Satu ramadhan berlalu sudah, mentari dua ramadhan kini menjelma. Di waktu sahur semalam, mommy dan papa masing-masing makan semangkuk oat dan nestum yang ditabur sedikit kismis. Kemudian kami berkongsi sebiji epal, dan turut mencicip sedikit tamar. Alhamdulillah dengan menu sahur yang sederhana itu, mommy mampu bertahan hingga waktu maghrib walau pun di waktu zuhur mommy dah rasa zero energy.. hee anak mommy ke yang kuat makan dan lebih rasa lapar..??
Sebenarnya mommy yang rasa tak sabar dengan kepenatan [dan kelaparan] berpuasa, maklumlah tidak melazimi puasa sewaktu mengandung. Jadi di samping melewatkan sahur, dan mengambil vitamin, mommy berusaha memberi santapan hati yang cukup supaya kekuatan ruhiyyah mommy mampu mengalahkan kelemahan fizikal untuk puasa kali ini.
Alhamdulillah mommy dan baby masih dipanjangkan usia dan diberi kesihatan untuk menunaikan ibadah puasa. Mommy menghitung hari akan kehadiranmu duhai anak.. namun mommy juga mengingatkan diri agar dalam keterujaan menanti hadirnya permata hati, mommy tidak melupakan perkara-perkara lain yang besar dan penting berlaku di sekeliling, perkara yang berkaitan tugas kita sebagai khalifah.
Mommy kadang-kadang tidak sabar dengan tubuh yang makin berat dan sering sakit-sakit, lantas berita-berita yang berlaku dalam dunia sekeliling kita menjadi motivasi dan pengingat bahawa kesusahan yang mommy lalui tidak layak dikatakan susah, berbanding kesusahan yang manusia lain alami di negara lain.
Ingin mommy kongsikan tentang bencana yang menimpa tiga negara tika ini iaitu, Pakistan, China dan Rusia.
"...PBB berkata, banjir melanda Pakistan sekarang adalah krisis kemanusiaan terburuk sejak beberapa tahun lalu dengan 13.8 juta orang terjejas dan 1,600 orang terkorban setakat ini.
Banjir dan tanah runtuh yang melanda China sejak tiga hari lalu sudah menyebabkan 702 orang terkorban dan lebih 1,000 orang dilaporkan hilang, di samping menyebabkan kerosakan berbilion dolar di 28 wilayah.
Di RUSSIA, rumah mayat hampir penuh di Moscow ketika negara itu dilanda kebakaran hutan yang dicetuskan cuaca panas terburuk sejak 130 tahun lalu..."
Sumber: Berita Harian Online
Anakku sayang, bersyukur tidak terhingga kita berada di bumi Malaysia yang masih jauh dari bencana itu.. Namun tidak usah bersenang hati, di masa depan pasti bencana itu tiba di tempat kita kerana bumi yang semakin tua, ditambah pula sikap kita yang tidak mahu, tipis ilmu dan kesedaran dalam menjaga kesegaran bumi.. hingga bumi kini mengalami pemanasan global.
Pemanasan global inilah yang mencetus bencana, hingga banjir di wilayah Pakistan itu dilaporkan lebih buruk dari bencana tsunami 2004, yang mana dalam banjir di hampir sebahagian besar wilayah di Pakistan itu manusia yang terjejas berjumlah hampir mencecah 14 juta. Laporan juga menyebut, bencana buruk itu berlaku akibat kehadiran supercharged jet stream atau gelungan besar angin kencang yang dikatakan menjadi punca banjir di China dan cuaca panas berpanjangan di Russia yang menyebabkan kebakaran hutan.
Cukuplah Ramadhan ini mentarbiyyah jiwa kita untuk turut sama merasai kesusahan oleh insan lain.. agar jiwamu dan jiwaku banyak sababar dan banyak bersyukur.
Ramadhan ini sememangnya bulan membentuk kelembutan dan kepekaan hati dengan sedikit makan, namun kerana nafsu makan, bulan ini terbalik menjadikan hati makin keras, fizikal makin lembik kerana terlebih banyak makan..
Ramadhan ini, sewaktu mereka meratap kematian keluarga sanak saudara yang menjadi korban banjir, tanah runtuh dan kebakaran hutan, kita di Malaysia berpusu-pusu memperuntukkan wang untuk mega sale yang berlangsung di setiap shopping mall pelusuk negara...
Ramadhan ini, sewaktu mereka penuh sedih dan duka menanti bantuan kemanusiaan, mengharap seteguk air dan sesuap makanan, kita di Malaysia bersenang lenang di bazar Ramadhan yang menyajikan terlalu banyak pilihan makanan.. untuk akhirnya disumbat di dalam tong-tong sampah kerana perut tidak mampu menampungnya..
Mereka sakit kerana bencana alam, kita di Malaysia sakit kerana terlebih makanan..
Mereka tidak punya wang untuk meneruskan kehidupan, kita tergamak berbuka puasa dan bersahur bufet di hotel dan restoran lainnya dengan kadar bayaran yang mewah hanya dengan sekali makan...
Inilah sedikit sebanyak coretan , untuk perkongsian dengan kalian.. Teruslah jiwa-jiwa kita mentadabbur Al Quran, bagaimana kehidupan ini harus dilalui samaada diuji keburukan dan kesenangan...
No comments:
Post a Comment