Tuesday, November 2, 2010

Ibu, dekatlah di sisi ku...

Anakku, sungguh ibu ingin menjadi ibu yang terbaik kepadamu. Ibu ingin mencurah kasih sayang tulus buatmu, agar dunia ini menjadi tempat tinggal yang nyaman untuk mu. Ibu ingin mencurah ilmu padamu, agar dunia ini tidak menenggelamkan dirimu dengan tipudayanya. Ibu ingin mengisi hati mu dengan iman, agar istiqamah langkah mu mencari redha tuhan. Bantulah ibu, anakku...


Saya menerima SMS dari seorang teman yang saya kasihi, bergelar isteri yang berkongsi satu persoalan. Dia merupakan seorang guru di sebuah sekolah rendah.

“ Hari ini sekolah sekali lagi meminta saya membuat keputusan samaada berhenti mengajar atau tidak. Moga ALLAH memberi petunjuk pada kami yang kebingungan. Sungguh dunia ini milik ALLAH.”

Dia diberi pilihan samaada berhenti atau terus mengajar kerana dia mengalami ujian-ujian kesakitan yang kerap datang sewaktu sedang hamil (insyaALLAH lagi lebih kurang dua bulan dia akan bergelar ibu).

Maka terpaksa bercuti mengajar, yang mana kita maklum bahawa ketiadaan guru walau sehari akan memberi kesan pada kerja dan rakan-rakan guru yang lain perlu menyandang tugas sementara rakan guru itu bercuti.

Apatah lagi, jika perlu cuti berhari-hari, maka sekolah terpaksa memberi pilihan untuk berhenti.

Sebaik menerima SMS itu, dalam hati saya rasa gembira. Kenapa? Saya rasa gembira kerana saya merasakan dia akan memilih berhenti kerja.

Kenapa saya gembira kalau dia berhenti kerja…? Saya gembira kerana dia akan menjadi isteri dan ibu sepenuh masa.

Menjadi isteri dan ibu sepenuh masa..?

Menjadi ibu sepenuh masa adalah pekerjaan terbaik yang saya ketahui setakat ini. Dalam pada itu, saya memahami kalian para ibu yang terpaksa bekerja kerana tuntutan hidup, perlu membantu ibu ayah kalian, terikat dengan kontrak biasiswa, membayar pinjaman dan sebagainya. Moga ALLAH mengurniakan tenaga extra pada kalian, sesungguhnya ALLAH lah sebaik-baik penjaga kepada anak kalian...

Temanku yang soleh, ku kongsikan di sini pandangan peribadi yang berdasarkan pengalaman hidup yang singkat, ilmu yang kurang.. mohon maaf andai ada coretan yang mengguris perasaan...

Dengarlah monolog hati seorang anak:



 
Wahai ibu,

Jangan diswastakan penjagaanku..

Ibu, saya perlukan dakapan dan belaian ibu sekerapnya.

Saya perlu cinta dan kedekatan ibu.

Saya berharap agar dapat menyusu dari ibu sepenuhnya. Ibu boleh memerah susu badan, dan pengasuh boleh memberikannya melalui botol, namun tidak sama ibu, jika ibu sendiri yang menyusui saya...

Tatkala ibu menyusui, saya menatap bening sinar matamu, saya selesa dan tenteram dalam dakapan kasih ibu. Saya tenang mendengar pujukan dan dodoian ibu. Mendengar degup jantung ibu yang tulus menyayangi saya..

Saya perlu mendengar suara kasih ibu untuk menyuburkan perasaan saya. Mendengar ibu kerap mengalunkan ayat-ayat ALLAH. Ibu mentadabbur Al Quran dan membisik makna kalam ALLAH di telinga saya.

Saya inginkan perhatian ibu pada emosi dan fizikal, pada iman dan pemikiran saya.

Jangan biarkan saya tercari-cari ibu kerana ibu pergi mencari rezeki, sedangkan saya perlu kasih dan belaian ibu lebih dari segalanya...

Yang penting, saya perlukan tarbiyyah dari seorang ibu. Ibu saya yang sebenar, ibu saya yang mengandungkan saya dan bercita-cita bersama saya untuk menjadi penegak agama ALLAH.

Ibu, moga kehadiran saya tidak mengganggu projek dakwah ibu dan ayah. Moga ALLAH membantu ibu ayah menjadi penolong agamaNya.

Walau dari segi kewangan ibu ayah mungkin kurang mampu menyumbang untuk dakwah, insyAllah ibu ayah mampu menyumbang yang terbaik dengan menjadi daie yang membimbing manusia ke jalan ALLAH? Walaupun kurang wang untuk diinfaq - moga ilmu, akhlak dan jiddiyah ibu menjadi asbab utama memimpin manusia jahil ke lorong yang disinari hidayah.

Ibu, bawalah diriku ke program ilmu dan program dakwah, supaya saya turut merasai manisnya berada dalam taman-taman syurga. Tidak mengapa jika ibu berpisah dua tiga jam dengan saya jika perlu berhalaqah, namun jangan ibu tinggalkan saya lebih separuh hari kerana tuntutan kerja ibu..

Ayuh ibu, kita menetap di rumah menanti kepulangan ayah mencari rezeki.. Bila ibu menjadi isteri dan ibu sepenuh masa, ibu dan saya akan punya banyak kesempatan menyamput kepulangan ayah dengan hati yang lebih tenang dan lapang.

Kalau ayah stress di tempat kerja, ibu menanti ceria untuk menenangkan dan memotivasikan ayah. Ibu berhias untuk ayah, ibu menghiaskan saya, ibu menghias rumah. Tenangnya hati ayah, pulang ke rumah, anak dan isteri ceria bahagia menyambutnya. Terasa hilang kepenatan ayah. Ayah makin fokus pada kerja dan dakwah jika ibu menjaga saya dengan baik..

Indahnya hidup bekeluarga bila ibu ayah saling membantu, saling mendorong untuk amal soleh...

Kalau ibu memilih bekerja, di tempat kerja ibu tertekan, hingga ibu dan ayah saling bertemu dengan wajah kusam penat lagi tertekan. Ibu makin stress perlu memasak dan mengemas rumah.. Saya?? Tersepit di tengah-tengah ibu ayah yang sibuk dengan bebanan kerja dan mengurus rumahtangga.

Sayunya hati, minggu-minggu berlalu, saban minggu lebih banyak masa ibu habiskan untuk memenuhi tuntuan majikan, sedangkan saya..?

Biarlah ayah seorang yang keluar mencari rezeki, rezeki dari ALLAH, pasti ALLAH cukupkan buat kita...

                                                           *                      *                        *

Dahulu sewaktu saya masih bujang, pada tahun 2008, saya berkerja sementara di sebuah klinik dengan gaji RM550 sebulan. Dengan gaji itulah saya membayar sewa bilik, makan dan minum, tambang bus, teksi, tren etc kalau mahu ke mana-mana, dengan gaji sebanyak itulah saya mampu ke halaqah dan program-program agama lainnya. Terasa getirnya hidup dengan gaji sekecil itu. Alhamdulillah ‘ala kullihal.

Saya fikir, kalau gaji saya ribu-ribu tentunya saya akan lebih tenang dan lapang. Mesti cukup.

Nah, itulah persepsi yang salah.

Kini saya bekerja di rumah, menjadi isteri dan ibu sepenuh masa, alhamdulillah setiap bulan bajet yang dikurnia Allah untuk saya lebih RM 5000 . Adakah cukup..?

Tidak, tak cukup. Kerana apa?

Kerana duit memang tidak pernah cukup.

Bukan jumlah gaji, tapi cara kita menguruskannya (nyata saya tidak bijak menguruskan duit). ALLAH menjamin rezeki ada untuk setiap anak Adam, hanya perlu diusahakan.

Tidak mungkin jika seorang ibu memilih untuk menjadi ibu dan isteri sepenuh masa, ALLAH membiarkannya dalam kesempitan.

Temanku, jika dirimu punya pilihan, pilihlah untuk menjadi ibu kepada anakmu, bukan part-time mother. Menjadi madrasah sepenuh masa kepada anakmu. ( Namun tidak mungkin menjadi madrasah tarbiyyah jika ibu yang di rumah jauh dari mengenal Allah, tidak cinta ilmu, tidak punya visi untuk anak dan rumahtangga).

Moga suamimu tenang, anak buah cinta kalian terjaga elok di tangan ratu rumahtangganya (ibu dan isteri), bukan di tangan pengasuh yang menjaga kerana kita membayarnya. (Saya sama sekali mengiktiraf adanya kehadiran pengasuh yang penuh kasih lagi soleh menjaga anak orang lain penuh keikhlasan, bukan semata kerana bayaran.)

Kepada isteri dan ibu yang bekerja di luar rumah, ku hormati pilihan kalian. Ku simpati dengan keterpaksaan kalian. Ku hormati pertimbangan-pertimbangan kalian memilih bekerjaya di luar rumah yang terpaksa meninggalkan anak-anak. Kepenatan dan masa bersama famili yang dikorbankan, moga akhirnya terbalas dengan redha tuhan.



p/s: Saya sarankan membaca artikel Ustaz Zaharuddin di sini:
http://zaharuddin.blogspot.com/2010/10/ulama-penjenayah-dibentuk-dari-rumah.html

Antara catatannya:

"Namun apabila hari ini kedua-dua ibubapa sibuk mencari nafkah, aset di rumah terabai dek kerana pendapatan RM 2,000 (purata) atau RM 5,000 sebulan si ibu"



6 comments:

sumayyah said...

i dream to be full-time ibu too~~

Anonymous said...

Sorry to say but this entry need a specification from the individual person, how about we consider a husbnd with salary 500 a month and have 3 child. Of course all the mother want to nurse their children. To me this entry quite weak. There are a lot of full time house wife cannot nurse their wife until succes and instead of it. i think its better to make a reseach b4 writing something and prove something b4 u want to make your hypothesis is true. Make and planning the investigation first.

Nurul Adni Adnan said...

Assalammu'laikum wa rahmatullah

Sumayyah: Moga ukhti jadi isteri dan ibu yang baik kelak. But we need you as a doctor too.. so please consider polygamy is an option :)[he he harap ukhti nampak kaitan poligami dengan kasih sayang ibu]


Anonymous: Saya setuju dengan anda :)Artikel ini dangkal, saya akui, apatah lagi sebenarnya ia hanya merespon pada persoalan yang dihadapi teman saya.

Betul, perlu diteliti case-by-case basis.Terlalu banyak aspek perlu dilihat sebelum mudah saja saya menulis.

Maafkan kelemahan menulis saya, akan diperbaiki insyaALLAH.

nani said...

It brings tears to my eyes though, beautifully written. in this age it doesnt seem realistic because we live in a system created by human, an ill-meaning one too at that. but this is actually the fitrah, a mother needs to be by her child. that said, as everything else, we have to always strive to do the right thing. mungkin kita tak mampu lg skrg, but we must agree that that is what we should do, doa dan usaha Allah buka pintu rezeki lain utk memungkinkannya. instilling the niat is the first step.. thanks again for putting it in words. jazakallah.

Anonymous said...

Artikel yang sangat dangkal apalagi menggunakan ayat menjadi ibu 'part time'. tak ada seorang ibu pun menjadi ibu part time walaupun bekerja, kerana hatinya tetap bersama anak-anak. Dalam banyak kes, ibu yang bekerja lebih banyak meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak berbanding ibu yang sepernuh masa di rumah tetapi anak-anak tidak terjaga. Saya sendiri bangun seawal 4.30 pagi setiap hari menyediakan makanan untuk bayi saya, sebelum menghantarnya ke rumah pengasuh dan pergi bekerja. Suri rumah sepenuh masa, adakah anda rasa sudah cukup bagus dalam menjaga anak anda?

Nurul Adni Adnan said...

Terima kasih atas respon :) saya setuju ini kupasan yang dangkal, kerana ia tidak ditujukan kepada semua isteri dan ibu, tapi pada hanya seorang sahabat yang ingin berhenti kerja... dalam pada itu, mungkin ibu lain yang sama situasinya mendapat sedikit pengalaman.

titipan saya dalam entri di atas, sila baca sekali lagi jika tak perasan...

"Kepada isteri dan ibu yang bekerja di luar rumah, ku hormati pilihan kalian. Ku simpati dengan keterpaksaan kalian. Ku hormati pertimbangan-pertimbangan kalian memilih bekerjaya di luar rumah yang terpaksa meninggalkan anak-anak. Kepenatan dan masa bersama famili yang dikorbankan, moga akhirnya terbalas dengan redha tuhan."

moga saya dan para pembaca akhirnya mendapat redha tuhan... ameen.

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...