"Serabut rasa duduk rumah..mak dengan ayah tu selalu bergaduh..benda kecik pun nak gaduh.."
"Mama dengan papa asyik salahkan saya..semua yang saya buat diorang nampak salah.. adik tu je yang betul"
"Bosanlah.. itu tak boleh, ini tak boleh.. nak buat apa lagi.."
"Ibu asyik nak marah-marah je, abah pulak jarang balik rumah.. sekali sekala balik muka serius je.. saya teringin nak ada mak ayah macam orang lain..teringin nak sembang-sembang dengan diorang.."
"Mummy and daddy suka beli barang mahal-mahal.. bila rosak ke, jatuh pecah ke, kami adik beradik yang kena..tension lah macam ni"
"Memanglah saya hidup senang.. semua mak ayah belikan.. tapi apa gunanya…?? Saya tak ada mak ayah… Diorang sibuk dengan kerja.. Lewat malam baru nampak muka…"
Adikku, diri ini cuba mengerti luahan hatimu yang terbuku dengan insan bernama ayah dan ibu. Diri ini cuba memahami tekananmu menghadapi hari-hari yang gelisah sering melihat pertengkaran ayah dan ibu. Diri ini cuba menyelami rasa sempit jiwamu kerana respon negatif ibu ayah yang sepatutnya lebih mengerti sanubari seorang anak yang mentah.
Dalam masa yang sama, cuba jua hati ini merasai perasaan insan bernama ayah dan ibu. Fitrah mereka menyayangi dan mempeduli anak-anak yang dikurniakan.. bukan hanya sekadar menyayangi, tapi sangat-sangat menyayangi. Di dasar hati mereka menginginkan kesenangan dan kesejahteraan anak.
Tidaklah kesalahan dan kelalaian mereka mengurusi jiwa dan peribadi anak disengajakan, namun ada sebab yang membenarkan persengketaan ini berlaku.
Mungkin..mungkin, kerana tekanan yang tak terkawalkan. Atau kejahilan dalam menterjemah kasih sayang.
Konflik, perselisihan dan pergaduhan yang kita saksikan di jendela keluarga bukan didatangkan tuhan tanpa kebaikan. Kesedihan, kekesalan dan kepahitan yang telah kita tempuh sedari dulu sarat pengajaran dan kemanisan.
Pengajaran dan kemanisan yang bagaimana ..?
Adikku, bukankah dari pertelingkahan keluarga dan keserabutan keluarga telah menunjuk jalan untuk kita menghampiri tuhan? Bukankah kekecewaan perpecahan keluarga itu menghadiahkan kita sebuah kematangan?
Ujian berat itu ALLAH kurniakan sebagai bahan belajar buat kita. Kata-kata negatif ibubapa dan ahli keluarga telah menjadi senjata yang memisah-misahkan.
Lantas, kisah sedih itu mendorong kita mendalami medan komunikasi dan pertuturan. Kerana tidak mahu kesilapan menyampaikan dan kesalahan perbicaraan mematikan kegembiraan anak kita di masa depan. [Sama ada anak kandung, atau anak didik atau sesiapa pun yang kita kongsikan pengalaman.]
Mak ayah menghamburkan perkataan yang mengguris perasaan, mungkin kerana tertekan meniti kehidupan. Tekanan wang ringgit, tekanan pekerjaan, tekanan membesarkan anak-anak, mengurus rumahtangga dan mungkin tertekan kerana jauh dari pedoman tuhan.
Lantas, kita belajar dan tekadkan di hati, diri-diri kita harus kuat menempuh dugaan. Agar kelak anak-anak didik kita tidak menjadi tempat menghambur kerunsingan, tidak terguris hatinya hanya kerana kegagalan kita mengawal perasaan. Kita harus terus berjuang mencari ilmu agar amanah seserius perkahwinan dan menjadi ibubapa kita hadapi dengan kebijaksanaan..
Adikku sayang, telah kita belajar di medan ilmu bahawa betapa tingginya tempat ibu dan ayah di sisi tuhan.. lihatlah ayah ibu kita dengan rasa kasing sayang penuh kemuliaan.
Satu ketika, diri kita pernah bahagia dan damai di pelukan ayah dan ibu. Kecomelan dan ketenangan wajah kita suatu waktu memberi kegembiraan di sudut hati mereka. Bolehkah kebahagiaan itu kita kembalikan?
Kita tertekan, lalu tanpa disedari, perasaan ayah ibu kita lukakan.
Adikku sayang, kita tidak mampu kembali ke masa lalu. Hari ini sahaja yang ada untuk kita membuat pilihan.. Kita memilih untuk memperbaiki keadaan. Kita memilih untuk memaafkan dan melupakan kesalahan.
Ibu ayah juga melakukan kesilapan, mereka juga sedar dan ingin bangkit membetulkan kesalahan. Lalu kitalah yang membangkitkan harapan pada mak dan ayah.
Mohon keampunan agar urusan diberi jalan keluar olehNYA. Agar ALLAH menyatukan hati kita dan ayahbonda. Agar ALLAH menjauhkan kita dari menjadi permainan syaitan durjana.
Manisnya... betapa manisnya bila kesusahan birrul walidain (berbuat baik pada ayah ibu) ini kita redahi kerana meyakini janji tuhan. Manisnya terasa bila mengingatkan ayat-ayat ALLAH, bahawa DIA bersama-sama orang yang bertaqwa dan melakukan perbaikan.
Perjalanan berbuat baik dan membetulkan kesilapan bukan sehari dua, bukan seminggu dua..mungkin berbulan mungkin bertahun, namun inilah langkah pertama.
1 comment:
Awesome posting. Benar-benar menikmati membaca posting blog Anda.
Post a Comment