Saya amat tersentuh hati dengan perkongsian beberapa teman dan kakak para pembaca yang bergelar isteri pertama, yang berkongsi melalui emel dan fb, juga yang sudi bertemu saya - berkongsi pengalaman dan perasaan samaada setelah berpoligami dan sedang dalam proses ke arah poligami. Saya mendoakan kebaikan buat kalian, moga ALLAH membalas keimanan dan kesabaran kalian melalui semua ini.
Di kesempatan ini, saya kongsikan tentang ombak perasaan di alam poligami -pastinya perkongsian ini terbuka untuk kalian bersetuju dan tidak bersetuju. Memandangkan topik ini agak sensitif, mohon kemaafan atas sebarang ketidaksensitifan...
Beberapa waktu yang lepas, seorang
teman saya yang baru dua tahun bernikah, menyatakan menerima poligami
dilaksanakan dalam baitul muslimnya/rumahtangganya. Mata saya bulat merenung wajahnya,
benarkah kesediaannya…? Saya adalah isteri kedua, mungkin jika saya diberi status
isteri pertama, hati saya tak sebegitu kuat menempuh poligami.
Si teman terbuka untuk bersedia
dipoligami kerana melihat ramai di kalangan teman-teman muslimah kami yang
masih bujang untuk berkongsi alam rumahtangga. Dia merasa punya tanggungjawab untuk membantu saudara muslimah ini malah
yakin akan keperluan poligami untuk kebaikan dakwah dan tarbiyyah jangka masa
panjang. (Dan sesungguhnya keperluan poligami ini telah semakin banyak dibincang untuk dilaksanakan di lapangan dakwah dan tarbiyyah, moga ALLAH bagi kekuatan untuk kita semua menjayakannya).
Namun menurutnya, suaminya seakan
tidak berminat membincangkannya. Pada
pandangan saya, mungkin agak normal bagi lelaki muda apatah lagi yang baru
setahun dua bernikah – untuk tidak terus-terus cenderung berpoligami apatah lagi di fasa
sedang membangun keteguhan ekonomi dan di fasa memberi yang terbaik dalam
menunaikan hak isteri. Apatah lagi si suami juga sibuk dengan terlibat dan
menyusun program tarbiyyah, sudah tentu mengambil amanah berkahwin sekali lagi
bukan satu keputusan yang mudah.
Namun bagusnya teman saya ini,
dia bermuhasabah bertanya pada diri adakah kerana dirinya sebagai isteri yang mungkin banyak
menuntut , banyak kerenah – maka melambatkan hasrat suami untuk berpoligami. Moga
ALLAH membantu keterbukaan dan kesudiaan teman saya ini meraikan syariat
poligami.
Baru-baru ini, bila saya berjumpa
lagi dengan teman itu, dia berkongsi lagi. Katanya, dulu suami macam tak
berminat, sekarang bila suami menunjukkan respon kepada perbincangan poligami –
hatinya mula rasa yang tidak enak. Mungkin sedikit berat.
Teman pembaca sekalian, apa yang
saya nak kongsikan dari kisah teman saya ini ialah apabila suami kita akan
berkahwin lagi, kita sebenarnya sedang dalam menuju siri-siri cabaran perasaan
yang rumit lagi mencabar. Rasa berat dan sakit. Rasa tak sanggup, tak boleh
menerima, tak mampu hidup di alam poligami. Rasa tidak enak yang terasa di peringkat awal proses untuk bemadu akan menjadi rasa yang bergejolak seribu macam.
Sama saja perasaannya pada isteri pertama,
kedua dan ketiga. Maka jadilah isteri keempat ya, suami anda tak akan bernikah
lagi :D insyaALLAH (jika tidak bercerai dengan mana-mana isteri)
Yang membezakan kemampuan dan
ketahanan dalam menghadapi ujian poligami adalah pendedahan, kefahaman dan
keimanan.
Bila kita faham kebaikan dan
hikmah poligami, insyaALLAH kita akan terbuka menerima suami berpoligami. Bila kita faham
ia bukan sesuatu yang negatif, kita akan berusaha bersikap positif pada isu ini. Namun
sebagai insan biasa, naluri hati seorang isteri akan berada dalam gejolak dan
bisikan yang bermacam-macam saat bermula proses poligami, sebelum bernikah sehinggalah sebulan
atau setahun dua selepas poligami. Dan sepanjang hidup poligami, akan ada ujian
perasaan. (Hmm tapi yang tak poligami pun, ALLAH bagi ujian perasaan dari
segenap penjuru juga kan…?)
Setakat yang saya tahu dari
pembacaan dan perkongsian beberapa muslimah lain yang telah bergelar dan akan menjadi isteri pertama, memang ombak cemburu itu sangat
dashyat pada peringkat awal suami bernikah. Pada ketika itulah, isteri yang tak
tahan akan minta cerai. Dan suami yang tak tahan, akan ceraikan isteri pertama. Dan isteri kedua pula merasa kesilapan besar melangkah ke alam poligami. Maka suami dan isteri-isteri harus maklum tentang fasa-fasa ini supaya bersedia untuk melaluinya dengan tabah dan sabar.
Ohh ombak perasaan ini bukan saja
melanda bila suami telah bernikah, namun jauh sebelum bernikah – tatkala kita tahu
atau suami memberitahu bahawa ia akan bernikah.
Rasa marah. Tak percaya. Tak
sangka. Terkejut. Rasa Dikhianati. Tak boleh menerima – semua ini sangat terasa menghempas perasaan jika suami
ingin berkahwin kerana telah sedia punya kekasih tanpa pengetahuan isteri.
Namun jika dari awal melibatkan
isteri secara telus, semua rasa itu tidak ada atau sangat kurang. Mungkin pada sebahagian, hanya rasa
berat untuk berkongsi kasih, hanya berat untuk menghadapi persepsi masyarakat, cemburu yang seadanya –
namun tidak rasa terkejut, tidak marah, tidak rasa dikhianati kerana suami
melibatkan isteri dalam aspek pemilihan calon isteri kedua hinggalah sama-sama
merancang giliran hari, pembahagiaan masa dan perubahan kehidupan yang dijangka
bila beristeri lagi.
Sekalipun isteri dari awal bersedia menerima,
cabaran perasaan tidak akan berhenti menguji. Apatah lagi jika sejak awal telah menolak dan langsung tidak mahu mempertimbangkan. "Samaada abang teruskan, atau rumahtangga kita berakhir di sini."
"Adakah suami masih perlukan aku?
Apakah nilai cintaku di hati suami setelah memiliki cinta baru? Kenapa ALLAH
membiarkan suami menyakiti hati dengan poligami? Kenapa ALLAH membiarkan
kesedihan dan kecemburuan bergejolak di hati?" Persoalan ini hampir setiap masa menerpa ke fikiran, dan syaitan menambah cucukan untuk melemahkan perasaan.
Sekalipun jauh di dasar hati akur
dengan wujudnya kebaikan dari alam poligami, namun setiap saat, setiap hari
perasaan berubah-ubah. Dengan kehadiran musuh nyata bernama syaitan, yang sentiasa berdampingan dan merasuk bisikan negatif bila hati terputus hubungan dari tuhan - perasaan isteri setiap masa berkocakan.
Dan jika isteri dari awal
tidak membuka hati dan fikiran langsung kepada poligami, ia adalah tikaman
perasaan yang hebat. Ia adalah goncangan perasaan dan fikiran yang boleh
menghilangkan semangat hidup.
Semakin menghampiri suami
bernikah lagi, rasa tak lalu makan dan tak boleh tidur pada sebahagian isteri. Rasa ingin meninggalkan suami dan rumahtangga. Poligami
adalah ujian yang benar-benar ALLAH hadirkan untuk menguji keimanan yang
berusaha kita pasakkan di sudut hati paling dalam. Seminit rasa ok, seminit kemudian rasa tak ok. Sehari boleh menerima hakikat suami akan bernikah lagi, hari esok
tenggelam dalam tangisan kesedihan.
Hari ini mungkin masih mampu memandang
suami dengan cinta. Hari esok mungkin rasa ingin membuang suami jauh-jauh dari
hati. Rasa marah. Benci. Rasa tak mahu teruskan hidup dengan suami. Namun dalam
marah, sedih atau benci, hati rindu. Sangat rindu pada suami. Rindu kemanisan
dan kebaikan sepanjang hidup berpasangan.
Meneruskan? Atau memilih
perceraian? Saat ini, syaitan begitu hebat menunjuk jalan perceraian pada
isteri.
Yang melalui, amat faham
bagaimana segala perasaan yang berkecamuk sebelum suami bernikah. Dan pastinya,
hakikat suami benar-benar bernikah membawa kepada ujian perasaan yang lebih
meluruhkan perasaan.
Malam-malam pertama,
minggu-minggu pertama suami bernikah lagi adalah kemuncak ujian perasaan yang
hebat. ALLAH saja yang tahu deraian atau derasnya air mata yang mungkin kalian
menangis hingga terbelah jiwa…Apatah lagi jika suami tak berusaha membantu dan tak empati pada perasaan isteri di fasa ini.
Bila bermula pembahagiaan giliran
hari - rasa marah, rasa kecewa, geram - isteri merasakan semua perbuatan dan ucapan suami tidak ada yang mampu
menyejukkan hati. Hati yang rasa berpasir, tidak mampu meneruskan layanan dan
khidmat yang baik pada suami. Panggilan perceraian tidak pernah berakhir. Kesilapan yang kecil menjadi pergaduhan. Kebaikan yang suami buat sedikitpun tidak memberi makna. Lebih menyedihkan bila
suami perlu pulang ke rumah isteri kedua (atau seterusnya), sedangkan pergaduhan masih
tidak terselesaikan.
Cemburu menggigit dan mencengkam. Sekalipun hebat pukulan cemburu, wahai saudaraku yang dikasihi ALLAH, tidak wajar meminta cerai hanya kerana cemburu- jika suami berkahwin lagi-
melainkan suami mengabaikan tanggungjawab/atau ketidakadilan yang begitu
ketara.
Beberapa perkongsian isteri pertama, bahawa mereka menyesal sebab telah memilih bercerai. Alangkah baiknya kalau mereka bertahan sedikit, dan suaminya bersabar lebih sikit waktu bulan/tahun pertama
poligami.
Fasa cemburu yang hebat itu akan
berakhir, seterusnya fasa cemburu yang biasa saja. Maka sebolehnya bertahanlah
pada cemburu menyerang kuat di bulan-bulan pertama, itulah kesabaran kan .. sebagaimana pesan Rasul saw, sabar itu pada pukulan pertama..
Jika kita membenarkan cemburu
merobohkan rumahtangga, kita seolah-olah membenarkan syaitan menang atas perasaan cemburu
yang berlebih-lebihan. Cemburu itu normal, yang berlebihan itu dari syaitan. Tika inilah, kehadiran sahabat-sahabat solehah memberi nasihat dan kekuatan amat diperlukan - membantu isteri keluar dari kepungan makhluk yang dilaknat.
Dalam poligami,
cemburu mendatangi dari segenap sudut.. macam saya, sebotol listerine yang
suami nak bawa ke rumah kakak isteri pertama pun boleh menerbitkan cemburu -
kalau dikumpul banyak rasa cemburu itu tanpa diluah pada suami dan ALLAH, itu
yang boleh rasa give up - tak nak teruskan lagi pernikahan. Terseksa jiwa
setiap masa... (hihi mesti tak faham kan, apalah sangat yang nak cemburu dengan listerine)
Itu saya yang isteri kedua, kalian para isteri pertama lebih getirnya rasa cemburu...
Ini kita hanya bercakap dari persepsi seorang isteri... Pernahkah kita cuba memahami gelodak hati seorang suami, yang sebenarnya amat ingin membahagiakan kita, dan amat ingin membina keluarga monogami dan poligami yang bahagia. Mereka juga jauh di sudut hati tidak mahu melukakan hati isteri, maka pilihan yang ada adalah menyembunyikan. Sedangkan menyembunyikan kehadiran isteri kedua adalah pengkhianatan yang lebih menikam perasaan.
Suami takut berterus terang kerana merasakan isteri akan menyambut hasrat poligami dengan beremosi yang tak mampu diuruskan mereka, dan kita para isteri kebanyakkannya membuktikan bahawa telahan suami itu adalah benar. (Saya tidak merendahkan gejolak perasaan teman yang bergelar isteri sekalian, kerana saya juga satu hari hampir pasti melaluinya bilamana suami akan dan telah bernikah lagi). Hanya saja, bagaimana untuk kita dan suami meluruskan cabaran dan ketegangan yang menerpa?
Teman-teman sahabat pembacaku sekalian, kita saling doa ya..doakan
saya dan saudara-saudara muslimah kita dipelihara dari syaitan yang berusaha
memusnahkan kasih sayang dan perkahwinan...
Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang kekuasaan
terhadap orang-orang yang beriman
dan yang bertawakkal kepada Tuhan mereka. (Surah An-Nahl)
Atas semua ini - dari cemburu, kesakitan, ombak perasaan - apakah pelajaran
penting yang ALLAH ingin saya dan kita belajar?
Saya dan kita semua - tidak boleh tidak, harus
benar-benar memahami hakikat insan mencintai Tuhan lebih dari segala-galanya. Saya dan kita harus bersangka baik, ALLAH benar-benar ingin melihat keikhlasan kita, "Bila saya berterusan menurun semangat dan motivasi kerana suami berkahwin lagi - adakah sebenarnya sebenarnya selami ini suami yang menjadi tujuan dan motivasi ? Bukankah ALLAH yang menjadi sasaran amal kebaikan..?
Jika
tidak mempositifkan perasaan, hati pecah berderai memikirkan suami yang sangat dikasihi pergi membawa cintanya kepada orang lain. Bukankah kita dari awal berazam mencintai suami kerana ALLAH? Maka -dalam mujahadah - kita berlapang dada dan
gembira suami melunaskan haknya yang diberi tuhan bernama poligami. Bukankah
saya mencintai saudara perempuan saya kerana mengharap naungan ALLAH? Maka kita juga lapang hati bilamana dia kelak membina kehidupan rumahtangga yang indah seperti yang telah kita rasakan.
Bukankah ALLAH tidak mahu kita menjadikan suami hak milik mutlak? Bukankah ALLAh cemburu jika kita teramat mencintai suami makhlukNYA yang lemah, sedang kita tidak menyerahkan seluruh cinta dan
perasaan kepada mengagungkan Tuhan, di kala cinta teragung dan sempurna adalah
MilikNYA?
Bukankah ALLAH mahu kita bermujahadah tidak tunduk kepada bisikan syaitan dan nafsu? Bukankah ALLAH menjamin bahawa keikhlasan kita dalam mentaati dan mencintai ALLAH - tidak akan membuka ruang pada syaitan menjatuhkan perasaan ini?
."..dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.
Kecuali hamba-hambaMu di antara mereka yang ikhlas.”
[al-Hijr 15:36-40]
Ujian poligami benar-benar
menghiris perasaan… namun hirisan itu bukan untuk merosakkan hati, namun sangka
baiklah bahawa ALLAH sangat inginkan hati yang diujiNYA dengan kesakitan itu
menjadi semakin cantik dan kuat dalam perjalanan mencari syurga…. Selepas ombak perasaan itu surut perlahan, hati akan menjadi tenang dan semakin kuat insyaALLAH.
ALLAH
menyayangiku dan kamu, ALLAH menyayangi suamiku, ALLAH menyayangi madu-maduku… ALLAH
sangat bahagia bila jiwa yang lemah ini berlari ke dakapan Tuhan mengadu kan
segala kesakitan dan kepedihan… ALLAH.. terimalah kami dalam rahmat peliharaanMU.
Ya ALLAH…kami datang kepadaMU…….
Jika kalian rasa saya tidak memahami, kalian juga mungkin tidak memahami saya, apatah lagi untuk kita berharap pasangan kita, suami atau isteri, untuk membaca dan memahami rangkap perasaan yang bergema di jiwa-jiwa lemah ini....
Maka sesungguhnya, ALLAH lah pemelihara terbaik, pendengar terbaik. :)
"Hanya kepada ALLAH ku adukan kesusahan dan kesedihanku" (Surah Yusuf: 86)