Monday, September 20, 2010

Yang bernama IKHLAS..



Alhamdulillah ALLAH menambah anugerah hadirnya seorang anak dalam kehidupan dunia yang sebentar ini, jua bermakna bertambah amanah dan ujian. Dalam kepenatan dan kesibukan mengadaptasi dengan fasa baru bergelar ibu, terkadang rasa melemahnya access kepada Tuhan Yang Maha Pengasih sedangkan makin bertambah tanggungjawab, sepatutnya makin mantap hubungannya dengan Sang Pencipta yang Mengetahui segalanya..

Jadi suka saya mentazkirah diri dan kalian yang dikasihi tentang ikhlas.. bahawa kehidupan ini harus bermula dan berakhir dengan penuh tulus ikhlas…kepada ALLAH.

Saya teringat Ukhti Amiratunnadhirah dalam usrah online satu waktu dulu, berkongsi dengan kami kupasan Hadis pertama susunan Imam Nawawi, bahawa ikhlas kerana ALLAh beerti tidak mendahulukan perkara lain melebihi ALLAH.... hati dan fikiran, segala-galanya tertumpu pada ALLAH. Saya mengaitkan tajuk ikhlas dengan diri sendiri yang kadang-kadang terlupa bahawa ALLAh itulah sumber dan tujuan setiap perbuatan.

Hidup ini perlu seikhlasnya kerana ALLAH… Tahu dan faham kepentingan ikhlas, namun payah sekali untuk kekal ikhlas.. Tidak hairanlah tajuk iklas menjadi tidak lekang dari program-program agama kerana ikhlas beerti melepaskan diri dari segala bentuk tujuan hidup yang lain. Ikhlas beerti hati lapang tenteram mematuhi segala syariatNYA walau sakit menundukkan nafsu perasaan yang ingin menentang peraturannyanya.

Kerana, berpaling dari syariat dan luntur keikhlasan pengabdian padaNYA tidak akan membawa bahagia yang berpanjangan. Ikhlas bersandarkan syariat ALLAH dan rasul satu-satunya cara mendapat kebahagian dan kejayaan yang sebenar.

Bagi yang berusaha jatuh bangun meniti jambatan dakwah, ikhlas adalah bekal yang penting dan harus selalu diperbaharui. Supaya perjalanan dakwahnya lurus terpelihara, tidak lain semata-mata kerana menginginkan redha ALLAH, semata-mata mengajak manusia menuju ALLAH.

Jika niat terpesong salah, semangat dakwahnya didorong oleh keinginan mendapatkan jawatan dan pangkat. Merasa seronok dalam dakwah kerana dikenali, merasa seronok dalam dakwah kerana level tingginya dalam jemaah.

Bagi yang mencari kebahagiaan dalam kehidupan berumahtangga, keikhlasan menunaikan tanggungjawab kerana ALLAH menjadikan dirinya mampu meneruskan amanah sebagai suami, isteri dan ibu bapa, walau tika itu hatinya tersakitkan oleh kerenah pasangan dan anak-anak.


 

Ketulusan dalam persahabatan mampu hadir jika seseorang insan itu mencintai dan membenci kerana ALLAH. Mencintai kerana ALLAH, beerti dia bersahabat atas matlamat mencari redha ALLAH. Dia selalu menolong dan menasihati, dia memelihara kehormatan temannya, menutup aib dan kesalahannya.

Membenci kerana ALLAH, beerti dia membenci karakter temannya yang melanggar syariat tuhan, namun dia tidak sampai bermusuhan dengan teman itu. Hanya membenci karekter dan ciri yang buruk, serta berusaha menyeru si teman memperbaiki diri mencari keredhaan tuhan.

Keikhlasan.. sangat terkait dengan sejauhmana kita memahami hubungan yang wujud antara kita dengan ALLAH. Mengenali dan meyakini ALLAH sebagai pencipta, meyakini bahawa kita akan kembali kepadaNYA, menyedari pemerhatian dan penjagaan ALLAH pada setiap dan segala urusan kita,.. maka segala gerak hati dan perbuatan berusaha diikhlaskan kepadaNYA. Di permulaan, di pertengahan, di penghujung.. ikhlas berusaha dihidupkan.

Ayuh menjadi hamba yang ikhlas...



 

No comments:

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...