Friday, May 27, 2011

:: Pernikahan: Kitalah Agen Perubah ::



Sebenarnya, saya tidak berniat memfokuskan blog ini kepada tema pernikahan dan yang seiringan dengannya. Saya telah menulis blog sejak tahun 2006 rasanya, dan blog itu bermula hanya dengan luahan perasaaan, catatan aktiviti harian dan apa yang bermain di fikiran.

Semakin lama menulis, mula datang kesedaran untuk menulis sesuatu yang bukan sekadar catatan peribadi seorang insan, namun saya ingin mengajak pembaca dengan penulisan. Mengajak ke mana…?

Saya ingin mengajak diri saya dan pembaca sekalian meniti jalan pulang kepada tuhan.

Lalu, dalam blog sewaktu saya bujang, saya usahakan perkongsian yang memberi tazkirah pada hati dan perasaan.

Kini setelah menyandang status isteri, saya usahakan pula berkongsi hal-hal yang membantu saya dan kita semua menjadi tabah merentasi fasa kehidupan bernama pernikahan.

Alhamdulillah ALLAH memberi keizinan dan kemampuan untuk saya menulis tentang tajuk berkisar pernikahan. Sesuatu yang saya tidak terfikir sebelum ini.

Minat saya kepada alam pernikahan ini memutik sewaktu saya menapak mendaki tangga pejabat menuju ke bilik kaunselor. Ya, sewaktu di UiTM saya adalah orang yang suka mengunjungi kaunselor, kadang-kadang dengan air mata, kadang-kadang dengan senyum ceria.

Kerana, ketika itu ALLAH menguji saya untuk hampir dengan keluarga-keluarga yang bertelingkah tanpa sudah. Peritnya jiwa seorang anak, seorang adik, seorang saudara, seorang insan yang masih mentah untuk memahami – apakah punca dan sebab konflik rumahtangga yang sedemikian sakit lagi menyedihkan…?

[Berjumpa kaunselor untuk meluah perasaan, meredakan tekanan, mengharap pandangan dan ingin belajar tentang kehidupan. MasyaALLAH, saya suka dengan semua kaunselor yang saya jumpa terutamanya di UiTM - saya masih teringat wajah empati dan layanan baik mereka.]



Bila saya melihat rumahtangga ahli keluarga terdekat yang hampir runtuh kerana konflik berpanjangan, saya menanam azam di dalam hati, saya tidak mahu kelak rumahtangga saya bergegar sebegini.

Sayu. Sedih. Pilu. Tertekan.

Tika itu, hati saya merasa terbeban melihat pertengakaran dan persengketaan suami-suami dan isteri-isteri, jiwa serabut melihat konflik adik beradik, membawa saya berfikir , di manakah silap semua inni…?

Kalau ingin dibongkar sejarah dan punca-punca pergaduhan suami isteri dan ahli keluarga, terlalu panjang untuk dihuraikan.

Namun, tidak boleh tidak, mesti dibongkar, mesti diteliti, mesti difahami,mesti dikongsikan pada semua…agar sejarah yang kelam mendukakan itu tidak berulang.

Kita semua mesti belajar dan melakukan perubahan.

Dan sebenarnya antara pendorong utama yang menyebabkan lambakan entri pernikahan di sini akhir-akhir ini ialah kerana beberapa teman pembaca yang berkongsi kisah rumahtangga dan kisah proses untuk berumahtangga.

Maka entri-entri ini sebahagiannya sebagai merespon kepada isu-isu yang diceritakan. MasyaALLAH, tidak ada daya dan kekuatan melainkan dari ALLAH. Betapa kalian berusaha menjadi yang terbaik sebagai isteri, berusaha yang terbaik untuk melangkah ke alam pernikahan.

Sama-sama kita ingat.. kita tidak keseorangan dalam melalui perit duka berumahtangga. Dan dari kesakitan berumahtangga itu, kita perlu belajar dan berubah.

Menambah iman dan istiqamah mencari redha tuhan. Dan kalian juga tidak keseorangan bersusah payah untuk meraih hubungan yang halal di sisi ALLAH.

Saya sangat bersyukur dengan kehadiran seorang suami yang matang, yang mana saya tidak ada pilihan melainkan berusaha meletakkan hati dan pemikiran saya untuk segaris dengan isi hati dan buah fikir suami.

Suami saya banyak sekali bersabar dengan saya heeee.. tapi sedihnya saya lambat untuk faham, kerana sering membiarkan perasaan menguasai diri. Saya menyesal waktu-waktu yang saya mendahulukan perasaan hingga suami terasa hati…ok, saya pun manusia biasa, ada konflik juga macam kalian :P



hmm kadang-kadang kita rasa kita je yang kena faham suami dan kena sabar dengan suami kan…?

Inilah antara kesilapan kita seorang isteri, kita selalu tidak seek first to understand, then to be understood. Bila konflik timbul timbul, kita akan terus-terus melihat ia adalah kesalahan pasangan.

“Kenapalah suami aku macam ni…”

“Tak fahamlah suami aku ni…”

“ Asyik nak ikut cakap suami aku je…”

Sangat susah kan, untuk kita mengenali dan mengakui kesalahan sendiri…

Namun inilah kunci utama untuk melihat perubahan drastik dalam rumahtangga, mengakui kesalahan sendiri. Bila kita sudah mengenali kekurangan dan kealpaan kita sebagai isteri, kita kemudian harus bersungguh melakukan perubahan.

K.I.T.A. KITA. KITA. K.I.T.A

KITA yang perlu berubah. Kita yang perlu lebih berusaha membaja benih-benih cinta, understanding, hormat dan sayang dalam hubungan suami isteri. Kalau kita harap pasangan yang berubah, maka lambatlah kita melihat keharmonian rumahtangga kita terbangun.

Dalam satu tafsir ayat surah tentang cinta suami isteri, ada ulama mentafsirkan bahawa ketenangan pernikahan itu sebahagian besarnya dicipta dan tercipta dengan kehadiran isteri (baca: usaha isteri).. namun ini tidak menafikan besar juga peranan suami untuk mencipta kebahagian rumahtangga.

“Di antara tanda-tanda kekuasaanNya adalah Dia menciptakan untukmu pasangan dari jenismu sendiri, sehingga kamu merasa tenteram (sakinah) dengannya, dan dijadikanNya diantara kalian rasa cinta dan kasih sayang (mawaddah wa rahmah). Dan di dalam itu semua terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”. (Ar-Ruum:21).

Duhai isteri, ayuh kita gigih mencantikkan hubungan ini dengan ilmu, dengan akhlak yang menyejukkan hati, dengan keikhlasan dan ketulusan mencintai ALLAH dan Rasul, hingga cinta pada tuhan itu menyemarakkan kasih kita pada suami - kekasih yang telah ditetapkan…dengan matlamat untuk meraih bahagia di akhirat yang abadi..

Moga ALLAH selalu membimbing kita....




5 comments:

zabidah zamri said...

blog ini sangat cantik dan isinya penuh pengajaran,saya suka membacanya.

Jasmin said...

saya antara pengikut setia blog ini..
suka dengan pekongsian demi pekongsian yang ditulis...
syabas... teruskan menulis.

izzah said...

salam alaik~

saya suka dengan isi blog ni. sangat bermanfaat utk mereka yang baru nak menjejak ke alam rumah tangga.

teruskan menulis akak.
semoga hidup diredhai ALLAH.

ceria-ceria selalu :)

Anonymous said...

Salam ziarah...
Bagaimana pandangan ukhti tentang wanita yang merasakan adalah lebih baik untuk hidup sendiri,bukan kerana memandang negatif kpd perkhwinan,tetapi kerana merasakan kelemahannya mungkin akan membebankan bakal suami.misalnya,suka memfokus kepada kerja sendiri sehingga mengabaikan org sekeliling,penting diri,cepat letih,suka membebal/merajuk. Wanita ini juga mempunyai masalah self esteem drpd segi keterampilannya. Jadi, bolehkah dia menolak perkahwinan disebabkan perasaan risau dia akan membebankan suami dan tidak setanding bakal suami? dalah lebih baik untuk hidup sendiri,bukan kerana memandang negatif kpd perkhwinan,tetapi kerana merasakan kelemahannya mungkin akan membebankan bakal suami.misalnya,suka memfokus kepada kerja sendiri sehingga mengabaikan org sekeliling,penting diri,cepat letih,suka membebal/merajuk. Wanita ini juga mempunyai masalah self esteem drpd segi keterampilannya. Jadi, bolehkah dia menolak perkahwinan disebabkan perasaan risau dia akan membebankan suami dan tidak setanding bakal suami?

Nurul Adni Adnan said...

terima kasih banyak2 pada semua :)

moga ALLAH membantu kita menjadi yang lebih baik dan lebih baik.

buat ukhti yg tidak mahu bernikah kerana merasa rendah diri/ tak mahu membebankan suami, nanti kita kupas topik ni ya insyaALLAH.

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...