Saya menulis topik ini sebagai merespon kepada satu musykilah tentang jodoh yang telah dikongsikan dengan saya. Musykilah itu secara ringkasnya, tentang calon suami yang menjadi pilihan hati seorang muslimah, akan tetapi tidak dipersetujui oleh ayah dan ibunya.
“Pilihan Saya Bukan Pilihan Ibu Ayah”…begitulah lebih kurang bunyi permasalahannya.
Saya percaya ada juga di antara kalian para pembaca yang juga menghadapi ujian dan musykilah sebegini. Jalan cerita setiap masalah kita adalah berbeza, tapi ‘temanya’ mungkin sama.
Maka di kesempatan ini, saya cuba menjawab juga berkongsi berdasarkan sedikit ilmu dan pengalaman yang telah dimiliki.
Menoleh ke waktu itu sewaktu usia 19 tahun, saya telah memilih untuk menerima lamaran seorang lelaki yang bertaaruf dengan saya bukan untuk suka-suka, namun jelas tujuannya untuk bernikah. Maka saya (kami) usahakan untuk membawanya ke gerbang perkahwinan. Cabaran ketika itu terasa hebat pada hujah-hujah , “Kalian masih muda, masih belajar, masih terlalu awal untuk berkahwin.”
Saya berusaha menyediakan jawapan-jawapan kepada persoalan yang timbul. Saya berbincang dengan calon suami ketika itu, mencari-cari jalan bagaimana untuk kami menyampaikan hasrat kami dengan baik pada ayah dan ibu yang dihormati.
Akan tetapi, hubungan yang diusahakan itu akhirnya terputus kerana beberapa faktor. Harus saya akui ia adalah kesalahan kedua-dua belah pihak. Kami tidak jadi bernikah. Saya sedih yang teramat, kerana itu pengalaman pertama saya melalui perkara-perkara seumpamanya.
Ibu dan ayah saya rupanya sukar menerima perpisahan kami kerana si lelaki dan keluarganya adalah orang baik-baik pada pandangan kami. Ibu dan ayah saya telah menyukai si lelaki. Ibu bapa kami saling berkawan. Pilihan saya juga merupakan pilihan ayah dan ibu saya.
Tapi saya tak mampu jelaskan sebab-sebab kami berpisah, kerana ia amat peribadi. Saya hanya mengharapkan ibu dan ayah memahami tanpa saya membuat siri-siri penjelasan.
Setahun dua berlalu, takdir ALLAH kemudiannya mendatangkan seorang lelaki yang menjadi pilihan saya ketika itu. Pastinya saya gembira bila mana ibu dan ayah juga suka pilihan saya yang seterusnya.
Tapi sekali lagi, ada kesilapan-kesilapan yang berlaku yang menyebabkan lamaran itu tidak sampai kepada pernikahan.
Ayah saya agak kesal, kenapa dua kali saya putuskan tanpa ayah saya tahu sebab musababnya. Tapi saya tak mampu menjelaskan, saya hanya menyatakan “…ia kesilapan kami, kami berpisah dengan baik”.
Alhamdulillah sedikit sebanyak diri saya (dan saya percaya, lelaki-lelaki yang berada dalam bab lamaran ini juga) telah mempelajari banyak perkara dari peristiwa yang tak disukai ini.
Dan bila saya menerima lamaran yang ketiga, ibu dan ayah agak berat.
Ibu ayah saya boleh menerima bakal suami kerana kematangannya, kerana kejujurannya datang bersemuka ibu ayah secara baik untuk menikahi saya.
Hanya merasa berat kerana suami orang. Kerana “lain mazhab”. Kerana beberapa faktor lain yang benar-benar menjadi ujian berat untuk saya, ibu ayah dan insan-insan yang terlibat.
Tapi kerana saya telah memilih, saya berusaha agar pilihan saya ini menjadi pilihan ibu dan ayah.
Bukannya mudah. Sangat Payah.
Sangat payah, tapi saya menebalkan muka juga untuk menjelaskan BERSUNGGUH-SUNGGUH kenapa saya memilih suami saya (calon suami waktu itu).
Hati saya terasa kerdil dengan faktor-faktor saya ingin bernikah dengannya, kerana saya tidak berapa kenal lelaki itu (suami saya sekarang). Namun saya berusaha optimis, lelaki yang hadir kali mungkin adalah jodoh yang ALLAH telah tentukan buat saya, maka saya berusaha semampunya.
Duduk berhadap-hadapan dengan ayah tercinta, saya menyusun ayat satu-persatu penuh berat kenapa lelaki itu sanggup saya pertimbangkan lamarannya. Jauh dari lubuk hati, saya lontarkan perasaan dan pandangan tentang calon yang melamar. Secara dewasa saya luahkan harapan dan persepsi saya tentang pernikahan.
Rasa tidak sanggup menatap wajah ayah saya ketika itu, saya sedar di pandangan ayah, saya mungkin anak-anak yang masih tak matang. Menjadi isteri pun sukar, apatah lagi menjadi isteri dalam alam poligami. Ayah bimbang dugaan-dugaan yang bakal saya tempuh.
Calon suami pula menyatakan, kita tak akan teruskan (bernikah) jika ibu ayah saya berat mengizinkan. Kenyataannya itu sebenarnya agak membantu untuk saya mengetepikan terus lamaran sebagai isteri kedua tanpa perlu memeningkan kepala dan menyusahkan perasaan (sendiri dan orang lain).
Tapi saya tak mampu menolak lamaran dari seorang lelaki yang baik, berilmu, beriman sepertinya.
Kawan-kawan rapat, berat untuk menyokong. Saudara-mara sebahagiannya juga berat mempersetujui. Dan pilihan saya telah meletakkan ibu bapa saya dalam situasi yang berat.
Saya hanya ada ALLAH. Rasa malu, takut, rasa tak pasti, rasa bersalah, serba salah, bingung..semuanya saya adukan pada ALLAH.
Alhamdulillah ALLAH membuka jalan dari pihak calon suami. Beliau menunjukkan keseriusan untuk bernikah dengan beberapa kali datang berjumpa dan berbincang dengan ibu ayah. Kerana poligami begitu ‘special’ di Malaysia, beliau juga serius memulakan urusan poligami di mahkamah.
Ini proses lamaran yang ketiga buat saya, saya harus tempuh seperti yang pertama dan kedua dulu. Ia berat dan sakit bagi mereka yang memahami, tapi saya memilih untuk melaluinya, dengan izin ALLAH pastinya.
Saya berusaha sejauh yang mampu, saya mempersiapkan diri menerima ketentuan tuhan. Doa-doa yang dipanjatkan kepadaNYA menjadi kekuatan menginjak kaki ke tangga kehidupan seterusnya. Dalam berdoa, saya juga tidak jemu bertemu insan-insan yang berpengalaman memohon nasihat dan pandangan.
Dan kini saya telah bernikah. Suami saya…jauh lebih baik dari yang saya sangkakan. Segala puji bagi Allah. Dan perlahan-lahan kami berusaha menambah redha dan restu ayahbonda.
Saya teramat bersyukur dengan usaha-usaha saya dulu walaupun pernikahan ini rupanya menjemput kita ke medan ujian yang lebih sukar dan lebih mencabar.
Kesukaran dan cabaran alam pernikahan mudah saja memadamkan ingatan kita kepada kesulitan proses ke arah pernikahan dulu….
Ukhti temanku, luahkan sepenuh hati pada ayah dan ibu, faktor-faktor kenapa ukhti memilih dia - pilihan hati ukhti. Kongsikan dengan ayah dan ibu - harapan dan perancangan masa depan ukhti tentang rumahtangga yang dibina.
Bukan sekali, bukan dua kali, namun perlu beberapa kali pertemuan dan perbincangan dengan ibu ayah hingga kekeruhan dapat dijernihkan, ketidaksukaan menjadi penerimaan.
Ukhti, untuk perkara seserius pernikahan, perlu dimusyawarahkan dengan adil dan telus bersama ibu ayah, ahli keluarga dan insan-insan yang amanah dan berilmu.
Minta juga pada lelaki pilihan hati itu untuk bertemu ibu ayah dan menceritakan perancangan dengan bersungguh-sungguh lagi penuh bertanggungjawab.
Moga usaha-usaha ini menjadi asbab untuk kalian bersama di alam pernikahan. Seandainya telah habis cara untuk meyakini ibu ayah, ibu ayah masih teramat berat merestui… maka mungkin perpisahan itulah yang terbaik untuk diri kita.
Kita merancang dan ALLAH lah sebaik-baik perancang. Kita bukan suka-suka memilih teman hidup hanya kerana rasa cinta dan rasa suka yang meluap-luap, atau hanya kerana kita merasa telah ‘ada keserasian’, atau kerana ‘dah malas nak fikir’, etc..
Tetapi berpeganglah sungguh-sungguh agar mencari teman hidup kerana agamanya. Ya, agamanya. Full stop. Jika kita memilih didorong SEBAB UTAMA yang lain, kita harus bersedia dengan risikonya. Faktor-faktor lain hanyalah sampingan.
(Namun memilih yang beragama bukan hujah untuk bahtera perkahwinan itu tak dilanda badai, bukan hujah untuk pasangan itu kelak terus mantap persis Muhammad SAW dan Khadijah, sesungguhnya kebahagiaan rumahtangga adalah perjalanan panjang bersulam kesulitan)…
Semoga Allah permudahkan semuanya…,sekian perkongsian.
5 comments:
as-salam sahabat ^__^
salam ukhuwah...
citer yg menarik...boleh komen pasal n3 terbaru akak ^_^ ...tq
salam..very inspiring.thanks kak kerana memberi kata peransang. InsyaAllah saya akan cuba mempraktikkan,ini kerana saya tahu banyak halangan dan bukan mudah untuk meyakinkan mereka menerima..Moga Allah bukakan hati mereka suatu hari nanti. Amin..
Jazakillah kak... hmmm berat.. semoga sy jua dipermudahkan dan diberi kekuatan...
salam.nak tanya sikit. cam ner ngan penerimaan isteri pertama? blh kongsikan x?
Saya isteri pertama, ujian ini amat berat, tanpa iman yang kental mmg akan tewas dgn bisikan syaitan yang sangat jahat, sebagai isteri ke dua perlu bersabar dengan reaksi isteri pertama kerana derita kehilangan dengan derita belajar berkongsi bagai bumi dengan langit bezanya, hati terlau sakit pedih dan sedih, suami yang dulu nsentiasa disisi kini macam biskut menyulam kasih sayang bersama isteri kedua, hanya mereka yang mengalami sahaja yang boleh bercerita akan sakitnya, beruntung jika anda punyai madu pertama yang sangat benar benar beriman dgn qada dadar Allah swt namun tetap kena melalui proses penyesuaiaan yang amat menyakitkan itu..bermadu mmg amat menyakitkan, ujian Allah swt yang amat hebat untuk para wanita yang terpilih...
Post a Comment