Sunday, June 24, 2012

Destinasi Cinta Wanita






Teman pembaca yang dikasihi... Rahsia kebahagiaan seorang wanita antara lain ialah dia mengetahui akan hala tuju dan destinasi kehidupannya dengan jelas. Dia mengenal hakikat penciptaan dirinya dan kenapa tuhan meletakkan dirinya di bumi ALLAH ini.

Saya dulu berada di alam remaja, yang membesar dikelilingi budaya cinta melalui majalah, novel, televisyen serta teman-teman yang lincah dalam pergaulan. Sangat normal untuk remaja merasai bahawa dia perlu ada seseorang untuk dicintai dan mencintainya.

Kita meningkat dewasa dengan fitrah itu, mahukan seseorang yang bernama lelaki untuk mengasihi dan menjaga kita seadanya. Lalu fitrah itu perlu diluruskan di atas syariat ALLAH. Mencintai lelaki di alam perkahwinan. Dan perkahwinan pula bukanlah medan sekadar menghiburkan perasaan, ia sesungguhnya kurniaan dan amanah yang sangat berat.

Perkahwinan menuntut kita berilmu dan beramal. Perkahwinan bukanlah tujuan kehidupan, yang kita menyerahkan jiwa raga kepadanya – namun ia adalah medium untuk kita terus mengabdikan diri kepada ALLAH. Wasilah untuk kita meneruskan keberlangsungan generasi manusia. Dengan pernikahan, seorang wanita boleh memanfaatkan banyak potensi dirinya untuk berbuat baik kepada suami dan anak-anak malah masyarakat sekeliling.

Tanpa ilmu, wanita tidak akan bahagia dengan perkahwinan dan kehidupan seluruhnya. Tanpa ilmu, wanita akan mudah kecewa dengan cinta manusia bernama suami. Ilmu mengajak wanita untuk hidup dalam keimanan dan amal soleh. Hingga hati dan diri melihat perjalanan pernikahan adalah laluan yang membawa dirinya semakin hampir kepada ALLAH swt.

Wanita yang memahami hakikatnya cintanya dengan ALLAH akan mampu merawat hati dan fokus pada tujuan kehidupan bilamana ALLAH menguji dengan suami yang melukai hati, suami yang kemudian meninggalkannya pergi atau suami yang menikah lagi.

Wanita perlu membentuk dirinya sendiri menjadi muslimah yang baik, bukan sekadar mengharap kehadiran seorang suami untuk membentuk diri kita menjadi baik. Apatah lagi, kita berada di dalam situasi yang payah menjumpai lelaki yang punya keperibadian untuk membimbing wanita.

Yang lebih penting, upaya wanita beriman dan beramal soleh sangat diperlukan di zaman ini untuk membawa watak insan yang mampu merubah keperibadian manusia lain. Wanita menguatkan diri, hingga melangkah masuk ke dalam medan pernikahan – dia mampu memberi pengaruh kebaikan dan perubahan yang besar pada suami dan anak-anak yang dilahirkannya.

Wanita yang teguh dengan keimanan insyaALLAH akan menghadapi ujian kesusahan dan kesenangan dengan baik. Bersabar dan bersyukur dengan banyak keadaan. Kerana sesungguhnya tidak ada insan yang tidak ditimpa kesusahan. Wanita yang mulia melalui ujian kesulitan dengan keyakinan pada rahmat Tuhannya.

"Demi sesungguhnya, Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan dari harta denda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikkan dari Tuhan mereka serta rahmatNya." (Surah al-Baqarah: Ayat 155-157).

Semua ini bermula dengan cinta dan cita yang benar. Kita hidup untuk meraih redha dan cinta ALLAH. Dengan cara yang diredhai ALLAH. Kita memanfaatkan segala nikmat, rezeki dan kemudahan yang ALLAH beri untuk menjadikan kehidupan ini ladang menyemai kebaikan. Berusaha menjalin hubungan dengan ALLAH dan berbuat baik kepada manusia. Hingga kita bertemu ALLAH dengan hati yang tenang.

"Wahai jiwa yang tenang dan tenteram kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Iaitu masuklah ke dalam golongan hambaku ( yang soleh ). Dan masuklah ke dalam syurgaku".  ( Surah Al-Fajr : Ayat 27-30 )

InsyaALLAH sama-sama kita membesarkan tujuan kehidupan, andai ALLAH memberi ujian besar di alam perkahwinan - masih ada cinta dan cita agung untuk dicapai :)

Seperti pesan teman saya yang baik juga" Living for ourselves or other people will only bring disappointments and misery, because in the end we still die alone carrying our own deeds. There is no greater purpose of living except to worship Allah."

Tidak aku jadikan jin dan manusia, melainkan untuk beribadah kepadaku”. (Ad Dzariat: 56).

 Maka ayuh kita terus mencari ilmu agar dapat beribadah kepada ALLAH dengan cara yag terbaik. Dengan cara yang ditunjuk Rasulullah SAW. Beribadah yang harus difahami bukan sekadar ibadah ritual seperti solat, puasa, membaca Al Quran namun juga dalam hubungan kita sesama manusia dan lingkungan. Berbuat baik kepada ibu bapa, pasangan, anak-anak, jiran tetangga, dan insan lain. Malah berbuat yang baik dan terbaik di tempat kerja atau belajar juga menjadi ibadah yang berharga di sisi ALLAH bilamna kita menjalankannya dengan mengikuti syariat ALLAH.

Mulakan dengan niat yang baik untuk menjadi wanita berilmu. Rencanakan tujuan kehidupan dan kuatkan tekad. Berdamping dengan ilmu Al Quran dan As Sunnah, berdamping dengan orang-orang soleh untuk membangun keimanan sehingga kita mampu menjalani kehidupan ini dengan tenang di sebalik ujian yang tidak putus menimpa. Lagipun, bukankah dunia ini hakikatnya tempat ujian, untuk ALLAH melihat yang terbaik antara kita.


"Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun." (al-Mulk: Ayat 2).





Friday, June 15, 2012

Suami Anugerah Tuhan



“Anwar Anugerah Tuhan”

Begitulah bunyinya headline muka depan sebuah akhbar satu waktu dulu. Dengan kenyataan itu, nampaknyanya pihak media membuka ruang dan peluang untuk masyarakat terus mempersenda situasi  Dato’ Seri Wan Azizah yang merupakan Presiden sebuah parti politik.

Kebelakangan ini, pihak media sememangnya sudah banyak memuntahkan kepada kita tentang ‘gelojak’ yang berlaku dalam parti pembangkang itu hingga mungkin kita berasa muak mendengar segala permainan politik ini.

Saya tidak ingin terlibat jauh dalam politik, saya hanya mendoakan pemimpin-peminpin islam kita mampu menjalankan menjalankan amanah sebaiknya.

Namun saya suka melihat sisi positif dan kebaikan dalam kemelut politik yang sedang mereka tempuh. Kenyataan muka depan akhbar itu sedikit sebanyak membawa saya melihat satu ciri baik seorang isteri, yang benar-benar berada di belakang suami, menyokong dan memberi dorongan sewaktu banyak pihak mencerca dan menjatuhkan suaminya. (Well, tak bermaksud saya menyokong mereka, saya ingin menekankan tentang ciri sahaja :D)

Pada pandangan peribadi saya, Wan Azizah sebagai seorang isteri telah mengucapkan sesuatu yang tepat pada waktu yang tepat. Walaupun kenyataannya itu kini menjadi bahan senda gurau kasar yang banyak tersebar di internet. Dan sebenarnya banyak lagi penjelasan Wan Azizah dalam ucapannya itu, namun hanya ayat itu –"anwar anugerah tuhan" – yang di highlight untuk memprovokasi dan mempersenda suasana yang sedia panas.

Apapun para isteri yang dihormati sekelian, mampukah kita juga mengeluarkan kenyataan yang sebegitu untuk suami yang telah memilih kita menjadi isternya…?

Betapa pun suami kita memiliki kelemahan dan kekurangan, saya ingin kita sama bermuhasabah bahawa sesungguhnya suami adalah anugerah tuhan yang amat berharga buat kita...

Di awal-awal perkahwinan, suami melalui kesulitan untuk mencari dan menampung kos perkahwinan yang semakin hari semakin meninggi. Suami berusaha menikahi kita sewaktu ada insan-insan sekeliling yang menghalang atau melambatkan kita menempuh alam pernikahan. Ahli keluarga yang bermacam kerenah, kawan-kawan yang tidak membantu, orang-orang yang sepatutnya mempercepatkan prosedur bernikah semuanya memberi cabaran.

Suami melalui saat-saat tertekan untuk dia hidup bersama kita. Kerana cabaran kewangan, kerana tuntutan kerja yang menyebabkan terpaksa bertangguh bernikah, bersabar menunggu kita menghabiskan pengajian. Suami pening kepala mencari pemiutang yang boleh memberi pinjaman kewangan. Suami mengikat perut mengumpul duit untuk mendampingi kita sebagai isteri.

Dan akhirnya kita bernikah. Bukan mudah untuk suami mencari rumah – menyewa atau membeli - yang sesuai dengan keselesaan kita, dalam masa yang sama, mencukupi juga untuk kewangannya. Suami membeli kereta semampunya memikirkan tidak mahu anak dan isteri berhujan berpanas menaiki motor atau kenderaan awam.

Dari cinta kasih seorang suami, ALLAH memberi zuriat yang comel penyejuk hati. Suami makin sulit memikirkan dan merancang sumber pendapatan bagaimana untuk dia memberi keselesaan hidup pada isteri dan anak-anak.

Inilah cinta kasih seorang suami yang tak ternilai namun sering tidak difahami malah mungkin tidak disedari para isteri.

Isteri mudah saja terlupa segala kebaikan ini hanya kerana suami tidak memanjakannya seperti yang dilihat dalam filem-filem cinta – begitu asyik si hero membelai si heroin. Kerana suami terlupa bunga, coklat atau hadiah lainnya pada waktu istimewa, isteri merasa sayang suami sudah pudar.

Isteri bermuram wajah bila para suami di zaman ini yang ditekan lagi tertekan dengan persaingan menambah rezeki - terlupa memberi ‘good nite kiss’, terlupa isteri mengharapan usapan dan sentuhan manja, terus tertidur tanpa menjaga emosi isteri yang merindukan sentuhan mesra.

Duhai isteri yang dirahmati ALLAH, ayuh kita cari dan pandang serta berterima kasihlah atas sekecil-kecil kebaikan suami apatah lagi untuk pemberian yang besar-besar.

“Saya tak mampu menghargai suami saya, kerana terlalu banyak perkara yang menyakitkan…” mungkin itu luahan sebahagian kita.

Tapi bukankah kita juga ada BANYAK kesilapan & kekurangan – kesilapan kecil yang adakalanya merimaskan suami, malah kesalahan besar yang juga mendatangkan serabut di jiwa suami…?

Ayuh kekurangan kita dan suami bersama kita perbaiki, dan amat penting untuk kita selalu ada bekal maaf, kesabaran dan lapang dada dalam menempuh alam pernikahan yang matlamatnya membawa semua ke syurga ALLAH.

Jangan biarkan perasaan dan pemikiran kita hanyut dengan kelemahan dan kekurangan suami hingga kita berwajah muram dan menghilangkan senyuman di wajah.

Bukankah suami bernikah dengan kita kerana mengharap ketenangan dan kebahagiaan..?

Senyuman kita kan menghiburkan dirinya, meredakan kekusutan dan mengusir kepenatannya. Layanan kita yang penuh kesabaran dan kelembutan akan memberi semangat untuk suami menjadi teman hidup yang lebih baik. Kesabaran kita mendorongnya menjadi ayah yang lebih bertanggungjawab.

Ya, suami kita juga banyak kelemahan dan kekurangan, namun kita tegurlah seadanya..bukan memburukkannya. Kita perlu meluahkannya, jangan memendam rasa hingga kita meletup mengungkapkan segala keburukannya selepas berbulan-bulan atau bertahun memendamnya.

Ayuh bermula hari ini, kita senaraikan SEGALA dan SEMUA perkara baik yang dilakukan suami...lafazkan syukur pada Tuhan. Kesyukuran dibuktikan dengan kebaikan dan ketaatan. Moga kita benar-benar merasakan bahawa ALLAH telah menganugerahkan seseorang yang teramat baik untuk kita mengharungi kehidupan ini.

Serahkan atau sampaikan pada suami senarai panjang kebaikannya yang telah kita tulis, agar suami mengetahui betapa sebenarnya dia adalah penting dan bermakna dalam hidup kita dan anak-anak.

Moga dengan kebaikan suami yang kita cari, syukuri dan hargai – ALLAH akan menambah lebih banyak nikmat dalam rumahtangga kita dan memberkati pernikahan ini hingga kita merasa qana’ah sebagai seorang isteri. Ini adalah janji ALLAH di dalam Surah Ibrahim, ayat 7.

"Abang.. abang benar-benar anugerah tuhan untuk saya. Alhamdulillah. Terima kasih abang menikahi saya, memilih jalan suci ini untuk mengasihi dan menjadi teman saya dalam kehidupan yang sementara ini. 

Terima kasih yang tak terhingga abang menyediakan rumah buat berteduh.. saya dan anak-anak gembira dan selesa terpelihara dari hujan dan panas. Terima kasih abang berusaha menyediakan kereta dengan semampunya agar mudah untuk saya dan anak-anak keluar atas keperluan yang ada. Keluar berjalan-jalan dan menjalin silaturrahim dam hubungan kekeluargaan.

Terima kasih sangat-sangat abang, abang keluar mencari rezeki dengan jadual yang kadangkala penuh dan sibuk, jadual kerja yang mengganggu waktu tidur abang berhari-hari.. abang pun tak seronok berpisah berhari-hari dengan kami - namun abang meninggalkan kami dengan makan minum dan cukup keperluan lain seadanya.

Di sela-sela waktu yang ada, atau cuti bekerja, abang mencari masa dan tempat untuk membawa saya dan anak keluar berjalan-jalan. Jika ada kelebihan rezeki, abang akan membelikan sesuatu yang istimewa buat kami. Kami gembira dan belajar untuk berkongsi rezeki, bila abang juga berkongsi rezeki dengan insan-insan yang susah dan memerlukan. Abang mengingatkan kami dengan orang-orang yang susah sewaktu kami meminta-minta perkara yang tidak penting.

Terima kasih abang membantu menjaga anak di sebalik kepenatan abang mencari rezeki. Abang membantu memandikan baby, abang mendukung, memujuk dan menenangkan baby sewaktu baby perlukan extra attention. Abang menyediakan telinga dan hati mendengar isteri dan ibu ini, yang kadangkala hanya remeh temeh, namun abang mengerti kalau isteri itu gembira jika dapat sekadar meluahkan rasa dan didengari suami.

Terima kasih abang, abang bersabar dengan kelemahan-kelemahan saya. Abang menasihati dan memberi teguran semampunya agar saya tidak terus berada dalam kesilapan dan kekurangan, sedangkan kekurangan itu boleh diperbaiki.

Saya gembira dengan kehadiran abang, seorang suami, seorang ayah..

Alhamdulillah...Banyak lagi sebenarnya kebaikan dan kasih sayang abang yang terpamer.. lafaz terima kasih saya tidak cukup untuk membalasnya. Moga ALLAh merahmati abang, memberi petunjuk dan menambah ilmu abang dalam meniti hari-hari. Saya perlukan cinta kasih abang, nasihat dan bimbingan agar saya menjadi isteri yang lebih dicintai abang dan lebih diredhai DIA tuhan yang menganugerahkan semua ini…"

Buat para isteri, mencari dan menghitung kebaikan suami adalah salah satu tanda kita bersyukur dengan segala yang ALLAH Subhanahu waTa’ala kurnia dalam hidup ini.

“Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak mensyukuri Allah” (Hadis riwayat Ahmad & AT-Tirmizi)

 Moga hati-hati ini sentiasa menghitung dan mensyukuri setiap sesuatu yang KAU hadirkan dalam hidup kami Ya ALLAH…




Thursday, June 7, 2012

Catatan Umrah: Madinah Yang Dirindui

Hari hari yang baik di bumi Madinah. Hanya saja, hidungku yang bocor (selsema) menyebabkan tidak boleh berlama lama di bawah langit terbuka sepertimana pengunjung Masjid Nabawi yang menikmati rehat dan ibadah di perkarangan masjid. Udara terasa amat sejuk menusuk hidung.

Kadang terasa tidak percaya ALLAH izinkan sampai di sini. Alhamdulillah. Teramat syukur perjalanan datang ke Madinah ini dipelihara ALLAH seperti dalam entri pertama musafir umrah.

Berada di rumah ibadah ini membuatkan hati terasa ingin terus di sini selamanya - jauh dari fitnah dunia. Hanya solat, baca quran, zikir lisan, berhenti makan dan minum air zam zam...

Namun sedar bahawa kita ini bukan sekadar hamba yang perlu rukuk dan sujud. Kita juga punya tanggungjawab sebagai khalifah - mengajak kepada kebaikan, melarang dari keburukan. Perlu menyumbang untuk membangun kehidupan dunia yang harmoni.

Maka, masa di dalam masjid dan di luar masjid perlu diseimbangkan agar kita benar benar memanfaatkan semua potensi seorang insan yang dianugerahkan tuhan.

Kami berkesempatan berziarah sekitar Kota Madinah. Ke Masjid Quba. Ke Pasar Kurma. Ke Jabal Uhud.

Perjalanan panjang KL - Jeddah - Madinah terasa melelahkan apatah lagi dengan kesihatan saya yang kurang baik. Hanya berdoa agar Allah memberi kekuatan untuk saya melakukan ibadah wajib dan sunat.

Selepas solat fardu, kadang kami berjalan window shopping. Wah... ujian berat untuk jemaah umrah dan haji kerana memang terlalu banyak pasar, bazar dan shopping mall di sekeliling masjid -yang mana kita maklum kaum wanita menjadi target group :O

Apatah lagi memang mudah berkomunikasi untuk urusan jual beli, orang Madinah dan Makkah bisa ngomong bahasa Melayu :D

Jika tidak berhati hati, dalam masa beberapa hari boleh habis ratusan ringgit malah ribuan...

Tempat shopping pertama saya dan Aishah ialah kedai bukuuuuu... Alhamdulillah kami bawa duit cukup cukup, jadi perbelanjaan agak terkawal :]

Selain itu, satu perkara yang begitu saya hargai ialah perjalanan umrah ini menemukan saya dan kita semua dengan saudara Muslim dari seluruh pelosok dunia.

Pelbagai background jemaah memenuhi luar dan dalam masjid terutama menjelang waktu solat. Muda, tua, kulit putih, kulit Hitam, pelbagai bahasa dituturkan, pelbagai jenis pakaian dan penampilan... bahagianya merasakan bahawa Islam ini sesungguhnya adalah agama untuk semua.

Makcik makcik dari Turki adalah antara yang paling peramah dan berwajah manis... Pemurah pula memberi makanan ringan pada anak-anak kecil yang ditemui...




:: Anakanda Abdullah seronok berjalan-jalan di perkarangan Masjid Nabawi  ::

:: Di sekitar Jabal Uhud ::



posted from Bloggeroid

Wednesday, June 6, 2012

Pentingkah POLIGAMI dalam Islam...?




"Sejauhmanakah 'KEPENTINGAN' poligami dalam islam dan dalam baitul muslim untuk membantu perkembangan dakwah sesuatu jemaah?"

Begitulah bunyinya antara soalan yang tiba ke inbox saya.

Sekadar kefahaman saya, sejauhmana kepentingan poligami di dalam islam ialah sejauhmana kefahaman individu yang menikah tentang misi dan visi rumahtangganya. Bernikah, antara lain ialah untuk melahirkan zuriat - dan kita mahu melahirkan generasi yang membina peradaban di atas landasan islam.

Pernikahan- poligami atau monogami - juga adalah wasilah atau alat pengabdian diri kepada ALLAH. Wasilah yang dikurnia sejajar fitrah dalam membina generasi muslim yang menyebarkan risalah ALLAH dan Rasul SAW.

Maka secara umumnya, pada pandangan saya, samaada poligami akan membawa kebaikan kepada agama atau tidak, sangat bergantung kepada KITA – individu muslim - bagaimana memanfaatkan monogami atau poligami.

Jom bertanya pada diri sendiri, adakah kita bernikah untuk membina keluarga yang beriman, hingga unit-unit keluarga ini akhirnya melahirkan rakyat dan pemimpin yang soleh? Yang angkat mengangkat syiar agama ALLAH?

"Adakah ia (poligami) membantu perkembangan dakwah sesuatu jemaah?”

‘Jemaah’ antara lain adalah medan untuk kita bersinergi dalam mengajak manusia kepada ALLAH. Untuk kita berkumpul bersama menyusun dan meluruskan orientasi dakwah dan tarbiyyah. Di dalam jemaah, adalah insan-insan yang sefahaman hala tuju dan peranan yang perlu dimainkan untuk menyebarkan agama yang suci ini. Maka perkahwinan juga menjadi agenda jemaah, menikahkan pasangan yang sama fikrah ini untuk menambahlancarkan misi dan visi yang ditetapkan.

Dari sedikit yang saya tahu, dimaklumi bahawa jumlah muslimat yang mencari pasangan melalui Baitul Muslim jemaah masing masing adalah jauh lebih tinggi dari jumlah lelaki yang didapati mengambil langkah yang sama.

Kita mungkin muslimat yang telah selamat bernikah, mempunyai suami sang pendamping peneguh hati, mempunyai anak-anak yang menjadi penyejuk jiwa – maka apa pula yang dilalui oleh saudara muslimat yang menanti kehadiran suami?

Ya, saudara muslimat yang bujang kebanyakannya tidak mahu ‘mengganggu’ rumahtangga kita bersama suami yang baik, dan sesungguhnya amat besar cabaran untuk kita menukar rumahtangga monogami kepada poligami.

Namun jika ingin teman jemaah kita bernikah dengan lelaki yang sefikrah dan telah memahami kepentingan dakwah dan tarbiyyah, maka sudikah kita berkongsi suami, berkongsi rumahtangga yang telah kita bina di atas nama dakwah ♥

Persiapkan diri kita, bantu suami mempersiapkan diri dan moga usaha kalian menjadi titik tolak untuk teman-teman jemaah yang lain mengikutinya. Sepertimana proses taaruf kalian dilaksanakan dengan baik, dimusyawarahkan hingga akhirnya menggapai pernikahan – moga begitu juga permulaan rumahtangga poligami yang dibina.

Moga keikhlasan dan kesungguhan teman-teman muslimin dan muslimat untuk membina monogami dan poligami membawa hasil yang manis untuk keluarga dan masyarakat islam seluruhnya.

Demikianlah sedikit pandangan dari insan yang masih bertatih menongkah arus kehidupan.

Tuesday, June 5, 2012

Wanita berilmu adalah Miss Universe...



"Menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap Muslim. Sesungguhnya segala sesuatu memohonkan ampun kepada Allah, bahkan ikan di laut pun memohonkan ampun untuknya..."(hadis sahih)

Teman pembacaku yang baik... ilmu adalah segala-galanya.

Ilmu mengenalkan kita pada Allah Sang Pencipta.

Ilmu menuntun kita ke arah kebahagiaan di dunia dan akhirat sana.

Ilmu adalah cahaya, ilmu menghidupkan jiwa dan minda.

Jom terus berkongsi ilmu dengan saya... moga dengan ilmu - saya dan kita semua dipimpin jalan ke syurga, diselamatkan dari azab neraka....

Di dunia ini, moga kita menjadi wanita yang cantik kerana ilmu yang menghias sanubari dan peribadi.

Orang berilmu mendahulukan redha tuhan dari perasaan. Orang berilmu menggauli ibubapa, ahli keluarga, teman teman dan pasangan dengan akhlak yang menenangkan. Hingga dirinya begitu cantik di mata Allah dan seluruh makhluk tuhan.

posted from Bloggeroid

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...