Monday, December 24, 2012

Nasihati dengan cara yang kita sendiri sukai :)




Seorang ukhti bertanya, Rasul saw dulu berdakwah dengan cara sindir sindir dan perli perli ke...?

Semua orang sepakat Rasulullah saw berdakwah dengan cara terbaik, akhlak terbaik, susunan perkataan, nada dan ayat ayat yang baik...

Maka, berkatalah yang baik atau diam.

Secara teori, mudah untuk kita mengungkap berdakwah dengan hikmah, lemah lembut, berbicara mengikut tahap pemikiran, menegur dengan kasih sayang dan kelembutan...

Tetapi saya dan kita kadang terlebih emosi hingga isi yang baik disampaikan dengan cara yang kurang baik - menyindir , memerli, mencela, merendahkan etc - ia tidak sama sekali menyampaikan ilmu dan mesej baik kepada pendengar- dengan cara itu yang sampai mungkin adalah akhlak dan tutur kata yang buruk, kasar dan keras...

Wahai teman teman yang baik, ayuh kita luruskan pena, hati dan lidah. Teori dakwah yang hebat tidak mampu meresapkan ilmu ke hati manusia jika hati kita yang menyampaikan tidak tenang, keruh, marah dan benci.

Lunakkan hati dengan zikrullah dan taqwa. Bertaqwa dalam perkataan dan berbuatan - itulah yang paling dicintai Allah dam Rasulullah. Luaskan hati dengan kesabaran dan kasih sayang.

Berhenti sejenak, berfikirlah, bagaimana kita suka dinasihati dan diberi ilmu, begitulah insan lain mahu dididik dan dinasihati...

Ajak manusia kepada kebenaran, dengan cara yang boleh mempengaruhi jiwa insan, tidak sekadar menyerang dan menjatuhkan kawan dan lawan.

_______________________________


Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia (tidak pula) menjadi dari orang-orang yang beriman dan berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih sayang. (Al-Balad 90:17)
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. (Al-’Asr 103:3)

________________________________




Saya sayang semua :)



Sunday, December 23, 2012

Poligami: Sebelum Bercerai, Uruskan Cemburu




Sebelum bercerai kerana tidak menerima suami bernikah lagi, atau kerana cemburu keterlaluan, ayuh kita sama-sama merawat dan menyembuhkan hati... Sesungguhnya sekeping hati kita inilah yang melalui kehidupan merasa suka duka perit derita. 


Bukan ALLAH tak tahu betapa hati wanita terguris dengan kesedihan dan emosi negatif lain bila suami bernikah lagi namun ALLAH yang Maha Penyayang mahukan hambaNYA mencintai ALLAH lebih dari segalanya. ALLAH meletakkan aturan poligami kerana ALLAH tahu ia mampu ditanggung perasaan isteri sekalipun berat. Allah mahu kita isteri meletakkan cinta dan hati di tempat teratas lagi teragung hingga tiada siapa yang boleh merenggut kebahagiaan yang dirasai.



Bila hati ini kita letak pada cinta manusia, ia sakit dan berderai bila dikecewakan dan dilukakan. Mencintai suami namun suami memilih untuk mencintai lagi, ia sangat melukakan jika kita tak meletakkan cinta suami di bawah cinta ALLAH.



Bila mencintai ALLAH, hati kita akur bahawa cinta manusia tiada abadi dan tidak istimewa. Yang menjadikan cinta manusia istimewa, bila kita memahami dan menyedari bahawa kita dan suami saling mencintai kerana ALLAH, suami mencintai madu kita kerana ALLAH, kita semua akan saling cinta bila meletakkan ALLAH lebih besar dari cinta kita suami isteri.



Sebelum memilih bercerai, berjuanglah membentuk semula erti cinta hakiki dalam jiwa kita. Jika berterusan mengikut rasa, kita tak bahagia dan kita juga akan membalas untuk melukakan orang lain, suami atau madu.



Malah beberapa kes yang kita dengar, di sana ada isteri-isteri meminta cerai kerana tidak mampu menerima suami menikah lagi, setelah bercerai dia mampu pula untuk bercinta dengan suami orang dan melukakan hati isteri pertama kekasihnya..Ini adalah kisah cinta dan jiwa yang serabut...



Kita bahagia kerana kita memilih dan mencari jalan untuk bahagia, tidak ada kesan langsung suami menikah lagi atau tidak. Kita juga sengsara bukan kerana suami memilih berpoligami namun kerana kita tidak memberi jiwa dan makna yang sebenarnya pada hati..



Atas semua ini, tidaklah poligami saja menjadi jalan mencintai tuhan dengan benar, kerana bentuk ujian lain seperti anak, harta, jawatan juga menjadi ujian keimanan adakah kita benar mencintai ALLAH atau mencintai dunia.



Untuk yang diuji poligami, ayuh kita berjuang agar kita kembali mencintai ALLAH dengan tulus, mengajak dan mendoakan suami serta madu-madu kita mencintai ALLAH dengan setia hingga ke akhirnya....

______________________




Saturday, December 22, 2012

Pernikahan: Kuatkan diri dari serangan sihir..!



Dalam masa beberapa hari ini, dua orang pembaca blog berkongsi kisah yang sama melanda mereka - sihir. Seorang rumahtangga monogami, seorang lagi di alam poligami. Saya tidak pasti yang benar berlaku cuma setelah meneliti kisah mereka (dari satu pihak), kedua-duanya berlaku kerana perkahwinan mereka tidak disukai pihak terdekat dengan suami. 

Kepada yang telah menjadi mangsa sihir, ruqyahlah mengikut sumber yang benar. Pada kita yang 'tak tersihir' ini, mantapkan hati dengan zikir ma'thur dari Rasul SAW, moga ALLAh melindungi diri kita dari perbuatan syaitan yang berada di kalangan jin dan manusia...

Teman-temanku semua...ujian pelik-pelik ini bukan untuk kita mengakui kehebatan syaitan dan jin kafir namun untuk membawa kita lebih dekat dengan ALLAH.. Berjumpa bomoh itu syirik, maka janganlah kita melawan kesyirikan dengan kesyirikan yang serupa... syaitan juga yang makin bahagia!

Terus mendekatkan diri dengan ALLAH, tambahkan ilmu agama dan amal soleh, sesungguhnya ALLAh bersama dengan orang yang berjihad, bersabar dan bertaqwa!

dan sesungguhnya ini juga adalah peringatan untuk mereka yang melangkah ke alam pernikahan, bersedialah menanti ujian yang ALLAH design untukmu, bukan masuk ke alam rumahtangga di awang-awangan dengan motivasi nasyid cinta islami apatah lagi di dorong movie romantis yang buat air mata meleleh tanpa disedari...!








______________________________




Friday, December 21, 2012

Jadilah pendidik beriman..!




Untuk slot Akhbar Islami dalam halaqah saya malam tadi, antara berita-berita yang dikongsi adalah situasi masyarakat yang semakin tenat - bunuh, rogol, rompak, ragut, pukul, culik dsb - melambangkan para pelaku itu seolah-olah tidak punya hati dan perasaan...


Sesungguhnya jiwa dan perasaan mereka bukan hilang semalam atau sehari dua lepas, tetapi kerana perasaan mereka juga telah dibunuh samaada dengan perbuatan atau perkataan oleh ibu bapa dan orang orang sekeliling mereka sejak dulu lagi.



Wahai teman-teman yang baik, kita adalah sebahagian dari dunia mereka . Bakal menjadi mangsa mereka. Orang yang jahat tidak terbina satu hari atau satu bulan. Mereka adalah insan-insan yang dilahirkan suci bersih satu tika dulu...



Namun pengalaman dari kecil menginjak remaja hingga dewasa menjadikan hati-hati insan dibentuk oleh keadaaan, jika baik pergaulan dan pengalamannya - baiklah tumbuh keperibadiannya. Jika rosak pembesarannya, rosak peribadinya lagi merosakkan.



Ini bukan sekadar masalah mereka. Kita perlu berbuat sesuatu, kembali kepada sesuatu.



Kita perlukan tarbiyyah - proses membina manusia menjadi insan yang soleh dan musleh. Baiki diri kita dan ajak orang lain memperbaiki diri.



Ibu-ibu, anak-anak kita bukan sekadar perlu makan minum pakai, namun hati mereka perlu diisi iman, Akhlak mereka perlu ditempa dengan akhlak mulia diri.. bermula dengan diri kita menjadi ibu yang bersih perkataan, penampilan , cara hidup dengan cara yang ALLAH dan Rasul redha. Kita mulakan menjadi ibu yang berilmu dan beriman.



Supaya anak ini membesar menjadi insan yang kuat dan teguh hatinya kerana dia tahu kenapa dan kemana dia akan pergi. Jangan biarkan jiwa mereka sakit terluka, akibat ibu bapa yang merosakkannya perlahan-lahan dari kecil - yang tidak menanam sayang, penghargaan, keimanan sebaliknya menyemai kebencian, dendam, kesakitan, kekejian..



Saya seorang ibu kini, saya mengerti tidak mudah untuk saya menjadi ibu. Saya perlukan bantu kalian semua para ibu dan ayah, kerana satu hari nanti anak-anak kita akan saling bertemu dan bergaul. Siapapun kamu, pekerjaan kamu, jadilah peribadi yang mendidik dan mengenalkan insan bernama anak kepada tuhan.



Doktor kah, kerani kah, guru kah, penjual burger kah, penjual wiper kah, suri rumah, bisnes online, pekerja kilang, kerja ofis, usahawan, bekerja di darat, lautan dan udara - jadilah peribadi yang mengajak anak-anak, remaja, orang dewasa dan orang tua kepada ALLAH.



Mulakan dengan diri kita yang megenali dan mencintai ALLAH. Kita tak boleh ubah situasi masyarakat sehari atau sebulan, tapi kita boleh ubah cara kita bersikap, bercakap, berbuat - hari ini.



Ummah ini memerlukan manusia sejati yang mengajak kepada Tuhan. Berikan masamu, hartamu, potensimu, kecantikanmu, ketampananmu, kebijakanmu untuk membawa anak-anakmu dan manusia lain berjaya dunia dan akhirat...! Selamat bertemu tuhan dan bahagia di kehidupan yang berkekalan!



“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang shalih dan berkata, “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?” (Fushshilat: 33)


__________________________


Saya sayang semua :)



Thursday, December 20, 2012

Poligami: Berkongsi Kebaikan




"Takpe ke Kak nurul share tips rumahtangga dengan madu, nanti suami kak nurul rasa madu kak nurul yang baru  ni lagi bagus dari kak nurul ..." tanya seorang muslimah bila kami bersembang tentang poligami, saya kongsikan antara yang boleh dilakukan di alam rumahtangga poligami ialah bantulah isteri kedua atau madu kita menyesuaikan diri dengan suami..


"Takpe , kak aishah (madu saya) pun selalu juga bagi tazkeerah pada kak kalau kak meluah apa-apa masalah atau cabaran... jadi kita sama-sama support each other untuk jadi lebih baik... rumahtangga poligami ni kan keluarga besar kita semua... memang kadang tak boleh lari dari cemburu atau prasangka yang ditimbulkan syaitan, tapi dalam banyak keadaan mendahulukan iman itu lah yang membahagiakan...insyaALLAH itulah yang kita semua mahukan"


Alam poligami ada masa turun dan naik seperti rumahtangga monogami kalian. Ummu Habibah sudi berkongsi suami kerana menginginkan kebaikan suami dikongsi. Isteri yang lain tetap memuji Aishah r.a dan bersangka baik pada beliau, dalam beliau difitnah berzina... ambillah ibrah dari kisah dan petunjuk Rasulullah, kita akan kuat menongkah dugaan... Isteri yang lain menyedekahkan hari dengan kelapangan hati..semua itu lahir dari hati yang beriman. Ya ALLAH jadikanlah perhiasan iman di hati hati kami - insan biasa bernama suami dan isteri menempuh kehidupan yang menjadi ujian.
 


_____________________________


Saya sayang semua :)




Tuesday, December 18, 2012

Bernikah & Bercerai...Di mana kita?




Minggu lepas dua pasangan muda berkongsi kisah rumahtangga yang di ambang perceraian. Cabaran yang saya kira melanda hampir semua pasangan, iaitu cabaran kewangan, cabaran hubungan intim. Isteri makan hati dengan sikap suami, suami makan hati dengan sikap isteri. Cabaran itu adalah di antara banyaknya cabaran lain yang menuntut komitmen rumahtangga suami isteri.


Pada teman-teman yang berlum bernikah, warning: marriage is very hard.



Nanti dah kahwin, tak pelik jika kalian tertanya: Kenapa kahwin ni tak indah macam yang aku bayangkan...?



Kenapa suami/isteri aku ni jauh dari yang aku harapkan..aku dah berkahwin tersalah orang...?



Kenapa perkahwinan aku hambar dan sakit...? 




Saya boleh berkongsi nasihat dan pandangan, dari ilmu dan pengalaman yang sedikit tetapi kalianlah watak utama yang menggerakkan dan menyelamatkan rumahtangga.



Satu berita baik ialah, rumahtangga boleh diselamatkan sekalipun dengan usaha dan kesungguhan satu pihak saja untuk berubah. Isteri atau suami berubah. Kerana untuk rumahtangga runtuh memerlukan kerjasama dua pihak.



Itu yang monogami. Yang poligami pun, minggu ini dua pasangan yang mahu bercerai - mereka tak mampu menanggung ujian rumahtangga. Dan merasakan poligami adalah sebab ribut taufan rumahtangga terlampau berat. 



Sedangkan monogami atau poligami, kamu akan 'berlawan pedang' suami isteri kerana kamu datang dari dunia yang berbeza, terlalu banyak perlu diluruskan dan diadaptasi untuk terus berpimpin tangan hingga ke syurga. Perkahwinan akan memberi kamu kotak-kotak masalah untuk diselesaikan suami isteri. Jangan baling kotak itu ke muka masing-masing, belajar bertanggungjawab dan mengubah diri sendiri.



Ujian empat pasangan ini memberi saya dan kita pelajaran bahawa perkahwinan ini sebenarnya sangat sukar, jika impian pernikahan kamu terhenti setakat kemanisan di bilik tidur atau live happily ever after sebab dah berkahwin dengan Mr/Mrs Right - kamu akan masuk ke jurang yang dalam...



Dr Faizatul dalam kursus semalam, di samping berkongsi ilmu berkaitan kanser - turut memberi nasihat rumahtangga bahawa pencegahan 'kanser rumahtangga' itu bermula dengan diri sendiri yang mula berubah...pasangan akan turut berubah akhirnya insyaALLAH. Be proactive.



Saya setuju, kadang ada juga teman -teman maya saya berkongsi masalah rumahtangga - tetapi bila membedahnya, saya melihat 'kanser rumahtangga' - harapan tipis untuk diselamatkan. Kalau boleh pun kanser rumahtangga itu dirawat, langkah-langkah menyakitkan dan payah perlu diambil... Sanggupkah? Saya yang muda mentah sebagai 'doktor rumahtangga', bukan semua saya sanggup bagi nasihat..ada yang saya suruh balik rumah saja dan berdoa :o



Elakkan kanser rumahtangga sebelum kahwin. 



Ukhti Noraslina jusin berkongsi tisp penting juga dalam circle MUMS Group semalam. Dua perkara penting untuk merasai kemanisan rumahtangga - sakinah, rahmah , mawaddah, adalah pertama, keterikatan hati yang perlu di bina. Dengan ALLAH, dengan suami/isteri, dengan anak-anak. Fahami peribadi suami/isteri. fahami karakter anak yang berbeza-beza.



Kedua, pattern of communication. Pastikan kita bercakap dengan cara yang benar dengan pasangan dan anak-anak. Kata-kata yang baik dan benar (qaulan sadeeda), tepat pada tahap pemikiran dan sentiasa belajar dari kesilapan berinteraksi.



Semua ini memakan masa untuk dibina. Kebahagiaan tidak terbina hanya satu malam, melainkan terukir di atas jalan-jalan airmata, senyuman, kemanisan, kesakitan, kegagalan dan kejayaan yang semuanya datang silih berganti.



_______________________________

Saya sayang semua :)

Sunday, December 16, 2012

Syukur menjadikan hidup indah :)


Sebahagian teman-teman kita telah ke Gaza memberi bantuan yang pelbagai bentuknya...

Sebahagian manusia berjuang meneruskan kehidupan selepas bencana ALLAH didatangkan melalui Sandy.

Adik beradik Sandy, bernama Bhopa turut kini menyerang Philipines, mengorbankan ratusan orang dan kediaman. Sandy dan Bhopa sangat dasyat kehadirannya namun ALLAH memelihara kita dari taufan yang dasyat itu.

Jika hari ini saya dan kamu masih gundah dan punya masalah, bukalah berita bacalah akhhbar dan laporan tentang manusia lain yang jauh lebih sukar, insyaa ALLAH jiwa kita menjadi kuat dan masalah terasa ringan.

Kadang masalah yang melanda kita terasa besar hanya kerana kita di bumi Malaysia ini dalam zon selesa, cukup makan minum, punya tempat berteduh, hanya fikir diri dan perasaan sendiri ...

namun once kita menjenguk ke dunia luar, insan lain yang jauh lebih susah, insan yang bergelut dalam bencana alam, peperangan... akan terhakislah duka duka hati sendiri kerana hati kita telah beralih merasa penderitaan dan kesusahan orang lain...

Konflik Syria yang berterusan, ribuan pelarian di sana sangat getir dengan musim sejuk hampir tiba, tiada selimut, tiada makanan, sekeping roti dikongsi satu famili... sedang kita yang berselimut dan cukup makanan tidak rasa kesyukuran...

Jangan fikir apa yang tiada, hargai apa yang sudah di tangan dan di depan mata - inilah yang mendatangkan bahagia ♥

Oprah memberi pesanan yang intinya dari firman ALLAH:

Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih (Ibrahim: 7)

Bersyukurlah, nikmat hidup akan semakin bertambah..!

#pesanan untuk saya dan kalian yang baik
 
 
______________________________
 
 
 
 
 
 

Friday, December 14, 2012

Kahwin bukan tujuan sebenar.




Saya berkongsi banyak tentang alam pernikahan dan alam poligami, mudah-mudahan tidak memberi mesej yang salah bahawa apa yang kita perlu cari dalam kehidupan ini adalah sekadar cinta manusia yang bahagia dan rumahtangga yang membahagiakan..tidak..!


Saya sekadar memanfaatkan ruang yang ada menasihati diri saya dan teman pembaca semua agar perkahwinan itu dijadikan 'sesuatu' yang membawa kebaikan dunia akhirat.


Apa yang kita cari..?


Saya ingin diri saya dan kamu semua meraih redha dan cinta Tuhan - gunakanlah rumahtangga, anak, suami/isteri, harta, kepandaian, dan segala-gala pemberian ALLAH untuk bawa kita menuju ALLAH dengan hati yang tenang.


ALLAH, Rasul Dan Islam mengajar kita untuk mendapat kebaikan tak kira apa sekali pun situasi kita. 


Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.....; Al Mulk:2


ALLAH nak test kita, jadi: 


Mudah-mudahan kalau kita kaya, kita beriman dan beramal soleh dengan harta.


Mudah-mudahan, kalau kita miskin, kita tetap bersyukur, sabar dan tak putus asa mencari rezeki malah minta sungguh sungguh dengan kemiskinan itu dipercepat masuknya ke syurga.


Kalau kita cantik atau tak cantik, kita tetap bahagia kerana ALLAH melihat hati kita yang bersih dan amal kita yang sahih lagi ikhlas... 


Siapapun kita, gemuk atau kurus, miskin atau kaya, cantik atau kurang hensem, bujang atau duda dan lain-lain nilai diri - kita akan gembira, kaya dan berjaya HANYA dengan nilai iman dan ketaqwaan.


'Kiamat sudah dekat', carilah jalan kembali kepada ALLAH sebelum terlambat bukan macam dalam movie itu yang mencari cinta perempuan untuk mengenali ALLAH. 


This world cannot break you, unless you give it permission. And it cannot own you unless you hand it the keys – unless you give it your heart. And so, if you have handed those keys to dunya for a while, take them back. This isn’t the End. You don’t have to die here. Reclaim your heart and place it with its rightful owner: God.




__________________________






Thursday, December 13, 2012

Poligami: Waktu sesuai untuk berkahwin lagi...?



Teman temanku yang baik semua...Bila ya agaknya situasi yang sesuai untuk suami berkahwin lagi...? 

Pilihlah jawapan kita sendiri ♥ Kerana orang sekeliling kita akan sentiasa mencari alasan untuk menolak sesuatu yang tidak difahami, menentang sesuatu yang pelik lagi tidak disukai...

_________________________________

Seorang suami ditanya, Keluarga yang ada pun tunggang langgang, ada hati kamu nak kahwin lagi?

Bila keluarga dah bahagia:

- Teman saya(isteri pertama) yang menerima calon isteri kedua, ditentang ibunya, "Kamu dah bahagia kahwin lebih 10 tahun kenapa nak cari penyakit terima madu?"

Bila perkahwinan dah lama tak sesuai terima madu, baru kahwin pun salah..

- Kenapa suami kahwin lagi sedangkan kamu baru kahwin 3 tahun, enjoy lah dulu...anak pun baru umur dua tahun...dah bagi suami kahwin lagi?

Bila madu tak cantik:

- Bukannya cantik sangat pun madu kamu tu, agaknya suami kamu tu diguna-guna lah tu...

Bila madu muda belia:

- Cantik budak tu, muda lagi patutlah suami kamu berkenan nak jadikan isteri kedua..

Bila madu bekerjaya:

- Ohh career woman, banyak duit, memanglah lelaki suka... memang dasar lelaki amik kesempatan, mentanglah isteri pertama dia surirumah je...!

Bila dua-dua isteri bekerja:

- Dua dua isteri kerja, suami memang ambil kesempatan ngikis duit isteri..! Bagi lah chance isteri yang ada rehat goyang kaki...!

Bila madu gaji kecil:

- operator kilang je ke madu kamu tu...Patutlah nak kahwin dengan suami kamu, nak ngikis harta suami kamu ler tu!

Bila madu tak cantik tak bergaya:

- Apa hebatnya perempuan tu dari kamu, budak kampung tak bergaya langsung..macammana lah laki kamu boleh pilih perempuan tu jadi isteri kedua..

Bila madu cantik:

- Harap muka je cantik, tapi perampas suami orang...!

Bila madu lebih berusia:

- Kenapa tua sangat madu kamu tu...kamu kan muda lagi.??? Suami kamu dah digulakan janda tua tu ke...????

Bila kahwin sebab nak anak:

- Takde zuriat, amiklah anak angkat ..tak semestinya kawin lagi...

- Yelah saya pun setuju, dah lah isteri tu down takde anak, nanti bertambah down pula kalau suami kawin lagi..

Bila kahwin waktu dah beranak ramai:

- Apa lagi yang kamu nak carik, isteri baik, cantik, anak pun dah berderet...???

Bila poligami duit tak cukup:

- Nape suami kamu gatal nak kahwin... keluarga yang ada ni pun tak cukup-cukup duit.,..!

Bila poligami time kaya:

- Abang dah banyak duit, sampai hati abang lupakan susah payah kita bersama..abang senang hati nak enjoy dengan isteri baru...!

Bila nak poligami time gila-gila:

-Kamu ni yang wajib pun kamu tak tunaikan..penuhkan solat dulu..

Bila nak kahwin time dah jadi warak berkopiah:

- Haaaaa tulah orang lelaki ni kalau dah belajar agama, tak lain mesti nak nikah lagi :C


_____________________________

Sila sambung sketsa poligami masyarakat Malaysia ini, sebelum ada isteri yang mengeluarkan senarai 'kenapa abang perlu kahwin lagi".









Tuesday, December 11, 2012

ALLAH cinta hambaNYA bertaubat..



Ada yang nak kembali kepada Islam sebagai cara hidup, namun merasakan ia satu perkara yang susah. Wahai teman-teman yang baik, ALLAH mahukan kemudahan untuk kita yang bernama manusia, tak ingin mempersulit. teruskan belajar dan mencari ilmu ya, tentang islam as a way of life - insyaALLAH akan ditemukan kemudahan, kemanisan dan nilai hidup yang penuh penghormatan di dalamnya.

Islam bukan agama penghukum namun meraikan kembalinya hamba kepada jalan Tuhan. ALLAH mengampuni dan mensucikan dirimu jika kamu kembali kepada ALLAH.

ALLAH sangat sayang kepada hamba hambaNYA, ingin hambaNYA meraih kebaikan dunia dan akhirat. ALLAH mahu kita semua masuk syurga maka ayuh sambut seruan ALLAH yang Maha Pengasih. (2:221) ALLAH mengajak kita kembali kepadaNYA.

Jangan putus asa dari rahmat Tuhan, ada jalan untuk kembali... Ayuh sama-sama kita bertaubat setiap hari dan memperbaiki diri di mata ALLAH ♥

(Yang demikian ialah kerana) orang-orang kafir itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).








Wednesday, December 5, 2012

Pernikahan: Bahagia dibangun dengan komunikasi




Wahai para pencari Mr Right and Mrs Right, jodoh yang baik tidak jatuh bedebuk dari langit melainkan terbina atas perjalanan rumahtangga yang sukar dan panjang. Bolehlah jumpa yang the right person namun realiti penyesuaian hidup berumahtangga berliku-liku dengan kesulitan dan kesempitan berhias kegembiraan kemanisan - I agree that marriage is not only about finding the right person, but also abo
ut becoming the right person.

Seorang lelaki atau wanita mungkin baik sebagai individu tunggal, namun bila bernikah, hidup berdua, berkongsi katil dan meja makan menuntut kesabaran dan toleransi yang tinggi.

Proses nak bernikah terasa susah, hidup bujang terasa susah dan tak seronok - kamu fikir kalau kahwin dah tak susah dan seronok saja...? Pemikiran sebeginilah yang membuatkan saya dan kita semua terkejut dan sakit ditimpa harapan-harapan dan sangkaan...

Bila dah berkahwin, tiada pilihan melainkan banyak harapan yang perlu dipadam atau ditukar, banyak 'kerja' rumahtangga perlu dilakukan, banyak perubahan yang sulit dan besar perlu dilaksanakan.


Sebelum ini antara nasihat rumahtangga yang dikongsi antaranya adalah tentang menjaga hubungan hati dan diri dengan ALLAH. Semakin teguh hubungan dengan ALLAH dalam ibadah khusus dan umum, akan teguh juga landasan dan bangunan pernikahan. Inshaa ALLAH.

Dalam masa yang sama, satu perkara yang sangat penting untuk kesinambungan dan keharmonian pernikahan adalah - KOMUNIKASI.

Perkahwinan yang harmoni perlu dijauhkan dari budaya 'faham-faham sendiri' di antara suami dan isteri... suami dan isteri ada 'wiring' yang berbeza dalam saling memahami perasaan dan fikiran. Bercakap perkataan yang sama, maksudnya berbeza ! 

Maha Suci ALLAH lagi Maha Hebat menjadikan keunikan insan, jangan pula kita jadikan ia jalan-jalan pergaduhan yang tak berkesudahan :O

Gaduh-gaduh sikit dan sekali sekali itu perlu, malah menguatkan lagi ikatan cinta suami isteri jika ditangani dengan baik..!

Sampai bila nak berkomunikasi?

Banyak mana nak berkomunikasi?

Sampai ke akhir hayat rumahtangga...

Selagi hidup suami/isteri, perlu terus berkomunikasi dan meluruskan perbezaan mencari kesepakatan.

Semakin terbuka dan efektif komunikasi, semakin bahagia dan efektif perjalanan rumahtangga.

Semakin tinggi rasa selamat dan tenang dalam komunikasi, semakin damailah dalam pernikahan.

Jika suka bercakap main belasah, kita mempersiapkan diri untuk hidup gundah.

JIka tak berusaha memahami hati suami/isteri, tiada siapa pula yang sudi memahami kita.

Bab kewangan perlu dibincang dengan baik, cukup wang hati tenang. Kalau duit tak cukup, komunikasilah yang akan membantu suami isteri terus saling meniupkan kesabaran dan berkasih sayang dalam kekurangan.

Rumahtangga sebelum ada anak rupanya lain. Selepas anak serorang berubah suasana, makin anak bertambah juga jadi lain. Setiap fasa itu perlu komunikasi yang mendalam, mendengar dengan perhatian, fahami kebimbangan dan kehendak pasangan - insyaALLAH mampu terus berpimpin tangan mengukuhkan rumahtangga.

Berkahwin salah satunya kerana dorongan menyalurkan nafsu secara halal... namun good sex begins with good communication. Suami isteri perlu saling belajar, saling terbuka dan saling memahami situasi dan peranan masing -masing agar kurnia ALLAH dalam pernikahan tidak menjadi fitnah.

Masa tak cukup dengan pasangan bukan sekadar isu masa yang tetap 24 jam tetapi isu memahami hak, keperluan dan keinginan pasangan. Perlu faham dan sepakat dengan aktiviti yang utama dalam keluarga.

Perkahwinan adalah proses toleransi yang tinggi, proses membuang selfish, proses menjadi lebih empati bukan ikut rasa hati, proses jadi rajin berfikir rajin berkhidmat - bukan 'aaahhh malas aku nak fikir', proses melihat kebaikan dan positif pada cabaran dan kelemahan pasangan, proses membantu pasangan memanfaatkan diri masing-masing sebagai hamba ALLAH dan khalifah ALLAH..

Kalau sekadar berangan-angan betapa sweetnya 'Aku Terima Nikahnya' mungkin tak lama selepas itu 'Aku ceraikan Dikau' dengan mudahnya... Bukan suami saja ada kuasa menceraikan, isteri zaman moden ini juga sangat berani dan tak kisah 'menceraikan' suami...!

Pada lelaki, bersedialah dengan keistimewaan dan kecacamarbaan melayan wanita bernama isteri yang berkelok-kelok emosinya...! Bersedialah menghargai kebaikan mereka dan bersedialah hadapi kehidupan dengan makhluk yang banyak kasut, handbag dan almari pakaian...! dan sedarlah bahawa kebanyakan kes perceraian hari ini adalah dari usaha dan kemahuan isteri..!

Pada wanita, bersedia menghadapi kehidupan logik seorang lelaki dan menjadi tulang belakangnya dan sayapnya dan segala... Lelaki yang gagah sekalipun akan lemah tanpa kamu sebagai tulang belakang! dan dia akan nak tambah tulang belakang :O 

Lelaki yang bagi banyak kata-kata manis masa zaman couple dan banyak belanja kamu makan dan keluar zaman bercinta sangat tinggi kemungkinan untuk dia minta kamu pula bantu dia makan dan minum dan berjalan bila dah berkahwin...! Bersedialah untuk itu!

Apapun, melalui pernikahan dengan nilai iman dan pedoman tuhan - selalu ada bantuan dan jalan keluar untuk mereka yang menghadapi kesulita rumahtangga. Bernikahlah dan kembalilah kepada ALLAH ♥





Sunday, December 2, 2012

Setia Mencintai ALLAH ^_^




Poligami sekian lama menjadi sesuatu yang pelik, janggal, menakutkan dan mendebarkan hati saya dan kita semua, antara sebabnya,  kerana sekian lama kita diindoktrin dengan "Kau Yang Satu', 'Ku Milikmu', "Cinta Abadi', 'Kau dan Aku' - tema-tema yang hadir dalam novel, drama, filem yang semuanya mengarah cinta manusia... 

Bila datang insan lain yang turut mencintai dan dicintai suami kita, saya fahamiah 'kegilaan' dan 'kecelaruan' yang menyerang isteri kerana saya juga merasa 'rasukan' bila mendahulukan cinta dunia, cinta manusia lebih dari mencintai ALLAH...

Setia pada kita beerti kekasih/suami tidak pergi kepada perempuan lain. Setia beerti hidup bersama berdua sampai mati. Salahkah erti setia sebegitu...? Mungkinlah tak salah tetapi rendah...kita akan sakit dengan perkara yang rendah. Saya juga pernah beberapa kali sakit kerana cinta dan setia yang rendah. Jadi sekarang saya dan kita semua perlu belajar mencari cinta dan setia yang tinggi...

Mungkin perlu diubah dan dipelajari semula makna setia. 

Bila saya dan kekasih saya setia, maknanya kami setia mencintai yang tertinggi. Selagi kami berdua mencintai Tuhan Yang Tertinggi, mentaati, mengabdi diri, maka kita bahagia dan damai dalam hubungan kasih sayang kita dengan insan lain, suami, isteri, ibu ayah, anak-anak, teman-teman - kerana setia kita kepada Kekasih teragung, ALLAH yang Maha Tinggi..

Perkongsian di bawah oleh Ustazah Noraslina Jusin, moga membantu kita tak hanyut dengan cinta manusia, kecewa dan terus kecewa kerana kita salah memaknakan cinta dan setia.

________________________________________


Ada sesiapa di kalangan sahabat yang sudah memiliki dan membaca SOLUSI Isu 49 ? Sudah mendapatkan makna SETIA yang pernah saya (Ustazah Noraslina) perkatakan dulu?

Berat hati wanita saya ini yang menulis tentangnya, berat lagi saya memikirkan kebenaran yang 

perlu disampaikan; yang dengannya saya akan dipertanggungjawabkan di akhirat sana...

Berikut petikan lengkap artikel yang saya hantar sebelum diedit oleh pihak editor majalah )

Semoga bermanfaat, sesungguhnya tiada daya dan upaya kita melainkan dengan kekuatan dari Yang Maha Kaya 



:)

**********************************************

“Jika suami saya nak berpoligami, saya tak kisah, cuma satu sahaja permintaan saya padanya. Sila bayar semula semua bantuan duit-duit yang saya tolong bayar sepanjang kami berumah tangga. Kalau benar mampu sehingga mahu berkahwin dua, bayar la balik. Kalau tak mampu, saya dengan tulus hati menghalalkan semuanya. Saya bekerja pun kerana nak meringankan bebannya.” Begitu luahan seorang wanita kepada saya.

Jarak yang memisahkan dia dan suami selama lima tahun perkahwinan mereka menjadi sebab si suami bersuara untuk berkahwin lagi. Rumahtangga yang sunyi dari gelak tawa cahaya mata menambah ‘jarak’ sedia ada antara keduanya. Lantas, pengorbanan wang ringgit kepada suami dalam membantu kestabilan ekonomi rumahtangga mereka sepanjang tempoh itu dirasakannya bagai sia-sia.

Dan hari ini, dia menelefon saya, meminta untuk berjumpa bagi meluah rasa.

“Hmmm, kalau begitu jawapannya…sama je macam tak bagi. Izin bersyarat namanya tu.” Saya mengusik.

Mendengar kata-kata saya, dia tersenyum. Itu pun sebentar sahaja, setelah kemudian riak wajahnya kembali mendatar. Suram dan kelam. Hanya keluhan berat dilepaskan. Dahinya berkerut, matanya berair seakan mahu menangis. Namun, cepat-cepat diseka bibir matanya dengan tisu yang sejak tadi begitu kejap dalam genggaman tangannya.

“Saya tak kuat nak menghadapinya. Jadi, jika ianya berlaku saya lebih rela berpisah sahaja sebab tak sanggup nak hadapi dan mentaati suami selepas itu. Nanti, tak pasal-pasal saya masuk neraka. Lebih baik saya hidup sendiri, memang sakit pada mulanya, tapi lama-kelamaan, hilanglah… insyaAllah.” Getusnya lagi, dalam nada ketar antara cemas dan harap menyorot perjalanan hidup yang belum pasti di hadapan.

“Kerana cemburu?”Pantas saya bertanya. Sebagai seorang wanita sepertinya, bila berbicara tentang topik poligami, saya mengakui bahawa perasaan yang satu ini memang sukar ditolak walau suami sekadar bersenda gurau. Poligami, bagi rata-rata orang perempuan bukan subjek gurauan.

Bimbang, dalam bergurau ada harapan yang tersimpan. Orang lelakikan…

“Saya ni perempuan kak. Kata orang, bagai mentimun dengan durian. Digolek saya luka, tergolek pun saya juga yang merana.” Luahnya lagi. Saya hanya diam mendengarnya meluahkan segala yang terbuku di hati.

“Orang lelaki seronoklah! Tapi, kenapa ye kak? Tak ramai suami hari ini yang mahu ikut jejak langkah Rasulullah, setianya baginda, berkahwin lain hanya setelah kewafatan Khadijah?” Tiba-tiba sahaja dia ‘membawa masuk’ sosok mulia ini dalam perbualan kami.

Buat kesekian kalinya saya tersenyum. Acap kali saya membaca dan mendengar tentang hujah ini digunapakai dalam merujuk kesetiaan Rasulullah SAW bersama Khadijah tanpa kehadiran wanita lain bergelar isteri baginda sepanjang dua puluh tahun lebih perkahwinan mereka.

KISAH SETIA


“Ukhti tahu makna setia?” Saya bertanya. Alang-alang dia menyebut tentang setia, mungkin berbicara tentangnya dapat membuka mata dan jiwa.

Dia memandang tepat ke anak mata saya sejurus soalan itu ditanya. Seakan sedikit terkejut dengan soalan yang tiba-tiba.
“Bagi saya, setia ialah tidak menduakan. Kasih dan sayang hanya pada yang satu, tidak terbahagi ke sana dan sini.” Tulus jawapan yang dilontarkannya pada pendengaran saya.

”Kalau kakak katakan itu bukan maksud yang tepat untuk setia, bagaimana? “ Sekali lagi saya mengasak dengan soalan yang tidak diduganya. Kali ini dia diam, tidak terus memberikan pandangan.


“Kakak katakan, maksud yang ukhti nyatakan tadi hanyalah setia dari sudut emosi dan perasaan semata, kerana ia satu keinginan normal yang diimpikan ramai pencinta tapi ia bukan maksud sebenar setia dalam ertikata iman dan takwa.” Saya cuba menjelaskan seringkas mungkin.

Mendengar itu, matanya dikecilkan, dahinya dikerutkan.
“Saya tak faham kak….” Tepat tekaan saya. Dia mahukan penjelasan lanjut tentang setia!

“Cuba ukhti dengarkan dulu kisah menarik ini…” Saya menyambut kata-katanya dan mula bercerita.

WANITA TABAH


Sungguhpun jiwanya pedih saat mengetahui perkahwinan kedua suami, namun dia menerima dengan pasrah segala ketentuan Yang Maha Esa.

Sedangkan…..

Setiap saat guruh di langit berdentum hebat, tika bumi hampir bah ditimpa hujan lebat, dia memandang ke langit yang tinggi, menadah tangan ke hadrat ILAHI agar suami yang jauh dari mata kerana bekerja di perantauan selamat dan terpelihara dari sebarang bencana.

Bila ditanya mengapa dia pasrah menerima semua itu, dengan tenang dia menutur bicara :

“Kerana bernikah lagi secara sah menurut hukum agama, bukanlah satu perkara aib.”

Orang yang mendengar agak kehairanan lalu dia diasak lagi dengan persoalan yang menyentuh riak rasanya sebagai seorang wanita. Sekali lagi, dia menjawab dengan jiwa kental seorang muslimah mukminah solehah :

“Selama ini saya tidak lelah berdoa kepada ALLAH, memohon supaya suami dipelihara oleh-NYA…lantas, bila mengetahui suami berkahwin lagi, membuatkan saya berfikir, jangan-jangan…..dengan suami bernikah kedua kali ini, adalah cara ALLAH mengabulkan doa saya, menjaga suami dari melakukan maksiat, atau supaya suami saya ada yang merawat nun jauh di perantauan sana…”

SubhanALLAH! 

ITULAH SETIA 


Saya menjeling sekilas ke wajahnya. Kolam air matanya kembali bergenang usai mendengar kisah seorang isteri yang tabah, cekal dan berjiwa besar itu tadi. Kisah yang selalu saya ulangi setiap kali berbicara tentang poligami. Ia satu sisi indah kehidupan penuh misteri ini yang hanya mampu difahami, dicerna dan diterima oleh jiwa yang benar-benar menyerahkan baik buruk perjalanan hidupnya kepada kebijaksanaan ALLAH SWT dan aturan takdir-NYA. Individu sebegini mengerti bahawa usahanya tertakluk kepada qada’ dan qadar ILAHI jua, tidak terkeluar walau seinci pun dari qudrat, iradat dan ilmu-NYA yang tidak terbatas.

Saya menepuk lembut belakang tubuhnya. Dia menundukkan kepala. Manik-manik jernih mula jatuh, melebar dan membentuk ruang tersendiri di lantai tangga tempat kami berbicara. Tangisannya sedikit pecah dengan sendunya yang menusuk hati wanita saya.

Mata saya turut basah…

“Ukhti, wanita di dalam kisah kakak tadi menunjukkan contoh setia yang luarbiasa. Dia tidak menyalahkan sesiapa pun di atas semua yang terjadi. Sebaliknya dia menggunakan mata fikir dan mata hatinya sehingga diperlihatkan ‘hikmah’ mengapa berlakunya perkahwinan suami yang dikasihi. “ Saya menjelaskan.

“Tapi kak, di mana nilai setia yang kakak katakana itu? Saya masih kabur….” Perlahan dia mengangkat kepala dan bertanya. Situasi itu amat menggembirakan saya.

“Dik, setia sebenar bukanlah tidak menduakan. Jika sekadar itu maksud setia, bagaimana pula perkahwinan Rasulullah SAW dengan beberapa sahabiah terkemuka selepas kewafatan Khadijah. Adakah baginda tidak setia?

Setia yang benar menurut penilaian iman dan takwa ialah menjadikan syri’at ALLAH dan keredaan-NYA sebagai sebab unggul atas kemungkinan segala-galanya. Hati isteri mana yang tidak terluka dengan apa yang berlaku, tetapi dia melihat sisi lebih positif iaitu melihat perkahwinan suaminya sebagai cara ALLAH memakbulkan doa-doanya agar memelihara keselamatan agama dan iman suami. “

IKTIBAR KHADIJAH


“Tentang Khadijah tidak diduakan, kakak pernah mendengar pelbagai takwilan yang berdasarkan logik akal diberikan tentang itu; antaranya, kerana Khadijah, walau dalam usianya yang lebih tua berbanding Nabi, tetap cantik dan menarik pada pandangan mata seorang lelaki.

Namun, pada kakak, cinta seorang Muhammad Rasulullah terhadap isterinya Khadijah tanpa kehadiran wanita lain di sisi baginda adalah lebih mulia dari sekadar menilai kecantikan dan kejelitaannya. Buktinya, Rasulullah mengenang kebaikan-kebaikan Khadijah yang tiada tandingannya.

"...dia beriman kepadaku tatkala semua orang mengingkariku, dia memberikan hartanya ketika semua orang menahannya dariku, dan darinyalah aku beroleh zuriat keturunan, tidak selainnya.”
Hakikatnya, satu sudut kebenaran yang kita selalu terlepas pandang ialah tentang keimanan Khadijah yang amat tinggi kepada ALLAH dan Rasul-NYA. Justeru, tidak mustahil, andai sahaja ada keperluan untuk Rasulullah SAW berkahwin lain ketika Khadijah masih ada, kemungkinan Khadijah menerima dengan rela sangat besar berdasar keimanannya yang tidak dipertikai.

Apapun, hikmah dari mengapa sepanjang hidup bersama, Khadijah tidak dimadukan, kakak lebih suka kita tinggalkan persoalan itu pada Yang Maha Mengetahui. Apa yang telah ditakdirkan itulah yang terbaik buat perjalanan dakwah nabi yang baru bermula ketika itu.

Wallahu'alam.

Antara susur galur perjalanan hidup Rasulullah dan Khadijah dalam pelbagai riwayat, mari kita belajar untuk mengambilnya dengan berpandukan nas yang benar-benar sahih. Hadis-hadis nabi dengan sanad yang sudah dipastikan kekuatannya tentu sahaja lebih mengatasi sejarah hidup Khadijah untuk kita jadikan hujjah dan panduan. Suami kakak selalu menasihatkan, berpada pada mengambil pengajaran dari kisah yang belum dipastikan kesahihannya dan pada membuat takwilan tentangnya.” Saya berhenti seketika melihat reaksinya.

Kali ini tangisannya sudah mulai reda. Dia merenung jauh dengan mata berkaca tetapi lebih bercahaya. Wajahnya sudah kembali memancarkan sinar. Nampak lebih bersemangat dan ceria. 


“Ukhti, berada dalam alam perkahwinan merupakan satu kelebihan, dengan suami yang masih tidak lupa tanggungjawabnya sebagai pemimpin rumahtangga, itu semua perlu dimasukkan dalam penilaian. Sementara berada di luar perkahwinan pula adalah situasi yang berbeza pula. Menyediakan pilihan untuk keluar dari perkahwinan kerana suami berkahwin lagi, bukanlah satu pilihan yang wajar pada kakak. Perkahwinan merupakan wadah pelengkap sebahagian urusan agama yang tidak wujud jika hidup sendiri. Kunci kelangsungan sesebuah perkahwinan adalah pada komunikasi, berbincang secara telus dan ikhlas meminta petunjuk ILAHI.

Dik, banyak yang kita rasakan baik belum tentu baik pada hakikatnya. Bertemulah suami ye….bincang dari hati ke hati lebih dulu supaya yang kusut dapat diurai, yang samar dapat dijelaskan.”Saya memberikan pandangan panjang lebar. Cuba untuk memujuk agar wanita manis di hadapan saya ini tidak mengikut gerak rasa semata.

Dia menganggukkan kepalanya seraya memegang jemari saya tanda terima kasih. Saya membalas dengan senyuman manis.
Segala puji hanya untuk-MU Ya ALLAH….

BUKAN SEMATA PERASAAN


Akhirnya, sebagai ingatan bersama untuk diri saya dan sahabat-sahabat pembaca khusunya yang bergelar wanita, sebagai perempuan, kita dibekalkan oleh ALLAH SWT dengan kelebihan emosi dan perasaan. Dengannya kita mampu menananggung sakit ketika melahirkan, kita juga mampu bersabar dengan tangisan dan 'perangai' anak-anak yang berencam, dan pelbagai lagi 'mampu' yang terhasil dari kelebihan kurniaan-NYA ini.

Akan tetapi, ingin kuperingatkan diriku dan diri kalian, sahabat-sahabat yang kusayangi atas nama TUHAN Yang Maha Pengasih LAGI Maha Penyayang, banyak ketikanya, perasaan dan emosi ini jugalah yang mengeheret kita kepada lembah kedukaan. Cemburu melulu, iri dan dengki bersatu hingga ada saatnya, ia umpama ledakan gunung berapi; menghambur lava amarah yang amat panas lalu melebur cinta dan belas kasihan menjadi debu berterbangan.

Kala itu, hidup dirundung duka hingga kolam matamu menumpahkan air jernih yang bertali arus.....dan saat itu, perasaan serta emosi bukan lagi aset berharga yang menjadikan dirimu istimewa.

Yakinilah....perasaan dan emosi perempuan tidak cukup untuk menjadikan dirimu teguh mendepani hari mendatang kerana rasa redha dan pasrah terhadap takdir-NYA tidak akan pernah mampu ditatang dengan semata perasaan dan emosi perempuan, tetapi ujian dan kedukaan yang menimpa itu mampu dipempan sebaiknya oleh perasaan yang dipatri kekuatannya dengan iman dan ketakwaan.

Itulah contoh tauladan dari wanita terbaik dunia.

Antara bercerminkan kejelitaan Khadijah dan berpayungkan keimanannya, pilihan kedua adalah yang terbaik buat kita. Berpayung di teduhan iman yang padanya Khadijah dijanjikan syurga oleh ar Rahman.

Justeru, binalah benteng iman itu kala matahari memancar indah, ketika tawa dan riang masih mengulit kehidupan sebelum datang awan mendung yang menumpahkan hujan lebat, kerana ketika itu, hanya dengan benteng iman yang teguh dapat melindungi dirimu dari hanyut dan lemas dek limpahan banjir yang tidak mengenal belas.

Kita sebenarnya sentiasa diuji, baik ia berwajah gembira atau ia tiba dalam rupa sengsara....namun di akhirnya, hanya pemilik emosi yang tunduk pada Yang Maha Pencipta sahaja akan muncul sebagai juara!

Saya abadikan kata-kata ini agar andai suatu masa saya diuji dengan situasi serupa, nasihatilah dan peringatkan saya tentang ini.

Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.










Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...