Wednesday, September 29, 2010

Jatuh cinta lagi...


Seperti tak percaya, hati ini terjatuh lagi. Jatuh cinta.

Cinta kelima, insyaALLAH.*

Hati berbunga-bunga. Ingin selalu dekat dengannya. Jiwa senang melihatnya. Hati tenang memandang wajahnya yang mendamaikan. Inilah cinta, rasa bahagia tidak terkata. Selalu di ingatan, membuai perasaan.

Bahagianya tatkala membuka mata di pagi hari, dia ada di sisi. Bahagia melihat senyumannya. Rindu sekali walau berpisah sebentar.

Bila jatuh cinta, ingin selalu mengungkap sayang padanya. Tidak jemu memeluk dan menciumnya. Sayu menyapa tatkala harus berpisah dengannya.

Subhanallah, syukur Ya ALLAH… atas cinta selembut ini yang KAU tumbuhkan di hati kami para ibu.. Syukur Ya ALLAH atas siraman kasih sayang yang menyubur pada bayi yang tulus mulus ini.

Ya ALLAH yang MAHA Memberi Petunjuk, tunjukilah kami agar kami mensyukuri nikmat yang ENGKAU kurniakan kepada kami, agar kami sentiasa mengingatiMu dan beribadah dengan sebaik-baiknya padaMU.

[Cinta Kelima* - Cinta Pertama, ALLAH. Kedua, RasulNYA. Ketiga, Ibubapa. Keempat, Suami. Kelima, Anak-anak.]


 Inilah Cinta Kelima saya, baby Abdullah.
            [ Abdullah bilang," Mama sedang jemur saya atas stroller nak kurangkan kuning saya.. Doktor bagi pilihan, nak duduk wad buat Phototherapy atau nak berjemur di bawah mentari pagi..? Saya nak mentari pagi....!" :)]


Tuesday, September 28, 2010

Kembalikan seri rumahtanggamu: Pertama, Akrab dengan ilmu...




Baru-baru ini, setelah melompat dari satu blog ke satu blog, saya temukan sebuah blog dengan entri pernikahan. Ya, ukhti dan akhi ini telah bernikah. Saya tidak mengenalinya namun saya sering membaca penulisan blognya yang dekat di hati ini.. tentang kehidupan yang berusaha diluruskan pada jalan ALLAH, di jalan dakwah.

Saya tidak pernah bertemu ukhti itu, namun saya percaya kerana destinasi cinta kami yang sama - Menuju Ilahi- saya merasa terpanggil untuk berkongsi tazkirah tentang alam pernikahan. Lalu saya mencatat sedikit komentar di ruangan komen blog itu seperti di bawah:

Assalammu’alaikum wa rahmatullah


Moga ALLAH mengumpulkan kalian, Aisyah & Roslan dalam keberkatan

Walau usia pernikahan saya baru setahun jagung, saya suka nak berkongsi nasihat, insyaALLAh kerana ‘Ad-din An-Nasihah”… [agama itu nasihat..]

Saya mengenali ukhti di lembaran maya ini kerana dakwah, saya membaca tulisan perkongsian ukhti yang sarat teladan dakwah.

Sungguh saya turut merasa bahagia dan manisnya rumahtangga yang kalian bina kerana ALLAH..

Menjadi doktor - bertahun pengajian. Menjadi daie - bertahun pengalaman manis dan kesakitan. Menjadi isteri.. ?

 Sama -sama kita teruskan pengajian dengan belajar dari pengalaman rumahtangga insan lain. Telaahlah buku tentang cara lelaki dan perempuan bersikap dan berfikir, supaya kita tak gaduh kerana kita berbeza, tapi kita makin bahagia kerana saling memahami perbezaan kita…

Hmm manis dan pahit pasti mendatangi rumahtangga, jadi jangan lupa belajar bergaduh/berkonflik dengan cara yang selamat, supaya makin banyak berkonflik dgn suami, makin kita sayang padanya dan makin teguh rumahtangga yang dibina…

Sekian, selamat bercinta di jalan ALLAH..

Sekarang saya sering membaca buku-buku atau artikel tentang pernikahan, kerana secara langsung dan tidak langsung saya dihadapkan dengan konflik-konflik alam rumahtangga. Adalah biasa jika konflik-konflik itu sekadar membuat pasangan merajuk sehari dua, namun jika konflik itu membawa mereka pasangan suami isteri  memutuskan ikatan pernikahan yang dimaterai bersaksi ALLAH [baca: bercerai], saya jua turut dirundung duka dan kesal.

Sejak bergelar isteri, pelbagai juga kisah rumahtangga yang saya dengar, dan rasa bergetarnya hati banyak sekali kisah itu adalah kisah sedih. Sebelum berumahtangga, pandangan saya seolah tertutup dari melihat banyaknya rumahtangga yang bergoyang ditiup taufan ujian. Saya tahu ada rumahtangga yang tak bahagia, tapi sekarang nampaknya makin ketara.

Hari ni rumahtangga kalian diuji, kelak mungkin rumahtangga kita pula yang dilanda badai, nauzubillah..

Kata orang, awal-awal perkahwinan itu indah belaka. Setahun dua perkahwinan adalah manis dan cantik teratur, begitu kata-kata dalam buku self-help tentang love and relationship. Tapi kata-kata itu nyata bertentangan dengan beberapa kisah rumahtangga muda-mudi yang berlaku kini.

Ada sepasang suami isteri, perkahwinan mencecah 4 5 bulan, sudah dibawa berbincang untuk perceraian. Padahal dulu berjuang untuk sebuah perkahwinan melalui orang tengah yang berusaha memujuk ibu bapa. Ada isteri yang telah merasa asing dan jauh dari suami belum pun mencecah setahun usia perkahwinan, sedangkan dulu sebelum kahwin was a very loving couple kononnya.

Wahai suami dan isteri, tak mungkin perkahwinan menjadi sumber kebahagiaan jika buku-buku tentang kehidupan berumahtangga dibaca hanya sebulan dua sebelum bernikah dan selepas itu, berhenti mengkaji bagaimana perjalanan sebuah rumahtangga yang benar barokah dan berjaya.

Tidak mungkin perkahwinan yang dibina terus unggul jika bekal ilmu dan kemahirannya hanya sekadar yang diperolehi dari kursus perkahwinan anjuran Jabatan Agama selama dua hari. Selepas itu, suami isteri sibuk mencari duit, sibuk menikmati hasil duit  hingga tidak memandang peri pentingnya menyediakan duit untuk mencari ilmu, membeli bahan bacaan atau menghadiri kursus-kursus untuk memantapkan perkahwinan.

Tak mungkin perkahwinan mampu bertahan jika memasuki alam pernikahan hanya kerana didorong untuk mempunyai teman, hanya untuk menyalurkan fitrah nafsu perasaan, tanpa wawasan yang besar bahawa pernikahan itu antara lain adalah supaya suami dan isteri menjadi orang yang lebih baik dengan bernikah. Untuk menjadi lebih baik pastinya dengan ilmu. Untuk dua makhluk ALLAH lelaki perempuan yang berbeza hidup bahagia dan bekerjasama, pastinya perlu ilmu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahwa suami dan isteri terus bergaduh dan bergaduh kerana kita tak pernah belajar cara bergaduh yang selamat dan constructive. Kita bergaduh seperti mana dalam drama-drama atau mungkin ibu bapa sendiri yang bergaduh dengan kata-kata kesat menikam perasaan hingga itulah yang menjadi ikutan kita.

Perasaan suami dan isteri saling disakitkan kerana kita tak faham bahawa lelaki dan perempuan melayan perasaan dengan cara yang berbeza. Kita serabut dengan isteri yang selalu merajuk dan 'buat muka', kita juga sedih serabut dengan suami yang macam buat tak kisah atau tak reti memujuk.

Antara suami isteri, bila ada perkara yang kita tak setuju, kita diam dan mengomel dalam hati, memendam perasaan. Atau kita bercakap-cakap di belakang pengetahuan suami dan isteri. Atau kita menyerang mengkritik suami atas perkara yang kita tak setuju, tanpa ada pengetahuan atau kekuatan untuk kita menyatakan ketidaksetujuan dengan hikmah. Hingga akhirnya kita akan mengungkapkan...

"AHHH LELAKI SEMUANYA SAMAAAA....!!?"

Wahai suami dan isteri, belajarlah dan teruslah belajar. Pandanglah pasangan itu dengan mata hati, bahawa dia insan biasa yang ingin dinasihati dan dikasihi. Kalam ALLLAH di dalam Al Quran, Sesungguhnya lelaki adalah penolong wanita, wanita adalah penolong lelaki. Apakah pertolongan terbaik? Saling menasihati ke arah kebaikan, dengan kesabaran dan kasih sayang.

Bagi yang sedang berkonflik suami isteri, yang nampak perceraian depan mata, yang serabut dengan gelagatt pasangan, malah bagi yang rasa belum berkonflik teruk pun - saya suka mencadangkan membaca beberapa kitab. Kita baca, fahami dan cuba praktikkan ilmu dan relationship skills yang dikongsi agar kita semua bahagia dan sentiasa muda untuk bercinta. Saya ingin kita semua bahagia, dan bercinta hingga ke syurga.. [Semua buku/kitab di bawah boleh di dapatkan di MPH Bokkstore.]














Dengan ilmu, kita mampu membantu pasangan kita untuk saling memperbaiki diri. Dengan ilmu, cinta dan rumahtangga kita kan terus manis dan segar. Anak-anak kita kan bahagia memiliki ibu ayah berilmu yang tulus mencintai. Ibu bapa kita dan ibu mertua kan lapang dada dan tenang hati melihatan keharmonian rumahtangga kita.

Beruntunglah kalian yang memiliki ilmu yang baik tentang pernikahan. Kalian mungkin memiliki ibu bapa yang menjadi teladan, hingga kalian memasuki rumahtangga dengan kematangan dan ketinggian pekerti. Atau kalian sejak dulu belajar dan mencari ilmu untuk mendirikan rumahtangga, hingga kalian mempunyai wawasan dan akhlak yang teguh untuk melalui alam rumahtangga.

Mungkin kalian telah terlanjur berumahtangga, perasaan cinta dan nafsu melebihi kematangan hingga kalian kini merasa pedih dengan pasangan dan perjalanan rumahtangga. Kita masih punya peluang untuk belajar, memperbaiki diri sebagai suami dan isteri, bercakap dari hati ke hati dengan pasangan, yang penting jangan terlupa belajar, membaca dan mengkaji satu kitab yang paling penting. Hingga kalian mampu mengamalkan ilmunya di segenap kehidupan.

Dengan kitab ini, kalian akan bahagia, di luar atau di dalam pernikahan. Kalian akan bahagia, di dunia dan di syurga. Jika hati-hati merasa sempit dan kosong, bertanyalah pada diri.. di mana AL QURAN di hatiku..? Kehidupan kita yang bernama manusia akan terperosok ke jurang masalah dan keserabutan yang dalam andai manual kehidupan bernama al Quran ini tidak kita fahami kandungannya.



Model Handphone yang mahal lagi canggih punya manual, apatah lagi kita manusia yang komplikated. ALLAH bekalkan kita AL Quran untuk kita berfungsi memanfaatkan seluruh potensi, kelebihan dan bersabar dengan kekurangan.

Setelah kita berusaha belajar, membaca , mentelaah ilmu, berusaha mempraktikkan ciri-ciri pasangan yang baik lagi soleh solehah, namun tetap perceraian mendatangi, apalah daya kita manusia. Kita hidup dalam ketentuan Ilahi. Kita berusaha terlebih dahulu sebaiknya...

Saya telah melihat dan merasai pernikahan sebagai salah satu wasilah pengabdian diri yang tinggi pada Pencipta. Saya bahagia dengan pernikahan ini bila saya selalu membawa ALLAH dan syariatNya di hati. Namun bila saya lalai oleh kesibukan sendiri, menjauh dari ALLAH dan amal-amal yang dicintaiNYA, jiwa saya merasa hambar pada rumahtangga dan pasangan.
 
Bagi yang bernikah dan bercinta di arena dakwah, slogan ‘Aku bernikah di jalan dakwah’ bukan sekadar slogan yang diungkap pasangan dakwah yang bersemangat memulakan alam rumahtangga, namun bagaimana melestarikan ia merentasi tahun-tahun mendatang alam perkahwinan. Bagaimana permulaan pernikahan kalian yang baik, kita suburkan terus dengan ilmu-ilmu melayar bahtera rumahtangga...

Sekian tazkirah untuk diri dan kalian yang ingin saling menyayangi, setulus hati...



Wednesday, September 22, 2010

Semakin jauh di jalan ini...

Alhamdulillah diri ini telah menginjak satu tangga lagi di dalam kehidupan… Menjadi seorang ibu. Pastinya bukan amanah yang calang-calang, kerana bayi comel ini insyaALLAH bakal membesar menjadi penolong agama ALLAH seterusnya.

Diriku, ibunya, Umm Abdullah, adalah madrasah pertama anak ini. Jika ingin budaya islam melingkari hidup anak ini, maka Islam harus tertegak terlebih dahulu dalam jiwa ini.

Jika ingin anak ini merintis jalan dakwah yang memimpin ke taman syurga, diri ini terlebih dahulu harus memasakkan syaksiah muslimah wa daieyah. Harus BERSUNGGUH menjadikan syurga destinasi yang ingin dituju. Menjadi anak, isteri, ibu dan hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Di lembaran kali ini, ku kongsikan petikan ayat-ayat yang mentazkirah diri ini untuk menjadi lebih kuat dan sabar. Untuk istiqamah dan bersedia berkorban.

                *                             *                                   *

Semakin jauh kita berada di jalan dakwah dan pentarbiyyahan, semakin menuntut kualiti ruhiyyah yang tinggi kepada ALLAH. Kerana ujian dan kesulitannya semakin hebat, medannya sangat mencabar keikhlasan, jalannya sangat panjang, berliku dan melelahkan..

Kita memegang amanah yang besar, iaitu untuk membentuk kesolehan peribadi sendiri dan orang lain. Dituntut pengorbanan mengurangi waktu tidur untuk menghidupkan hati dengan tilawah dan tadabbur, mengurangkan waktu istirehat untuk menambah khazanah keilmuan, mengurangkan perbelanjaan keperluan peribadi untuk keperluan dakwah..

Berusaha meluangkan waktu untuk sama-sama berjuang menapaki pentarbiyyahan dengan segala kemampuan yang kita miliki. InsyaALLAH pengorbanan penuh keikhlasan dan perancangan akan menyebarkan keberkahan dakwah pada ummah yang dicintai, insyaALLAH.

KARAKTERISTIK DAKWAH ISLAMIYAH [untuk ulangkaji saya..]

Dakwah Islam mempunyai karakteristik sebagaimana Dien Islam itu sendiri. Di bawah ini adalah beberapa karakteristik da’wah Islam:

1. Robbaniyyah ( Allah - oriented)
2. Islamiyah Qobla Jam’iyah (kehidupan yang serba Islami sebelum bergabung kepada Jama’ah)

3. Syamilah Ghairu Juz’iyyah ( Menyeluruh, tidak sebahagian-sebahagian )

4. Mu’ashirah Ghairu Taqlidiyah ( seiring dengan perkembangan zaman, bukan ikut-ikutan )

5. Mahaliyah Wa ‘Alamiyah ( Lokal dan Internasional)

6. Ilmiyah ( keilmuan)

7. Basyirah Islamiyah

8. Mana’ah Islamiyah (kekebalan Islami)

9. Inqilabiyah Ghairu Tarqi’iyah ( Perubahan fundamental bukan tambal sulam)

10. Marhaliyah ( bertahap-tahap)

Selamat memperbaharui komitmen di jalan dakwah dan tarbiyyah...

Monday, September 20, 2010

Yang bernama IKHLAS..



Alhamdulillah ALLAH menambah anugerah hadirnya seorang anak dalam kehidupan dunia yang sebentar ini, jua bermakna bertambah amanah dan ujian. Dalam kepenatan dan kesibukan mengadaptasi dengan fasa baru bergelar ibu, terkadang rasa melemahnya access kepada Tuhan Yang Maha Pengasih sedangkan makin bertambah tanggungjawab, sepatutnya makin mantap hubungannya dengan Sang Pencipta yang Mengetahui segalanya..

Jadi suka saya mentazkirah diri dan kalian yang dikasihi tentang ikhlas.. bahawa kehidupan ini harus bermula dan berakhir dengan penuh tulus ikhlas…kepada ALLAH.

Saya teringat Ukhti Amiratunnadhirah dalam usrah online satu waktu dulu, berkongsi dengan kami kupasan Hadis pertama susunan Imam Nawawi, bahawa ikhlas kerana ALLAh beerti tidak mendahulukan perkara lain melebihi ALLAH.... hati dan fikiran, segala-galanya tertumpu pada ALLAH. Saya mengaitkan tajuk ikhlas dengan diri sendiri yang kadang-kadang terlupa bahawa ALLAh itulah sumber dan tujuan setiap perbuatan.

Hidup ini perlu seikhlasnya kerana ALLAH… Tahu dan faham kepentingan ikhlas, namun payah sekali untuk kekal ikhlas.. Tidak hairanlah tajuk iklas menjadi tidak lekang dari program-program agama kerana ikhlas beerti melepaskan diri dari segala bentuk tujuan hidup yang lain. Ikhlas beerti hati lapang tenteram mematuhi segala syariatNYA walau sakit menundukkan nafsu perasaan yang ingin menentang peraturannyanya.

Kerana, berpaling dari syariat dan luntur keikhlasan pengabdian padaNYA tidak akan membawa bahagia yang berpanjangan. Ikhlas bersandarkan syariat ALLAH dan rasul satu-satunya cara mendapat kebahagian dan kejayaan yang sebenar.

Bagi yang berusaha jatuh bangun meniti jambatan dakwah, ikhlas adalah bekal yang penting dan harus selalu diperbaharui. Supaya perjalanan dakwahnya lurus terpelihara, tidak lain semata-mata kerana menginginkan redha ALLAH, semata-mata mengajak manusia menuju ALLAH.

Jika niat terpesong salah, semangat dakwahnya didorong oleh keinginan mendapatkan jawatan dan pangkat. Merasa seronok dalam dakwah kerana dikenali, merasa seronok dalam dakwah kerana level tingginya dalam jemaah.

Bagi yang mencari kebahagiaan dalam kehidupan berumahtangga, keikhlasan menunaikan tanggungjawab kerana ALLAH menjadikan dirinya mampu meneruskan amanah sebagai suami, isteri dan ibu bapa, walau tika itu hatinya tersakitkan oleh kerenah pasangan dan anak-anak.


 

Ketulusan dalam persahabatan mampu hadir jika seseorang insan itu mencintai dan membenci kerana ALLAH. Mencintai kerana ALLAH, beerti dia bersahabat atas matlamat mencari redha ALLAH. Dia selalu menolong dan menasihati, dia memelihara kehormatan temannya, menutup aib dan kesalahannya.

Membenci kerana ALLAH, beerti dia membenci karakter temannya yang melanggar syariat tuhan, namun dia tidak sampai bermusuhan dengan teman itu. Hanya membenci karekter dan ciri yang buruk, serta berusaha menyeru si teman memperbaiki diri mencari keredhaan tuhan.

Keikhlasan.. sangat terkait dengan sejauhmana kita memahami hubungan yang wujud antara kita dengan ALLAH. Mengenali dan meyakini ALLAH sebagai pencipta, meyakini bahawa kita akan kembali kepadaNYA, menyedari pemerhatian dan penjagaan ALLAH pada setiap dan segala urusan kita,.. maka segala gerak hati dan perbuatan berusaha diikhlaskan kepadaNYA. Di permulaan, di pertengahan, di penghujung.. ikhlas berusaha dihidupkan.

Ayuh menjadi hamba yang ikhlas...



 

Saturday, August 28, 2010

.:: Ketibaan Khalifah ::.

  
"...Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan sesetengah kamu atas sesetengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."  Al-Anaam:165]



Birth Announcements
Birth Announcements by WiddlyTinks.com

Friday, August 20, 2010

.:: Antara Bukti Kasih Sayang ALLAH ::.


ALLAH mengujiku dan dirimu, dengan segala apa yang meresahkan, menyusahkan, menyedihkan dan menyakitkan....bukan hanya untuk menghapus dosa, namun kerana ujian-ujian itulah juga antara bukti cinta kasih ALLAH pada jiwa-jiwa ini...

Tidakkah kita tenang dan bahagia melihat sebahagian bukti cintaNYA...?

"...Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ

Sesungguhnya besarnya ganjaran (pahala) bersamaan dengan besarnya ujian (bala’). Sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, Dia menurunkan ujian (bala’). Maka sesiapa yang redha maka dia mendapat keredhaan (Allah) dan sesiapa yang marah maka dia mendapat kemurkaan (Allah).

Apabila sesuatu bala’ menimpa sesuatu kaum, jangan kita pantas mengatakan mereka sedang diazab oleh Allah. Ini kerana boleh jadi apa yang berlaku ialah sebaliknya, iaitu Allah mengasihi kaum itu dan menurunkan ujian sebagai bukti kasih sayang-Nya. Melalui ujiannya itu Allah mengurniakan ganjaran pahala yang besar kepada para hamba-Nya yang redha.

Kadangkala sesuatu ujian amatlah berat sehingga lebih mirip kepada siksaan. Ini boleh jadi benar akan tetapi sekali lagi ia tidak bererti mereka ialah satu kaum yang derhaka sehingga Allah sedang mengazab mereka. Ini kerana apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mengkehendaki kebaikan bagi sesuatu kaum, Dia mempercepatkan siksaan di dunia terhadap apa-apa kesalahan kecil yang telah mereka lakukan sehingga dengan itu mereka bebas di akhirat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan hakikat ini:


إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الْخَيْرَ عَجَّلَ لَهُ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الشَّرَّ أَمْسَكَ عَنْهُ بِذَنْبِهِ حَتَّى يُوَافِيَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Apabila Allah mengkehendaki bagi hamba-Nya kebaikan, maka Dia akan menyegerakan siksa baginya di dunia manakala apabila Allah mengkehendaki bagi hambanya keburukan, maka Dia akan menangguhkan siksaan itu hingga Hari Kiamat kelak...."

Sumber:
http://hafizfirdaus.com/content/view/152/43/



Friday, August 13, 2010

4 Ramadhan: Menjadikan Poligami Pilihan Bersama



Di kesempatan Ramadhan kali ini, ingin saya berkongsi sedikit sebanyak dari persepsi seorang isteri, yang ALLAH izin menjadi isteri yang kedua [terlibat dengan poligami].. Perkongsian saya ini pastinya terbuka pada kesilapan dan kritikan. Ungkapan maaf terlebih dahulu disua andai ada coretan keterlaluan yang menyinggung perasaan.

Tulisan di bawah dicoret setelah beberapa bulan berkahwin, betapa ketika itu saya cenderung menyokong poligami atas beberapa faktor, dan kini setelah setahun enam bulan bergelar isteri, alhamdulillah saya masih cenderung melihat syariat poligami disuburkan..

                               *                                         *                                         *

Poligami itu umumnya berat diterima isteri. Kerana apa ya..? Di sana ada rasa dan alasan yang berbeza bagi isteri yang tidak menyenangi hasrat suami untuk berpoligami. Secara peribadi, bagiku ia terasa berat kerana dirasakan seandainya suami kahwin lagi, suami akan membawa pergi sayang dan kasihnya meninggalkan diri ini. Kasih sayang suami akan beralih ke isteri baru yang mungkin lebih baik dari kita dalam banyak aspek. Rasa dilupakan. Rasa tidak disayangi seperti sebelumnya.. Itulah antara yang datang membolak balik hati dan perasaan.

Sedangkan kalau suamiku kahwin lagi, mungkin itu ubat yang terbaik untuk hati ini. Suamiku adalah kurnia ALLAH yang besar, benar-benar untuk menguji diri ini. Saat yang aku lalui tika ini dilimpahkan kesenangan yang ALLAH berikan melalui usaha seorang suami. Perhatianku dan sayangku banyak tertumpu pada suami. Rasa bersemangat dengan hadirnya suami di sisi. Rasa sepi dan sunyi bila suami meninggalkan diri.

Melalui suami  dan perkahwinan juga, kadangkala ALLAH datangkan ujian yang selalu  membawa diri ini bermujahadah untuk terus mendahulukan redha tuhan dari kepuasan perasaan.

Rindu. Lumrah bila rasa rindu menjelma pada suami. Lumrah jua merasa bahagia dan gembira dengan hadirnya pasangan yang setia di sisi.. Namun apa khabar dengan rindu pada Ilahi…? Di mana gembira dan bahagia bercinta kerana Ilahi? 

Ku tercari-cari rindu dan semangat yang pernah subur dalam cintaku pada Mu , Ya Rabbi.

Orientasi hidup sedikit sebanyak berubah di waktu indah melalui alam rumahtangga. Berbuat dan tidak berbuat sesuatu itu hanya kerana suami. Ada suami jadi baik, suami tak ada rasa biasa-biasa..Wahai diri, Inikah erti ikhlas kerana ALLAH?

Moga poligami menjadi wasilah meluruskan hati. Supaya hati tidak terlupa, suami yang disayangi ini hanya pinjaman Ilahi. Supaya hati tidak terleka, cinta yang murni itu benar-benar milik Ilahi. Tak perlu takut kehilangan cinta sayang manusia. Kerana, selama ini adakah rasa cinta di bawah naungan pernikahan itu suami yang bagi? Atau cinta itu percuma saja kita temui, bila-bila masa datang dan pergi…?

Tidak. Cinta dan kasih sayang itu ALLAH yang bagi. Seperti pesan Baginda Muhammad SAW, tatkala ALLAH mencintai, ALLAH menjadikan suami mengasihi diri ini. ALLAH mengikat hati suami isteri dengan rindu dan kasih sayang. ALLAH juga yang menjadikan insan-insan lain mengasihi kita bila kita mentaatiNYA.

Jadi cinta ALLAH itulah yang perlu dicari gali. Dengan mencintai ALLAH, rasa bersemangat melangkah mencari redha dan bimbinganNYA. Rasa bahagia berbuat baik kerana ikhlas mengharap rahmatNYA.

Lalu poligami akan dirasakan sebagai syariat yang indah suci. Pernikahan itu kan memang indah. Di sana ada ruang berkasih sayang dalam ketenangan dan keselamatan. Kita gembira memiliki suami, apakah kita tidak merasa bahagia jika saudara perempuan kita juga berbahagia ada lelaki halal lagi baik yang menyayangi?

Realiti hidup waktu ini, ramai wanita mampu berdikari - punya rumah dan kereta sendiri, punya kerjaya dan jawatan tersendiri, hebat dan cemerlang potensi diri di sebagai anak dan pekerja, namun itu semua tidak memenuhkan keingian fitrah insani - yang ingin bercinta dan dicintai. Ingin punya pasangan halal dalam memperoleh separuh kebahagiaan beragama. Jiwa tabiie yang ingin bermanja dan dimanja. Setiap hati terdetik dan merindui kehadiran keluarga sendiri didahului seorang insan bernama suami.


Perkahwinan bukanlah segalanya. Perkahwinan hanya wasilah yang menghantar diri merintis jalan baru dalam perjalanan pulang ke kepada Ilahi. Namun ada banyak kebaikan duniawi dan ukhrawi dalam medan pernikahan ini, insyaALLAH. Kemanisannya tak terungkap dengan perkataan. Namun kesulitan yang datang juga sama berat dengan kebaikan.

Pernikahan dan poligami hal yang amat manusiawi. Jika diriku redha dan menerima poligami, mudah-mudahan kerana diri ini berusaha membina cinta mukmin yang tulus. Cinta pada saudara perempuan yang mengharap kehadiran teman bernama suami. Lelaki yang bujang zaman ini, ramai yang lemah tanpa jati diri. Ada banyak juga yang baik, tapi mungkin lebih baik suami-suami kita yang matang dan lebih berpengalaman turut tersenarai dalam barisan yang layak dinikahi…

(hmm... rasa beratnya nak berkongsi suami.. kemesraan dan perhatian suami yang eksklusif pada kita akan beralih pada isteri seterusnya…)

Telah ku rasakan sakinah wa mawaddah dalam hati, ku ingin juga berkongsi dengan saudara-saudara perempuanku indahnya hidup di sisi seorang suami. Bahagia luar biasa dalam perkongsian rasa di dakapan dan ciuman suami. Apatah lagi bila kalian memiliki suami yang baik, berilmu dan bertanggungjawab. Suami yang berilmu dan mengenal ALLAH dan Rasul akan melayani isteri dengan makruf – penuh cinta dan kelembutan. Menjaga kebajikan  luaran dan keperluan perasaan.

Namun kita yang bernama isteri perlu telus melihat realiti dan bersabar menghadapinya. Jua membantu suami bersabar menghadapinya.  Tanggungjawab suami berat sekali, apatah lagi jika punya isteri lebih dari satu. Moga diri ini bersungguh berbakti, memahami dan pandai mensyukuri.

Jika isteri-isteri dalam poligami tak tabah, suami akan rebah penuh resah. Perlu saling melengkapi, saling menghulur tangan dalam melangkah mencari keredhaan. Ada masa gembira mendaki kehidupan, ada masa sakit terjeropok di bawah. Komunikasi suami isteri yang dibangunkan dan hubungan dengan tuhan akan terus menyinarkan kekuatan.

Tidak perlu dibahas poligami dengan data dan hujah tanpa henti jika suami dan isteri-isteri tidak mengerti tujuan dan cara hidup yang diredhai. Kerana bagi yang bertaqwa, pasti ada jalan keluar, itulah janji ALLAH di dalam Al Quran. Iman dan taqwa itulah sebenarnya yang perlu di cari.

Iman yang kurang, tidak akan mampu rasa senang dan tenang dalam perkahwinan. Walaupun tidak bermadu, keindahan pernikahan terasa hanya mimpi yang jauh untuk dikecapi, andai iman selalu menghilangkan diri. Apatah lagi poligami, suami sering jauh di sisi, tanpa iman dan ketaqwaan - hati dan jiwa akan kosong dan sepi.

Ohh…panjangnya tazkirah untuk diri sendiri. Jadi harus sudah redha dan bersedia andai suami bertemu jodoh lagi.

InsyaALLAH redha.

Andai suami orang yang harithun ‘ala waqtihi (menjaga waktu), insyaALLAH akan mampu menyusun waktu dengan baik untuk para isterinya. Andai suami orang yang arif memantau ekonomi, insyaALLAH ekonomi keluarga kan terjaga dengan baik. Andai suami orang yang jelas tujuan dan wawasan, mudah-mudahan para isterinya kan jua bermotivasi untuk maju ke hadapan.

Ohh,,..jangan lupa, suami kita juga insan biasa miliki kelemahan dan kesilapan, jadi para isteri harus siap untuk memaafkan dan ikhlas kita semua melakukan perbaikan.

Tak cukup jika hanya seorang dua suami yang mahu, berusaha dan bersedia untuk menambah isteri. Untuk kita melihat poligami ini menciptakan kemajuan, jom para isteri, kita teguhkan perasaan, permudahkanlah perkahwinan, agar ummah ini berjaya dengan poligami dan institusi pernikahan.



Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...