Saturday, May 7, 2011

Pernikahan: Ketenangan Itu Perlu Dicipta

"Sejak dah ada suami ni, hati rasa tenang, rasa tertutup terpelihara. Kalau keluar ke majlis atau program yang ada lelaki, takde lah kuch kuch hota hai..( something happened to my heart)..kalau tak, nampak je lelaki baik ke, hensem ke, mesti 'ter'suka..." luah isteri A.

Isteri B membalas,"Memanglah hati awak tertutup pada lelaki lain, sebab awak dapat suami yang baik..tapi saya..perangai suami saya tu buatkan saya masih memandang mencari mengharap lelaki lain..saya tau tak patut, tapi itulah hakikat yang saya rasa.."

nah, inilah antara senario yang ada berlaku di kalangan para isteri, walau bukan semua. Isteri meluah perasaan suka duka, bahagia derita alam rumahtangga..

'Bernikahlah..sesungguhnya bernikah itu menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan..' begitu pesan Rasul.

Namun adakah sebaik sahaja lafaz nikah menjadi sah, ketenangan dan kebahagiaan akan turun dari langit menaungi kita suami isteri...?

Adakah dengan lafaz nikah semata kita akan mampu memelihara pandangan dan kehormatan diri?

Tidak sama sekali.

Kebahagiaan itu perlu diusaha.

Ketenangan itu perlu dicipta.

Kegembiraan tidak datang begitu saja.

Pernikahan itu mampu MEMBANTU menundukkan pandangan bila suami isteri berusaha menampilkan akhlak yang baik kepada pasangan.

(Namun, berkahwin atau tidak, selagi hidup - mujahadah tetap sentiasa perlu untuk menjaga pandangan dan kehormatan.)

Pernikahan sesungguhnya adalah ruang istimewa yang Allah bagi untuk kita mencanai cinta mengadun kemesraan.

Pernikahan adalah wadah bermakna yang Allah sediakan untuk hati-hati merasa kasih sayang terindah sesama insan.

Maka Allah mengajarkan kepada kita melalui Rasul Saw bagaimana seharusnya pernikahan yang sakinah (penuh ketenangan) itu terbangun.

Bermula dengan peribadi suami isteri yang mengenal dan berusaha mendekati jalan Allah dan Rasul.

Berusaha melaksanakan hak dan tanggungjawab ke atas pasangan dengan ihsan.

Berusaha menampilkan akhlak terbaik yang menyenangkan.

Ketenangan yang diinginkan dalam pernikahan, harus bermula dari lubuk hati kita.

Di pagi hari, bangun mensucikan diri untuk solat subuh dan kemudiaannya berdoa dengan kusyuk dan tenang. Memohon dilimpahkan rahmat Allah kepada kita dan pasangan serta ahli keluarga.

Lebih baik jika mampu bangun sebelum subuh memohon ampun membina kekuatan dalaman.

Jangan lupa lazimkan hati dengan zikir pagi yang diajar Rasul SAW, yang membawa kita merenung erti hidup bertuhan dan tidak lupa zikir memohon perlindungan dari godaan syaitan.

Bukankah syaitan punya misi mengucar-kacirkan persaudaraan, meruntuhkan pernikahan...?

Jika hati kita kosong dari petunjuk tuhan, bersedialah menghadapi persengketaan yang dihembus syaitan yang berlegar di sekeliling kita.

Jika ingin menegur kesilapan pasangan, berusahalah menegur dengan tenang.

Jika timbul rasa marah dan tak puas hati dengan sesuatu isu, luahkan dan bincangkan dengan tenang.

Masalah hidup dan tanggungjawab tak pernah habis, namun dalam rumahtangga, harus diusahakan masa untuk sembang-sembang memberi perhatian dan memberi sentuhan yang menenangkan.

Ya, bukannya mudah untuk merasa tenang, bukannya mudah unuk ketenangan meliputi suasana rumahtangga kita.

Tapi ia mudah dan selalu terjadi buat pasangan yang selalu mengikat hati dengan tuhan.

Mempamer wajah yang tenang dengan senyuman kerana ia mengharap keredhaan tuhan.

Melayani pasangan dengan baik, walaupun pasangan telah melukai hatinya, kerana ia memilih memaafkan kerana Allah.

Bagaimana sekalipun sikap keras pasangannya, dia tetap memilih kelembutan dan kesabaran kerana Rasul adalah
teladan.

Ia tidak mahu membalas dengan keburukan, kerana hatinya amat yakin, di akhir kehidupan, semua ini adalah urusannya dengan tuhan.

Pasangannya hanyalah satu bentuk kurniaan dan ujian Allah.

Ayuh kita cipta ketenangan, dengan DIRI KITA SENDIRI yang memulakan memberi kemaafan, mencari sisi positif pasangan, memberi perhatian dan kasih sayang, membiasakan kelembutan dan kesabaran kerana kita sangat inginkan redha dan rahmat tuhan..

Justeru, insan-insan yang memahami hakikat kehidupan, akan memperoleh ketenangan dalam pernikahan.. Kerana Allah adalah tujuan, Rasul SAW menjadi suri teladan..

Mungkinkah ada cara lain mencipta ketenangan jika tuhan selalu dibelakangkan, bimbingan rasul tidak dititik beratkan..?
Published with Blogger-droid v1.6.7

No comments:

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...