Thursday, June 27, 2013

Ramadhan datang lagi..insyaAllah


Assalammualaikum wa rahmatullah

Moga Allah sampaikan kita kepada Ramadhan. Menjadi wasilah mendorong perubahan ke arah kebaikan..

Monday, June 24, 2013

Syukuri Suami Sementara Ada


 Saya baru pulang dari ziarah seorang isteri yang baru kematian suami. Melihat raut pilu di sebalik senyuman yang diukir, Semoga Allah melimpahkan kesabaran dan memberi pahala serta kebaikan yang banyak kepadanya atas kehilangan itu.

Pada saya dan kita yang masih bergelar isteri, hargailah detik menjadi isteri ini dengan menjadikan diri kita semakin dekat kepada Allah.

Hargailah saat ini dengan mencari ruang dan peluang untuk menabur kebaikan pada suami, dan melakukannya semata mengharap redha Allah.

Syukurilah jawatan isteri ini dengan mensyukuri suami, mencari segala ciri positif dan kebaikannya serta berterima kasih. Moga Allah menambah kebaikan pada perjalanan rumahtangga kita.

Jauh atau dekat, di sujud yang dalam, dalam tadahan doa - doakanlah kebaikan dunia akhirat untuk suami. Doakan dirinya diberi petunjuk dalam menjadi pemimpin keluarga, juga sebagai hamba dan Khalifah Allah.

Doakan suami dikurnia taqwa, kekayaan pekerti, kecukupan dan kesabaran. Mendoakan suami tanpa pengetahuannya beerti mendoakan kebaikan untuk diri isteri juga.

Kita tak tahu hari esok adakah kita masih bergelar isteri. Maafkan suami, dan mohonlah suami memaafkan dan meredhai kita. Perbaiki konflik dan rasa tak senang hati secepat mungkin.

Di sana, ada wanita menunggu mengharap sekian lama untuk bergelar isteri, dan ada juga yang telah tiada gelaran isteri kerana bercerai hidup atau bercerai mati.

Kasihi. Hargai. Hormati. Syukuri - suami yang kita miliki saat ini.






Saturday, June 22, 2013

Seminar Al Quran &; As Sunnah PAKSI 2013


Assalammualaikum wrb 

Ingin saya kongsikan antara poin yang saya perolehi dalam program hari ini di UPM Serdang.

# Ilmu fardu ain dan fardu kifayah adalah dua aspek ilmu yang perlu ada secara bersepadu dalam peribadi seorang muslim. Dari ilmu bersepadu inilah akan lahirnya golongan cendekiawan islam hingga terbangun tamadun islam yang hebat seperti satu ketika dulu.

# Orang agama perlu bijak menjadikan agama itu berfungsi dalam dunia nyata agar masyarakat awam berminat untuk mendekati agama.

# Orang akademik pula perlu mempandaikan diri dalam bidang agama, jika tidak kepandaian yang dimiliki dalam perkara dunia hanya akan mendorong kepada kemungkaran dan kesesatan.

# Dengan diri kita semua berusaha memfokus mendalami ilmu agama dan ilmu dunia, insyaAllah kita dapat menghentikan tanggapan negatif kepada satu sama lain, di mana orang agama merasakan orang awam atau orang professional itu jahil dan sesat. Orang awam pula merasakan orang agama itu kolot dan jumud, serta agama itu tak relevan dalam kehidupan.

# Ilmu Al Quran perlu didahulukan dari ilmu lainnya, ilmu yang bersepadu adalah ilmu dunia yang berpaksikan kepada mentauhidkan Allah.

Bersambung :)



Thursday, June 20, 2013

Abdullah 3 tahun

Abdullah tak sihat..demam nak besar :)

Sekali sekala duduk kat meja tulis papa...

Abdullah dah besar..tak nak diikat dalam seat :O

Abdullah suka Zainab :D

Tolong kemas rumah BR aunty Aishah :O

Naik basikal dengan mama di Bukit Cherakah.. 'mama ni pandai ke naik beskal..' :D

Dengan kawan-kawan di playgroup Mutiara Gombak

Belajar pijak pasir..

Dengan Zainab di library Shah Alam..

Di Big Bad Wolf, Serdang... sabar tunggu mama window shopping :D

DI Bukit Cherakah...

Teman mama ke Masjid As Syarif Meru..

Saya pun ada masalah tau... :O

Kalau saya ngamuk..mama letak dalam bilik air :D

Tidur untuk membesar...deep sleep ... :D

Abdullah suka belajar

Penat gak teman Maktam jual wiper..mana orang nak beli nih... ;D

Konflik identiti satu tika dulu,...moga tak berulang :O Sibuk nak pakai telekung selalu..

Tempat fevret Abdullah, library Shah Alam...ada duck yang comel comel ;)     





"There is no single effort more radical in its potential for saving the world than a transformation in the way we raise our children." - Marianne Williamson

Moga ALLAH bantu saya dan kita semua mengubah dunia ini dengan kita mengubah cara mendidik anak <3 font="">

Saya letak gambar sebab blog ini dah sunyi sepi, saya tiada frekuensi nak update blog dengan tulisan... :(

Terima kasih mengunjungi blog saya, doakan saya istiqamah beriman dan berkongsi kebaikan :) Sayang semua...



 



Friday, June 7, 2013

Tanda Mencintai Rasulullah SAW



:: Antara anjuran dan suruhan Rasulullah saw kepada kita ::

Assalammualaikum wa rahmatullah

Tazkeerah untuk diri saya dan sahabat pembaca semua - andai benar kita mencintai Baginda saw, lakukanlah bukti kecintaan ini, terapkan pada diri, pada famili dan insan lain agar semua merasai nikmat punya Islam, ALLAH dan Rasul.

{Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Muhammad), nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.}

  [Surah Aali Imran: 31].
_____________________

Bukti dan Tanda Cinta Terhadap

Rasulullah SAW

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين، وبعد.

Mencintai Rasulullah saw merupakan kewajipan bagi setiap muslim dan semuanya mengaku ingin mencintainya, namun tidak semua pengakuan itu benar dan tidak semua keinginan itu baik. Oleh kerana itu diperlukan bukti dan tanda yang dapat dijadikan dalil kebenaran pengakuan cinta terhadap Rasulullah saw.

 Ini kerana apabila pengakuan tidak dibuktikan dengan dalil yang nyata, maka tentulah banyak orang membuat kerosakan dan kekacauan dengan pengakuan-pengakuan dusta, sebagaimana sabda Rasulullah saw:


(( لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لادَّعَى نَاسٌ دِمَاءَ رِجَالٍ وَأَمْوَالَهُمْ)) رواه البخاري ومسلم.
“Seandainya manusia diberikan (diterima) semua pengakuannya, tentulah ramai orang yang menuntut darah dan harta orang lain.” [HR: Al-Bukhari]

Maka wajib atas setiap muslim mengetahui bukti dan tanda kecintaan kepada Rasulullah saw dan mengamalkan serta merealisasikannya dalam kehidupan seharian mereka. Jadi, bukti dan tanda-tanda tersebut menunjukkan kecintaannya yang hakiki, semakin banyak memiliki bukti dan tanda tersebut maka semakin tinggi dan sempurna kecintaannya kepada Rasulullah saw.

Di antara bukti dan tanda-tanda tersebut adalah:

1. Mencontohi dan mengamalkan sunnah Baginda saw.
 
Mencontohi, mengikuti Rasulullah saw dan berjalan di atas manhaj Baginda saw serta berpegang teguh dan mengamalkan seluruh perkataan dan perbuatan Baginda saw adalah tanda pertama cintakan Rasulullah saw. Bahkan orang yang benar-benar mencintai Rasulullah saw adalah orang yang mengikuti Rasulullah saw secara zahir dan batin serta selalu menyesuaikan perkataan dan perbuatannya dengan sunnah Rasulullah saw.
Orang yang mencintai Rasulullah saw adalah orang yang bersemangat, berpegang teguh dan menghidupkan ajaran Baginda. Ianya dizahirkan dengan mengamalkan sunnahnya, melaksanakan perintahnya dan menjauhi larangannya dalam perkataan dan perbuatan serta mendahulukan itu semua daripada hawa nafsu dan kelazatannya sebagaimana firman Allah swt:

 
{Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga dan harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.} [Surah At-Taubah:24].

Menghidupkan sunnah dan mengikuti Rasulullah saw dalam setiap langkah kehidupannya adalah bukti kecintaan kepada Rasulullah saw sebagaimana juga menjadi bukti kecintaan kepada Allah. Allah swt berfirman:

{Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.} [Surah Aali Imran: 31].

Berdasarkan hal ini, kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya menuntut natijah mengamalkan hal-hal yang dicintai dan menjauhi yang dilarang dan dibenci oleh Baginda saw. Tidak mungkin ada orang yang mencintai Rasulnya adalah orang yang tidak mahu mengikuti sunnahnya atau bahkan melakukan perkara yang bercanggah dengan ajarannya dengan sengaja.

2. Banyak mengingati dan menyebutnya, kerana orang yang mencintai sesuatu tentu akan sentiasa mengingat dan menyebutnya. Sentiasa ingat kepadanya merupakan sebab kesinambungan kecintaan dan kerberterusannya.

3. Menyampaikan selawat dan salam kepada Rasulullah saw sebagaimana firman Allah:

{Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepada Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.} [Surah Al-Ahzaab: 56].

4. Menyebut keutamaan dan kemuliaan serta sifat, akhlak dan perilaku utama yang Allah berikan kepada Baginda saw, juga mukjizat serta bukti kenabian untuk mengenal kedudukan dan martabat Baginda saw. Demikian juga untuk mengenalkan orang lain dan mengingatkan mereka tentang hal itu agar mereka semakin beriman dan bertambah kecintaan kepada Rasulullah saw.

Ulama’ menyatakan faedah yang boleh didapati dari Selawat ke atas Nabi saw ialah: Seorang ketika banyak menyebut kekasihnya, mengingatinya dihati, mengingati kebaikan-kebaikan dan perkara-perkara yang boleh melahirkan perasaan cinta kepadanya maka semakin berlipat ganda kecintaannya kepada kekasihnya tersebut dan bertambah rindu kepadanya. Apabila dia tidak menyebutnya sama sekali, tidak mengingatinya dan kebaikannya, maka akan berkurangan rasa cinta dihatinya. 

Apabila keadaan ini kuat dihatinya maka lisannya terus memuji dan menyebut kebaikan-kebaikannya. Bertambah dan berkurangnya keadaan ini sesuai dengan perasaan cinta dihatinya dan anggota menjadi saksi kebenaran itu dengan mengamalkannya.

Fadhilat atau kelebihan berselawat ke atas Nabi saw sangat banyak dan sangat masyhur.

5. Bersopan santun dan beradab dengan Baginda saw baik dalam menyebut nama atau memanggilnya, kerana Allah swt telah berfirman:

{Janganlah kamu jadikan panggilan (kepada) Rasulullah saw di antara kamu seperti panggilan sesama kamu. Sesungguhnya Allah telah mengetahui orang-orang yang menarik diri (dari majlis Nabi saw) di antara kamu secara berselindung dan bersembunyi, maka hendaklah orang-orang yang mengikari perintah-Nya beringat serta berjaga-jaga, jangan mereka ditimpa bala bencana atau ditimpa azab yang pedih}. [Surah An-Nuur: 63].

Kata ulama’: Adab yang tinggi terhadap Rasulullah saw adalah menerima sepenuhnya serta tunduk patuh kepada perintahnya. Menerima perkhabarannya dengan penuh penerimaan dan membenarkannya tanpa ada penentangan dengan pemikiran ma’qul (masuk akal), syubhat, keraguan atau mendahulukan pendapat para intelektual dan pemikiran mereka yang tidak betul, dengan hanya berhukum dan menerima, tunduk dan taat kepada Baginda saw sahaja.

6. Berharap dan rindu untuk melihat dan berjumpa dengan Rasulullah saw walaupun terpaksa membayarnya dengan harta dan keluarga

Tanda kecintaan ini dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya:

“Diantara umatku yang paling mencintaiku adalah orang-orang yang hidup selepasku, salah seorang dari mereka sangat ingin melihatku walaupun terpaksa menebus dengan keluarga dan harta.” [HR Muslim].

7. Menyampaikan Nasihat untuk (beriman kepada) Allah, kitab-Nyadan Rasul-Nya.
 
Sabda Rasulullah saw:

“Agama itu adalah nasihat.” Sahabat bertanya: Kepada siapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “Untuk (beriman kepada) Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya dan pemimpin kaum muslimin serta kaum muslimin seluruhnya.” [HR Muslim, No. 55].

Maksud nasihat untuk Nabi itu ialah beriman kepadanya, mentaati perintahnya, mengikuti sunnahnya dan mencintainya.


8. Belajar Al Quran, istiqamah membacanya dan memahami maknanya. Demikian juga belajar sunnahnya, mengajarkannya dan mencintai ahlinya (ahlu sunnah). Imam Al Qadhi Iyaad rahimahullah menyatakan: Diantara tanda-tanda mencintai Rasulullah adalah mencintai Al-Quran yang diturunkan kepadanya dan Baginda saw mengambil petunjuk dan membimbing (manusia) dengannya serta berakhlak dengannya sehingga A’isyah menyatakan:
كَانَ خُلُقُهُ الْقُرْآنَ
“Sesungguhnya Akhlak Baginda saw adalah Al Quran”. [HR Imam Ahmad].

Ibnu Mas’ud ra berkata: “Janganlah seseorang menanyakan untuk dirinya kecuali Al-Quran, apabila ia mencintai Al-Quran maka ia mencintai Allah dan Rasul-Nya”. [lihat: Huquq Al-Nabi 1/343].

9. Mencintai orang yang Rasulullah saw cintai, antaranya:

a. Ahlul-baitnya (keluarga)

Imam Al Baihaqi rahimahullah berkata: “Termasuk dalam lingkungan mencintai Rasulullah saw adalah mencintai ahli bait”. [lihat: Syu’abul Iman: 1/282].

Ulama’ lain pula menyatakan: “Di antara usul ahlus Sunnah wal Jama’ah, mereka mencintai ahli bait Rasulullah saw dan memberikan keutamaan kepada mereka serta menjaga wasiat Rasulullah saw tentang mereka.”
 
Kemudian beliau juga menyatakan: “Ahlul bait Rasulullah saw memiliki hak-hak yang wajib dipelihara, kerana Allah menjadikan untuk mereka hak dalam Al-Khumus, Al fai’ (harta rampasan perang) dan memerintahkan berselawat untuk mereka bersama selawat untuk Rasulullah saw. [lihat: Majmu’ fatawa 3/407]. 
 
b. Para isteri Baginda saw.

Ahlus Sunnah Wal Jama’ah menjaga keutamaan dan hak-hak mereka dan meyakini mereka tidak sama seperti para wanita lainnya, kerana Allah telah membezakannya dalam firman-Nya:

] يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ ۚ [
{Wahai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah sama seperti wanita yang lain.} [Surah Al-Ahzab: 32].

Menjadikan mereka sebagai ibu kaum mukminin dalam firman-Nya:
] وَأَزْوَاجُهُ أُمَّهَاتُهُمْ ۗ [
{Dan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka.} [Surah Al-Ahzaab: 6].

Sehinggakan wajib bagi kita menjaga hak-hak mereka walaupun setelah mereka wafat, berselawat untuk mereka bersama Nabi saw dan memohon keampunan bagi mereka serta menzahirkan pujian dan keutamaan mereka.

c. Para sahabat Baginda saw.

Imam Al-Baihaqi rahimahullah menyatakan: Termasuk dalam kecintaan kepada Nabi saw adalah cinta kepada para sahabat Baginda saw, kerana Allah telah memuji mereka dalam firman-Nya:
 
{Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka: kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaan-Nya, tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka kesan dari sujud. [Surah Al-Fath: 29].

Firman Allah swt juga:

{Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pokok, maka Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan ke atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang hampir (waktunya). [Al-Fath:18].

Kemudian beliau ra menyatakan: “Apabila mereka (para sahabat) telah mendapat kedudukan ini, maka mereka memiliki hak dari kaum muslimin untuk mencintai mereka dan mendekatkan diri kepada Allah dengan kecintaan kepada mereka. Ini kerana apabila Allah meredhai seseorang, maka Dia mencintainya dan wajib atas seorang hamba untuk mencintai orang yang Allah cintai.” [Lihat: Syu’abul Iman: 1/287]. 
 
Umat Islam wajib mencintai sahabat, meredhai mereka dan mendoakan kebaikan untuk mereka.
Rasulullah saw bersabda:

“Janganlah kamu sekelian mencela para sahabatku, demi Allah seandainya salah seorang dari kamu berinfaq emas sebesar bukit Uhud, tidak akan menyamai satu mud (cupak) mereka dan tidak juga separuhnya.” [HR: Al-Bukhari] 

9. Membenci orang yang Allah dan Rasul-Nya benci, memusuhi orang yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya, menjauhi orang yang menyalahi sunnahnya dan Syariah Islam, serta membenci semua perkara yang menyalahi Syariat. Allah swt berfirman:
 
{Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu ialah bapa-bapa, atau anak-anak atau saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menanamkan keimanan dalam hati mereka...} [Al-Mujaadilah: 22].

Seorang mukmin wajib memusuhi kerana Allah dan berkasih sayang kerana Allah. 


Demikianlah sebahagian tanda dan bukti penting kecintaan kita kepada Rasulullah saw, semoga Allah memudahkan kita untuk memiliki dan merealisasikannya dalam kehidupan seharian kita. Wabillahi taufiq.

Rujukan:
1. Huquq An-Nabi ‘Ala Umatihi Fi Dha’il Kitab Was Sunnah, Dr. Muhammad Khalifah Al-Tamimi, Penerbit Adwaa’ Al Salaf, 1418 H,)
2. Mahabbatu An-Nabi Wa Ta’zimuhu. Fahd bin Abdullah Al-Habisyi.
3. [http://ustadzkholid.com/aqidah/bukti-dan-tanda-cinta-rasul/ ]
4. www.abuanasmadani.com

Tulisan:
Akhukum,
Abu Anas Madani, 4 Rabi’ul Awal 1431H.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...