Friday, July 22, 2011

Couple kerana Allah?



Indahnya cinta selepas pernikahan, perasaan cinta itu subur hadir dengan perjanjian halal yang bersaksikan ALLAH. Dengan lafaz nikah, lelaki dan perempuan menjadi pasangan yang memiliki ruang yang luas untuk menyuburkan cinta.

Perasaan cinta tika itu bukan sekadar emosi yang memenuhi jiwa namun menjadi ibadah bila diterjemah pada penyatuan fizikal suami isteri. Dan cinta yang menyubur setelah pernikahan itu amat indah bila mana kesucian diri dan akhlak dipelihara sebelum suami dan isteri menjadi pasangan yang halal.

“Kami belum mampu bernikah untuk merasai nikmat cinta yang sebegitu… Salahkah kami bercinta di luar ikatan pernikahan..?”

Sekali lagi, bercinta tidak salah. Apatah lagi umat islam ini adalah umat sebuah agama yang menganjurkan kasih sayang dan meraikan fitrah ingin dicintai dan mencintai.

Namun biasanya rasa cinta yang wujud di luar pernikahan itu tidaklah statik, akan semakin berkembang dan bersemarak di dalam jiwa.

Mata yang melihat pasangan yang dicintai terasa ingin berdekatan dan ingin bersentuhan. Telinga dan mulut yang semakin kerap berhubung membawa kepada kata-kata dan aksi-aksi cinta yang selayaknya terbit di antara suami isteri yang halal.

Rindu dan sayang menjadi semakin menggebu-gebu hingga pasangan bercinta itu bukan sahaja ingin bersatu dari segi perasaan namun juga fizikal. Mereka yang bercinta amat menginginkan kemesraan dan kedekatan fizikal.

Ketika inilah iman pasangan bercinta semakin terancam hingga sering kita dengari kes-kes perzinaan berlaku kerana cinta yang tidak dikawal ini. Dengan suburnya cinta sebelum pernikahan, fikiran dan perasaan pasangan bercinta amat mudah dikuasai sehingga mereka terdorong membayangkan hubungan seksual sebelum masanya dan semakin jauh dari mengingati larangan dan suruhan ALLAH.


Couple kerana Allah?

Mari kita renungkan satu hadis dari Rasulullah SAW.

Pada Hari Akhirat kelak, ALLAh akan bertanya: “Di manakah orang-orang yang saling mencintai kerana AKU? Pada hari ini AKU akan menaungi mereka di bawah naunganKU, di hari yang tiada naungan kecuali naunganKu.” [Shahih Muslim, no:2566]

Hadis ini boleh menjadi satu pendorong untuk insan memelihara jiwanya dari cinta yang tersalah arah.

Jika benar seseorang lelaki mencintai pasangannya kerana ALLAH, dia akan menempatkan cinta kepada seorang perempuan di dalam pernikahan demi memelihara kehormatan dan harga diri seorang muslimah. Dia menahan diri untuk melakukan ‘aksi-aksi cinta’ yang melalaikan muslimah itu sebelum bergelar suami isteri.

Seseorang perempuan yang tulus mencintai pasangannya kerana ALLAH akan menjaga diri supaya tidak menggugat iman lelaki dengan ‘aksi-aksi cinta’ yang tidak sepatutnya tanpa ikatan nikah.

Sebelum bernikah, mereka bersama berusaha menjadi individu muslim yang diredhai. Setelah bernikah, mereka berusaha menjadi pasangan suami isteri yang terus mencantikkan peribadi.

Percintaan yang diusahakan di dalam pernikahan yang bersulam tanggungjawab dan amanah, insyaALLAH kelak mampu meletakkan pasangan suami dan isteri di bawah naungan terbaik, iaitu naungan ALLAH.

Bernikahlah. Kemudian semarakkan cinta. Kerana ALLAH meletakkan keindahan dan kesempurnaan cinta itu di dalam sebuah ruang yang bernama pernikahan. Dalam pernikahan, cinta yang bermula dengan pandangan dan perasaan mampu disuburkan secara fitrah dengan perkataan dan perbuatan.

Kesimpulannya, saya mengingatkan diri sendiri dan para pembaca sekelian untuk menyuburkan cinta dalam tempat teristimewanya yang bernama pernikahan. Betapa sempurna dan indahnya syariat yang diatur oleh ALLAH. Salah satunya adalah cinta dan pernikahan.

Sebelum bernikah, rasa cinta dan kecenderungan yang hadir itu cukuplah sekadar mendorong diri untuk bersama membangun pernikahan yang diredhaiNYA. Semoga cinta yang dipelihara sebaiknya dalam lingkungan syariat ALLAH akan membuahkan kebahagiaan bukan sahaja di dunia yang sementara ini, namun akan terus mengalirkan kebahagian di kehidupan akhirat yang berkekalan.

Namun harus diingat, cinta sempurna dalam pernikahan bukan ibarat cinta dongeng '...and they live happily ever after'.. Cinta sempurna itu adalah cinta yang hadir dalam ketaatan padaNya, samaada diuji dengan bahagia atau duka...



 

3 comments:

Anonymous said...

Salam..
saya sangat bersetuju dgn artikel yang puan tulis..saya dulu pernah bercinta sebelum bernikah, tp tak ke mana.. kini bernikah dgn suami dan mula bercinta selepas nikah..alhamdulillah bahagia sangat2..

cuma, dua tiga bulan pertama sangat getir..ruang waktu utk saling menerima dan memberi..mula2 rasa susah, tp alhamdulillah suami saya seorang penyabar..hehehe..

puan,
kalau boleh saya mahu nasihat dari puan bagaimana mahu menjadi isteri yang PENYABAR.. dan bagaimana menyuburkan rasa sabar dan redha di dalam hati...

terima kasih.. :)

Nurul Adni Adnan said...

alhamdulillah atas kebahagian :)

dan harus diingat, di dunia yang sementara, tiada kebahagiaan yang mutlak.. ALLAH silih gantikan kegembiraan dan kedukaan.. agar kita mengharap syurga yang ada hakiat bahagia berkekalan...

Rahman Yasin said...

Couple secara Islamik jika mahu dating perlu membawa muhrim bersama dan ditempat awam. Perbualan penuh adab dan perkara-perkara mengenai perancangan untuk nikah.

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...