Selasa, 21 Disember 2010:
Abdullah dan mama hantar Tok Nani ke rumah Auntie Suraya di The Orion Condo, Jalan Tun Razak.. Terima kasih banyak kepada Acik Ayu yang drive kita ke sana. Tok Nani tak mahu ikut Abdullah balik ke kampung Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebab Tok nak jumpa abang Shakyl, sepupu Abdullah merangkap anak tunggal Auntie Suraya.
Mulanya Auntie plan nak ambil Tok di Shah Alam, tapi hari ni patient auntie di klinik terlebih ramai yang menunggu, auntie tak dapat nak keluar awal. Takpelah kita ke KL, mama dan Acik Ayu dapat belajar drive jalan-jalan di KL. Maktam (adik mama) pun ikut sekali.
Dan rupanya Acik Ayu dan Maktam ada plan nak main bowling, jadi dalam perjalanan balik kami singgah di Ole-Ole Shah Alam yang ada tempat bowling. Sementara mereka berdua main bowling, mama & Abdullah jalan-jalan di tingkat bawah… mama singgah di kedai buku dan baca-baca buku sementara tunggu Maktam & Acik Ayu.
Antara pelajaran hari ini: Alhamdulillah mama gembira GPS navigator sangat-sangat membantu perjalanan kita dari Meru – Jalan Tun Razak. Abdullah, untuk perjalanan yang sedekat itu pun perlukan pemandu (baca:GPS), apatah lagi perjalanan ke kampung akhirat, kita amat-amat perlukan Al Quran & As Sunnah sebagai navigator yang membawa kita dengan selamat ke destinasi akhir..
Rabu, 22 Disember 2010:
Pukul 9.45 pagi, Abdullah keluar rumah menuju ke kampung Atok dan Wan di Sungai Talan, Kuala Pilah. Maktam pangku Abdullah duduk di kerusi belakang, Abdullah tidur lena. Mama dapat memandu tenang. Alhamdulillah, dalam perjalanan hanya berhenti sekali untuk membeli buah tangan. Dan sekali lagi berhenti untuk Abdullah menyusu. Sebelum pukul 1, Abdullah dah berada dalam pelukan Tok Dan Wan.
Sebelah petang, kita bawa Paksu dan Paklong (adik dan abang mama) ke kedai gunting rambut. Selepas itu, kita menziarah Atok dan nenek Mama yang kurang sihat.. kasihan mereka hanya berdua.
Malamnya, Pakcik Ikhwan (adik mama) belanja kita semua dinner di luar. Alhamdulillah mama seronok dapat keluar bersama ahli keluarga since susah untuk berkumpul adik beradik kerana tuntutan kerja, belajar dan rumahtangga masing-masing.
Pelajaran: Kita sering punya masa yang terhad bersama insan-insan tersayang dan ahli keluarga, maka gunakanlah dan manfaatkanlah masa yang sedikit untuk menunjuk kasih, berkongsi cerita, berkongsi ilmu. Jika kita semua punya matlamat sama, teruslah berusaha, untuk bertemu bahagia selamanya.. di syurgaNYA.
Khamis, 23 Disember 2010:
Mama dan Abdullah temankan Maktam ambil keputusan PMR di sekolah, alhamdulillah atas keputusan yang baik. Maktam seorang yang matang di usia remajanya, sudah memikirkan bagaimana dan apa bidang yang perlu diceburi..supaya apapun pilihan, dia mampu menunaikan tanggungjawab dengan baik sebagai penuntut ilmu, sebagai anak, sebagai hambaNYA.
Dan dia memikirkan masa depan juga, andai dia bergelar isteri dan ibu, adakah laluan yang dipilihnya hari ini akan membantunya memikul semua amanah itu.. ameen.. moga dipermudahkan ALLAH urusan dan laluan Maktam..
Pelajaran: Hari ini Maktam berpesan pada mama untuk menjaga empat perkara dengan baik, pertama, jaga muta’baah ibadah – menjaga hubungan dengan ALLAH, dan berusaha memperbaiki hubungan dengan manusia. Kedua, menjaga kecergasan dan kecantikan diri agar dapat memberi yang terbaik sebagai isteri dan ibu.
Ketiga, Maktam ingatkan mama supaya menjaga, mendidik dan mengasuh Abdullah dengan baik.. Maktam harap Abdullah menjadi baik seperti abang dan kakak Abdullah. Keempat, menjaga rumahtangga – suami, hartanya, makan minumnya, menjaga kebersihan dan kekemasan rumah..
Terima kasih banyak pada Maktam, walaupun maktam seorang adik berusia 15 tahun yang kelihatannya masih muda dan mentah, namun mama sangat menghargai nasihat-nasihat itu.
Mama akan ingat dan praktikkan pesan itu semampunya, insyaALLAH. Adalah susah, sangat susah untuk menunaikan pesan itu, namun mama tak akan berhenti mencuba. Mama sangat suka pada nasihat supaya mama sentiasa sedar diri untuk bertaubat dan menjadi lebih baik dalam memperbaiki kekurangan diri.
Jumaat, 24 Disember 2010:
Pukul 10.30 pagi kita bergerak ke Alor Gajah Melaka untuk mengambil adik mama di IKBN. Adik Aini (Makni) yang mengambil kursus penyediaan makanan bercuti dua minggu, jadi mama pergi untuk mengambil barang-barangnya.
Pukul 6 petang pula, kita menziarahi tok dan wan saudara mama di kampung yang sama.. mereka sudah tua dan tidak larat untuk berjalan banyak. Mereka seronok sekali berjumpa Abdullah yang merupakan cicit mereka..
Pelajaran: Abdullah, masuk hari ni..mama dah rasa penat keluar setiap hari. Mama seronok dapat berziarah dan membantu urusan atok dan wan, namun tenaga yang ada sedikit teruji. Alhamdulillah Abdullah sangat baik dan bagi kerjasama, Abdullah banyak bertenang dan tak meragam, membantu melancarkan urusan.
Tika inilah, mama benar-benar meminta tenaga extra dari ALLAH.. Walaupun tidur dan makan minum cukup, mama penat. Mama ingatkan diri sendiri dan adik-adik, walau kita penat sekalipun, nikmat ALLAH pada kita terlalu banyak dan mencurah-curah tak putus. ALLAH memberi sebelum kita meminta, ALLAH tetap memberi samaada kita syukur atau leka.
Mama ingatkan diri tentang tazkirah yang papa kongsi dalam satu penulisannya..satu firman ALLAH:
“… Ingatlah ALLAH banyak-banyak(dalam semua keadaan).. “ Sungguh, ingatan dan hubungan hati yang terjaga denganNYA mampu menyejuk hati, mengusir keletihan dan meredakan kemarahan.
Sabtu, 25 Disember 2010:
Tengahari ini kita ke kenduri kahwin anak jiran Tok dan Wan. Jalan menuju ke rumah itu sangat sempit, sedangkan kereta tetamu sangat banyak.. Mama baru menyudahkan suapan terakhir, terdengar pengumuman agar kereta WLH 1120 (kereta mama) minta dialihkan. Bergegas mama mengalihkan kereta, dan rupanya sepanjang walimah itu terdengar lagi beberapa pengumuman minta kereta-kereta lain dialihkan. Pengajaran yang boleh diambil, jangan lupa memasukkan kawasan tempat letak kereta dalam perancangan walimah.
Selepas walimah, kita ke rumah Pak Ngah dan Mak Ngah, di Bukit Mahkota, Bangi. Semua adik beradik mama ikut sekali, sebab malam ini kita ke KLIA meraikan (menghantar) Pakcik Ikhwan yang akan pulang ke Mesir menyambung pengajiannya berbaki setahun lagi insyaALLAH.
Pukul 11.15 malam, sebelum melangkah check –in, Pakcik Ikhwan bersalam dan memeluk mama dan semua adik beradik lain. Pakcik turut mencium Abdullah yang tidur lena..
Pengajaran: Mama rasa sebak pula bila memandu pulang dari KLIA, mama rasa sedikit sedih berpisah dengan Pakcik Ikhwan,, sedih kerana rasa kasih adik beradik.. mama teringatkan juga pada Makja di Ainsyam Uni, moga adik-adik mama menjadi hambaNYA yang soleh.. moga mereka dan kita sama-sama meneruskan perjalanan hidup mencari keredhaan tuhan.
Bila bertemu dan berpisah kerana ALLAH, setiap pertemuan dan perpisahan adalah indah…
Ahad, 26 Disember 2010:
Pukul 10.15 pagi kita dah sampai rumah kita di Meru. Abdullah tidur lena di kerusi belakang dengan Maktih (adik mama, Norbaiti). Pagi tadi sebelum berangkat pulang, makngah goreng bihun, pakngah pula menggoreng cekodok ikan bilis yang rangup..Alhamdulillah sarapan yang sedap dan sangat istimewa bila dinikmati bersama kasih sayang hidup bekeluarga.
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Allahuakbar.. Maka nikmat tuhan yang manakah yang kamu dustakan?
Mama dan Abdullah sangat gembira pulang ke kampung berjumpa adik beradik dan sanak saudara, banyak pelajaran dan pengalaman yang dikutip.
Papa tinggal bersama mama Shah Alam dan abang kakak Abdullah. Terima kasih banyak pada papa dan mama, bagi peluang mama balik kampung lebih lama kali ini, sempena cuti sekolah…
Moga perjalanan kita diberkatiNYA...
No comments:
Post a Comment