Saturday, October 30, 2010

Lelaki Pertama

Cinta kasihnya menghadirkan diriku ke dunia.

Dia memiliki cinta teratas di hati ini, selepas ALLAH, Rasul dan Ibu ku.

Dialah ayahku, Adnan Bin Abdul Manap, yang ku panggil abah, lelaki pertama yang ku kenali dalam hidupku ini.

Moga ALLAH merahmatinya melalui liku-liku perjalanan yang sukar membesarkan kami, berusaha yang terbaik mendidik dan mengasuh kami menjadi hamba ALLAH yang diredhai.



Gambar Sewaktu Syawal baru-baru ini

Dari Kiri : Adikku - Nuraini, Abah (berjubah biru), Cucu Abah Yang Pertama -Aqil (Si Kecil Yang Memakai Kopiah), Mak (Tudung Pink), Adikku - Khairunnajwa
 

Ibu melahirkan diriku ketika ibu berusia awal 20 tahun, abah pula di awal 30an. Diri ini sangat bersyukur abah sebagai pemimpin menetapkan agar rumahtangga dan anak-anak tidak diurus oleh pembantu rumah dan selainnya, melainkan ibulah yang diamanahkan untuk mengurus anak-anak dan perjalanan hari-hari awalku terasa indah dengan kehadiran mak dan abah yang penuh kasih sayang walau kami bukan keluarga berada.

Syukur kepada ALLAH dikurniakan kami seorang ayah yang bertanggungjawab lagi penuh kasih buat kami.

Dengan gaji bulanan sebagai seorang guru di sekolah rendah, abah mengatur kehidupan yang sederhana buat kami. Abah berusaha menyediakan makan minum, pakaian, belanja persekolahan dan lain-lain keperluan mengikut kemampuannya.

Abah seorang yang berdisiplin dengan jadual hariannya. Maka sebab itu dalam kesibukan abah mengajar dan melayan keperluan jua kehendak anak-anak sembilan orang, abah masih punya masa melakukan hobinya. Abah suka melukis dan menulis sajak.

Malah saban minggu Abah juga yang mengambil tanggungjawab ke pasar membeli bahan-bahan mentah dan barang-barang runcit lain.

Banyak momen yang manis-manis dengan abah dalam pada ku melalui kehidupan sebagai kanak-kanak. Antarany diriku duduk di pangkuan abah, abah mengajarku bacaan dalam solat, ketika itu diriku baru menginjak kaki ke tadika.

Tiba bulan ramadhan, Abah akan membawa diriku dan abang-abangku jalan-jalan pusing Felda Pasoh 3, Negeri Sembilan bila kami tak tahan dengan ujian berpuasa. Abah memotivasi dan berusaha menghibur kami yang ketika itu baru bertatih berpuasa.

Abah jahitkan baju tidur yang comel untuk anak perempuannya ini. Abah juga jahitkan baju kurung untuk anak-anak perempuannya. Abah sangat berbakat dalam bidang sedemikian, namun tiada anak perempuannya yang mampu mewarisi skill menjahit abah.. Abah malah pandai mengait, dikaitnya kain alas meja, alas tv, abah suka buat cross sticth yang hingga kini menjadi perhiasan di rumah kami. (Tapi mata abah yang semakin kurang terang menjauhkan abah dari hobinya menjahit..)

Dari guru subjek yang biasa-biasa, abah akhirnya naik pangkat menjadi guru Penolong Kanan. Tetapi abah tidak mahu lagi naik pangkat sementelahan perlu berpindah ke sekolah lain jika ingin menjadi Guru Besar sedangkan abah sudah selesa dengan kedudukan sebagai Guru di kampung halaman kami Padang Lebar, Kuala Pilah setelah puluhan tahun mengajar di daerah lain.

Namun zaman remajaku pula tidak manis untuk ku kenang, tidak manis kerana diriku bukan anak remaja yang menyenangkan. Sering juga memberontak dan membentak bila keinginanku tidak selari dengan kemahuan mak dan abah. Selalu memilih bermasam muka pada mak dan abah bila mereka menegur dan memarahiku, sedangkan teguran dan kemarahan itu untuk segala kebaikan diri ini.

Baru kini seakan diriku mengerti, abah dan mak menempuh fasa yang sangat mencabar tika anak menginjak remaja, banyak anasir luar yang bila-bila masa boleh menghanyutkan kami ke sungai kemaksiatan dan kesesatan. Namun ketegasan dan kegarangan abah yang agak kami takuti waktu itu sememangnya banyak mencorakkan diri kami hari ini.

Ohh kalaulah masa boleh diputar..., saya hanya ingin jadi anak yang baik. Saya ingin jadi anak yang terbaik pada insan yang paling baik dalam hidup saya, iaitu mak dan abah. Namun ber 'kalau-kalau' itu mainan syaitan, yang penting , saat ini saya masih ada usia untuk memperbaiki diri menjadi anak yang lebih berbakti.

Mungkin antara ujian besar pada abah dari diri saya ialah ketika saya dalam fasa menginjak kaki ke alam pernikahan. ALLAH menguji lelaki yang melamarku adalah seorang lelaki yang telah punya isteri dan famili. Bukan mudah untuk seorang ayah melepaskan anak perempuannya bernikah, apatah lagi berada dalam situasi poligami yang dimaklumi lebih banyak cabaran dari beberapa segi.

Namun akhirnya abah menikahkan saya dengan suami tercinta. Dan ALLAH sesungguhnya Maha Melimpahkan Kebaikan, hingga hari ini kebaikan ALLAH pada kehidupan saya mungkin sedikit sebanyak memadam kegusaran mak abah pada rumahtangga yang dibina berstatuskan isteri kedua.

Abah memang kaya kasih sayang dengan anaknya. Dengan status ibu yang baru dua bulan lebih ku galas ini, saya juga seolah baru tersedar betapa kasih seorang ibu dan ayah terlalu mendalam dan besar untuk seorang anak. Pastinya dengan curahan kasih seperti itu, abah dan mak layak diberi perhatian yang paling tinggi.

Saya juga kelak mengharap anak-anak meladeni saya dengan sopan dan hikmah. Saya ingin dikasihi dan disantuni oleh anak yang telah susah payah dibesarkan.

Barangsiapa memiliki tiga anak perempuan dan ia bersabar dalam mengurusnya, memberinya makan, minum dan pakaian, maka di hari kiamat kelak, keberadaan mereka menjadi penghalang antara dirinya dengan neraka. (Hadis Sahih dari Uqbah bin Amir – Shahih Al Jami’ Ash-Shaghir)

Abah yang ku kasihi memiliki lima anak perempuan dan empat anak lelaki. Alhamdulillah. Abah kini di hujung 50an, sudah bersara, enam orang anaknya masih belajar [3 di IPT, dua bersekolah menengah, seorang di sekolah rendah].

Adik-adik perempuanku yang tersayang, ayuh kita menjadi solehah.. agar kita menjadi asbab untuk abah yang sangat kita sayangi terpelihara dari azab neraka kelak.. jangan kita berbuat menurut hawa nafsu, seolah kita tidak diberi sentuhan iman, kelak apakah yang abah nak jawab di hadapan tuhan andai kita yang menjadi amanahnya ini jauh dari jalan tuhan..?

Ayuh kita menjadi anak yang lebih lemah lembut, bersopan santun dengan mak abah. Tidak membantah mereka semberono, tidak meninggikan suara hingga terguris hati mereka. Ayuh adik-adik dan abang-abangku, kita menghormati pendapat mak abah, kita berusaha membantu abah menguruskan adik-adik lain semampunya.

Paling penting, kita harus terus mendalami Al Quran, agar akhlak kita makin baik, agar kita makin takut Allah. Hingga apabila kita serius menjaga hubungan dengan ALLAH, melaksanakan syariatNya, insyaALLAH akan terus subur kasih sayang di antara kita dengan mak abah. DIA akan memelihara kasih sayang yang bersemi hingga tumbuh segar hingga di dunia kekal sana.



Cucu-cucu abah kini seramai 3 orang, Alhamdulillah. Semuanya hero :) Moga menjadi penerus penyampai risalah agama..ameen.

Dari Kiri: Abdullah bin Hafiz Firdaus, Muhammad Aqil bin Mohd Jafni, Muhammad Idraqi bin Mohd Jafni

Abah, saya kini berusaha menjadi anak yang baik dengan apa adanya. Terlalu banyak salah dan silap saya pada abah, tak mampu untuk saya kongsikan di sini.. Lalu, setulus kemaafan saya pohon dari abah.

"Terima kasih banyak-banyak abah, atas segala jasa dan pengorbanan abah mendidik dan membesarkan kaklang hingga kaklang meniti alam kedewasaan ini. Kaklang pohon doa tulus yang berterusan dari abah buat menaungi kehidupan kak lang yang kini berteman suami dan anak.

Doakan kami jadi hamba bertaqwa dan mengumpul sebanyak-banyaknya amal soleh menjadi bekal bertemu ALLAH.

Abah selalu dalam doa kak lang, sungguh cinta kasih kak lang pada abah, tidak ada yang kak lang inginkan melainkan abah makin bahagia menjalani kehidupan dunia, hingga akhirnya abah bertemu ALLAH dalam hati yang tenang dan sejahtera. Moga kita bersatu di syurga.

Ya ALLAH, aku sangat mencintai abah, bantulah diri ku dan adik beradikku menjadi anak yang soleh pada mereka."

1 comment:

sumayyah said...

erm..knapa macam ada air plk kat mata ni.. :(

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...