Wahai teman-teman dan adik-adik yang bergerak di alam dakwah kampus, ingin saya kongsikan beberapa perkara yang perlu dimiliki dalam perjalanan tarbiyyah yang panjang ini. Moga dalam kesibukan kalian bekerja dan belajar, kalian mencari kesempatan meningkatkan kualiti diri sebagai daie. Jua paling menjadi peringatan buat diri saya yang berusaha istiqamah mencari jalan kebenaran bersama kalian..
Pertama, perlu cerdas dalam berorganisasi. Jalan tarbiyyah memerlukan bukan sahaja peribadi-peribadi yang ikhlas, namun harus produktif dan memaksima potensi diri. Dengan kata lain, ikhlas sahaja tidak cukup, perlu bijak memanfaatkan organisasi yang disertai untuk memacu perjalanan dakwah dan tarbiyyah.
Mahasiswa yang cerdas memilih organisasi yang sesuai dengan fitrah, bukan sembarangan organisasi seperti Kelab XXX yang membudayakan pergaulan bebas, yang fokus hanya pada pembangunan fizikal, mental tapi mengabaikan pembangunan jiwa para ahlinya. Sangat perlu memilih kelab yang mampu menggarap potensi kalian sebagai pemuda dari segala aspek seperti kepimpinan, komunikasi, teamwork etc terutama aspek kecerdasan iman dan ruhiyyah, di sebalik seribu satu agenda musuh-musuh islam yang meruntuhkan peribadi islami pemuda yang mencari erti mukmin.
Tidak semestinya memilih Persatuan Pelajar Islam atau Kelab Amar Makruf, namun organisasi yang dipilih sebaiknya boleh bekerjasama dan berkembang untuk misi dan visi dakwah. Kecerdasan kalian memilih akan membantu kalian melihat organisasi kalian sebagai wasilah yang sangat baik untuk menghidupkan aktiviti dakwah dan tarbiyyah.
Apa kesan tidak cerdas mengorganisasi..? Pertama, kerja banyak, masa terbuang, namun tidak nampak nilai tarbiyyah. Sibuk ke sana ke mari berprogram, ruhiyyah menjadi penat, kerjasama dengan rakan sekelab mudah kucar kacir kerana matlamatnya jauh dari membawa manusia mengenal ALLAH. Timbul lah isu untuk meletak jawatan dan gosip liar memburukkan persatuan sendiri.
Kedua, apabila hebat berorganisasi tapi tak cerdas - hasilnya kita kenal ramai orang, orang besar orang kecil, namun kita tidak manfaatkan untuk menggiatkan dakwah dan tarbiyyah. Hanya berbangga mendampingi tokoh-tokoh yang dikenali, namun rakan persatuan yang lain makin hilang jati diri kerana program-program yang dianjurkan sifatnya sementara dan kering' - hanya memenuhkan jadual progam setiap semester. Banyak aktiviti, namun tiada sasaran yang jelas.
Seterusnya, seorang daie perlu memiliki gagasan pemikiran yang mantap dan luas. Harus Membaca. Membaca. Membaca. Seperti pesanan murobi tercinta saya, tidak boleh tidak, seorang daie perlu selalu memperdalam ilmu dan kematangan dengan jadual bacaan yang konsisten. Apapan bidang dan pilihan ilmu yang ingin dikuasai, semua ini perlu bersumber Al Quran dan As Sunnah. [Murobi saya itu juga mengingatkan untuk berusaha semampunya mengamalkan ilmu yang diketahui, kerana sebagai manusa kadangkala terjatuh pada kesalahan, terdedah melakukan keburukan.]
Tidak mungkin manhaj Islam yang benar mampu disampaikan jika para daie hanya memetik kata-kata 'murobi tercinta', atau ucapan senior dalam persatuannya, atau kata-kata penasihat dan pegawai-pegawai agama kampus tanpa dirinya cuba memahami islam dalam manhaj yang benar.
Tidak mungkin mempunyai kekuatan hujah jika tak intensif dengan tilawah dan tadabur Al Quran. Perlu dekat pada Sunnah Rasulullah SAW dan cinta untuk mengamalkannya. Dengan ilmu yang sentiasa dipelajari, para daie mampu meneguhkan gagasan pemikiran bukan sekadar berorientasi kejayaan dunia, namun gagasan pemikiran yang membawa keberuntungan sebenar di akhirat.
Untuk menyaksikan kesinambungan dakwah juga, daie kampus harus punya sensitiviti yang tinggi untuk menjaga keamanan perjalanan tarbiyyah dan dakwah di kampus. Berusaha 'memurnikan' program dengan kelulusan HEP, mengikut syarat yang diletakkan dalam berprogram dan menghindarkan underground activity yang boleh menyingkatkan usaha tarbiyyah kita. Sering saja mahasiswa kampus dalam semangat dan kesedaran menegakkan agama, terburu melanggar peraturan HEP dengan alasan 'dakwah ini sifatnya ditentang', maka mereka pun terus mengetepikan pandangan orang lain yang minta program ditangguhkan, diubah atau dibatalkan.
Daie yang cerdas memandang jauh ke depan, tidak mahu di lucutkan dari gelaran mahasiswa kerana emosi, tidak mahu usaha tarbiyyah orang lain di kampus juga terus dipatahkan HEP hanya kerana semangat yang melebihi kematangan.
Ya, dakwah menyeru pada manusia kepada ALLAH itu sunnatullahnya dimusuhi sepanjang adanya langit dan bumi, namun CARA berdakwah itu tidak harus dibenci orang[mad'u]. Perlu mengambil ibrah dari dakwah Rasulullah yang berkembang luas, bagaimana Rasulullah sangat matang berdakwah dengan nilai ilmu dan keimanan tanpa melupakan perancangan jua strategi.. bagaimana indahnya tutur bicara dan perilaku baginda yang menjadikan orang sekeliling cinta pada agama ALLAH ini, lembutnya sikap baginda amat menyentuh perasaan, dalam masa yang sama, ketegasan baginda tidak menjengkelkan... inilah yang berusaha kita contohi.
[Wahai para daie kampus, timbalah pengalaman sebanyak-banyaknya di kampus, pengalaman itu tidak datang sendiri melainkan melalui jatuh bangun, kejayaan dan kegagalan kalian sepanjang berprogram dan beraktiviti. Daie yang ikhlas akan membantu saudaranya yang tersilap di jalan dakwah, daie yang ikhlas juga akan mengambil teguran dan nasihat temannya untuk terus thabat di jalan yang sulit ini.]
Yang keempat, ayuh saudaraku, kita berusaha menjadi teladan dalam beramal. Inilah bahagian sukar dalam lapangan dakwah, kita diuji dengan kekangan diri untuk merealitikan kebaikan yang diseru. Kita alpa melakukan kebaikan yang diseru kadang-kadang, ada masanya diri sendiri terjatuh pada perkara berdosa dan maksiat yang kita cuba cegah di jalan tarbiyyah ini.
Banyak sekali senarai karater mulia yang perlu dilengkapkan pada diri. Sudahkah kita para daie menjadi anak, suami atau isteri yang menunaikan sebaiknya hak ibubapa dan pasangan? Sudahkah kita menjadi orang yang menjaga dan memanfaatkan masa hingga kita menukar 'janji melayu' kepada 'janji daie'? Menjadi daie sangat perlu untuk mempunyai akhlak yang mendamaikan hati di mana pun berada. Sangat penting menjaga itqan dan jiddiyah di lapangan kerja dan belajar.
Yang terakhir, para daie harus punya ruhiyyah yang tinggi. Semakin banyak bekerja, semakin jauh melangkah di jalan dakwah ini, para daei harus mempunyai ruhiyyah yang sering basah dengan keimanan dan ketaqwaan. Kekuatan ruhiyyah menjadi bekal agung dalam dakwah. Ruhiyyah itu ibarat petrol pada kenderaan, harus selalu diisi supaya perjalanan lancar dan istiqamah. Ruhiyyah yang segar itu yang memperbaharui keikhlasan.
Ada kata-kata menyebut, iman itu turun dan naik. Benar sekali, arus global yang bergerak pantas menyaksikan kepantasan syaitan melemah segenap kekuatan muslim. Mudah sahaja rasa bersemangat di pagi hari, namun di petang hari imannya kembali memudar. Hanya mujahadah dan hati yang sering zikrullah jua zikrulmaut dapat memelihara diri dari godaan dunia dan tipudaya syaitan.
Duhai pemuda daie di kampus, kitakah yang sering berprogram ke tengah malam hingga lelah tidak terbangun untuk solat malam? Malah subuhnya sering di penghujung waktu...? Kita kah berprogram menjaga kebajikan teman sekampus, adakah kita juga prihatin urusan ibu ayah yang menanti kehadiran kita memberi warna baru dalam musykilah keluarga yang tak kunjung habis..?
Kitakah yang rancak bersembang hal dakwah namun tidak rancak bertilawah dan tadabbur sedangkan Al Quran itulah yang menyalurkan kekuatan terhebat pada para sahabat dalam memperjuangkan Islam. Mungkin kah benar menyeru pada ALLAH jika Al Quran dan solat tahajjud tidak menjadi sumber rujukan, ketenangan dan kekuatan para daie sekalian.
InsyaALLAH sama-sama kita kembali cerdas dalam berorganisasi, dan meningkatkan wawasan pemikiran dengan pembacaan dan pengkajian ilmu. Bersama juga kita meningkatkan sensitiviti menjaga 'keamanan' perjalanan dakwah untuk jangka panjang di samping menjadi teladan dalam beramal. Dan teruslah kesegaran ruhiyyah di jaga agar kita sering ikhlas dan istiqamah di jalan para rasul.
Inilah sedikit sebanyak perkongsian saya yang belajar untuk bersama-sama kalian mencari redhaNYA, insyaALLAH marilah kita sama-sama memuhasabah diri memberi yang terbaik dalam amanah yang ditunaikan.