Thursday, June 30, 2011

Pernikahan: Gembira kerana Tuhan



“Saya tak kisah kalau dia tak bagi duit, tak belikan apa-apa, tak ada selalu di sisi saya, tapi saya nak perhatian dia.. nak dia dengar cerita saya dan layan saya sembang..” luah seorang isteri yang berjauhan dengan suami.

“Sms dan telefon pun tak boleh ke? Tak boleh ke gembirakan saya dengan jawab telefon atau sms elok elok...” sambungnya.

“Saya nak cerita dengan siapa lagi, kalau bukan dengan suami yang dah halal untuk saya?” kesedihan menyapa hati.

Wahai isteri, sungguh, hanya Tuhan sahaja yang dapat memenuhkan emosi kita.

Tidak ada mana-mana lelaki atau manusia yang mampu meraikan perasaan kita seperti yang kita mahukan dan harapkan.

"Tapi dulu waktu sebelum kahwin boleh je bergayut lama-lama, sms banyak- banyak...?"

Kesilapan yang pertama bila menjejak kaki ke alam perkahwinan ialah, kita menggantungkan kegembiraan dan keceriaan kita pada pasangan SEPENUHNYA.

Kesilapan seterusnya ialah membandingkan dengan alam sebelum bernikah... Lagipun sebelum bernikah, berhubung hanya untuk taaruf dan berbincang perkara-perkara perlu..bukannya untuk melayan rindu cinta sayang berlebihan. Sekarang kita yang susah hati dan sedih sebab mula membanding-bandingkan.

Mungkin sebenarnya isu jawab call, jawab sms ini perkara kecil bagi kita...tapi ia besar bila dikaitkan dengan isu fokus dan tanggungjawab kita menjaga keutuhan keharmonian rumahtangga.

Saya kongsikan beberapa tips yang saya baca untuk kita tetap gembira dan bersemangat sekalipun masa berkualiti dengan suami hanya beberapa jam seminggu. 

Pertama, binalah rangkaian teman-teman sejenis yang dapat melayan sembang dan mengisi kesunyian.

Sekalipun sudah bersuami, itu tidak bermakna perlu memutuskan persahabatan dan persaudaraan dengan teman perempuan. Kita perlukan kawan perempuan, untuk mengisi bahagian hidup kita yang tak mampu diperolehi dari suami.

Suami bukan dicipta untuk menghilang kebosanan kita, tidak. Kehadiran suami boleh menambah ketenangan dan keceriaan kita melalui kehidupan, tapi ia juga bergantung sejauh mana kita sendiri membina kegembiraan dalam hidup.



Seorang isteri juga pastinya akan berasa rimas jika suami asyik bergantung pada isteri untuk merasa gembira dan bersemangat. Sebegitu juga seorang suami, dia suka punya isteri yang ceria dan menceriakan, bermotivasi lagi memotivasikan. Bukannya hanya mempertikaikan suami sms atau tak, telefon atau tak..

Lelaki bukan makhluk yang suka bersembang-sembang hal perasaan, kata pakcik-pakcik yang expert bab perkahwinanan. Malah sebenarnya seorang perempuan yang berjiwa besar, yang sibuk dengan urusan agama, membangun keluarga dan ummah, juga bukan hanya memikirkan soal perasaan..

Tapi benar, suami isteri berkongsi perasaan adalah elemen romantika dalam rumahtangga. Malah sememangnya pernikahan itu wadah berharga kerana ia satu-satunya ruang menjalin cinta dan rindu yang paling indah. Namun jika berlebihan perasaan dilayan, kelihatannya kita mengagungkan perasaan dari membesarkan cinta tuhan.

Di awal-awal pernikahan, dari perkongsian teman-teman, nampaknya biasa sekali menjadi isu di kalangan pasangan muda, isu tak call, tak sms, tak jawab call, tak jawab sms... [....ehh macam saya je tu dulu :P....]

Sewajarnya menjadi rutin suami dan isteri update perkembangan dan khabar samaada di tempat kerja, tentang hobi atau aktiviti sampingan yang lain. Supaya kita tahu pergerakan suami isteri dalam kadar yang sewajarnya, dan yang penting dengan saling berhubung, kita dapat memberi sokongan, dorongan dan kritikan membina.

Adalah sangat tak best dan membosankan kalau berhubung atau bertemu, ayat pertama yang muncul,

"Kenapa tak call saya?"

"Kenapa tak jawab call saya?"

"Kenapa balik lewat?"

"Kenapa tak reply sms saya"

Jadi mungkin kita boleh tukar kepada ayat yang lebih menarik.. Contohnya suami sibuk dengan urusan bisnes, atau masih di pejabat,

"Assalammu'alaikum abang.. abang busy ya, moga ALLAH permudahkan segala urusan abang :) takpe, take your time.. sayang tunggu abang balik, sayang nak tidur dengan abang.."

"Ehh takkan saya nak mesej macam tu? Sori lah..saya dah malas. Dari petang tadi saya dok tunggu dia reply sms, takkan sepatah pun tak boleh jawab, pastu nak kita sms elok-elok... lantaklah dia" jawab kita agaknya.

Tak apa, bila kita tetap bersabar bereaksi dengan baik, kita sebenarnya telah menyelamatkan situasi gaduh yang lebih teruk dan panjang.

Kalau tak ada sesiapa yang nak mengalah, akhirnya suami isteri akan semakin renggang.

Bagi suami, "Entahlah...tak faham lah perempuan ni..Apa lagi lah yang tak cukup.. Rimaslah.."

Bagi isteri, " Dia memang tak peduli saya.. abaikan saya.. apa guna jadi suami isteri.."

Ini merujuk kepada huraian pakcik John Gray, bahawa suami akan happy jika isteri happy, dan akan rasa bosan dengan perempuan yang sukar untuk dipuaskan perasaan dan keinginannya. Sedangkan perempuan, akan rasa tidak disayangi jika suami tidak memberi perhatian pada perkara-perkara yang diinginkan.

Dulu sebelum bernikah, bila membaca petua-petua menghangatkan cinta suami isteri, ada antaranya ialah perlu ada date dengan suami seminggu sekali, atau dua minggu sekali, atau sebulan sekali.

Tika itu, saya terfikir, "Apa relevannya nak date.. kan suami isteri? Boleh saja berbual bercinta mesra bila-bila masa?"

Kini setelah bernikah..saya faham, malah itulah antara yang perlu dipraktikkan.

Harus memasukkan dalam jadual waktu untuk date, berdua-duaan dengan pasangan tak kira date di rumah, keluar ke mana-mana berdua bersiar-siar atau beriadah atau bercuti dua tiga hari. Objektifnya adalah untuk mengeratkan hubungan suami isteri. Walau untuk sekadar sembang-sembang berkongsi perasaan tentang harapan dan keinginan.

“Tapi mana cukup date seminggu sekali..atau sebulan sekali….????? Oh tidak..” jawab kita.

Sebab itulah ada syurga, yang tidak ada lagi kepenatan dan tanggungjawab. Realitinya kehidupan dunia hari ni, amat sukar menjalin kemesraan setiap hari, bukan sekadar dengan suami isteri tapi dengan sesiapa jua.  Kita sibuk dan 'sibuk'.

Saya pernah bertanya pada seorang sahabat… "Apa perasaan ukhti setelah lebih 4 tahun bernikah…?”

“Syurga.. teringin sangat nak masuk syurga..”jawabnya.

Saya tidak bertanya lebih lanjut, kerana saya rasa telah memahami sedikit sebanyak  hakikat pernikahan dan kehidupan di dunia.

Saya juga faham benar dengan kesibukan sahabat itu bekerja, menyambung pelajaran, menjadi isteri jua ibu kepada dua anak kecil, malah masanya terisi dengan aktiviti-aktivit pentarbiyyahan. Malah dialah antara sahabat yang mula- mula membawa saya ke alam tarbiyyah islamiyyah.

Inginkan syurga, kerana di syurga saja kita boleh bercinta sepuasnya. Tiada tanggungjawab, di dalam mahligai indah bersama suami yang bertaqwa dan diredhai, dalam keadaan fizikal seorang perempuan yang paling jelita dan segar bugar..bercinta dan bergembiralah sepuasnya dengan pasangan. Tiada duka, tidak terluka dan tidak kecewa.

Pasangan sempurna, cinta sempurna hanya di syurga.

Di dunia ini, kita sangat menyayangi suami dan anak-anak. Sangat-sangat mencintai hingga berat untuk kita berjauhan, kita hanya ingin bersenang lenang ditemani suami dikelilingi anak-anak penghibur hati… kita mengharapkan kesempurnaan perjalanan pernikahan dan kehidupan bekeluarga. Namun... tugas, cabaran kewangan dan amanah lain yang datang - menguji kemesraan hidup berpasangan.

Maka, teguhkan hati.

Gembirakan diri sendiri dengan anugerah lain dan kurniaan tuhan yang melimpah ruah, agar seterusnya mampu pula kita menggembirakan insan lain terutama pasangan hidup yang ALLAH jodohkan.

Cintai suami setulus hati, besarkan-besarkan kebaikannya, tutup-tutuplah kelemahannya…carilah perkara yang baik dalam rumahtangga, dan sabar memperbaiki kekurangan yang ada.

Moga ketulusan cinta kita saling menerima kelebihan dan kekurangan pasanagn akan menghembus kekuatan untuk terus melangkah menuju cinta tuhan.



5 comments:

Anonymous said...

sangat bernas tulisan awak..saya suka baca ur blog. semoga di berkati Tuhan.
Mohon copy paste this entry ni.
terima kasih

Anonymous said...

salam..

benar apa yang dikisahkan di sini..saya sendiri, selepas bernikah barulah benar2 merasai cabaran dan dugaan mengekalkan keharmonian rumahtangga..

kalau dulu semua yg kita inginkan segera ditunaikan.. merajuk selalu cepat2 di pujuk.. tetapi selepas bernikah semua itu semakin berkurang hingga kadang2 tiada langsung..


nak merajuk pun rasanya sia2..kerana bila kita hidup bersama, tinggal sebumbung, makan sepinggan..kita semakin faham dan akur akan kesibukkan suami mencari rezeki..kesungguhan suami melengkapkan segala..dan kepenatan sumai menjalankn tanggungjawab pada tugasnya..

kini selepas hampir setahun, saya semakin mengerti dan tidak meminta-minta lagi.. asalkan suami ada masa utk mengimamkan solat subuh dan solat maghrib saya, itu sudah suatu rahmat besar..bersama menunaikan solat secara berjemaah adalah sesi berkasih sayang dan bermanja-manja juga.. :)

semoga Allah terus merahmati kita dgn kasih sayang-Nya..

UMMU NUH said...

ya, hanya di syurga.. kebahagian abadi.. teringat hadith riwayat al-bukhari daripada Aisyah r.a. yang menceritakan bahawa Jibril memberitahu Nabi s.a.w. agar menyampaikan salam daripadanya dan daripada Allah, bahawa Allah telah menyediakan buat Khadijah r.a. mahligai di syurga yang mana tiada sebarang kebisingan dan kepenatan di dalamnya.. Jelas sekali bahawa Khadijah r.a. berhadapan dengan pelbagai ujian namun terus bersabar, lalu diberikan janji secara lanngsung daripada Allah s.w.t.. Syukran ya ukhti Adni.. Semoga Allah memberkati, merahmati dan meredhai segala coretan ukhti dan ia menjadi bekalan hakiki di negeri yang kekal abadi..ameen ^_^ Salam ukhuwwah..

Khairul Azan said...

Lelaki dan perempuan mempunyai needs yang berbeza..needs ini perlu difahami oleh pasangan masing2..kekurangan ilmu mengenai cara hidupberumah tangga yang betul menyebabkan suami isteri tidak mampu untuk mengawal rumah tangga dengan baik...

Nurul Adni Adnan said...

terima kasih sahabat2 semua :)

perkongsian kalian juga menjadi tazkirah untuk diri ini...

rumahtangga tidaklah semudah yang dulunya saya bayangkan, namun ia tidaklah beban yang menakutkan,.. hanya saja kita perlu mencari ilmu, matang dan benar-benar bergantung pada tuhan untuk berusaha membawa pernikahan ini kepada keredhaanNYA...

Poligami: Sebelum Bercerai

#tipspoligami Poligami sangat berat untuk isteri hingga tidak sedikit yang melihat perceraian sebagai jalan keluar dari segala sakit h...