|
:: Antara anjuran dan suruhan Rasulullah saw kepada kita :: |
Assalammualaikum wa rahmatullah
Tazkeerah untuk diri saya dan sahabat pembaca semua - andai benar kita mencintai Baginda saw, lakukanlah bukti kecintaan ini, terapkan pada diri, pada famili dan insan lain agar semua merasai nikmat punya Islam, ALLAH dan Rasul.
{Katakanlah: Jika kamu
(benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Muhammad), nescaya Allah mengasihi dan
mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.}
[Surah Aali Imran: 31].
_____________________
Bukti dan Tanda Cinta Terhadap
Rasulullah SAW
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين، وبعد.
Mencintai Rasulullah saw merupakan
kewajipan bagi setiap muslim dan semuanya mengaku ingin mencintainya,
namun tidak semua pengakuan itu benar dan tidak semua keinginan itu
baik. Oleh kerana itu diperlukan bukti dan tanda yang dapat dijadikan
dalil kebenaran pengakuan cinta terhadap Rasulullah saw.
Ini kerana apabila pengakuan tidak dibuktikan dengan dalil yang nyata,
maka tentulah banyak orang membuat kerosakan dan kekacauan dengan
pengakuan-pengakuan dusta, sebagaimana sabda Rasulullah saw:
(( لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لادَّعَى نَاسٌ دِمَاءَ رِجَالٍ وَأَمْوَالَهُمْ)) رواه البخاري ومسلم.
“Seandainya manusia diberikan (diterima) semua pengakuannya, tentulah ramai orang yang menuntut darah dan harta orang lain.” [HR: Al-Bukhari]
Maka wajib atas setiap muslim mengetahui bukti dan tanda kecintaan kepada Rasulullah saw
dan mengamalkan serta merealisasikannya dalam kehidupan seharian
mereka. Jadi, bukti dan tanda-tanda tersebut menunjukkan kecintaannya
yang hakiki, semakin banyak memiliki bukti dan tanda tersebut maka
semakin tinggi dan sempurna kecintaannya kepada Rasulullah saw.
Di antara bukti dan tanda-tanda tersebut adalah:
1. Mencontohi dan mengamalkan sunnah Baginda saw.
Mencontohi, mengikuti Rasulullah saw dan berjalan di atas manhaj
Baginda saw serta berpegang teguh dan mengamalkan seluruh perkataan dan
perbuatan Baginda saw adalah tanda pertama cintakan Rasulullah saw.
Bahkan orang yang benar-benar mencintai Rasulullah saw adalah orang yang mengikuti Rasulullah saw secara zahir dan batin serta selalu menyesuaikan perkataan dan perbuatannya dengan sunnah Rasulullah saw.
Orang yang mencintai Rasulullah saw adalah
orang yang bersemangat, berpegang teguh dan menghidupkan ajaran
Baginda. Ianya dizahirkan dengan mengamalkan sunnahnya, melaksanakan
perintahnya dan menjauhi larangannya dalam perkataan dan perbuatan serta
mendahulukan itu semua daripada hawa nafsu dan kelazatannya sebagaimana
firman Allah swt:
{Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara,
isteri-isteri, kaum keluarga dan harta kekayaan yang kamu usahakan,
perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat
tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan
Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga
Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk
kepada orang-orang yang fasik.} [Surah At-Taubah:24].
Menghidupkan sunnah dan mengikuti Rasulullah saw dalam setiap langkah kehidupannya adalah bukti kecintaan kepada Rasulullah saw sebagaimana juga menjadi bukti kecintaan kepada Allah. Allah swt berfirman:
{Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah,
ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah
Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.} [Surah Aali Imran: 31].
Berdasarkan hal ini, kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya
menuntut natijah mengamalkan hal-hal yang dicintai dan menjauhi yang
dilarang dan dibenci oleh Baginda saw. Tidak mungkin ada orang yang
mencintai Rasulnya adalah orang yang tidak mahu mengikuti sunnahnya atau
bahkan melakukan perkara yang bercanggah dengan ajarannya dengan
sengaja.
2. Banyak mengingati dan menyebutnya,
kerana orang yang mencintai sesuatu tentu akan sentiasa mengingat dan
menyebutnya. Sentiasa ingat kepadanya merupakan sebab kesinambungan
kecintaan dan kerberterusannya.
3. Menyampaikan selawat dan salam kepada Rasulullah saw sebagaimana firman Allah:
{Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat
kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepada
Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.} [Surah Al-Ahzaab: 56].
4. Menyebut keutamaan dan kemuliaan serta sifat, akhlak dan perilaku utama yang Allah berikan kepada Baginda saw,
juga mukjizat serta bukti kenabian untuk mengenal kedudukan dan
martabat Baginda saw. Demikian juga untuk mengenalkan orang lain dan
mengingatkan mereka tentang hal itu agar mereka semakin beriman dan
bertambah kecintaan kepada Rasulullah saw.
Ulama’ menyatakan faedah yang boleh didapati dari
Selawat ke atas Nabi saw ialah: Seorang ketika banyak menyebut
kekasihnya, mengingatinya dihati, mengingati kebaikan-kebaikan dan
perkara-perkara yang boleh melahirkan perasaan cinta kepadanya maka
semakin berlipat ganda kecintaannya kepada kekasihnya tersebut dan
bertambah rindu kepadanya. Apabila dia tidak menyebutnya sama sekali,
tidak mengingatinya dan kebaikannya, maka akan berkurangan rasa cinta
dihatinya.
Apabila keadaan ini kuat dihatinya maka lisannya terus memuji
dan menyebut kebaikan-kebaikannya. Bertambah dan berkurangnya keadaan
ini sesuai dengan perasaan cinta dihatinya dan anggota menjadi saksi
kebenaran itu dengan mengamalkannya.
Fadhilat atau kelebihan berselawat ke atas Nabi saw sangat banyak dan sangat masyhur.
5. Bersopan santun dan beradab dengan Baginda saw baik dalam menyebut nama atau memanggilnya, kerana Allah swt telah berfirman:
{Janganlah kamu jadikan panggilan (kepada) Rasulullah saw
di antara kamu seperti panggilan sesama kamu. Sesungguhnya Allah telah
mengetahui orang-orang yang menarik diri (dari majlis Nabi saw) di
antara kamu secara berselindung dan bersembunyi, maka hendaklah
orang-orang yang mengikari perintah-Nya beringat serta berjaga-jaga,
jangan mereka ditimpa bala bencana atau ditimpa azab yang pedih}. [Surah An-Nuur: 63].
Kata ulama’: Adab yang tinggi terhadap Rasulullah saw adalah
menerima sepenuhnya serta tunduk patuh kepada perintahnya. Menerima
perkhabarannya dengan penuh penerimaan dan membenarkannya tanpa ada
penentangan dengan pemikiran ma’qul (masuk akal), syubhat, keraguan atau
mendahulukan pendapat para intelektual dan pemikiran mereka yang tidak
betul, dengan hanya berhukum dan menerima, tunduk dan taat kepada
Baginda saw sahaja.
6. Berharap dan rindu untuk melihat dan berjumpa dengan Rasulullah saw walaupun terpaksa membayarnya dengan harta dan keluarga.
Tanda kecintaan ini dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya:
“Diantara umatku yang paling mencintaiku adalah orang-orang
yang hidup selepasku, salah seorang dari mereka sangat ingin melihatku
walaupun terpaksa menebus dengan keluarga dan harta.” [HR Muslim].
7. Menyampaikan Nasihat untuk (beriman kepada) Allah, kitab-Nyadan Rasul-Nya.
Sabda Rasulullah saw:
“Agama itu adalah nasihat.” Sahabat bertanya:
Kepada siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Untuk (beriman kepada)
Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan pemimpin kaum muslimin serta kaum
muslimin seluruhnya.” [HR Muslim, No. 55].
Maksud nasihat untuk Nabi itu ialah beriman kepadanya, mentaati perintahnya, mengikuti sunnahnya dan mencintainya.
8. Belajar Al Quran, istiqamah
membacanya dan memahami maknanya. Demikian juga belajar sunnahnya,
mengajarkannya dan mencintai ahlinya (ahlu sunnah). Imam Al Qadhi Iyaad rahimahullah menyatakan: Diantara
tanda-tanda mencintai Rasulullah adalah mencintai Al-Quran yang
diturunkan kepadanya dan Baginda saw mengambil petunjuk dan membimbing
(manusia) dengannya serta berakhlak dengannya sehingga A’isyah
menyatakan:
كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ
“Sesungguhnya Akhlak Baginda saw adalah Al Quran”. [HR Imam Ahmad].
Ibnu Mas’ud ra berkata: “Janganlah
seseorang menanyakan untuk dirinya kecuali Al-Quran, apabila ia
mencintai Al-Quran maka ia mencintai Allah dan Rasul-Nya”. [lihat: Huquq Al-Nabi 1/343].
9. Mencintai orang yang Rasulullah saw cintai, antaranya:
a. Ahlul-baitnya (keluarga)
Imam Al Baihaqi rahimahullah berkata: “Termasuk dalam lingkungan mencintai Rasulullah saw adalah mencintai ahli bait”. [lihat: Syu’abul Iman: 1/282].
Ulama’ lain pula menyatakan: “Di antara usul ahlus Sunnah wal Jama’ah, mereka mencintai ahli bait Rasulullah saw dan memberikan keutamaan kepada mereka serta menjaga wasiat Rasulullah saw tentang mereka.”
Kemudian beliau juga menyatakan: “Ahlul bait Rasulullah saw
memiliki hak-hak yang wajib dipelihara, kerana Allah menjadikan untuk
mereka hak dalam Al-Khumus, Al fai’ (harta rampasan perang) dan
memerintahkan berselawat untuk mereka bersama selawat untuk Rasulullah saw. [lihat: Majmu’ fatawa 3/407].
b. Para isteri Baginda saw.
Ahlus Sunnah Wal Jama’ah menjaga keutamaan dan hak-hak mereka
dan meyakini mereka tidak sama seperti para wanita lainnya, kerana Allah
telah membezakannya dalam firman-Nya:
] يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ ۚ [
{Wahai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah sama seperti wanita yang lain.} [Surah Al-Ahzab: 32].
Menjadikan mereka sebagai ibu kaum mukminin dalam firman-Nya:
] وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ ۗ [
{Dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka.} [Surah Al-Ahzaab: 6].
Sehinggakan wajib bagi kita menjaga hak-hak mereka walaupun setelah mereka wafat, berselawat untuk mereka bersama Nabi saw dan memohon keampunan bagi mereka serta menzahirkan pujian dan keutamaan mereka.
c. Para sahabat Baginda saw.
Imam Al-Baihaqi rahimahullah menyatakan: Termasuk dalam kecintaan kepada Nabi saw adalah cinta kepada para sahabat Baginda saw, kerana Allah telah memuji mereka dalam firman-Nya:
{Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang
bersama dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih
sayang sesama mereka: kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan
Allah dan keredhaan-Nya, tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka
kesan dari sujud. [Surah Al-Fath: 29].
Firman Allah swt juga:
{Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang mukmin
ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pokok, maka Allah
mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan
ke atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang
hampir (waktunya). [Al-Fath:18].
Kemudian beliau ra menyatakan: “Apabila mereka (para
sahabat) telah mendapat kedudukan ini, maka mereka memiliki hak dari
kaum muslimin untuk mencintai mereka dan mendekatkan diri kepada Allah
dengan kecintaan kepada mereka. Ini kerana apabila Allah meredhai seseorang, maka Dia mencintainya dan wajib atas seorang hamba untuk mencintai orang yang Allah cintai.” [Lihat: Syu’abul Iman: 1/287].
Umat Islam wajib mencintai sahabat, meredhai mereka dan mendoakan kebaikan untuk mereka.
Rasulullah saw bersabda:
“Janganlah kamu sekelian mencela para sahabatku, demi Allah
seandainya salah seorang dari kamu berinfaq emas sebesar bukit Uhud,
tidak akan menyamai satu mud (cupak) mereka dan tidak juga separuhnya.” [HR: Al-Bukhari]
9. Membenci orang yang Allah dan Rasul-Nya benci, memusuhi orang yang
memusuhi Allah dan Rasul-Nya, menjauhi orang yang menyalahi sunnahnya
dan Syariah Islam, serta membenci semua perkara yang menyalahi Syariat.
Allah swt berfirman:
{Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih sayang dengan orang-orang
yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu
ialah bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga
mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menanamkan keimanan dalam
hati mereka...} [Al-Mujaadilah: 22].
Seorang mukmin wajib memusuhi kerana Allah dan berkasih sayang kerana Allah.
Demikianlah sebahagian tanda dan bukti penting kecintaan kita
kepada Rasulullah saw, semoga Allah memudahkan kita untuk memiliki dan
merealisasikannya dalam kehidupan seharian kita. Wabillahi taufiq.
Rujukan:
1. Huquq An-Nabi ‘Ala Umatihi Fi Dha’il Kitab Was Sunnah, Dr. Muhammad Khalifah Al-Tamimi, Penerbit Adwaa’ Al Salaf, 1418 H,)
2. Mahabbatu An-Nabi Wa Ta’zimuhu. Fahd bin Abdullah Al-Habisyi.
3. [http://ustadzkholid.com/aqidah/bukti-dan-tanda-cinta-rasul/ ]
4. www.abuanasmadani.com
Tulisan:
Akhukum,
Abu Anas Madani, 4 Rabi’ul Awal 1431H.