Wednesday, July 17, 2013

Pernikahan: Cara lembutkan hati pasangan





Cara lembutkan hati pasangan?

Antaranya ialah, mulakan dengan melembutkan hati sendiri, melembutkan nada dan pilihan tuturkata kita sebagai isteri, melembutkan akhlak dan peribadi kita seluruhnya. Di samping berdoa agar ALLAH melembutkan akhlak pasangan kita.

Setuju tak? :)

Dalam hadis sahih disebut, ALLAH itu Maha Lembut, ALLAH mencintai kelembutan... moga kelembutan kita mendorong pasangan atau siapa saja untuk berlembut dalam interaksi dengan kita.

____

Begitu meluas petua baca dan hembus ayat Quran kepada pasangan terutama kepada suami, agar pasangan suami/isteri jadi lembut hati dan baik..

Setakat yang saya faham, ayat ayat quran itu sesungguhnya penawar dan pelembut hati pada insan yang membaca dan berusaha mengamalkan pada segenap kehidupan, bukan sekadar ditiup dihembus..

Bila quran itu difahami, dihayati, pastilah kita jadi isteri yang cantik akhlak dan peribadi, yang berhikmah tutur kata dan menjaga penampilan luaran dan dalam - yang dengan izin Allah suami akan sayang dan lembut hati dengan kita..

Pada saya dan kita semua, sebelum hembus leher/ubun-ubun suami sembunyi sembunyi dengan ayat Quran - kita ini sudah kah hari hari baca Quran dan beramal dengan Quran..?

Kalau saya dan kalian sebagai wanita isteri ibu tak dekat dengan Quran, kita sendirilah punca rasa tak tenang dan huru hara dalam diri..kan.. ? (Sebelum salahkan suami dan anak anak atau orang lain kerana buat kita stress..)

Sekadar pandangan.. ;)

_______________

Seorang isteri berkongsi pengalamannya, bahawa beliau dahulu seorang isteri yang pemarah namun kesabaran dan kasih sayang suami dalam berdampingan dengannya mengubah banyak sifat pemarahnya...walau ia mengambil masa hampir 10 tahun usia rumahtangga. Beliau kini mensyukuri amat kesabaran suami, dan malu bila mengenangkan kekasaran kata kata dan tindakan namun suami bersabar untuk mendidiknya..

Benarlah nasihat dalam kaunseling, kasih sayang adalah ubat kepada banyak perkara. Kalau suami/isteri atau anak anak kita selalu marah marah, berikanlah kasih sayang dalam bentuk yang mereka perlukan. Lambat laun mereka akan kurang rasa nak marah, lebih bertenang, lebih lembut kerana merasa disayangi dan difahami..kenali bahasa cinta mereka yang utama.

Kasih sayang, kesabaran dan kelembutan akan selalu menang, namun ia adalah proses mujahadah dan islah (perbaikan diri) yang panjang..jangan putus asa ok  :)

♡ Water is soft yet it can make a hole in a hard rock..masyaAllah... ♡


Sekian, moga bermanfaat. 



Sunday, July 14, 2013

Sebelum kahwin muda...




"Kak..saya pun sebenarnya teringin nak kahwin muda.."luah seorang gadis bila musim cuti sekolah ini bersamaan dengan rancaknya musim orang kahwin. Sebilangan insan bujang rasa cemburu pilu terdera tergugat hati melihat kemesraan dan kemanisan bahagia terpancar di wajah teman-teman yang selamat bernikah, dan sebahagian besar lain tumpang bahagia dengan kebahagiaan kawan-kawan.

(Jadi saya setuju juga dengan cadangan limitkan gambar sweet kalian suami isteri di paparan umum macam fb ini, supaya kecemburuan atau kepiluan hati orang bujang dapat diminima.. gambar-gambar tu jadikan simpanan peribadi, nanti time gaduh suami isteri - boleh tengok gambar-gambar tu dan muhasabah - bukankah aku pernah bahagia, sweet dengan dia )

"Kak setuju Aminah nak kahwin muda, memang kak sendiri secara peribadi galakkan sesiapa nak kahwin awal dengan syarat perlu serius tambah ilmu dan kematangan, dan mesti ada guide.. tapi sebelum masuk alam rumahtangga, perlu ada sesuatu yang besar dalam hidup, sesuatu yang nak dicari atau dicapai..kalau tak nanti,....." jelas kakak kaunselor amatur

"Aminah nak kahwin sebab rasa bersalah dah bercinta sakan sebelum masanya..?Selalu contact, selalu dating...? Sebab dah sayang sangat dengan lelaki tu...? sebab nak hilangkan rindu yang menggebu?" sambung kaunselor amatur.

"Memang berkahwin ALLAH jadikan untuk raikan fitrah cinta mencintai..rindu merindui..tapi nanti dah makan semeja, tidur sekatil, jalan sekereta , dah tahu wangi busuk pasangan, dah gaduh dah benci..masa tu sekelip mata rindu sayang boleh hilang... bila dah hilang cinta sayang, nak bercerai...?? nak carik pulak orang lain untuk dicintai dan dirindui..?"

"Aminah boleh kahwin..tapi perkahwinan dan rumahtangga tu aminah nak bawak ke mana..? Apa matlamat hidup Aminah..apa yang Aminah nak sebenarnya dalam hidup ni. Supaya nanti kalau kahwin, waktu aminah dan suami buntu gaduh konflik, Aminah boleh bangun teruskan capai matlamat besar..bantu suami bangun untuk capai perkara yang lebih besar..hidup tak terhenti dengan perkahwinan.." panjang lebar kakak kaunselor bercakap..apalah agaknya perasaan Aminah

"ok kak..saya rasa saya dah nampak sikit sikit..jadi kak, akak kena bantu saya..saya nak apa ya sebenarnya dalam hidup ni..apa matlamat yang sepatutnya saya perlu ada dalam hidup ni..." ujar Aminah.

__

Doakan Aminah dan kakak kaunselor istiqamah dapat terus bantu membantu berbuat kebaikan, mencari jalan pulang kepada Tuhan....



Thursday, July 11, 2013

Famili: Taaruf, Iman dan Niat




Subhanallah...! Bila kebelakangan ini ALLAH izin banyak dapat input parenting dari sahabat-sahabat bergelar ibu - rasa sangat penting kuasa ilmu dalam mengawal emosi dan tindakan kita sebagai ibu/ayah dalam interaksi dengan anak-anak.

Ilmu+mujahadah+doa= Sabar.

Ada ilmu, tak ada mujahadah - susah nak sabar :(

Mujahadah tanpa ilmu - sabar tak bertahan lama  :O



Ilmu adalah asas segalanya.


----



Banyak persamaan bila kita berusaha mendalami ilmu interaksi dengan suami/ isteri dan ilmu mentadbir anak-anak.

Persamaan pertama, banyak mana pun kita tahu teori memahami psikologi lelaki perempuan, tips menambat hati suami/ isteri etc - tapi kita hanya boleh implemen semua teori itu kalau kita dah banyak taaruf dengan pasangan.

Suami/isteri kita takkan pernah sama dengan orang lain. Kalau kita tak berusaha faham pasangan, tak ada tips yang boleh jalan atau yang berkesan :D

Dengan anak, lagilah banyak tips..how to raise innovative and happier kids etc, positive parenting bla...bla..bla..tapi kena faham dan kenal anak dulu. Setiap anak adalah unik dan berbeza. Sambil 'berkenalan' dengan anak sendiri, sambil cuba aplikasikan mana mana tips yang berkesan.

Kita akan buat salah dalam mendidik dan menghukum anak, rasa bersalah dan menyesal tapi bangunlah, perbaharui niat , improve diri. DOA dan Usaha Agar Allah bantu kita setiap hari jadi lebih baik sebagai ibu bapa :')

Begitu juga dengan suami isteri - kita buat salah, kita gaduh, kita salah faham, salah anggap etc- kita belajar dari kesilapan, kita saling minta maaf dan beri maaf, saling membantu untuk lebih memahami..

Suami isteri, anak anak..kita semua sedang dalam jalan pulang berjumpa Allah..! Sangat perlu saling doa, saling berpesan, saling sayang..!


_____

Persamaan seterusnya dalam interaksi dengan anak dan dengan suami/isteri ialah keharmonian antara kita sangat berkadaran dengan tahap keimanan.

Semakin hati basah dengan iman, semakin halus interaksi kita dengan anak dan pasangan.


Kalau hati kita dekat merasa kebersamaan Allah, menjaga amalan wajib dan sunat, berusaha zikrullah di setiap keadaan, menghindar dosa dan kemaksiatan- kita akan rasa tenang dan bagi efek ketenangan pada suami/isteri kita.

Begitu juga dalam menghadapi perilaku anak anak yang kerap menduga perasaan. Kalau cawan emosi kita penuh dengan manisnya iman, kita akan lebih halus dan lunak menangani kehendak, keperluan dan kerenah anak. Anak tenang dengan kita, kita bahagia dengan anak.

Sesungguhnya kita sangat perlu pada Allah, untuk menguatkan hati ini dengan kesabaran dan keimanan. 


Seperti doa yang diajar oleh Rasulullah saw, 'ya Allah..kurniakan kami perhiasan iman'.

Jom pagi pagi ini kita baca Quran, zikir ma'thur dari Rasulullah saw..etc..moga Allah mengubah situasi luaran kita bila kita ubah jiwa dalaman.


_____________


Saya juga mula memahami dan menyedari satu lagi perkara yang hampir sama dalam bergelar isteri dan ibu.

Ada hari-hari yang apabila bangun dari tidur, kita bertekad untuk menjadi isteri yang lebih baik, kita berjanji untuk lebih baik dalam mengurus rumahtangga, ingin menjadi isteri yang lebih penyabar lagi lebih memahami suami.

Begitu juga menjadi ibu, dengan izin ALLAH- hari ini kita bangun tidur dengan niat dan tekad untuk lebih positif, lebih sabar, dan lebih berhikmah dalam interaksi dengan anak.

Dan sekali lagi, asasnya adalah ilmu. Ilmu akan memandu niat baik kita. Mudah-mudahan.

Bila mengkaji buku serta bahan-bahan tentang psikologi anak, saya menyedari bahawa untuk hidup dengan manusia bernama suami dan anak dalam suasana yang lebih harmoni - kita perlu memahami minda dan psikologi mereka, perlu menyelami perasaan dan sanubari mereka.

Dan dalam hidup bersama suami dan anak - sebenarnya taaruf itu berlangsung sepanjang hayat. Kita dan mereka adalah manusia yang dinamik - sentiasa berubah-ubah. Karakter, kemahuan dan keperluan kita berubah-ubah seiring masa. Menjadi isteri dan ibu yang melihat suami dan anak dari kacamata ilmu psikologi akan membuatkan interaksi kita dengan mereka lebih telus dan lebih harmoni. Menyubur cinta, hormat dan sayang.

__

Sekian buat kali ini ;)





Poligami: Kahwin kerana Nafsu?

:: Setiap langkah dan ujian dalam kehidupan, kutiplah ilmu sebanyaknya..moga ia membimbing kita ke arah bahagia di dunia dan di kehidupan akhirat yang selamanya ::

Kadang rasa tidak adil dengan pandangan negatif masyarakat, di mana:


"Poligami gagal atau kucar kacir, sebab kahwin ikut nafsu."

Sedangkan kalau perkahwinan biasa atau monogami yang berhujung dengan perceraian - tidak pula dikata kan sebagai "haa..itulah akibatnya kahwin ikut nafsu..!!??"

Kalau perkahwinan biasa, pandai pula kita memberi alasan - 'ohh kami bercerai sebab campurtangan mertua', 'dah tak sefahaman', 'isu kewangan yang tak selesai', 'ada orang ketiga',' suami kaki pukul', 'isteri curang', bla..bla..





(Kita tidak biarkan pandangan masyarakat menguasai diri, maka positiflah mengambil pelajaran dari cakap-cakap negatif orang - untuk kita terus muhasabah dan melakukan kebaikan dan perubahan :) )


Sesungguhnya ALLAH lah yang meletakkan nafsu dalam diri manusia dan ALLAH juga menunjuk cara untuk mengendalikannya antaranya melalui pernikahan, poligami atau monogami.

Jadi harmoninya pernikahan sangat bergantung kepada cara kita mengendalikan hawa nafsu dan itu perlukan ilmu agama/ilmu ALLAH.

Poligami atau monogami- ramai yang berakhir perceraian kerana gagal mengawal nafsu dalam bersikap/dalam bertindak, dalam berbelanja atau dalam berbicara dan sebagainya.

Jom kita teruskan mencari ilmu, agar dengannya kita dapat mengawal nafsu, membentuk akhlak indah, membawa diri kita bertanggungjawab kerana takutkan tuhan seterusnya menggapai keharmonian perkahwinan - monogami atau poligami.

Rasulullah saw menganjurkan kita mencari pasangan beragama. Kitalah insan dicari atau dinanti itu. Maka persiapkan diri kita sendiri menjadi insan teguh beragama, menjadi pasangan yang bersedia untuk beramal soleh di ladang rumahtangga, bukan sekadar melihat nilai agama pasangan atau orang lain.

Nothing can prepare you for a successful marriage better than an in-depth knowledge and understanding oF Islam.




Tuesday, July 9, 2013

Mencari pemimpin rumahtangga?


Untuk yang mencari dan memilih jodoh, sebelum kita mengharap muncul calon yang baik menjadi teman hidup, jadikanlah diri kita calon suami/isteri yang baik di mata Allah.

Allah pasti bagi jodoh terbaik untuk kita, setelah kita berusaha jadi insan yang baik baik..

Jodoh yang baik bukan sekadar bermaksud peribadi suami/isteri itu yang baik namun jodoh yang baik itu juga bermaksud akan datang dengan pakej kebaikan dan cabaran yang menghamparkan ruang untuk kita terus memperbaiki nilai diri di sisi Allah.

*Begitu juga tidak boleh hanya sekadar mengharap kepada calon pemimpin atau pemerintah yang baik jika kita tak bersungguh jadi rakyat yang mentaati Allah di segenap urusan kehidupan.

Dalam menyelongkar aib pemimpin, jangan lupa memuhasabah aib sendiri.
 ___________

Membaca dan merenung bait bait tulisan yang mendatangi inbox, tentang soal perasaan, pernikahan, menjadi isteri kedua, menjadi isteri pertama - semuanya membicara soal perasaan.

Saya juga insan yang boleh bercakap tanpa henti berjam-jam soal perasaan.

Namun insafilah wahai diri ini, dan saudara muslimah yang dikasihi - andai perasaan kita hanya berputar pada orbit cinta suami, cinta lelaki - tanpa orientasi cinta tuhan - serabutnya perjalanan perasaan...kan?

Kalau nak kahwin menjadi isteri kedua - asasnya hanya kerana perasaan pada lelaki yang telah menjadi suami orang - rindu sayang, dah rapat, tak boleh berpisah, saling mencintai, saling teringat, kekasih lama - kalau hanya ini - seolah dah boleh baca skrip hidup seterusnya.

Lepas bernikah, skrip jadi isteri kedua - tak bahagia, tiada lagi cinta, madu mengganggu, suami tak memberi bahagia, kami dah tak boleh bersama.. sampai sini saja. Noktah.

Kahwin bukan pil ajaib memudahkan jalan hidup kita dan menyelesaikan keserabutan perasaan kita kalau perasaan kita ini tak pernah rasa tenang dengan merasa kedekatan Tuhan. Sangat serabut jika tak menyedari tujuan kita diciptakan.

Kahwin dengan orang yang kita meluap rasa cinta tak akan bukakan pintu bahagia - malah mungkin buka pintu derita seterusnya - kalau kita tak pernah rasa erti cinta kerana tuhan, memberi kerana tuhan, menahan kerana tuhan, berkongsi kerana tuhan...

MOga ALLAH bantu saya dan kita mengecapi kemanisan iman - ANTARA nya mencintai seseorang hanya kerana ALLAH - yang dengan kemanisan itulah kita mampu merasai kemanisan hidup dalam ujian susah senang yang ALLAH pergilirkan dalam kehidupan.



Thursday, July 4, 2013

Doa, Ujian dan Kekuatan Hati




Assalammualaikum wa rahmatullah

Moga semuanya berada dalam kesihatan dan kemanisan iman..

Ada sahabat yang sedang melalui proses taaruf (suaikenal) untuk bernikah. Ada yang sedang dalam proses ke arah keluarga poligami sebagai isteri pertama dan isteri kedua. Ada yang baru beberapa minggu suaminya bernikah lagi...dan bermacam ujian.

Semuanya sedang berada dalam fasa ujian masing masing. Ujian kesenangan dan ujian kesusahan.

Yang saya nak pesan pada diri sendiri dan kalian yang dikasihi, berdoalah sepenuh hati
kepada Allah.

Berdoa sebenarnya bukan tindakan pasif. Berdoa adalah nafas dan harapan untuk terus positif dengan ranjau kehidupan.

Berdoa adalah peneman sejati kepada usaha dan ikhtiar mencari penyelesaian, meraih ketenangan.

Berdoa kepada Allah, satu satunya Tuhan - sebenarnya beerti kita mengaktifkan hati, membangun interaksi dan hubungan peribadi dengan Tuhan - agar makin intim, dekat, ingat kepadaNya jauh lebih hebat dari hati kita terpaut pada cinta manusia, cinta harta, cinta dunia dan seluruh isinya...



Love, nurul



 


Wednesday, July 3, 2013

Buat baik: Perkara asas rumahtangga harmoni



Allah Maha Baik, Allah sangat baik dengan kita semua..kita selalu buat salah dan dosa, Allah tetap bagi peluang taubat pada kita dan tak hentikan nikmat kurniaNya pada kita. Kalau kita jadi hamba yang baik, lagi dapat banyak kebaikan khusus dari Allah - anugerah istimewa untuk hambaNya yang beriman dan bertaqwa.

----

Hari ni saya suka mengingatkan diri saya dan sahabat semua tentang nilai berbuat baik pada pada pasangan bernama suami dan isteri.

Pernikahan yang indah itu terbina atas siri-siri kebaikan yang KITA BERIKAN kepada pasangan. Kerana ALLAH.

Apa contoh kebaikan..?

E.g Setiap hari pasangan suami isteri bekerja akan sibuk bersiap untuk keluar rumah, uruskan anak dan diri sendiri. Atau suami bekerja, tinggalkan isteri mengurus rumah dan anak-anak.

Bangun tidur, sempatkan seminit dua untuk say salaam/Good Morning, tanya khabar pasangan, sayang tidur lena ke, sihat ke, sakit ke disulami pelukan mesra dan sebuah ciuman. Kata kata baik dan sentuhan lembut mesra adalah adalah antara hadiah terbaik dari kita kepada pasangan malah ia kebaikan yang besar dalam menghidupkan semangat dan tanggungjawab dalam rumahtangga.

Buat keputusan untuk berbuat baik kepada pasangan selalu - plan dan target apa kebaikan kita nak beri hari ini kalau kita tak biasa, dan pasangan kita deserve untuk dapat kebaikan kita sekalipun kita rasa 'dia tak buat baik apa pun kat kita..dia buat tak peduli dengan kita..dia bukan fikir perasaan kita pun..etc..etc'

Nasihat kaunselor perkahwinan di luar sana, tetaplah berbuat baik sekalipun pasangan itu macam negatif selalu dengan kita- selama enam bulan - insyaALLAH sikap suami atau isteri akan berubah jadi baik kerana tersentuh dan terpengaruh dengan kebaikan yang kita beri.

Tapi sebenarnya, kaunselor lain menasihati bahawa bila isteri dan suami bersungguh mengikhkaskan hati kerana Allah, memberi dan berbuat baik kerana Allah, paling lama dua minggu saja - suami atau isteri akan berubah interaksi jadi lebih baik dengan kita. Malah tak payah 2 minggu, selepas beberapa hari kita mula bercakap dengan nada hormat, sejuk, penuh kasih, lembut - pasangan akan berubah. Tak percaya? Tanyalah psikologist/ pengarang buku 'Have a New Husband by Friday'  :D

Kita kahwin untuk tenang dan bahagia, jangan tunggu kebahagiaan dan kemanisan itu datang dengan pos laju ke rumah kita. Kita kena mula, bina dan nikmati hasilnya insya Allah.

Dulu kita terima dia sebagai suami atau isteri sebab kita rasa dia baik, sekarang bila banyak kelemahannya tertonjol - kita dah rasa dia tak baik, dan kita malas nak buat baik pada dia?

Jangan..! Kita buat baik sebab Allah, bukan sebab dia manusia. Ya, semangat akan lemah dengan interaksi buruk manusia pada kita - tetapi perbaharuilah niat - hidup matiku untuk Allah. Bila bila masa Allah juga boleh perbaharui hubungan suami isteri yang dah cedera parah itu menjadi sihat dan indah.

Syaratnya, kita perlu berusaha. Kita seorang pun usaha, akan ada jalannya. Moga kebaikan dari kita jadi sebab untuk suami/isteri dapat hidayah Allah - menjadi suami penuh cinta, menjadi isteri penuh pesona..

Kita kan dulu bersemangat untuk mencintai dia dengan teori bercinta kerana Allah, di jalan D&T aku menikah, Ku pinang dikau dengan Hamdalah, Mencintai Selalu, Setia Hujung Nyawa etc .. sekarang buktikan.. ^_^

-----

Kebaikan sikap dan kata kata dalam interaksi kita dengan pasangan tak tertukar ganti dengan wang ringgit, rupa paras kacak jelita, atau nilai material lainnya.

Bahagiakan diri kita dan pasangan kita dengan kebaikan yang kita usahakan kerana mengharap redha Allah - moga menjadi amal soleh di sisiNya.

Kindness is contagious. Kindness will guarantee happiness - Ini janji Allah.

"If you are not prepared to be kind to your spouse, you are writing yourself a prescription for a failed relationship.

...Have a sweet life; behave kindly toward your partner."
 
------
 
 
Contoh lain kebaikan:

- Masakkan untuk suami/belikan makanan untuk isteri
 
- Kalau ada barang misplaced, tolong cari sama-sama - bukan leter dan tolong cari 

- Jadi pendengar yang baik waktu suami atau isteri gembira/sedih
 
- Tolong belikan barang yang diperlukan, dikirim suami/isteri..
 
- Call isteri sesekali dari ofis bertanya khabar/isteri update suami dengan apa apa yg menyenangkan hati
 
Lagi..apa yang kalian para suami atau isteri suka pasangan lakukan..little things..?
 
 
 
 
:)
 
 
 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...