Tuesday, May 3, 2011

Warkah Terakhir Mama

Assalammualaikum wa rahmatullah

Moga Abdullah yang sangat dikasihi sihat sejahtera dalam rahmat Allah Swt.

Begitu cepat masa berlalu, masa yang tinggal semakin sedikit untuk kita bersama. Rasa baru semalam mama mengandungkan Abdullah,.. kini telah tiba tempoh kembali kita kepada Allah..

Mama lalu ingin meninggalkan pesan untuk Abdullah yang sangat dekat di hati mama..

Abdullah anakku, tidak ada pesan terbaik melainkan, ittaqillah. ( bertaqwalah)

Betaqwalah kepada Allah di manapun dirimu berada.

Bila Allah berada di depan dalam segala urusanmu, hatimu akan tenang nak..

Bertaqwalah dalam sendirian atau dalam kelompok ramai orang. Segala keperluanmu akan Allah cukupkan, akan ada jalan keluar sewaktu Allah mengujimu dengan kesulitan.

Namun bagaimana harus taqwa ini dimiliki?

Dengan ilmu, nak.

Mama juga sedang belajar membina taqwa. Untuk bertaqwa dengan sebenar-benarnya, mama perlu mengenal Allah terlebih dahulu. Siapa Allah di hati dan kehidupan mama?

Mama perlu faham dan hayati syariat hidup yang Allah susun untuk para hambaNya. Maka mama perlu kepada bimbingan rasul Saw yang Allah utus sebagai pendidik dan penunjuk jalan kebenaran, iaitu islam sebagai satu-satunya cara hidup.

Taqwa itu tidak lain terbangun di atas ilmu dan kefahaman.

Anakku, mama adalah seorang pelajar di dalam kampus kehidupan, dan seorang pengajar ( pengajar yang baru betatih) kepada penuntut ilmu yang lain, yang berusaha mengikhlaskan diri mencari redha Allah.

Belajar dan mengajar, ilmu dan taqwa - inilah perkara yang harus seiring dalam kita mengharungi kehidupan ini.

Mama harus istiqamah belajar untuk mengajar, juga bersungguh mengajar setelah belajar.

Diri ini insan yang kerdil, banyak kesilapan dan kelemahan, tidak mungkin mampu mendidik dan mengajak insan lain berubah ke arah kebaikan.

Mama hanya dapat menyentuh hati orang lain bilamana hati mama sendiri segar terisi dengan keimanan dan ketaqwaan. Selain ketaqwaan, mama dan Abdullah perlu mencantikkan akhlak agar manusia senang bergaul dan menerima kita.

Anakku, setelah taqwa, pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik, pesan Rasulullah Saw. Akhlak yang mulia akan menumbuhkan kasih sayang sesama kita manusia.. apatah lagi untuk mengajak manusia ke jalan kebenaran, akhlak yang baik itu boleh mencairkan hati untuk insan lain berganding bahu menuju redha tuhan..

Inilah nasihat mama, moga hati mama dan abdullah mengingati pesan tentang taqwa dan akhlak. Bukankah rasul Saw banyak berpesan, bahawa syurga destinasi yang diimpi itu akan diisi oleh insan bertaqwa dan berakhlak mulia..?

Masa yang masih mama ada ini, insyaAllah, Mama mohon pada Allah agar Allah membantu mama menjadi insan bertaqwa.. Dan mama mohon agar Allah menunjukkan pada mama akhlak yang baik, agar Allah dan Rasuk redha dengan mama sebagai seorang muslim.

Abdullah..setakat ini dulu nasihat mama untuk Abdullah yang menjadi harapan agama, mama bersyukur atas Abdullah yang Allah hadiahkan pada mama dan papa.

Syukur yang amat pada kasih sayang yang Allah tumbuhkan di hati kita.. ALLAH yang Maha Penyayang dan Pengasih, moga kelak kita bertemu Allah dalam hati yang terbaik, pada saat yang terbaik..

ALLAH..Allah..

Sekian,
mama-ibu
Published with Blogger-droid v1.6.7

No comments:

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...