Anakku sayang.. malam tadi kita ke rumah Makcik Ram ditemani Makcik Ayu. Makcik Ram menganjurkan majlis kecil tadarus Al Quran dan majlis ilmu. Makcik Ram antara sahabat yang baik yang banyak berkongsi pengalaman hidup bermaknanya dengan mama. Dia seorang yang tabah di sebalik kehilangan suami dalam kemalangan jalanraya sewaktu anak pertama (juga anak tunggal) masih merupakan bayi yang merah beberapa bulan…
Selepas tadarus Al Quran, makcik Ram meminta mama berkongsi sedikit tazkirah bertajuk Keberkatan Ukhuwwah. Membuka dengan nama ALLAH, mama berkongsi beberapa hadis dan ayat Al Quran yang menyebut tentang ukhuwwah Islamiyyah. Gementar juga berhadapan dengan makcik-makcik yang jauh lebih senior dan berilmu, namun mengingatkan firman ALLAH bahawa hidup ini adalah untuk saling berpesan-pesan dengan kasih sayang, mama gagahkan juga menyusun bicara mengingatkan perasaan sendiri dan insan lain yang terkadang lalai dari berhubung dengan tuhan.
Hingga hati yang jauh dari tuhan akan memberi warna kusam kelabu pada hubungan ukhuwwah sesama insan. Mama suka berkongsi ayat 63 dari Surah Anfal yang bermaksud, bukan lah dengan harta kekayaan jiwa manusia itu mampu bersatu, namun ALLAH lah yang menyatukan jiwa-jiwa manusia. Lantas, apakah kita hairan kenapa ukhuwwah terasa hambar, jika kita tidak serius menjaga hubungan dengan ALLAH… ?
Bila ALLAH kita pinggirkan dari hati, dan firmanNya tidak menjadi peneman diri, mudah sekali manusia terjerumus persengketaan yang dirancang syaitan. Sesama adik beradik mudah bermusuhan. Antara suami isteri berkonflik panjang seakan tiada kesudahan. Di tempat kerja ada teman yang berdendam dan bermuka masam saling mempertikaikan.
Aduhai diri ku dan saudaraku sekelian, hidup ini tidaklah panjang untuk menyimpan kemarahan dan menahan kemaafan. Banyak sekali salah diriku, sungguh aku memohon ampun atas kesilapan yang memakan perasaanmu. Banyak sekali salah diriku dan dirimu pada orang lain, usahakanlah perdamaian dan memberi kemaafan. Firman ALLAH di dalam Al Quran, bersabar dan memaafkan [ta’afu] adalah perbuatan yang utama dan mulia.. demi cinta dan redhaNYA, tidak kah kita reda memaafkan dan bersabar dengan kesalahannya..
Inilah sebenar ukhuwwah, dilingkari mahabbah, cinta tulus kerana ALLAH. Mahabbah membisikkan pada diri untuk mengasihi dan memberi pada saudara dalam apa jua kondisi. Cinta tanpa syarat. Doa kebaikan tetap terungkap buat dirinya yang masih menyepi dan menjauhkan diri dari kita.
Ukhuwwah fillah, tidaklah mudah merealisasikannya, akan diuji ALLAh…benarkan persaudaraan kita kerana ALLAh..atau persaudaraan yang berkepentingan bisnes, populariti, kesenangan dan sanjungan…? Sungguh ukhuwwah islamiyyah itu buah dari keimanan. Bukti Quwwatun imaniyyah [Kekuatan iman]. Tanyalah pada diri, saat ukhuwwah terpecah belah, adakah kerana iman kita yang lemah.. ? Saat iman melemah, mampukah merasa kemanisan ukhuwwah islamiyyah..?
No comments:
Post a Comment