Assalammua’alaikum wa rahmatullah
Moga kalian para tetamu rumah maya ini, jua anakku yang bakal menjengah dunia berada dalam rahmat dan kasih sayang ALLAH yang tidak putus-putus. Lama juga tidak mengisi blog ini dengan sesuatu, benar sekali, jika iman di sukma ini tidak seberapa, hati dan jari jemari terasa kesat untuk berkongsi untaian kata yang bermakna.
Kali ini ingin ku kongsikan sedikit pandangan tentang keluarga impian, berdasarkan hidup berkeluarga yang telah dilalui sejak 26 tahun yang lalu. Dahulunya, erti bekeluarga dikelilingi ayahbonda tercinta dan adik beradik, tika ini ALLAH izin diriku membina keluarga seterusnya bersama suami dan anak tercinta insyaALLAH. Mohon doa dan bimbingan semua.
Penulisan ini sebenarnya adalah tugasan dari halaqahku, sementelahan diri ini telah berumahtangga, diminta untuk menulis tentang keluarga impian. Alhamdulillah tugasan yang membawa diri ini memuhasabah diri, keluarga bagaimanakah yang ingin ku bentuk di dunia yang sementara ini... Arah mana dan jalan apakah yang ingin ditempuh menuju Ilahi..? Perkongsian ini hanya dari ilmu jua pengalaman diriku yang dangkal, moga ada sedikit manfaaat pada mereka yang sentiasa ingin menggapai redha dan syurga tuhan.
* * * *
Setiap insan pastinya menginginkan kebahagiaan dan kejayaan melingkari kehidupan bekeluarga yang dibina. Tafsiran keluarga bahagia itu pula berbeza-beza bagi setiap orang, namun insyaALLAH jiwa-jiwa yang mendamba keredhaan tuhan menilai erti keluarga bahagia berpandukan wahyu ALLAH dan petunjuk Rasul SAW.
Keluarga impian adalah keluarga bahagia yang menjalani kehidupan dunia dengan keimanan dan amal soleh. Keluarga impian adalah keluarga yang menjalani kehidupan penuh kasih sayang dalam redha ALLAH. Mereka sangat mengimpikan untuk menjadi keluarga bukan sahaja di dunia yang sementara ini, namun ingin berkumpul bersama seluruh ahli keluarga di syurga yang kekal abadi.
Di dunia, ahli keluarga merasa tenang tenteram bernaung di bawah keluarga yang berusaha melaksanakan ajaran Al Quran dan As Sunnah. Mereka adalah keluarga yang membudayakan ilmu, dan dengan ilmu yang dimiliki, mereka berusaha menerapkan akhlak dan sistem islami dalam segenap ruang kehidupan. Bukan sekadar ahli keluarga, masyarakat yang diluar juga akan memperoleh manfaat dari keluarga cemerlang seperti ini yang menjadi contoh teladan dalam beramal. Unit-unit keluarga yang cemerlang akhirnya akan membina masyarakat dan peradaban ummah yang kehadapan dalam banyak aspek.
Namun, untuk meraih keluarga bahagia yang diimpikan seperti itu adalah satu perjalanan panjang yang sukar. Bertahun-tahun sebelum mendirikan rumahtangga, seseorang individu harus mempersiapkan diri dengan ilmu, akhlak dan kematangan untuk dirinya melangkah ke alam yang lebih mencabar bernama pernikahan. Jika dirinya ingin membina rumahtangga yang penuh keberkatan dan rahmat ALLAH, dia harus bermula dengan diri sendiri menjadi hamba yang benar-benar faham akan erti pengabdian yang tulus kepada ALLAH. Dia harus memahami tujuan dan hakikat kehidupan di bumi ini.
Keluarga impian bermula dari peribadi seorang muslim dan muslimah yang berusaha menjadi lebih baik di sisi ALLAH. Dia menyedari terpikul ke atasnya tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah. Dia telah berazam untuk istiqamah sebagai daie dan murobbi. Dia kemudiannya akan memilih pasangan hidup yang juga mempunyai peribadi mulia dan fikrah islam yang luas, yang akan bergandingan bahu untuk terus istiqamah di jalan dakwah dan tarbiyyah. Penyatuan dua jiwa yang mempunyai penghayatan agama yang baik inilah asas kepada keluarga impian yang bermanfaat pada masyarakat dan ummah.
Dengan ilmu dan kesedaran, ikatan pernikahan yang dibina menjadi titik tolak untuk pasangan suami dan isteri menyusun dan membina rumahtangga yang menyumbang pada perjalanan dakwah dan tarbiyyah. Misi dan visi keluarga disusun seiring dengan misi dan visi dakwah. Program-program keluarga juga diatur agar selari dengan program-program dakwah.
Sebelum bernikah, individu muslim dan muslimah berusaha membina karakter seorang daie dan saudara mukmin yang mengaurakan kekuatan pada perjuangan menyebarkan risalah. Setelah bernikah, mereka berusaha pula untuk membentuk karakter suami isteri yang menyalurkan kekuatan diri dan ketenteraman jiwa pada pasangan. Mereka terus mencari ilmu dan bersungguh untuk menjadi suami isteri yang dikasihi pasangan jua dicintai ALLAH.
Setiap yang mendirikan pernikahan amat mengimpikan mendapat hak dan layanan yang terbaik dari pasangan. Namun seringkali pengharapan dan impian tidak berjalan seperti yang diinginkan. Tika inilah amat penting untuk suami dan isteri memfokus bukan pada menukar pasangannya menjadi soleh solehah, namun diri sendiri yang harus bermuhasabah dan bersungguh menjadi yang lebih baik di sisi pasangan, kerana ALLAH. Suami atau isteri yang bahagia akan memfokus kepada bagaimana dirinya boleh memberi yang terbaik pada pasangan dan membina kebahagiaan dalam rumahtangga, bukan sekadar berharap menerima dan meraih kebahagiaan dari pasangan.
Sesungguhnya niat, perancangan dan usaha yang bersungguh dalam membina keluarga impian akan menghadapi banyak rintangan dan ujian di dalam menghadapi realiti kehidupan. Dalam semangat dan keikhlasan untuk menyeru manusia ke jalan dakwah, konflik dan ujian adalah pasti mendatangi setiap rumahtangga yang dibina. Seandainya ujian dan dugaan itu tidak diurus dan diluruskan dengan baik, rumahtangga yang dibina kerana dakwah boleh bertukar menjadi fitnah kepada dakwah.
Situasi kehadiran anak-anak menambah lagi amanah sedia ada yang perlu dilunaskan. Pasangan bergelar suami atau isteri yang dulunya satu fikrah dan satu perjuangan mungkin teruji lalu berubah tingkah dan arah yang meresahkan jiwa pasangan yang ingin terus meraih keluarga impian. Seterusnya apabila keluarga semakin membesar, tuntutan mencari rezeki juga perlahan-lahan memberi tekanan pada ibu ayah untuk membahagi-bahagikan masa antara keluarga dan keluar menyumbang kepada tuntutan dakwah. Kerjaya dan kemewahan dunia juga tidak sedikit melalaikan manusia hingga keluarga yang dahulunya mendahulukan Al Quran dan As Sunnah kini mengutamakan kedudukan, pangkat dan harta bertimbun yang dikejar manusia kebanyakan.
Ketika ujian dan kesulitan tidak putus mendatangi, keimanan dan ketaqwaan adalah bekal yang terbaik. Seluruh ahli keluarga tidak boleh tidak, harus kembali kepada ALLAH dalam apa jua keadaan, susah dan senang. Segala kemudahan dan kebaikan dari ALLAH disyukuri, segala kesusahan dan kesempitan ditempuhi dengan kesabaran yang baik.
Kasih sayang dan kesatuan dalam keluarga akan hadir berpanjangan bagi hati-hati yang basah dengan keimanan, seperti yang ALLAH nyatakan di dalam surah Al-Anfal dan Surah Maryam. ALLAH juga berjanji, sesulit manapun cubaan yang menimpa, pasti ada jalan keluar bagi hamba-hambaNya yang bertaubat dan bertaqwa. Jalan keluar ini boleh datang dalam pelbagai bentuk, seperti rezeki kewangan dari arah yang tidak disangka-sangka, malah kekuatan dan kesihatan fizikal juga adalah nikmat yang besar dari ALLAH hingga urusan orang mukmin menjadi lancar dengan nikmat ALLAH ini.
Arus zaman yang bergerak pantas menjadikan masa semakin sempit sedangkan tanggungjawab semakin meluas. Adalah sukar untuk menyeimbangkan tuntutan dakwah, kerjaya, keluarga dan menuntut ilmu, namun bagi keluarga yang berjaya, kekurangan itu berusaha diperbaiki dari semasa ke semasa. Justeru, kebajikan keluarga perlu disusun bukan dengan kuantiti masa, namun dengan kualiti masa. Keluarga yang bahagia dan berjaya sentiasa merancang aktiviti secara harian, mingguan, bulanan dan tahunan. Mereka kemudian berusaha melaksanakan perancangan agar setiap ahli keluarga mendapat hak terbaik mengikut kemampuan masing-masing.
Rutin kerja dan tuntutan program dakwah dan tarbiyyah bukan bermaksud keperluan dan hak keluarga dipinggirkan. Suami dan isteri menyediakan masa untuk aktiviti yang memperbaharui cinta dan meluruskan komunikasi tentang banyak perkara. Masa juga disediakan untuk ibu bapa dan anak-anak memperbaharui semangat dan kasih sayang mencari kehidupan yang bermakna.
Melalui kehidupan bekeluarga, adalah penting suami dan isteri jua menyediakan ruang untuk saling menegur dan menasihati sesama pasangan, malah anak-anak juga diberi ruang untuk meluahkan rasa tentang layanan dan kepimpinan ibu bapa. Komunikasi yang telus lagi berhikmah sesama pasangan dan anak-anak akan banyak menyumbang pada keluarga harmoni yang dinamis, mampu merasa sakinah dan rahmah.
Sesungguhnya keluarga impian amat sukar untuk diwujudkan namun ia tidak mustahil dengan berpegang teguh pada syariat yang dipimpin ALLAH dan Rasul. Sebagai pengakhiran, keluarga impian bukanlah keluarga yang sempurna namun keluarga yang tidak putus-putus melakukan perbaikan dalam mencari keredhaan tuhan. Apa yang lebih penting, keluarga impian tidak akan terhasil dari angan dan usaha sehari semalam, tapi terbina dari usaha positif yang bertahun berterusan.