku pada Mu , Ya Rabbi.

Orientasi hidup sedikit sebanyak berubah di waktu indah melalui alam rumahtangga. Berbuat dan tidak berbuat sesuatu itu hanya kerana suami. Ada suami jadi baik, suami tak ada rasa biasa-biasa..Wahai diri, Inikah erti ikhlas kerana ALLAH?

Moga poligami menjadi wasilah meluruskan hati. Supaya hati tidak terlupa, suami yang disayangi ini hanya pinjaman Ilahi. Supaya hati tidak terleka, cinta yang murni itu benar-benar milik Ilahi. Tak perlu takut kehilangan cinta sayang manusia. Kerana, selama ini adakah rasa cinta di bawah naungan pernikahan itu suami yang bagi? Atau cinta itu percuma saja kita temui, bila-bila masa datang dan pergi…?

Tidak. Cinta dan kasih sayang itu ALLAH yang bagi. Seperti pesan Baginda Muhammad SAW, tatkala ALLAH mencintai, ALLAH menjadikan suami mengasihi diri ini. ALLAH mengikat hati suami isteri dengan rindu dan kasih sayang. ALLAH juga yang menjadikan insan-insan lain mengasihi kita bila kita mentaatiNYA.

Jadi cinta ALLAH itulah yang perlu dicari gali. Dengan mencintai ALLAH, rasa bersemangat melangkah mencari redha dan bimbinganNYA. Rasa bahagia berbuat baik kerana ikhlas mengharap rahmatNYA.

Lalu poligami akan dirasakan sebagai syariat yang indah suci. Pernikahan itu kan memang indah. Di sana ada ruang berkasih sayang dalam ketenangan dan keselamatan. Kita gembira memiliki suami, apakah kita tidak merasa bahagia jika saudara perempuan kita juga berbahagia ada lelaki halal lagi baik yang menyayangi?

Realiti hidup waktu ini, ramai wanita mampu berdikari - punya rumah dan kereta sendiri, punya kerjaya dan jawatan tersendiri, hebat dan cemerlang potensi diri di sebagai anak dan pekerja, namun itu semua tidak memenuhkan keingian fitrah insani - yang ingin bercinta dan dicintai. Ingin punya pasangan halal dalam memperoleh separuh kebahagiaan beragama. Jiwa tabiie yang ingin bermanja dan dimanja. Setiap hati terdetik dan merindui kehadiran keluarga sendiri didahului seorang insan bernama suami.


Perkahwinan bukanlah segalanya. Perkahwinan hanya wasilah yang menghantar diri merintis jalan baru dalam perjalanan pulang ke kepada Ilahi. Namun ada banyak kebaikan duniawi dan ukhrawi dalam medan pernikahan ini, insyaALLAH. Kemanisannya tak terungkap dengan perkataan. Namun kesulitan yang datang juga sama berat dengan kebaikan.

Pernikahan dan poligami hal yang amat manusiawi. Jika diriku redha dan menerima poligami, mudah-mudahan kerana diri ini berusaha membina cinta mukmin yang tulus. Cinta pada saudara perempuan yang mengharap kehadiran teman bernama suami. Lelaki yang bujang zaman ini, ramai yang lemah tanpa jati diri. Ada banyak juga yang baik, tapi mungkin lebih baik suami-suami kita yang matang dan lebih berpengalaman turut tersenarai dalam barisan yang layak dinikahi…

(hmm... rasa beratnya nak berkongsi suami.. kemesraan dan perhatian suami yang eksklusif pada kita akan beralih pada isteri seterusnya…)

Telah ku rasakan sakinah wa mawaddah dalam hati, ku ingin juga berkongsi dengan saudara-saudara perempuanku indahnya hidup di sisi seorang suami. Bahagia luar biasa dalam perkongsian rasa di dakapan dan ciuman suami. Apatah lagi bila kalian memiliki suami yang baik, berilmu dan bertanggungjawab. Suami yang berilmu dan mengenal ALLAH dan Rasul akan melayani isteri dengan makruf – penuh cinta dan kelembutan. Menjaga kebajikan  luaran dan keperluan perasaan.

Namun kita yang bernama isteri perlu telus melihat realiti dan bersabar menghadapinya. Jua membantu suami bersabar menghadapinya.  Tanggungjawab suami berat sekali, apatah lagi jika punya isteri lebih dari satu. Moga diri ini bersungguh berbakti, memahami dan pandai mensyukuri.

Jika isteri-isteri dalam poligami tak tabah, suami akan rebah penuh resah. Perlu saling melengkapi, saling menghulur tangan dalam melangkah mencari keredhaan. Ada masa gembira mendaki kehidupan, ada masa sakit terjeropok di bawah. Komunikasi suami isteri yang dibangunkan dan hubungan dengan tuhan akan terus menyinarkan kekuatan.

Tidak perlu dibahas poligami dengan data dan hujah tanpa henti jika suami dan isteri-isteri tidak mengerti tujuan dan cara hidup yang diredhai. Kerana bagi yang bertaqwa, pasti ada jalan keluar, itulah janji ALLAH di dalam Al Quran. Iman dan taqwa itulah sebenarnya yang perlu di cari.

Iman yang kurang, tidak akan mampu rasa senang dan tenang dalam perkahwinan. Walaupun tidak bermadu, keindahan pernikahan terasa hanya mimpi yang jauh untuk dikecapi, andai iman selalu menghilangkan diri. Apatah lagi poligami, suami sering jauh di sisi, tanpa iman dan ketaqwaan - hati dan jiwa akan kosong dan sepi.

Ohh…panjangnya tazkirah untuk diri sendiri. Jadi harus sudah redha dan bersedia andai suami bertemu jodoh lagi.

InsyaALLAH redha.

Andai suami orang yang harithun ‘ala waqtihi (menjaga waktu), insyaALLAH akan mampu menyusun waktu dengan baik untuk para isterinya. Andai suami orang yang arif memantau ekonomi, insyaALLAH ekonomi keluarga kan terjaga dengan baik. Andai suami orang yang jelas tujuan dan wawasan, mudah-mudahan para isterinya kan jua bermotivasi untuk maju ke hadapan.

Ohh,,..jangan lupa, suami kita juga insan biasa miliki kelemahan dan kesilapan, jadi para isteri harus siap untuk memaafkan dan ikhlas kita semua melakukan perbaikan.

Tak cukup jika hanya seorang dua suami yang mahu, berusaha dan bersedia untuk menambah isteri. Untuk kita melihat poligami ini menciptakan kemajuan, jom para isteri, kita teguhkan perasaan, permudahkanlah perkahwinan, agar ummah ini berjaya dengan poligami dan institusi pernikahan.



10 comments:

hamba said...

salam kak..

bestnya entri ini. menenangkan hati dan dapat muhasabah diri bagi setiap wanita yang memebacanya. InsyaAllah.

Semoga kita diberikan kekuatan dalam mengharungi hidup di dunia fana' ini.

salam ukhwah..

Nurul Adni Adnan said...

Syukran ukhti, moga bermanfaat... Kekuatan utk menulis sedemikian, harap kekuatan yang sama dimiliki jika berdepan realiti..

ur friend, elissa said...

salam, Adni, berbahagialah awk sbb mempunyai seorang suami yg mencintai awk kerana Ilahi. Berbahagialah awk krn awk insan terpilih utk merasa semua nikmat poligami..Semoga sy juga diberi nikmat merasa sedemikian rupa..

wslm

Nurul Adni Adnan said...

sahabatku elissa nadia,

moga kita sama-sama teruskan berusaha mencari cinta ALLAH, insyaALLAH ALLAH akan membalas cinta itu dgn sesuatu yang sempurna dan terlalu hebat~

:)

Atashi In Hiroshima said...

salam saudari adni,
terima kasih dgn entri ini. semoga ramai yg memahami dan menerima konsep poligami ini dgn hati yg terbuka. saya doakan saudari bahagia sehingga ke akhir hayat. :)

Nurul Adni Adnan said...

terima kasih atas doa, moga kita terus saling berpesan-pesan ke arah kesabaran dan kasih sayang...

:)

Anonymous said...

assalamualaikum...
tak mudah untuk menerima.. tetapi semua kehendak ALLAH S.W.T, sebagai hamba, redha adalah jalan terbaik dan semoga semua mendapat berkat dan dipermudahkan urusan. Dimadukan bukan sesatu yg mudah untuk dicerna, berbulan-bulan mengalir air mata. itu bukan saya yg dimadukan, tetapi ibu saya. tapi peritnya turut saya rasa...
2 tahun sudah berlalu, yg mampu sy lakukan hanya doa dan terus berdoa, sentiasa menyokong ibu supaya terus tabah dan redha, dan selalu mengirim SMS berupa peringatan kepada ayah yg dicintai dan dihormati.
~Azwa

Yang Kedua said...

Assalamualaikum...

ilmu yang bermanfaat bagi semua wanita.. termasuk dr ini yang juga terlibat dalam poligami..

walaupun merasa sendirian namun tetap tabah dan sabar dan mendoakan zegalanya akan baik akhirnya..

Anonymous said...

Sungguh menarik artikel saudari. Cuma perlu juga di'highlight'kan yang isteri juga bukan hak milik suami, isteri juga adalah pinjaman daripada Ilahi.

Walaupun kita inginkan saudara perempuan kita merasa kasih sayang seorang suami, kita juga perlu ingat bahawa setiap manusia ada ujiannya, ada orang yang diuji dengan kehidupan yang miskin, ada yg diuji dengan kecacatan, ada yang diuji dengan ketiadaan zuriat dan ada yang diuji dgn tidak bertemu jodoh.

Nurul Adni Adnan said...

Assalammu'alaikum wa rahmatullah

Terima kasih semua :)

Ya sangat tidak mudah melalui ujian bernama poligami, moga ALLAH memberi kita kekuatan ilmu dan iman untuk melaluinya...

Dan benar, kita semua telah ALLAH design ujian yang berbeza-beza, ada yang diuji sakit kronik, ada yang diuji fakir miskin et - maka kita sangat saling perlu memberi nasihat dan dorongan dalam menmempuh ujian masing-masing...

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...