Berikut adalah perkongsian Kak Noraslina Jusin dari pengalamannya melalui rumahtangga poligami :) Secara peribadi, itulah juga tips yang telah dan sedang saya usahakan agar saya mampu merasa bahagia di alam poligami selama lima tahun ini..moga ia membantu juga untuk kehidupan suami dan madu-madu saya.
________________
Sahabat-sahabat, sebagaimana perkongsian saya (Noraslina Jusin) sebelum ini tentang poligami, saya ada menyatakan bahawa poligami berjaya kerana setiap individu di dalamnya bergerak sebagai satu pasukan, di mana setiap daripada mereka menginginkan kebahagiaan dan kesejahteraan itu dinikmati bersama-sama bukannya secara perseorangan semata.
Alhamdulillah, dengan teraju utama seorang suami yang bertanggungjawab, memahami dan bijak membaca suasana ( terutama keperluan emosi isteri-isteri ), keharmonian dan kedamaian dalam rumahtangga bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dibina seterusnya diperkasa.
Sungguhpun begitu, saya suka untuk memanjangkan satu persoalan penting dalam menjalani kehidupan berpoligami ini iaitu tugas menjaga emosi bukan semata-mata terpikul ke atas bahu suami, akan tetapi ia juga berada dalam senarai tanggungjawab kendiri seorang isteri.
Bagi mencapai tujuan ini, saya bersyukur kerana saya dan madu telah awal-awal lagi dididik dan selalu dinasihati oleh suami yang dikasihi tentang beberapa peraturan atau lebih tepatnya adab, bagaimana seorang isteri dapat menjaga dan mengawal emosinya dari dibakar api cemburu tidak menentu :
1) Elakkan dari bertanya soalan-soalan atau mengeluarkan ucapan berbaur provokasi atau sekadar mahu menyakitkan hati pasangan yang akhirnya akan meyakitkan diri sendiri juga.
Contohnya : "Abang lebih suka makan di rumah sana kan? Ye lah, masakan saya ni sedap manalah..." dan seumpamanya; sedangkan bukankah lebih baik jika inginkan pengiktirafan suami terhadap masakan sendiri atau apa jua kebaikan yang telah dilakukan, ajukan secara berhemah dan membuka hati.
"Macam mana abang, ok tak masakan saya? Kalau ada yang kurang, abang tolong komen ye, in shaa ALLAH, saya akan perbaiki di lain masa." Sambil diiringi dengan senyuman manja... Bukankah lebih berbaloi dan menyejukkan rumahtangga?
Ayat cinta ALLAH ini selalu dibacakan suami buat mengingatkan kami agar berhati-hati dalam melontar pertanyaan dan kata-kata :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَسْأَلُواْ عَنْ أَشْيَاء إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ وَإِن تَسْأَلُواْ عَنْهَا حِينَ يُنَزَّلُ الْقُرْآنُ تُبْدَ لَكُمْ عَفَا اللّهُ عَنْهَا وَاللّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu, nescaya menyusahkan kamu dan jika kamu menanyakan di waktu Al Qur'an itu sedang diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu. Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.” ( Al Maidah ayat 101, 5:101 )
2) Hormati ‘item-item’ peribadi suami seperti telefon bimbit, laptop/komputer peribadi, emel, mesej dan seumpamanya serta elakkan dari berusaha mencuri-curi lihat, sengaja ‘menggodek-godek’ tatkala peluang terbuka di depan mata dengan niat mahu menyiasat apakah yang telah atau sedang dilakukan oleh suami bersama isteri yang lain. Usaha ini bukan sahaja tidak membawa apa-apa makna untuk kebaikan iman dan jiwa, bahkan lebih dari itu akan menimbulkan cemburu yang membuak-buak dan prasangka yang bukan-bukan. Akhirnya, hati dan diri sendiri juga yang merana dan kecewa sedangkan di pihak suami, sudah berusaha sebaiknya menjaga.
Bukankah setiap isteri dan keluarga punya hak yang sama, jadi pastinya ada gambar-gambar dan mesej-mesej peribadi yang disimpan di dalam telefon bimbit atau komputer peribadi suami.
Sifirnya mudah : “Jika tangan dan kehendak sendiri tak mampu diselia, usah pula menyalahkan orang lain, andai sakit dan pedih yang singgah dalam jiwa.”
Pada saya, setelah suami mengingatkan tentang ini demi menjaga kemaslahatan semua isteri, adalah ‘berdosa’ bagi seorang isteri jika amanah dan kepercayaan yang diberi dikhianati. Seorang suami berjaya untuk berlaku adil, adalah dengan kerjasama daripada pihak isteri-isterinya juga.
3) Setiap isteri juga pastinya inginkan ‘ me time’ bersama suami; justeru kepada isteri yang bukan dalam waktu gilirannya pada hari tersebut, elakkan dari terlalu kerap menghantar mesej atau melakukan penggilan telefon kecuali atas sesuatu yang benar-benar perlu, seperti memaklumkan tentang kedatangan ahli keluarga atau rakan-rakan ke rumah, meminta izin untuk pergi ke sesuatu tempat, anak sakit dan seumpamanya.
Walaubagaimanapun, tidaklah menjadi satu kesalahan pula di pihak suami yang baik dan bertanggungjawab dari bertanya khabar isteri dan keluarganya yang bukan pada tempoh giliran tersebut. Kerana, sikap ambil berat suami begini, menjadikan isteri dan keluarga sangat dihargai dan disayangi. Lalu, jika suami menghantar mesej dan melakukan panggilan telefon, kepada isteri balaslah sekadarnya tanpa berlebih-lebih demi menjaga masa isteri lain yang sedang bersama-sama suami ketika itu.
4) Dahulukan baik sangka dan berikhtiar menjauhi buruk sangka, baik kepada madu, terlebih lagi kepada suami. Sentiasalah memberi ingatan kepada diri sendiri tentang ayat ALLAH yang menyebut tentang prasangka sebagaimana firman-NYA :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” ( Al Hujurat ayat 12, 49:12 )
Setiap orang bertanggungjawab ke atas pilihannya. Jalan bahagia atau sebaliknya, ia bergantung kepada kecenderungan dan pilihan untuk dirinya sendiri. Jika prasangka bukan-bukan yang lebih menempati jiwa, maka bagaimana cahaya bahagia dapat mengambil bahagian padanya?
Fikirkanlah….
5) Sesuatu yang paling utama yang sering diperingatkan suami adalah tentang cinta kepada suami. Poligami menyediakan ruang bagi wanita untuk mentadbir cinta yang benar kepada manusia lain, iaitu suami dengan menjadikan cinta ALLAH sebagai paksi. Cinta yang berlebihan sehingga menyesakkan suami untuk berlaku adil, berada dalam serba salah seolah sentiasa diperhati dan diadili, bukanlah satu iklim yang sihat untuk sesebuah rumahtangga mencapai harmoni.
Sesungguhnyam tiada yang lebih beerti, melainkan menyintai seorang suami kerana ALLAH dan itu membawa pula kepada bertambahnya keimanan dan ketaqwaan seorang isteri kepada Rabbnya.
Walaupun berkata tentang ini lebih mudah dari melaksana, namun sesuatu yang perlu diinsafi, hidup ini sememangnya adalah perjalanan yang digariskan memiliki dua rasa, ia hadir silih berganti mewarnai kanvas hidup; sebagai ujian keimanan TUHAN ke atas hamba-hambaNYA: manis dan getir, lapang dan sesak, suka dan duka, nikmat dan musibah; serta sabar dan syukur.
Tidak ada seorang pun yang boleh lepas dari dua rasa itu, termasuk juga mereka yang dicintai-Nya. Sejarah nabi-nabi, para rasul, waliyuLlah dan orang-orang soleh yang sering meniti bibir menukilkan bahawa kian agung nikmat, semakin besar pula musibah dan ujiannya.
Memiliki keimanan yang melangit, bukanlah jaminan untuk kita selalu berlimpah dalam mewah dan tertawa. Tetapi, apa yang indah dan mengasyikkan ialah ia menyediakan lembut belaian kasih-Nya dalam apapun derita cabaran yang menimpa.
Akhirnya, tiada ucapan sebaik alhamdulillah, kesyukuran yang setinggi-tingginya ke hadrat ALLAH Subhanahu wa Ta'ala atas naungan rahmat-NYA kepada saya dan keluarga selama ini, sekarang ini dan di masa-masa akan datang; baik ia berupa kesenangan, ketenangan atau juga cabaran dan ujian yang kedua-duanya mendidik saya dan keluarga untuk terus bersyukur dan bersabar.
Bukankah ini merupakan jalan bagi menjadi hamba ALLAH dan umat Muhammad Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa sallam yang ajaib?
Allahuakbar, wa lillahilhamd :))
_______________
5 comments:
Assalamualaikum. Puan Nurul, saya sangat menghargai usaha Puan berkongsi tips dan cabaran serta ujian yg dihadapi dlm hidup berpoligami. Saya ingin meminta Puan Nurul memberi pandangan berkenaan poligami rahsia dan kesannya kepada isteri kedua terutamanya. Terima kasih.
Puan,mcm mn nk pm puan..
Bagi saya poligami secara rahsia banyak kelemahannya. Bagi suami mungkin ada sebab utk melakukannya begitu mungkin isteri pertamanya tidak mengizinkan. Isteri kedua selalunya perlu banyak berkorban dan menghadapi lebih banyak ujian atas sebab 2 suami tidak boleh berlaku adil. Apapun jika isteri kedua telah bersetuju cara yg demikian..suami kadang2 akan meletakkan persetujuan ini seperti satu tiket utk dia tdk berlaku adil dan isteri kedua dituntut utk sentiasa redho. Inilah yg saya lalui. Jika tidak keranaNya, mungkin saya dah sakit jiwa. Alhamdulillah saya masih belajar disamping merawat hati. Cinta Allah itu yg utama. Tiada manusia yg sempurna termasuk suami kita yg kita sanjung. Saya berusaha membahagiakannya dgn itu saya beroleh kebahagiaan walau sebentar cuma.
Asssalamualaikum Puan. Ini antara perkongsian terbaik yang saya pernah baca dalam menguatkan diri sendiri. Semoga kita menjadi insan yang ikhlas dan istiqamah.
Assalamualaikum Puan,
Saya, kak salbiah seorang balu sejak 8 thn yg lalu..kini kak telah terbuka hati utk bersuami lagi..dan akhirnya bertemu dgn seseorang yg telah berkahwin dan bekeluarga..Kak senang bersedia utk berpoligami..boleh kak dapatkan nasihat terus daripada Puan yg sangat hebat dan tabah mengharungi poligami..email kak rusalbiahchemamat@gmail.com. Jazakallah.😊
Post a Comment