Wednesday, December 29, 2010

Tidur Untuk Membesar


Assalammu'laikum wa rahmatullah

Entri kali ini ditujukan kepada pemilik hati yang mencintai dan merindui 'Abdullah.. sesungguhnya 'Abdullah juga mencintai dan merindui dirimu.



Di pagi hari, setelah mandi dan menyusu, mama membaringkan Abdullah di atas tilam nipisnya...dalam cubaan untuk menidurkannya. Kadang-kadang mama membiarkan Abdullah belajar untuk tidur sendiri, tapi banyak masanya mama akan menyusukan dan mendodoikan Abdullah sampai dia tertidur, baru diletakkan atas tilam...


Abdullah buat muka protes.."Mama, saya belum nak tidur...tolonglah letak kamera dan ambil saya.."



Dan kemudian... mata Abdullah membulat, tak ada gaya orang nak tidur...




Mama pun angkat semula Abdullah, bagi kat Maktih (adik mama, Norbaiti).. Tengok tu, dah happy sikit muka dia..




"Thank You Maktih..Layan saya hee.."





Cubaan Maktih untuk menidurkan semula Abdullah, selepas Maktih pun dah tak larat nak layan...




  "Oklah.. saya dah jaga lebih dua jam..saya kena tidur semula. InsyaALLAH supaya saya membesar ceria dan cerdas lagi cergas dengan tidur yang cukup.. nak amik mood tidur nie.."




Akhirnya.. "selamat malam semua..."




Anakku sayang, dalam hadis yang sahih, ada doa yang Rasul SAW ajarkan pada kita tentang tidur...

“Dengan namaMu Ya Allah... aku baringkan tubuhku dan dengan nama-Mu aku bangun. Jika Engkau menahan jiwaku, maka rahmatilah ia dan jika Engkau melepaskannnya, maka jagalah ia sepertimana Engkau memelihara jiwa hamba-hambaMu yang shalih.”


Bersyukurlah anakku, dengan nikmat tidur.. beralas tilam, berteman kipas.. punya tempat berteduh, jauh dari gangguan, bencana dan peperangan.. 


Moga selepas dua-tiga jam, Abdullah akan bangun dengan kehendak ALLAH.

"Allah memegang nyawa (seseorang) pada saat kematiannya dan nyawa (seseorang) yang belum mati ketika dia tidur, maka Dia tahan nyawa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia lepaskan nyawa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sungguh, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran) Allah bagi kaum yang berpikir."
 (Surat Az-Zumar : 42)



Tuesday, December 28, 2010

Titis-Titis Cinta


Kerana hidup ini adalah untuk ALLAH, saya mengingatkan diri sendiri dan kalian yang dikasihi agar tidak putus, tidak jemu, tidak mengalah dalam mencari cinta ALLAH…

Bukankah bila ALLAH mencintai kita, ALLAH menjadikan semua dan setiap yang ada di bumi jua langit agar menyayangi kita…?

"Sesungguhnya apabila Allah Taala mencintai hambaNya, maka Dia akan memanggil malaikat Jibril alaihissalam seraya berkata : 'Sesungguhnya Aku mencintai si Fulan, maka cintailah dia.' Dan si Fulan itu juga akan dicintai oleh Jibril alaihissalam.

Maka Jibril alaihissalam pun menyeru ke langit seraya berkata : 'Sesungguhnya Allah mencintai si Fulan!! maka cintailah dia'..., dan dia juga akan dicintai oleh penghuni langit,dan dia juga akan dicintai oleh penghuni bumi.

"Tapi…Jika Aku murka terhadap seorang hamba itu, Maka akan dipanggil pula Jibril alaihissalam dan berkata : 'Sesungguhnya Aku memurkai si Fulan, maka bencilah dia.' Dan orang itu juga dibenci oleh Jibril alaihissalam.

Lalu Jibril alaihissalam pun menyeru kepada penghuni langit seraya berkata : 'Sesungguhnya Allah memurkai si Fulan!!' Maka dia akan dibenci, juga dibenci oleh penghuni langit, dibenci juga oleh penghuni bumi.

(Riwayat Imam Muslim)


Saya seorang surirumah, yang diamanahkan ALLAH untuk menjaga suami, anak-anak dan rumahtangga. Di tangga kehidupan tika ini, saya sangat bersyukur kepada ALLAH atas segala-gala yang telah ALLAH kurnia dalam perjalanan sementara di dunia.

Kebahagiaan yang saya nikmati saat ini, bukan kebahagiaan yang tidak bersulam kesusahan. Kesusahan dan kesulitan selalu ada, namun saat kita mengetahui ada ALLAH yang sentiasa menemani dan menjadi penolong, hati takkan buntu bila ujian menerpa menduga.

Lihatlah disekeliling.. lihatlah pada semua yang kita lalui saban hari. Kesibukan. Kepenatan. Terkejar-kejar. Kuliah, assignment, quizzes, exam. Anak-anak menuntut komitmen. Suami menuntut dilayan dan perhatian. Isteri menuntut kerjasama dan bantuan. Ibu dan ayah di kampung call menceritakan kesusahan, mengharap kepulangan.

Untuk apa?

Untuk apa belajar yang mengeluarkan banyak wang dan kadangkala bosan menjemukan?

Untuk apa berkerja yang mengorbankan rehat, mengejar dateline, menyudahkan arahan majikan, sedangkan gaji tak pernah cukup setiap bulan?

Untuk apa berkhidmat pada pasangan yang kadang-kadang mengecewakan, tanpa penghargaan?

Untuk apa melalui kerunsingan memenuhi keperluan dan kehendak ibu ayah?

Untuk apa melalui tekanan dan cabaran membesarkan anak-anak?

Untuk Mu Ya ALLAH.. Saat hati ini telah berjanji, hidupku, matiku, solatku segalanya adalah untukMu, maka kami tempuh semua kesulitan dan kepenatan ini.

Untuk Mu Ya ALLAH.. Telah ku sedar bahawa hidup ini adalah untuk meraih keredhaanMU, kami berusaha menghambakan diri padaMU dengan melaksanakan semua tanggungjawab dan tuntutan.

Ya ALLAH..Engkau tidak membebankan kami, Engkau tidak menzalimi kami..kerana sesungguhnya dengan setiap tanggungjawab yang hadir, KAU iringkan dengan nikmat yang jauh lebih banyak.

Hanya kadangkala kami terlupa niat hakiki. Lalu kami sedih kecewa. Kami terlupa untuk mengarahkan semua pengorbanan dan kesulitan ini adalah kerana mengharap redhaMU. Kami redahi semua ini bukan untuk sekadar menyenangkan hati-hati manusia, namun kerana kami ingin punya nilai di sisiMu Ya ALLAH..

Kami belajar dan belajar, bukan untuk sekeping sijil segulung kertas, namun untuk kami menggali ilmu dunia dan ukhrawi. Ilmu yang membantu kami menjadi Khalifah di bumi, jua ilmu yang membawa Kami mengenaliMu sebagai pencipta.

Moga dengan ilmu, bertambah ketaqwaan dan amal soleh kami. Mencantikkan akhlak kami. Meningkatkan keikhlasan dan kesungguhan kami menunaikan setiap dan segala tanggungjawab.

Kami memilih perkahwinan, untuk memelihara kehormatan diri. Dan kami rindu untuk membina keluarga sendiri. Kami menempuh pelbagai ujian untuk membina keharmonian, perasaan terasa sakit dan payah membina kebahagiaan berumahtangga, namun kami punya niat tulus untuk menjadi isteri yang menyayangi dan menghormati suami semampunya. Kami punya tekad untuk membesarkan dan mendidik anak-anak kami berjaya dan bahagia di dunia dan akhirat.

Kami berusaha mentaati dan memenuhkan harapan ibu bapa, kerana perintahMU.. agar kami mentaati dan berbakti. Kerana firmanMU yang mengingatkan kesusahan demi kesusahan yang dilalui ibu. Maka kami gagahkan diri mencari masa dan kesempatan berada di sisi mereka saat mereka kesusahan, kelemahan dan kesakitan.

Kami melihat cahaya dan merasa bahagia melihat mata anak-anak yang tulus. Walaupun kami penat, ujian kewangan yang mendesak, tuntutan hidup yang menjadikan kami serabut, kami ingin menjaga mereka sebaiknya. Kami ingin mendidik mereka, agar kami dapat menyelamatkan semua ahli keluarga dari seksa neraka. Kami ingin anak-anak jadi insan yang bermanfaat di dunia, dan bertemu-jalan-jalan ke syurga.



Ya ALLAH.. atas semua ini, kami hidup untuk mencari cintaMU. CintaMU Ya ALLAH. Tuhan Yang Maha Baik atas segala yang telah ENGKAU anugerahkan. Cinta MU yang Maha Penyayang dan Pengasih. JanjiMu bahawa selepas kesusahan akan ada kesenangan.

Ya ALLAH.. dalam kami berusaha memenuhkan semua harapan manusia- ibu ayah, suami, anak-anak, majikan, teman – teman dan selainnya – jangan pesongkan kami dari meraih cintaMU. Kami inginkan kecintaan dan kasih sayang mereka buat meniti usia, dan sesungguhNYA kasih sayang itu hadir dari kecintaanMu kepada kami.

Bantulah kami melakukan perbuatan yang Engkau cintai. Kami mohon keampunan dan kasih sayangMU.

Penuhkanlah hati kami dengan kebaikan dari Mu yang Maha melimpah ruah kebaikan dan kasih sayang… Bantulah kami bersangka baik dengan segala ketentuanMu, bantulah kami bersyukur dan bersabar dengan setiap ujianMU.

......

Saturday, December 25, 2010

Abdullah pulang ke kampung...


Selasa, 21 Disember 2010:

Abdullah dan mama hantar Tok Nani ke rumah Auntie Suraya di The Orion Condo, Jalan Tun Razak.. Terima kasih banyak kepada Acik Ayu yang drive kita ke sana. Tok Nani tak mahu ikut Abdullah balik ke kampung Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebab Tok nak jumpa abang Shakyl, sepupu Abdullah merangkap anak tunggal Auntie Suraya.

Mulanya Auntie plan nak ambil Tok di Shah Alam, tapi hari ni patient auntie di klinik terlebih ramai yang menunggu, auntie tak dapat nak keluar awal. Takpelah kita ke KL, mama dan Acik Ayu dapat belajar drive jalan-jalan di KL. Maktam (adik mama) pun ikut sekali.

Dan rupanya Acik Ayu dan Maktam ada plan nak main bowling, jadi dalam perjalanan balik kami singgah di Ole-Ole Shah Alam yang ada tempat bowling. Sementara mereka berdua main bowling, mama & Abdullah jalan-jalan di tingkat bawah… mama singgah di kedai buku dan baca-baca buku sementara tunggu Maktam & Acik Ayu.

Antara pelajaran hari ini: Alhamdulillah mama gembira GPS navigator sangat-sangat membantu perjalanan kita dari Meru – Jalan Tun Razak. Abdullah, untuk perjalanan yang sedekat itu pun perlukan pemandu (baca:GPS), apatah lagi perjalanan ke kampung akhirat, kita amat-amat perlukan Al Quran & As Sunnah sebagai navigator yang membawa kita dengan selamat ke destinasi akhir..



Rabu, 22 Disember 2010:

Pukul 9.45 pagi, Abdullah keluar rumah menuju ke kampung Atok dan Wan di Sungai Talan, Kuala Pilah. Maktam pangku Abdullah duduk di kerusi belakang, Abdullah tidur lena. Mama dapat memandu tenang. Alhamdulillah, dalam perjalanan hanya berhenti sekali untuk membeli buah tangan. Dan sekali lagi berhenti untuk Abdullah menyusu. Sebelum pukul 1, Abdullah dah berada dalam pelukan Tok Dan Wan.

Sebelah petang, kita bawa Paksu dan Paklong (adik dan abang mama) ke kedai gunting rambut. Selepas itu, kita menziarah Atok dan nenek Mama yang kurang sihat.. kasihan mereka hanya berdua.

Malamnya, Pakcik Ikhwan (adik mama) belanja kita semua dinner di luar. Alhamdulillah mama seronok dapat keluar bersama ahli keluarga since susah untuk berkumpul adik beradik kerana tuntutan kerja, belajar dan rumahtangga masing-masing.

Pelajaran: Kita sering punya masa yang terhad bersama insan-insan tersayang dan ahli keluarga, maka gunakanlah dan manfaatkanlah masa yang sedikit untuk menunjuk kasih, berkongsi cerita, berkongsi ilmu. Jika kita semua punya matlamat sama, teruslah berusaha, untuk bertemu bahagia selamanya.. di syurgaNYA.



Khamis, 23 Disember 2010:

Mama dan Abdullah temankan Maktam ambil keputusan PMR di sekolah, alhamdulillah atas keputusan yang baik. Maktam seorang yang matang di usia remajanya, sudah memikirkan bagaimana dan apa bidang yang perlu diceburi..supaya apapun pilihan, dia mampu menunaikan tanggungjawab dengan baik sebagai penuntut ilmu, sebagai anak, sebagai hambaNYA.

Dan dia memikirkan masa depan juga, andai dia bergelar isteri dan ibu, adakah laluan yang dipilihnya hari ini akan membantunya memikul semua amanah itu.. ameen.. moga dipermudahkan ALLAH urusan dan laluan Maktam..

Pelajaran: Hari ini Maktam berpesan pada mama untuk menjaga empat perkara dengan baik, pertama, jaga muta’baah ibadah – menjaga hubungan dengan ALLAH, dan berusaha memperbaiki hubungan dengan manusia. Kedua, menjaga kecergasan dan kecantikan diri agar dapat memberi yang terbaik sebagai isteri dan ibu.

Ketiga, Maktam ingatkan mama supaya menjaga, mendidik dan mengasuh Abdullah dengan baik.. Maktam harap Abdullah menjadi baik seperti abang dan kakak Abdullah. Keempat, menjaga rumahtangga – suami, hartanya, makan minumnya, menjaga kebersihan dan kekemasan rumah..

Terima kasih banyak pada Maktam, walaupun maktam seorang adik berusia 15 tahun yang kelihatannya masih muda dan mentah, namun mama sangat menghargai nasihat-nasihat itu.

Mama akan ingat dan praktikkan pesan itu semampunya, insyaALLAH. Adalah susah, sangat susah untuk menunaikan pesan itu, namun mama tak akan berhenti mencuba. Mama sangat suka pada nasihat supaya mama sentiasa sedar diri untuk bertaubat dan menjadi lebih baik dalam memperbaiki kekurangan diri.


 
Jumaat, 24 Disember 2010:

Pukul 10.30 pagi kita bergerak ke Alor Gajah Melaka untuk mengambil adik mama di IKBN. Adik Aini (Makni) yang mengambil kursus penyediaan makanan bercuti dua minggu, jadi mama pergi untuk mengambil barang-barangnya.

Pukul 6 petang pula, kita menziarahi tok dan wan saudara mama di kampung yang sama.. mereka sudah tua dan tidak larat untuk berjalan banyak. Mereka seronok sekali berjumpa Abdullah yang merupakan cicit mereka..

Pelajaran: Abdullah, masuk hari ni..mama dah rasa penat keluar setiap hari. Mama seronok dapat berziarah dan membantu urusan atok dan wan, namun tenaga yang ada sedikit teruji. Alhamdulillah Abdullah sangat baik dan bagi kerjasama, Abdullah banyak bertenang dan tak meragam, membantu melancarkan urusan.

Tika inilah, mama benar-benar meminta tenaga extra dari ALLAH.. Walaupun tidur dan makan minum cukup, mama penat. Mama ingatkan diri sendiri dan adik-adik, walau kita penat sekalipun, nikmat ALLAH pada kita terlalu banyak dan mencurah-curah tak putus. ALLAH memberi sebelum kita meminta, ALLAH tetap memberi samaada kita syukur atau leka.

Mama ingatkan diri tentang tazkirah yang papa kongsi dalam satu penulisannya..satu firman ALLAH:

“… Ingatlah ALLAH banyak-banyak(dalam semua keadaan).. “ Sungguh, ingatan dan hubungan hati yang terjaga denganNYA mampu menyejuk hati, mengusir keletihan dan meredakan kemarahan.



Sabtu, 25 Disember 2010:

Tengahari ini kita ke kenduri kahwin anak jiran Tok dan Wan. Jalan menuju ke rumah itu sangat sempit, sedangkan kereta tetamu sangat banyak.. Mama baru menyudahkan suapan terakhir, terdengar pengumuman agar kereta WLH 1120 (kereta mama) minta dialihkan. Bergegas mama mengalihkan kereta, dan rupanya sepanjang walimah itu terdengar lagi beberapa pengumuman minta kereta-kereta lain dialihkan. Pengajaran yang boleh diambil, jangan lupa memasukkan kawasan tempat letak kereta dalam perancangan walimah.

Selepas walimah, kita ke rumah Pak Ngah dan Mak Ngah, di Bukit Mahkota, Bangi. Semua adik beradik mama ikut sekali, sebab malam ini kita ke KLIA meraikan (menghantar) Pakcik Ikhwan yang akan pulang ke Mesir menyambung pengajiannya berbaki setahun lagi insyaALLAH.

Pukul 11.15 malam, sebelum melangkah check –in, Pakcik Ikhwan bersalam dan memeluk mama dan semua adik beradik lain. Pakcik turut mencium Abdullah yang tidur lena..

Pengajaran: Mama rasa sebak pula bila memandu pulang dari KLIA, mama rasa sedikit sedih berpisah dengan Pakcik Ikhwan,, sedih kerana rasa kasih adik beradik.. mama teringatkan juga pada Makja di Ainsyam Uni, moga adik-adik mama menjadi hambaNYA yang soleh.. moga mereka dan kita sama-sama meneruskan perjalanan hidup mencari keredhaan tuhan.

Bila bertemu dan berpisah kerana ALLAH, setiap pertemuan dan perpisahan adalah indah…

Ahad, 26 Disember 2010:

Pukul 10.15 pagi kita dah sampai rumah kita di Meru. Abdullah tidur lena di kerusi belakang dengan Maktih (adik mama, Norbaiti). Pagi tadi sebelum berangkat pulang, makngah goreng bihun, pakngah pula menggoreng cekodok ikan bilis yang rangup..Alhamdulillah sarapan yang sedap dan sangat istimewa bila dinikmati bersama kasih sayang hidup bekeluarga.



Alhamdulillah, Alhamdulillah, Allahuakbar.. Maka nikmat tuhan yang manakah yang kamu dustakan?

Mama dan Abdullah sangat gembira pulang ke kampung berjumpa adik beradik dan sanak saudara, banyak pelajaran dan pengalaman yang dikutip.

Papa tinggal bersama mama Shah Alam dan abang kakak Abdullah. Terima kasih banyak pada papa dan mama, bagi peluang mama balik kampung lebih lama kali ini, sempena cuti sekolah…

Moga perjalanan kita diberkatiNYA...

Monday, December 20, 2010

Panggilan Al Quran...



"Ukhti, ukhti pergi baca Al Quran..biar ana pegang baby..." ujar temanku dalam cubaannya untuk memastikan setiap hariku tidak berlalu melainkan diisi bacaan Al Quran.

Saya sedar kerenggangan saya dengan Al Quran beberapa ketika ini setelah menyandang status isteri dan ibu.. bukan status-status itu yang dipersalahkan, namun saya runsing renggang itu akan sedikit demi sedikit menjadikan saya tidak cinta untuk ,membaca dan menyelak mushaf Al Quran yang berisi peringatan dan ayat-ayat cinta tulus Sang Pencipta.

Membaca, merenung dan mengamalkan... Al Quran selalu memanggil kita untuk semua itu.. Sudahkah kita melaksanakan...?

Membaca dan memahami. Kemudian perlu menyediakan masa untuk merealitikan ayat-ayat ALLAH...

Seorang teman lain akan "missed call" untuk memperingatkan saya membaca Al Quran.. Panggilan telefon darinya mengingatkan diri saya untuk membaca Al Quran walau satu muka sehari.

Alhamdulillah saya punya roomate yang juga berusaha istiqamah dengan tilawatul Quran(bacaan Quran), jadi saya bermujahadah untuk mengeratkan interaksi dengan Quran.. beribu, berjuta kali pun membaca bait-baitnya, hati sebenarnya tidak akan pernah cukup dengan Al Quran yang Maha Luas dan Maha Indah..

Dan saya sebenarnya tak akan mampu menulis bila ayat-ayat Al Quran tidak meresap ke dalam hati...masakan tidak, bukankah sudah diniatkan untuk menulis kerana ALLAH...?

Mampukah berbuat kerana ALLAH jika hubungan dengan ALLAH tidak dijalin dengan ayat-ayatnya yang Maha Agung...?

Jika saya merasa kuat sebagai isteri, sebenarnya hanya  jika ketika itu saya berusaha membisikkan di hati ayat-ayat ALLAH yang dibaca dan direnung.. Tanpanya, saya tak berdaya..

Jika saya merasa kuat sebagai ibu, sebenarnya hanya jika ketika itu saya berusaha menghidupkan ayat-ayat ALLAH di hati dalam meladeni ragam dan sifat baby yang baru seorang.. Tanpanya, saya tak berdaya..


 
Jika saya merasa kuat untuk membaca, mengkaji, memahami, menghafal - dan usaha-usaha lain menuntut ilmu, sebenarnya hanya jika ketika itu saya berusaha mengingatkan diri bahawa saya inginkan ilmu itu untuk menambah ketakutan saya ketika saat penting menghadap ALLAH. Itulah sebahagian firman ALLAH di dalam Quran, bahawa yang bertaqwa adalah yang benar berilmu..

Jika saya berusaha bersabar dalam berkongsi nasihat jua menerima nasihat, hanya kerana, saya berusaha membisikkan...bukankah Al Quran mengingatkan jiwa-jiwa kita agar saling berpesan dengan kasih sayang dan kesabaran..? Dan sesungguhnya peringatan itu adalah penting untuk orang-orang mukmin...?

"Bersabar dan memaafkan..."

"Bersabar dan memaafkan..."

"Bagi yang melakukan perbaikan, usah bersedih hati... ALLAH menghitung segala sesuatu.."


Ya ALLAH.. indahnya ayat-ayatMu.. Mengisi hari-hari hidupku dengan ketenangan dalam ujian.

Ya ALLAH..hati ini ingin selalu mendengar panggilanMu..ingi menyahut..ingin bertemuMu dalam cinta dan keredhaan...



Wednesday, December 8, 2010

Ibu & ayah, kami ingin dikasihi dan mengasihi...


"Serabut rasa duduk rumah..mak dengan ayah tu selalu bergaduh..benda kecik pun nak gaduh.."

"Mama dengan papa asyik salahkan saya..semua yang saya buat diorang nampak salah.. adik tu je yang betul"

"Bosanlah.. itu tak boleh, ini tak boleh.. nak buat apa lagi.."

"Ibu asyik nak marah-marah je, abah pulak jarang balik rumah.. sekali sekala balik muka serius je.. saya teringin nak ada mak ayah macam orang lain..teringin nak sembang-sembang dengan diorang.."

"Mummy and daddy suka beli barang mahal-mahal.. bila rosak ke, jatuh pecah ke, kami adik beradik yang kena..tension lah macam ni"

"Memanglah saya hidup senang.. semua mak ayah belikan.. tapi apa gunanya…?? Saya tak ada mak ayah… Diorang sibuk dengan kerja.. Lewat malam baru nampak muka…"

Adikku, diri ini cuba mengerti luahan hatimu yang terbuku dengan insan bernama ayah dan ibu. Diri ini cuba memahami tekananmu menghadapi hari-hari yang gelisah sering melihat pertengkaran ayah dan ibu. Diri ini cuba menyelami rasa sempit jiwamu kerana respon negatif ibu ayah yang sepatutnya lebih mengerti sanubari seorang anak yang mentah.

Dalam masa yang sama, cuba jua hati ini merasai perasaan insan bernama ayah dan ibu. Fitrah mereka menyayangi dan mempeduli anak-anak yang dikurniakan.. bukan hanya sekadar menyayangi, tapi sangat-sangat menyayangi. Di dasar hati mereka menginginkan kesenangan dan kesejahteraan anak.

Tidaklah kesalahan dan kelalaian mereka mengurusi jiwa dan peribadi anak disengajakan, namun ada sebab yang membenarkan persengketaan ini berlaku.

Mungkin..mungkin, kerana tekanan yang tak terkawalkan. Atau kejahilan dalam menterjemah kasih sayang.

Konflik, perselisihan dan pergaduhan yang kita saksikan di jendela keluarga bukan didatangkan tuhan tanpa kebaikan. Kesedihan, kekesalan dan kepahitan yang telah kita tempuh sedari dulu sarat pengajaran dan kemanisan.

Pengajaran dan kemanisan yang bagaimana ..?

Adikku, bukankah dari pertelingkahan keluarga dan keserabutan keluarga telah menunjuk jalan untuk kita menghampiri tuhan? Bukankah kekecewaan perpecahan keluarga itu menghadiahkan kita sebuah kematangan?


 
Ujian berat itu ALLAH kurniakan sebagai bahan belajar buat kita. Kata-kata negatif ibubapa dan ahli keluarga telah menjadi senjata yang memisah-misahkan.

Lantas, kisah sedih itu mendorong kita mendalami medan komunikasi dan pertuturan. Kerana tidak mahu kesilapan menyampaikan dan kesalahan perbicaraan mematikan kegembiraan anak kita di masa depan. [Sama ada anak kandung, atau anak didik atau sesiapa pun yang kita kongsikan pengalaman.]

Mak ayah menghamburkan perkataan yang mengguris perasaan, mungkin kerana tertekan meniti kehidupan. Tekanan wang ringgit, tekanan pekerjaan, tekanan membesarkan anak-anak, mengurus rumahtangga dan mungkin tertekan kerana jauh dari pedoman tuhan.

Lantas, kita belajar dan tekadkan di hati, diri-diri kita harus kuat menempuh dugaan. Agar kelak anak-anak didik kita tidak menjadi tempat menghambur kerunsingan, tidak terguris hatinya hanya kerana kegagalan kita mengawal perasaan. Kita harus terus berjuang mencari ilmu agar amanah seserius perkahwinan dan menjadi ibubapa kita hadapi dengan kebijaksanaan..

Adikku sayang, telah kita belajar di medan ilmu bahawa betapa tingginya tempat ibu dan ayah di sisi tuhan.. lihatlah ayah ibu kita dengan rasa kasing sayang penuh kemuliaan.

Satu ketika, diri kita pernah bahagia dan damai di pelukan ayah dan ibu. Kecomelan dan ketenangan wajah kita suatu waktu memberi kegembiraan di sudut hati mereka. Bolehkah kebahagiaan itu kita kembalikan?

Kita tertekan, lalu tanpa disedari, perasaan ayah ibu kita lukakan.

Adikku sayang, kita tidak mampu kembali ke masa lalu. Hari ini sahaja yang ada untuk kita membuat pilihan.. Kita memilih untuk memperbaiki keadaan. Kita memilih untuk memaafkan dan melupakan kesalahan.

Ibu ayah juga melakukan kesilapan, mereka juga sedar dan ingin bangkit membetulkan kesalahan. Lalu kitalah yang membangkitkan harapan pada mak dan ayah.



Mohon keampunan agar urusan diberi jalan keluar olehNYA. Agar ALLAH menyatukan hati kita dan ayahbonda. Agar ALLAH menjauhkan kita dari menjadi permainan syaitan durjana.

Manisnya... betapa manisnya bila kesusahan birrul walidain (berbuat baik pada ayah ibu) ini kita redahi kerana meyakini janji tuhan. Manisnya terasa bila mengingatkan ayat-ayat ALLAH, bahawa DIA bersama-sama orang yang bertaqwa dan melakukan perbaikan.

Perjalanan berbuat baik dan membetulkan kesilapan bukan sehari dua, bukan seminggu dua..mungkin berbulan mungkin bertahun, namun inilah langkah pertama.



Monday, December 6, 2010

Suami Isteri: Masih Adakah Ruang Perbaikan...?


Dia temanku, seorang isteri yang baru bercerai.

Saya simpati.. kerana perceraian adalah menyakitkan. Namun, saya teringat pesanan seorang sahabat bahawa penceraian bukanlah perkara yang buruk, ia adalah ujian dari banyaknya ujian ALLAH yang lain. 

Dan percayalah, takdir ALLAH SEMUANYA baik. Perceraian membuka ruang untuk bertemu jodoh lain yang lebih baik, atau mungkin juga membina kembali rumahtangga yang jauh lebih baik dengan insan yang sama.

Setelah beberapa minggu bercerai, suaminya datang kembali ingin merujuk.

Pertama kali membaca kisah yang membawa kepada perceraiannya, saya terus bersetuju kalau dia bercerai.

Dan saya juga sependapat agar jangan melayan sebarang ajakan untuk rujuk kembali, kerana betapa teruknya perangai suami itu (maki hamun, mencarut tapi lelaki itu tak pernah memukul, kata isteri). Sikap keluarga suami juga mendatangkan stress dan kelukaan di hati isteri.

Namun bila saya memikir-mikir semula kisahnya, saya merenung-renung berbagai perkara.

Antaranya, saya kasihan dengan si suami. Walaupun nampaknya dia di pihak yang salah, dia pasti masih punya kasih pada anak dan isteri yang telah diceraikan.

Seorang suami pasti bersedih terpaksa bercerai kerana karakter buruknya, sedangkan suami itu juga manusia biasa yang ingin memiliki karakter suami yang lebih baik dan lebih disayangi ALLAH serta insan-insan lain..

Dan yang saya fikirkan juga ialah – apakah segala keburukan, kesalahan dan kejahatan seseorang suami atau isteri itu harus diselesaikan dengan perceraian..?

Sejauh mana kita harus bertahan..? Semudah mana harus kita memutuskan ikatan..?

Apa yang membuatkan kita mampu menjalin semula ikatan pernikahan yang telah renggang atau terungkai…?

Buat diri-diri yang telah beristeri dan bersuami, ayuh kita sama-sama memperbaiki diri dalam sebuah alam perkahwinan...

Kita semua datang dari keluarga yang berbeza-beza, mendapat pengalaman hidup dan didikan awal yang berbeza-beza.

Jadi proses pmbinaan rumahtangga bahagia dan perbaikan harus bermula dari awal-awal lagi.

Di awal-awal pernikahan, lihatlah kebaikan-kebaikan pasangan, pujilah dan hargailah agar dia bermotivasi untuk mengekalkan kebaikan-kebaikan yang ada itu.

Namun jangan terlupa melihat kekurangan dan kesilapan si dia yang disayang, kesalahan itu bukan untuk kita besar-besarkan namun untuk saling menasihati, membimbing dan memberi kekuatan melakukan perubahan.

Jangan menunggu hingga berbulan-bulan apatah lagi bertahun untuk kita menegur kesalahannya. Jangan menunggu lama untuk kita meluahkan rasa tidak seronok dan rasa sedih kita dengan beberapa tingkahnya. Jangan memendam rasa atas hak-hak yang diabaikannya.

Hingga setelah sekian lama keluarlah antara 'ayat-ayat yang membunuh' seperti:

“Sejak kahwin abang tak pernah gembirakan saya..”

“Perangai buruk awak tak pernah berubah..”

“Selama dua tahun kita hidup ni, setiap hari saya makan hati dengan awak..”

Kenapa ini ayat-ayat membunuh..?


Kerana frasa ‘tidak pernah’ dan ‘setiap hari’ yang digunakan dalam konteks itu adalah ayat yang cuba menafikan sebarang kebaikan yang pernah dan sedang diusahakan pasangan..

Tegurlah kelemahan dan kesilapan pasangan kita secara jelas namun berhikmah. Kongsikan apa yang kita rasa dan fikirkan tentang hak kita yang diabaikan, komunikasikan sedalam mana kesilapan dan tindakan salah suami atau isteri itu menghiris atau memakan perasaan.

Jangan fokus pada kesalahan pasangan, itu memberi tekanan lagi membosankan. Namun jangan juga dibiarkan, itu akan makin merosakkan karakter pasangan.

Kita ambil yang pertengahan dalam memperbaiki keadaan. Pertengahan yang bagaimana..? Tentunya yang bersesuaian dengan gaya rumahtangga kita, tak semestinya ikut pendekatan rumahtangga orang lain.

Yang sering terjadi ialah, apabila melihat keburukan karakter orang lain, kita akan menjauhkan diri dari orang itu.

Adakah kita hanya ada kekuatan untuk menyebutkan kesalahan suami atau isteri pada orang lain, tapi kita seolah tak berdaya membawa suami atau isteri duduk bersama kita memuhasabah diri.


 
Ya, sangat susah untuk melihat perubahan karakter negatif pasangan. Bukan seminggu, bukan sebulan, malah mungkin bertahun pun masih tak berubah. Maka, sangat sedikit yang mahu membantu dan bersamanya memperbaiki diri, sangat sedikit yang mahu menasihati dengan hikmah dan penuh kesabaran.

Namun jangan kita menyerah kalah dan memilih meninggalkan pasangan dengan kelemahannya itu. Dia memerlukan kita untuk memberinya kekuatan melalui kehidupan ini. Di juga sangat merindukan keharmonian sebuah keluarga.

Dia memerlukan kita untuk menjadi suami dan isteri yang lebih baik, hanya saja kita yang bernama suami dan isteri mungkin kurang terdedah kepada ilmu-ilmu komunikasi dan tips-tips untuk menyembuhkan dan meneguhkan kembali rumahtangga yang hampir roboh dengan taufan kesalahan.

Kerana keharmonian pernikahan sesungguhnya sebuah proses yang panjang – proses mengenali, proses mencari keserasian, proses membina keperibadian suami dan isteri yang lebih baik..

Pernikahan bukan sekadar untuk menikmati kebaikan dan kelebihan pasangan, namun terlebih penting bagaimana untuk terus sayang, saling membimbing dan bergandingan apabila keburukan menjelma menutupi kemanisan rumahtangga yang didirikan.



Untuk perbaikan, pertama, kedua-dua pihak harus telus mengenalpasti kesilapan dan mengakui kesalahan masing-masing, jua bersedia untuk berubah. Juga tidak saling menyalahkan, namun saling memaafkan tanpa syarat.

Antara pepatah yang sering didengar tentang alam pernikahan ialah:

Pernikahan memerlukan kita jatuh cinta berulang kali pada orang yang sama.

Mungkin boleh juga ditambah:

Pernikahan memerlukan kita menghadiahkan maaf berulang kali kepada orang yang sama.

Di bawah ini saya kongsikan contoh ayat-ayat yang boleh dipelajari untuk kita saling menasihati sesama suami dan isteri, ayat-ayat ini ada yang boleh digunapakai secara bersemuka atau SMS.

Ini adalah hasil pembacaan saya dari buku-buku tentang relationship, juga mengolah pengalaman sendiri dan orang lain.

*kerja-kerja pembaikan pernikahan sedang dijalankan*

Babak A

“Sayang..boleh abang cadangkan sayang pakai baju kurung yang lain, baju ni sesuai kalau kita nak pergi dinner kat hotel, tapi tak sesuai untuk ziarah mak yang sakit di hospital...” lembut tegur si suami.

“Ohh ya ke, hmm ok sayang tukar.. thanks abang tegur.. hmm baju kurung biru atau yang hijau lembut ni sesuai tak?” isteri menerima teguran dengan rendah hati dan lapang dada.

Babak B

“Abang..saya nak kongsi dengan abang kelemahan diri saya.. saya sebenarnya tak boleh nampak orang yang kaya, saya rasa sakit hati, saya rasa tak suka.. saya rasa mereka ni sombong, kedekut.. saya tahu itu negatif, saya cuba buang, tapi perasaan tu selalu datang.. sebab tu saya kadang-kadang rasa berat dan tak suka pergi open house saudara mara abang yang kaya-kaya tu…” luah si isteri dengan nada yang tenang namun rasa bersalah.

“Ohh macam tu ya.. patutlah abang nampak kadang-kadang sayang menyendiri bila kita selalu pergi rumah Auntie XXX. Abang tak perasan pula, sebab sayang pandai bawa diri, sayang ada juga beramah mesra dengan mereka.. takpe abang cuba faham..hmm macam ni lah, abang rasa kita cuba teruskan perlahan-lahan bergaul dengan mereka..bukan semua orang kaya sombong dan kedekut.. tapi kalau sayang rasa tak selesa, kita boleh balik awal-awal.. ok ke cadangan abang..?” begitu respon suami melegakan hati isteri.

Babak C

“Abang..terima kasih abang luangkan masa dengan saya.. Baby dalam perut ni suka dengar suara abang bercerita kisah-kisah dari Al Quran..hmm .." luah isteri gembira bila suami menyediakan masa 'bersembang' dengan anak yang masih dikandung.

"Terima kasih banyak-banyak juga abang, abang penat kerja.. tapi abang juga yang banyak buat kerja-kerja rumah.. minta maaf alahan mengandung saya ni teruk, saya memang rasa tak larat.. tak dapat nak masak, tak dapat nak layan abang sangat..” luah isteri.

“Takpelah, sayang pun banyak selesaikan urusan rumahtangga, jaga rumah, tengokkan mak ayah abang.. sayang tengok-tengokkan studi adik-adik abang.. Baaaaaaaaanyak kebaikan sayang, nanti baby ni pun baik macam ummi dia..” respon si suami yang menggembirakan hati isteri.

Babak D

“Alamak..kita dah salah jalan ni..” ujar suami.

“Takpe abang..bagus juga kita explore jalan baru.. hmm kita dah lewat nak lunch, sian abang dah lapar ya.. saya ada cadbury..abang makan lah sikit bagi tambah tenaga nak pusing-pusing cari jalan nie..” begitu respon isteri hingga isteri dapat markah lebih dari suami.

BABAK E

“Sayang pandai masak, sayang rajin berkemas, sayang jaga anak kita dengan baik.. abang happy sayang jadi isteri abang.. dan abang lagi happy kalau sayang boleh lebihkan masa di rumah dengan famili.. dua bulan ni abang nampak sayang busy sangat dengan kerja-kerja bisnes tu.. " itulah antara teguran berhikmah suami bila isteri nampak tidak seimbang dalam menguruskan rumahtangga dan kerjaya.


BABAK-BABAK SETERUSNYA

“Abang saya happy sangat bila abang…bla..bla..”

“Sayang betul-betul hargai bila abang..bla..bla..”

“Saya bahagia ada abang sebab abang..bla..bla..”

“Saya selesa bila abang..bla..bla..”

Pujilah, dan sebutlah secara spesifik perkara yang kita suka suami lakukan. Moga dia akan terus melakukan.

Dan di sebalik segala pujian dan penghargaan, kongsikan juga secara lembut dan tenang satu dua perkara negatif tentang suami [spesifik] yang membuat kita kerap berjauh hati dengan suami.. insyaALLAH suami menerima dan bertekad membetulkan kesilapan.

“Abang saya sedih, takut bila abang…bla..bla..”

“Abang saya tak selesa dan tak seronok bila abang…bla..bla..”

“Ok sayang, abang cuba baiki.. sayang ingat-ingatkan abang ya.. “ respon suami dengan baik bila isteri bukan sekadar menyebut-nyebut kelemahannya, namun isteri juga mengiktiraf kebaikan dan kelebihan dirinya.


*kerja-kerja meruntuhkan pernikahan sedang dijalankan*


BABAK A

“Apa pakai macam ni! Pakailah elok-elok sikit..!” sergah si suami.

“Alah abang ni, yang saya pakai semua tak kena!.. Abang pergilah sorang..!” isteri pun menjawab keras dan bermasam muka.


BABAK B

“Apasal pulak tak suka orang kaya..???? Apasal yang awak kolot sangat..orang-orang kaya memanglah gaya hidup macam tu..?!” terus berubah marah wajah suami dengan luahan isteri yang tak selesa dengan gaya hidup orang-orang kaya.


BABAK C

“Kenapa tak sampai-sampai lagi ni? Kenapa abang ikut jalan lain? Abang ni selalu sesat.. Itulah saya dah cakap ikut jalan tadi tu..abang nak juga ikut jalan ni” rungut si isteri.

“Itulah abang..kan saya dah cakap, tapi abang degil nak buat jugak..”

“I told you so.. see??!

"Itulah..saya dah cakap..!” atau “I told you so..” adalah frasa yang kalian perlu buang dari kamus hidup berumahtangga kerana ayat itu menyakitkan, menjatuhkan dan tak membina langsung.

Ayat-ayat lain yang perlu dibuang:

“Abang tak pernah gembirakan saya…”

“Abang selalu buat saya sedih..”

“Kenapalah abang ni tak macam suami orang lain..”

Kadang-kadang mungkin kita tak sedar – konflik dan pergaduhan suami isteri itu banyak berpunca dari pilihan perkataan, nada dan susunan ayat... Bad communication secara halus menghiris perasaan dan akhirnya menjadi luka bernanah yang sukar disembuhkan.

Bersediakah kita belajar bercakap untuk berubah ke arah pernikahan yang mantap?

Buatmu duhai teman, bersama kita memohon pada ALLAH setulusnya, agar menunjukkan kita dan pasangan jalan untuk memperbaiki hubungan, sama ada kita sudah bercerai atau kita berada di fasa-fasa yang menunjukkan jalan perceraian.

ALLAH tidak mengizinkan ujian buruk ini berlaku padamu duhai teman, namun kita sangka baik pada ALLAH - bahawa gelombang hebat dalam rumahtangga ini ALLAH hadirkan kerana ALLAH berkehendak kita menjadi lebih baik pada pasangan, lebih baik dalam mendekati tuhan.



“Abang… saya minta maaf, saya betul-betul minta maaf.. Saya minta maaf kerana ________, ________ dan __________. Saya sayang sangat kat abang dan rumah tangga kita. Saya dan anak kita perlukan abang, perlukan kasih sayang abang, perlukan sokongan dan dorongan seorang suami dan ayah. Abang…kita mulakan sekali lagi.. kita sama-sama saling mengingatkan ya… “ lafazkanlah tulus dari hati.

ALLAH mensyariatkan perceraian selama tiga kali (sampai talak tiga).

Hikmah yang saya nampak ialah suami isteri ada ruang dan kesempatan untuk kembali berbaik-baik, ada peluang bersama memperbaiki diri dan mudah-mudahan perceraian pertama menjadi momentum hebat untuk mendapat perkahwinan yang hebat [samaada kembali berkahwin dengan orang yang sama, atau pernikahan dengan orang lain].

Usahakanlah meminta maaf dan memberi maaf setulusnya. Kongsikan harapan dan perasaan dari lubuk hati terdalam, duduklah secara aman bersama pasangan membincangkan strategi dan hala tuju perubahan yang ingin dilakukan.

Setelah kembali berbaik, kita pasti tak dapat melupakan kisah-kisah sedih dan perit yang berlaku antara kita suami dan isteri – bagilah masa pada diri sendiri untuk mengusir kesakitan dan kelukaan itu.

Namun, jangan sering mengulang tayang di minda kita pergaduhan atau konflik teruk yang telah berlaku – itu akan menghalang kita membina kebahagiaan di depan. Akan menghalang pandangan kita untuk melihat kemampuan pasangan merubah diri menjadi lebih baik.

Dan seandainya setelah difikir-fikirkan dengan mendalam, bahawa amat rumit untuk kembali melalui kehidupan dengan pasangan yang sama, kita tak mampu membina semula cinta, kita tak mampu menahan keburukannya, maka di sana ISLAM menyediakan perceraian agar suami isteri tidak saling berdosa kerana terus menyakitkan pasangan.

Apapun, jika status berubah bukan sebagai suami isteri, kita ada ikatan persaudaraan islam yang tetap mengikat kita dengan bekas pasangan.

Sebagai seorang saudara muslim, dia tetap memerlukan tulus doa dan tulus cinta kita kerana ALLAH, selagi dalam batas syariatNYA.

Sekian perkongsian, moga menjadi muhasabah pada diri ini dan para pemikul amanah rumahtangga.. moga ujian-ujian ini menjadi wasilah kita meraih ampunan dan syurgaNYA…




Monday, November 29, 2010

Kitakah isteri yang dicari...?




Dari pengalaman hidup melihat sikap dan karakter lelaki yang berada di sekeliling, maka insan yang bernama perempuan sering memerhati dan akhirnya mempelajari apakah ciri-ciri yang baik pada seorang suami.

Bukan lelaki sahaja yang bisa tidak tentu arah bila melihat perempuan solehah idamannya, bahkan yang bernama perempuan itu juga bisa bergetar hatinya melihat lelaki yang soleh. Hingga tersemat di sudut hatinya, berdoa dan meminta pada ALLAH agar dipilih oleh lelaki soleh itu..

Betul tak saudara-saudara perempuanku… :P

[Ya, bukan semua.. sebahagian perempuan tidak terusik hati pun dengan kebaikan dan kesolehan lelaki…]

Idealnya, semua yang memiliki hati perempuan inginkan bakal suami yang baik, bertanggungjawab, peramah, penyayang, beriman, beramal soleh, berilmu…

Ada yang inginkan yang kaya dan hensem..yang penuh sifat kelelakian.

Ada yang inginkan yang sekufu dan ‘sekepala’…

Ada yang inginkan sama-sama aktif dalam jemaah dan dakwah. Sama-sama bersemangat dalam kerja-kerja sosial dan kebaikan.

Namun, apakah realiti yang sering berlaku…?
Bila suami baik…

“ Abang ni baik sangatlah.. kalau ya pun nak buat baik, agak-agaklah sikit…” luah si isteri tidak puas hati si suami membeli kereta baru untuk ibu dan ayah mertua. Apatah lagi, suami tidak melayan permintaan isteri untuk bercuti ke negara empat musim. Sedangkan kereta itu untuk mengganti kereta lama yang telah terlalu uzur.

Bila suami bertanggungjawab…

“Abang ni asyik balik kerja lewat.. Bila tak kerja pulak, ada je urusan lain yang tak habis-habis.. Abang tinggalkan saya sorang-sorang layan anak kat rumah..”

Sedangkan suami pulang lewat kerana mengurus perniagaannya dengan penuh tanggungjawab. Kerana kemudiannya dia ingin melaksanakan tanggungjawab memberi makan minum pakai pada anak isteri. Kerana dia juga ada tanggungjawab dakwah dan membantu ummah, bukan sekadar mencintai isteri dan anak-anak.

Bila suami berkarakter penuh kelelakian, kita para isteri ingin mem ‘perempuankan’ diri si suami. Diajak suami bershopping baju dan kasut lama-lama, diajak suami bersembang dan bergosip lama-lama tanpa arah tuju, ingin melihat suami juga menangis terharu bila sesuatu yang menyentuh berlaku.. sedangkan itu semua jauh dari minat dan sifat kebanyakan lelaki..

Akan sabarkah kita dengan suami yang baik dan bertanggungjawab sebegini..? Yang berkarisma dengan kelelakiannya…?

Atau kita hanya ingin menjadi isteri yang memiliki suami yang lalai tanggungjawab kerana sibuk memenuhkan keinginan nafsu dan kehendak isteri yang tak pernah puas..?

Bila suami peramah..

“ Abang ni tak payah lah senyum kat semua orang, tak payah sembang dengan diorang selalu.. seronok la perempuan tu abang senyum kat dia, layan sembang..”

Padahal si suami cuba berbaik-baik dengan kakak ipar dan adik ipar perempuan supaya tidak dikatakan sombong dan dingin.

Bila suami berilmu, beriman dan beramal soleh…

“Abang ni asyik baca buku..asyik depan laptop menulis.. bila hujung minggu, sibuk dengan program dakwah, kelas quran lah, kuliah lah, daurah lah.. bila abang nak spend masa dengan saya dan anak-anak..!” ujar isteri dengan rasa sedih tak puas hati.

Sedangkan dulu si isteri mengagumi lelaki yang nampak ke depan dalam program dakwah. Si isteri terkagum-kagum dengan aura ilmu dan keimanan yang terpancar di wajah pemuda dakwah itu. Si isteri tertarik dengan kemurahan hati pemuda itu bersedekah. Si isteri dulunya teruja untuk bersama pemuda dakwah yang giat aktif..

Dan akhirnya meluahkan… “Lebih baik saya kahwin dengan orang biasa..”

Kerana setelah berkahwin dengan ustaz, pendakwah, agamawan, ilmuwan, jutawan, dermawan.. ternyata para isteri sukar untuk menerima gaya hidup suami yang kononnya dulu itulah ciri-ciri idaman.

Dan bagi yang bernikah dengan ‘orang biasa’, mereka berharap pula mendapat ‘orang-orang agama’.

Sedangkan nantinya, sukar para isteri untuk menerima apa-apa kesalahan dan kesilapan suaminya.. Orang agama diharapkan seperti malaikat suci diri sempurna peribadi.

“Tak sangka suami aku macam tu, dia tu kan penghafaz Al Quran..”

“ Suami saya tu namanya je pegawai di jabatan agama tapi…”

“Dengan orang lain sibuk berdakwah, dengan isteri dan anak sendiri tak ada masa…”

Sedangkan seorang suami itu- ‘orang agama atau orang biasa’ - mengharap kita menerima kelemahan dirinya seadanya.

Seorang suami itu harapkan kita bersabar dan kuat mengurus emosi sendiri dan keluarga sewaktu ketiadaannya.



Seorang suami itu juga mengharap isteri tidak berhenti menuntut ilmu, agar mampu mendidik fitrah anak dan mencorak rumahtangga dengan suasana islami. Suami keluar berkerja dan berdakwah, isteri di rumah konsisten dan strategik mentarbiyyah [mendidik].

Suami berharap isteri berhenti bergosip dan bersembang kosong tentang artis atau orang lain, tentang fesyen, tentang perabot, make-up, tentang melancong yang memakan kos yang banyak dan topik lain yang menjauhkan famili dari kesederhanaan dan keredhaan tuhan.

Setelah bernikah, ternyata kita yang bernama isteri tidak sabar dengan ciri yang kita idamkan dulu..?

Atau kita yang tidak pandai membawa diri dengan karakter suami yang pelbagai bentuk dan gaya…?

Atau kita jarang sekali merasa cukup dengan masa, wang dan kemesraan yang suami kongsikan…?

Ingin yang sekufu, namun sedarkah bahawa sekufu itu boleh jadi kupu-kupu yang meninggalkan pasangannya jika kita tidak bersungguh berubah ke arah kebaikan…dan menjadi renggang jika kita tak pandai memimpin pasangan kepada kebaikan?

Manusia itu mungkin, mungkin pada satu tahap boleh sekufu.

Tapi realiti nya, manusia sentiasa dan kerap berubah. Kepada yang lebih baik atau lebih teruk. Tak akan terus sekufu.

Dan kita tak berubah dengan kadar dan cara yang sama dengan pasangan hidup. Apapun, moga perubahan itu destinasinya sama –menuju redha Ilahi.

Lalu sebenarnya, yang teramat penting adalah kemampuan kita para isteri membawa diri dalam rumahtangga yang dibina setelah membuat keputusan dengan istikharah dan musyawarah.

Mampu membawa diri yang bagaimana..?

Jika suami kaya, bagaimana untuk kita memahami dan menghormati gaya hidupnya yang berbeza dari kita ‘orang kampung’ (yang tak berapa kaya).

Jika suami orang kampung, bagaimana kita perlu bijak menyesuaikan diri dengan suasana kekampungan dan tidak menunjuk muka serba tak kena kerana ‘kebandaran’ kita.

Jika suami bijak atau bergulung ijazah hingga PhD, bagaimana untuk kita membina kecerdasan diri agar kita tidak seperti budak tadika yang banyak sangat tak tahu..

Jika suami miskin atau berpangkat lebih rendah, bagaimana untuk kita merendah hati dan bergaul mesra dengannya agar dia tidak merasa tertinggal di belakang isteri, kerana selamanya seorang suami harus di atas sebagai pemimpin yang wajar ditaati dan dihormati.

Jika suami sebaya atau lebih muda, bagaimana untuk kita taat dan redha dengan keputusannya, kerana kita rasa kita lebih matang dari dia atau kita dengan dia sama sahaja, bukan pandai sangat buat keputusan.

Jika suami lebih berusia, bagaimana untuk kita memahami dan meletakkan diri sejajar dengan banyak pengalaman dan pengetahuannya..

Jadi, simpan sebentar senarai calon suami idaman..

Ayuh kita buat senarai menulis apa kekurangan diri kita, apa skills dan value yang kita perlu tambah pada diri dalam rangka menjadi isteri idaman … apa senarai kekuatan yang perlu kita bina, agar kita mampu menjadi isteri yang pandai membawa diri, walau siapapun ditakdirkanNYA buat kita…

Di lempar ke lautan menjadi pulau, di lempar ke awan menjadi bintang yang berkerdipan..

Menjadi isteri yang bahagia bukan dengan mengharap, mengharap dan banyak menerima, namun dengan banyak memberi, memberi dan terus mencari kebaikan dalam setiap keadaan..

Sekian perkongsian, harap bermanfaat..

Thursday, November 25, 2010

Ayuh selesaikan hutang...!



Sambil duduk meriba Abdullah yang kusyuk menyusu, saya membaca salah sebuah kitab hadis yang merupakan mutiara ilmu peninggalan Rasul SAW.

(Bila menyusukan Abdullah (susu badan), samaada saya akan berada di hadapan laptop melompat dari satu blog ke satu blog, atau dari satu laman ke satu laman maya yang lain. Jika tiada selera dengan internet, saya akan duduk di sofa ruang tamu, sebelah tangan memangku Abdullah, sebelah lagi membaca buku.. Ada banyak kategori buku yang saya suka, dan ada juga yang saya paksa untuk suka.)

Bila tiba bab hadis tentang hutang, hati saya berdebar-debar. Gementar membaca ancaman-ancaman Allah tentang mereka yang meremehkan hutang (tidak membayar hutang).

Saya termasuklah dalam kumpulan itu.. ada beberapa hutang tertangguh dan saya dalam proses melangsaikannya.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Semua dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya." (Hadis riwayat Bukhari, Tarmizi, An- Nasai' dan Ibn. Majah)

Wah, orang yang mati syahid, yang berperang di jalan ALLAH (amal yang paling utama) pun tidak diampunkan dosa hutang, apatah lagi kita yang beramal biasa-biasa ini…

Harga barang semakin naik, kos perkhidmatan yang bertambah, hutang kereta, hutang rumah.. Tol dan petrol yang menjadi bajet terbesar dari gaji bulanan, bajet untuk mak ayah, bajet nak kahwin..

Dua minggu selepas dapat gaji, duit kita pun dah habis..

Apa pilihan yang kita ada selain berhutang..?

Ayuh kalian semua, kita melangsaikan hutang! Ayuh bekerjasama melangsaikan hutang..!

Jika kalian ada lebihan duit, kalian bantulah diri sendiri menyelesaikan hutang.

Jika ada lebih lagi, bantulah diri orang lain menyelesaikan hutang..

"Barangsiapa memberi tangguh orang yang kesulitan untuk membayar hutang maka Allah akan menaunginya di hari kiamat pada hari yang tiada naungan kecuali naunganNya" (Hadits Riwayat Muslim)

Ohh..tapi jarang sungguh ada lebihan duit kan.. Hanya cukup-cukup, atau memaaaaaang tak cukup.

Duit dan hutang adalah antara topik terhangat kalau kita bersembang dengan teman-teman tika ini. Kita bertukar keluhan, jua bertukar pandangan bagaimana lagi harus kita akan menambah pendapatan.

Tapi jangan lupa temanku, kita perlu berusaha menjadi kaya seperti yang didefinisikan oleh Rasul SAW

“Bukanlah kekayan itu dengan banyaknya harta. Tetapi, sesungguhnya kaya itu ialah kaya jiwa.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Bila kita kaya jiwa dengan; banyak kesabaran, banyak kemaafan, banyak kelembutan, banyak memberi bantuan dan banyak kebaikan, maka PASTI ada laluan rezeki yang ALLAH buka buat kita.


Juga seperti janji ALLAH, barang siapa yang membantu saudaranya, pasti dia pun mendapat bantuan ALLAH.

“…Barangsiapa yang memudahkan urusan orang yang mengalami kesulitan, nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat…” (Hadis Riwayat Muslim)

Moga ALLAH membantu dengan rezeki dan nikmat lain-lain dari NYA.

Dan tahukah siapa orang yang miskin sebenarnya di sisi ALLAH…?

"Bukanlah digelar miskin orang yang berkeliling di kalangan manusia lalu diberi satu atau dua suap (makanan) dan satu atau dua biji kurma. Akan tetapi yang digelar miskin ialah orang yang tidak menemui kekayaan yang mencukupi keperluannya (yakni kaya tetapi masih merasakan tidak cukup), tidak mengerti ke manakah hartanya patut disedekahkan dan tidak mahu berusaha sebaliknya hanya meminta-minta kepada manusia." (Hadis Riwayat Bukhari)

Lama dulu sewaktu zaman belajar di UiTM, seorang sahabat saya sering menceritakan betapa kita semua manusia telah ‘terjerumus’ ke dalam ‘sistem’ dunia yang merosakkan kita semua. Dia banyak kali membuka topik itu, tapi dengan schemata atau background knowledge yang minima pada saya, saya sukar memahaminya.

Kini setelah beberapa tahun berlalu, saya jadi semakin mengerti dan saya juga ingin mengeluarkan diri dari sistem yang menjadikan manusia menjadi hamba material dan hamba nafsu.. [ohh mengertikah kalian..??]

Sistem apakah itu..?

Sistem yang dicipta oleh konspirasi hebat agar menjerumuskan manusia jauh dari nilai-nilai fitrah.

Manusia dicipta ALLAH punya tujuan yang murni dan tinggi ; menjadi khalifah yang seharusnya ke depan dalam memimpin manusia. Jadi ALLAH datangkan manusia ke bumi lengkap dengan sistem kehidupan ALLAH yang syumul, yang dengannya manusia TENANG di DUNIA dan BAHAGIA di SYURGA.

Akan tetapi sistem yang sesat lagi menyesatkan telah berjaya mendapat tempat di hati manusia di peringkat antarabangsa…

[ishh.. sistem apa ni, tak faham lah..]…

Sistem bersosial, sistem pendidikan, sistem ekonomi yang dijana Yahudi yang dilaknat.. dan lain-lain sistem palsu telah menjauhkan manusia dari sistem ALLAH. Inilah akhirnya yang menjadikan manusia sangat sangat sangat tertekan, seolah berada dalam kegelapan. Hilang kebahagian jauh dari ketenangan.

( Lihatlah pada diri sendiri, apa yang berlaku.. jika masih tak faham, silalah kita membaca tentang sejarah kejatuhan dunia, konspirasi Yahudi, gerakan kebangkitan islam dan beberapa topik lagi yang boleh membangkitkan kita dari lena yang panjang.)

Antara sistem yang memanipulasi nafsu dan kehendak manusia ialah sistem berhutang.

Untuk sambung belajar di universiti, kita perlu berhutang. Contohnya pinjaman MARA, PTPTN.

“Menuntut ilmu kan wajib..?? Apa salahnya berhutang..?? Nanti dah dapat kerja yang baik, kita bayarlah…”

“ Betul ke menuntut ilmu.. atau kita mengejar degree hanya untuk dapat kerjaya yang baik..?”

Belajar di universiti, sibuk dan serabut dengan assisgnment, kemudian exam. Di antaranya ada aktiviti-aktiviti non-akademik dan kemasyarakatan. Perkara yang sama berulang hingga tahun akhir.

Universiti mempunyai visi melahirkan seorang pemikir ummah, mencetak orang yang bermanfaat pada orang lain.. Universiti sepatutnya meningkatkan jati diri dan ilmu dunia akhirat.

Adakah kita produk universiti yang sebegitu..?

Atau kita keluar bekerja, dengan gaji itu hanya memuaskan nafsu yang tidak pernah habis.. ohh saya perempuan, saya saaaaaaaangat suka baju walau almari dah tak muat, saya suka handbag, suka kasut, saya suka jalan-jalan melancong makan angin..

Adakah setelah tempoh yang panjang di universiti, kita keluar hanya untuk bekerja dan berbelanja mementingkan diri sendiri..?

“Ohh tidak.. saya bantu mak ayah, saya sedekah kepada pada orang miskin.. saya buat tusyen percuma, saya terlibat juga dengan NGO untuk aktiviti kebajikan.. “

Alhamdulillah.

Sangat sangat sangat sangat sangat menyedihkan jika di sekolah menengah, jika di zaman remaja kita mendapat acuan baik, mendapat tarbiyyah dan belajar mencintai dakwah, tapi bila menjejak kaki ke IPT, kita meninggalkan kemanisan tarbiyyah islamiyyah. Menginjak kaki ke IPT, kita memudarkan zaman remaja yang cinta solat. Kita lupa adab baik pergaulan lelaki perempuan, kita lupa menjaga kesopanan penampilan…

Apabila keluar universiti, solat makin terabaikan. Pakaian kita yang perempuan, terbuka dan makin pendek satu persatu. Pakaian muslimah yang dulunya sopan mengikut sistem ALLAH, bertukar mengikut sistem fesyen antarabangsa, semakin ketat, semakin nipis dan semakin jarang.

Dengan pergaulan lelaki perempuan tiada batas yang memisahkan, malah kita tertanya pula.. “what so bad about this kind of relationship???” Kita tenggelam dengan hiburan dan pergaulan tanpa batasan yang ‘ditaja’ universiti. Kita secara halus dirosakkan dan merosakkan jati diri..

Dan kita berhutang membayar PTPTN puluhan ribu, ditambah ribanya yang banyak, untuk melalui kehidupan kampus yang sebegini.. Nauzubillah.

Bukan semua produk universiti begitu. Jangan kita menyalahkan universiti, tapi apa yang telah kita lakukan dalam memanfaatkan semua potensi yang ALLAH bagi pada kita…?

Beruntunglah kalian yang… kehidupan di universiti membuka jalan untuk kalian mencambah iman. Di universiti kalian menemukan erti memiliki jati diri dan integriti. Di universiti kalian memanfaat gedung ilmunya untuk memahami sejarah kehidupan dunia, memahami pergolakan antarabangsa, memahami tujuan kita manusia sebagai hambaNYA dan khalifahNYA.



Beruntunglah kalian yang menemukan peribadi soleh dan membina karakter mukmin di alam kampus. Pulang ke kampung sebagai anak yang lebih baik, memberi warna tarbiyyah islamiyyah pada keluarga sendiri. Memberi motivasi pada ahli keluarga untuk menjadi insan bermaruah, hidup dengan nilai iman dan islam……

Belajar kerana ALLAH. Bekerja untuk pengabdian diri kepada ALLAh. Setiap usaha dan masa untuk menjadi manusia yang makin baik di sisi ALLAH..

Itu tentang belajar.

Seterusnya, ramai juga antara kita yang berhutang untuk bernikah..

Baguslah kita bernikah untuk mencari jalan yang bersih menjaga kehormatan diri..

Namun kenapa sebegitu payah untuk kita..? Ya, mungkin lebih baik berhutang dari bermaksiat, dan ada baiknya jika berhutang dari sanak saudara tanpa ada bunga atau riba..

Namun berkatkah pernikahan yang didirikan atas hutang yang bermain-main dengan riba… kerana telah mempunyai gaji bulanan, senang saja mengisi borang pinjaman peribadi di bank puluhan ribu? Berhutang ribuan untuk majlis sehari..? Tapi kesannya menghantui diri selagi hidup..?

Kerana kita telah terikut dengan sistem orang lain, kerana ingin [terpaksa sebenarnya] memuaskan hati masyarakat dan sanak saudara kita berhutang untuk walimah sehari…

Apabila kita tidak punya RM 30 000 – RM 50 000 untuk majlis pernikahan, maka kita membuat pinjaman peribadi di bank puluhan ribu.. dan setelah kita bercerai dua tahun kemudiannya kita masih berhutang majlis pernikahan dulu..Nauzubillah.

Kita mohon perlindungan dari perkara buruk sebegini, namun inilah antara realiti yang menakutkan dan menyedihkan. Antara kita ada yang terpaksa dan dipaksa untuk berhutang semata-mata kerana majlis kenduri kahwin yang satu hari..



Andai semua keburukan sistem itu telah menimpa kita, ayuh kita bersama perbaiki situasi ini agar ia tidak menimpa generasi kita. Kita berdoa kepada ALLAH membantu kita keluar dari kemelut hutang. Kita niatkan bahawa kita ingin benar benar menyelesaikan hutang sebelum ALLAh menjemput kita di hadapanNYA.

Andai orang yang memberi hutang pada kita tak meredhai dan tak menghalalkan, maka sebaik manapun diri kita, amal soleh dan kebaikan kita pada orang lain, cukuplah hutang ini kelak akan menjadikan kita manusia sengsara di akhirat sana….mungkin inilah cita-cita syaitan durjana..

Syaitan telah bersumpah di hadapan ALLAH, walau dengan apa cara sekalipun, mereka ingin mengheret kita beramai-ramai bersamanya ke dalam neraka.. salah satunya dengan melazimkan diri kita berhutang, hingga kita terjerat dan tidak mampu melangsaikannya.

Ayuh kita berusaha dan berdoa mengatasi ujian hutang ini..

Kasihanilah kami Ya ALLAH….

Ada doa yang boleh dibaca seperti yang di ajar Rasul SAW, ayuh kita pohonkan selalu pada ALLAH intisarinya:

“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kesusahan dan kedukaan. Aku berlindung kepadaMu dari lemah kemahuan dan kemalasan.Aku berlindung kepadaMu dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepadaMu dari banyak hutang dan kezaliman manusia.”



Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...