Wednesday, November 30, 2011

Poligami: Ayuh 'Upgrade' Diri



Kita memohon perlindungan ALLAH dari syaitan yang direjam.

Baru-baru ini berlaku insiden yang tidak diingini yang menyebabkan hati-hati insan tersakitkan, terluka dan tercalar. Insiden yang berawal dari perdebatan di sebuah forum maya itu menjadi hangat hingga akhirnya membangkitkan kemarahan dan merenggangkan persaudaraan.

Salah seorang panel telah memprovokasi dengan isu poligami hingga mengutarakan isu-isu peribadi yang sepatutnya dijauhkan dari forum umum seperti itu. Mungkin panel yang tidak berpoligami itu terlupa akan adanya kehadiran isteri-isteri yang berpoligami membaca forum umum itu, termasuk saya sebagai isteri kedua, yang berasa tidak senang dengan hujahnya yang seolah meremehkan dan menghina kedudukan isteri-isteri bernombor.

Tapi saya awal-awal bersangka baik dan sedia memaafkan kerana kita manusia sering saja tidak sensitif dengan keadaan dan cara hidup kebanyakan orang. Seperti mana blog saya yang menceritakan tentang poligami, saya akui saya tidak sensitif dengan semua pembaca, hingga ada para isteri pertama yang terusik tak senang dengan lambakan entri saya yang seolah mendokong poligami secara berleluasa.

Berbalik kepada perdebatan di forum, kemuncaknya adalah apabila seorang lagi panel turut membalas dengan nada yang sama. Dan akhirnya semua itu mengundang konflik yang menyedihkan banyak pihak.

Saat ini saya benar-benar menghayati janji Rasulullah SAW, “..bahawa ada rumah-rumah terbina di pinggir syurga buat mereka yang meninggalkan perdebatan sekalipun di pihak yang benar.”

Apapun, sama-samalah kita meminta maaf. Dan, kalau nak berkonflik hebat itu, tak perlu tunggu bila dah berpoligami :) Di mana-mana saja akan ada ruang dan potensi untuk berkonflik - sesama teman, sesama adik beradik, sesama teman sekerja..

Pada teman-teman yang tak dapat menerima poligami di lakukan oleh suami, atas apa alasan sekalipun, moga ALLAH memberi kekuatan untuk melalui apapun ujian kehidupan dalam keredhaan tuhan.

Pada teman-teman yang akan dan telah terlibat dengan poligami, moga ALLAH jua memberi kekuatan untuk melaluinya dengan kesabaran.

Pada teman-teman yang mengakui menerima poligami, but ‘not my husband’, sebab dia tak layak, ada kupasan panjang untuk isu ini :) Ini antara soalan paling banyak yang diterima tentang isu poligami. Belum mampu diutarakan di sini lagi :)

Di blog ini saya tidak akan menyentuh secara ilmiah hukum-hukum poligami, kerana kebanyakan kita sedia maklum akan kepelbagaian pendapat ulama tentang isu ini. Yang pasti, ia tidak wajib. Dan ia tidak haram.

Saya, dengan kapasiti seorang isteri yang telibat alam poligami, berkongsi tentang alam poligami khususnya, alam pernikahan umumnya - hanyalah sekadar yang dilalui. Saya akur akan sisi-sisi kehidupan yang berbeza yang kita semua tempuh - hingga sukar untuk kita bersetuju atas banyak perkara. Tidak mengapa... Saya sangat hargai respon anda dan perkongsian apa saja.

Pada saya, dengan jumlah poligami yang semakin meningkat di negara ini - yang terang atau sembunyi, adalah lebih wajar setiap suami dan isteri bersedia untuk memikul amanah ini. Mengelak atau mengabaikan persediaan untuk berpoligami hanya akan memburukkan keadaan. Rumahtangga yang bermasalah meruncing – samaada poligami atau tidak – adalah kerana kita tidak bersedia dengan pakej cabaran yang datang bersama perkahwinan.

Dan sebenarnya bagi saya sebagai isteri kedua, tidaklah banyak perkara berkaitan poligami yang berbeza dari rumahtangga biasa, yang ketara bagi saya adalah ujian cemburu untuk para isteri. Yang seterusnya, adalah bagaimana suami dan isteri-isteri bertoleransi dalam giliran hari dan pembahagian masa. Tapi bagi suami, ya – poligami memberi beza yang banyak. Amanah dan tugas makin bertambah. Pada isteri, poligami memberi keringanan kewajipan… (bab perasaan, ya, tidak ada yang ringan..semua suami dan isteri-isteri menempuh cabaran perasaan masing-masing).

Saya tidak bersetuju dengan kenyataan poligami is distruptive in nature, poligami menyebabkan anak-anak membesar dalam konflik yang buruk, sedangkan antara kita pasti lebih ramai ibu ayah yang tak berpoligami tapi membesar dalam keadaan mengharukan dan tertekan juga. Isteri yang tidak terlibat poligami saja tidak kurang yang mengalami kemurungan berpanjangan.

Hadis-hadis yang menceritakan kecemburuan isteri-isteri Rasulullah bukan menjadi dalil yang menyokong bahawa poligami tidak wajar. Tetapi iktibar bersama untuk para suami - adalah mustahil isteri anda tidak cemburu, maka layani saja kecemburuan isteri semampunya. Untuk para isteri, hadis-hadis kecemburuan isteri ini menjadi teladan agar kita berhati-hati menjaga perasaan dari cemburu berlebihan yang membebankan suami.

Dan setakat pengkajian juga pembacaan saya, mungkin dalam sepuluh atau kurang hadis-hadis tentang konflik cemburu. Yang lainnya, sirah menceritakan kebahagiaan isteri-isteri nabi ini – kerana keperibadian suami yang soleh dan juga kerana isteri-isteri mulia itu turut membina keimanan dan ketaqwaan yang mendalam.

Dalam rumahtangga biasa yang tidak berpoligami, sudah terlalu banyak isu-isu yang perlu diselesaikan dan diadaptasi dengan kehidupan berkeluarga. Janganlah poligami itu dikambinghitamkan. Masalah poligami dan masalah rumahtangga biasa jangan dicampuradukkan.

Adalah hampir pasti dan ‘normal’ setiap pasangan yang berkahwin dan duduk serumah akan berkonflik tentang kewangan, tentang kualiti masa, tentang pembahagian kerja-kerja rumah, tentang anak-anak, tentang kemesraan dan hubungan intim, tentang mertua juga ipar duai, perbezaan karakter dan psikologi lelaki perempuan, perbezaan budaya hidup dan adat resam…

Terlalu panjang isu rumahtangga – kerana perkahwinan adalah antara hubungan yang sangat komplex. Rumit dan mencabar. Namun jika insan menjalani ajaran ALLAH dan petunjuk Rasul, insyaALLAH menjemput sakinah, mawadah dan rahmah ke dalam rumahtangga yang dibina - sekalipun di mata orang kelihatan tidak cukup dan payah.

Perkara seterusnya yang perlu difahami ialah, perkahwinan ini ada fasa-fasa yang akan ditempuh dan berlaku - sama saja di alam monogami atau poligami. Fasa penyesuaian, fasa berseronok, fasa cabaran, fasa keteguhan hubungan dan yang menjadi berita baiknya ialah setiap fasa ini mampu berakhir dan silih berganti seperti yang saya kongsi di sini. Malangnya ramai yang memilih keluar dari pernikahan sewaktu di fasa gelombang ujian menghempas rumahtangga.

Pada isteri kedua, kesedihan dan ketidakbahagiaan bukan sebab anda menjadi isteri kedua. Keluar dan dengarlah kesakitan yang dilalui para isteri sekalipun tidak berpoligami.

Apatah lagi pada isteri pertama, yang hebat juga gelodak perasaan namun mungkin sudah lebih masak dengan alam perkahwinan – perkahwinan yang gembira itu adalah hasil kesabaran dan kefahaman yang dibina pada pasangan masing-masing. Lagi banyak cabaran rumahtangga, lagi teguh berpimpin tangan melaluinya, pasti akan lebih bahagia. Poligami, adalah salah satu ujian yang datang semakin bertambah dekatnya perjalanan kita bertemu tuhan.

Namun ketika melalui ribut taufan masalah, seolah-olah itulah pengakhirannya. Seolah-olah kita selamanya tak akan keluar dari masalah itu.

Pada suami, pada isteri-isteri – jika tidak bahagia – jangan poligami disalahkan. Lihatlah ke dalam diri kita masing-masing, apa yang boleh kita sendiri berubah agar keadaan rumahtangga juga berubah.

Ya ALLAH, apakah ENGKAU mendatangkan syariat poligami ini untuk menyakitkan hati isteri pertama dengan kelukaan yang paling dalam? Apakah ENGKAU menghadirkan syariat poligami ini untuk isteri kedua dan ketiga merasa sengsara berkahwin dengan lelaki yang telah beristeri? Apakah ENGKAU meletakkan syariat poligami untuk menambahserabutkan kehidupan dan perasaan lelaki sebagai pemimpin keluarga?

Maha Suci ENGKAU Ya ALLAH.. Maha Suci ALLAH dari menzalimi hamba-hamba lelaki dan wanita...




Tuesday, November 29, 2011

Pernikahan: Belajar Merajuk



Dulu sebelum bernikah, mak abah dan adik-adik adalah tempat untuk saya merajuk. Apa-apa yang tak kena – saya merajuk dengan mereka. Merajuk saya ertinya tak bercakap dengan mereka, tak pandang muka, buat tak tahu, muka ketat hehee, tak keluar bilik, tak keluar makan… tapi bila dah lapar sangat pergi juga mencari rezeki di dapur :P Macam-macam isu yang ada untuk dimerajukkan… aik..betul ke perkataan ni?

Malangnya saya… selepas bertahun-tahun baru saya menyedari tingkah merajuk saya itu mengguris hati mak dan abah. Memang keanak-anakkan, tak fikir langsung perasaan hati ibu dan ayah yang diperintahkan ALLAH untuk saya berbuat baik. Mak abah, maafkan saya sangat-sangat. Sekarang ni saya dah tak merajuk apa-apa kan…? Anak yang baik kan..heee..

Bila masuk U, duduk belajar bersama kawan-kawan - tak ada sangat isu merajuk ni. Saya ni rupanya jenis orang yang suka menghindar konflik, jadi play safe. Saya berjauh diri dari ketegangan dalam perbincangan, saya abaikan apa-apa yang saya tersinggung dan saya (perasan!) saya seorang yang cepat meminta maaf dan memberi maaf.

Tetapi selepas bernikah…………… bermulalah episod baru tentang merajuk. Sama saja macam kalian, macam-macam isu boleh datangkan rasa nak merajuk dan berjauh hati :D

Saya belajar untuk merajuk secara professional. Saya belajar untuk merajuk dengan cara yang diredhai ALLAH. Kerana merajuk adalah bahagian penting dalam rumahtangga yang perlu diuruskan... betul tak? Tetapi sangat susah rupanya sesi merajuk dengan suami ini... beberapa kali saya gagal merajuk dengan cara yang baik... Sebab apa ya??

Pertama, sebab suami saya  adalah lelaki yang punya hormon T dan saya pula perempuan yang kaya hormon E & P (refer buku bio ya), perbezaan psikologi membawa konflik yang kerap. Kedua, saya rasa ada orang dah curi lah sifat pemaaf dan rendah hati dari saya, hingga saya rasa dah berkurangan rasa nak memberi maaf dan meminta maaf… teruknya kan… :P

(Ketiga, syaitan mengambil kesempatan mencucuk dan memanaskan hati yang tak mengingat ALLAH. Bacalah auzubillah ketika sedang marah atau merajuk..)

Ok tapi sekarang dah mencecah tiga tahun kehidupan suami isteri, saya rasa dah matang sikit...Alhamdulillah terima kasih ALLAH kurniakan suami yang matang supaya saya jadi cepat matang...  Sikit saja dah improve, insyaALLAH boleh improve lagi :P

Saya tak boleh buat cara merajuk dengan mak abah dan adik beradik macam dulu. Dulu mereka tak layan, dan saya pujuk diri sendiri. Akhirnya baik.

Sekarang, kalau saya merajuk, perlu ada tempoh yang boleh diterima suami. Saya perlu merajuk dengan meluahkan perasaan secara hikmah dan bertenang. Saya merajuk, tapi saya tetap kena layan dan tak boleh buat tak tahu dengan keperluan suami. Saya rasa merajuk, saya perlu memujuk hati sendiri cepat-cepat, dan mula menyapa suami dengan senyum ceria.

Kalau saya rasa nak merajuk waktu suami balik kerja, saya pause dulu rasa merajuk. Saya pakai elok-elok, berus gigi, cuci muka, wangi-wangi sikit, keluar sambut suami dengan senyuman. Ikhlaskan kerana ALLAH. Moga ALLAh bagi pahala mujahadah melawan merajuk. Moga dapat juga pahala bagi senyuman manis yang menyejukkan jiwa maskulin seorang suami :D

Betul isteri-isteri, anda semua sangat cantik.. kalau senyum lagi cantik dan mendamaikan jiwa suami. Rasa macam hilang separuh penat suami, suami lupa cabaran kerja dan cabaran kewangan bila ada isteri yang tetap mesra tersenyum bila bertemu di rumah atau bila masuk kereta sama-sama balik kerja.

Takpelah suami buat muka ketat, mungkin dia stress atau jadi apa-apa yang tak seronok di ofis tadi, kita senyum je dulu, salam cium tangan, buatkan jus atau air mineral sejuk pun boleh… ada kek coklat beli kat ofis pun boleh. insyaALLAH hati suami rasa terpujuk dan malam nanti tak adalah suami macam dingin saja dengan isteri.

Bila waktu lewat petang itu isteri telah set environment yang menenangkan, insyaALLAH ia akan mempengaruhi hingga malam. Suami rasa seronok nak duduk dekat-dekat, nak bermesra bermanja dengan isteri dan anak… suami akan rasa rumah adalah syurga kecil yang membahagiakan.

“Tapi cik nurul adni, kami ni berkerja ofis. Pukul 7 dah gelap sampai rumah. Kami pun stress dengan kerja ofis. Kami pun tak larat nak senyum bila sampai rumah. Anak-anak pun dah menerkam. Suami pandai-pandailah bawak diri...”

Hmm macam mana ni ya, nak jadi isteri dicintai Rasul SAW yang yang sentiasa menyejukkan hati suami, yang melayan suami sebaiknya kalau hati isteri pun tak sejuk dan selalu stress.. takpe kita sama-sama fikir nanti. Tak boleh biarkan isteri tertekan dengan arahan majikan, kerana menyebabkan suami dan rumahtangga berada dalam ancaman.

Bab merajuk tu, bila tadi petangnyanya dah pause, bila nak sambung merajuk? Tak meluahkan, merajuk saya tak selesai. Biasanya setelah beberapa bulan berkahwin, kita boleh baca air muka dan mood suami, jadi manfaatkan waktu tenang suami untuk luahkan apa-apa ketidak puasan hati. Dengan tenang dan berhikmah. Dengan menggunakan perkataan ‘saya’, bukan ‘abang’.

“Abang dah buat saya sedih.” (Ni ayat yang salah – jangan menyalahkan orang lain atas perasaan kita.)

“Abang selalu sakitkan hati saya.” (Ni juga ayat yang sangat salah – jangan guna ‘selalu’ untuk benda yang negatif, itu exaggerate – melebih-lebih dalam memburukkan)

“Saya sedih sebab…” (Ni ayat yang betul, bermaksud kita bertanggungjawab atas perasaan kita…)

“Saya kecik hati sebab…” (Ni juga ayat yang betul…pastikan perkataan dan nada seterusnya pun tersusun baik. Jadi betul-betul fikir sebelum berbicara.)

Maka, luahkan secara spesifik kepada suami apa perkara yang buat kita sedih, terasa hati, tak seronok atau tersinggung. Suami terima atau tak, itu lain kira. Suami ada sebab untuk tak terima luahan kita. Jadi di situlah datangnya kompromi dan rendah hati. Cuba kita faham apa yang suami fikir dan rasa dengan kata-kata dan tindakan kita. Akui kesilapan sendiri.

Ishh susah bab merajuk dan berkonflik ni, sebab tersalah cakap boleh jadi gaduh besar, dan akhirnya apabila makin banyak siri merajuk yang tak selesai dengan baik – maka perceraian menjadi pilihan popular yang amat berbahaya – bak kata pakar perkahwinan dan pengasas laman smartmarriages.com.

Kalau amat sibuk, badan dah penat, tak ada masa untuk duduk tenang meluah perasaan – maka menulis. Manfaatkan teknologi di tangan, handfon, ipad, galaxy tab, blackberry etc untuk menulis mesej kepad suami meluahkan segala ketidakpuasan dan jangan lupa kesyukuran juga. Walaupun rasa tak puas hati, tuliskan juga perkara yang kita suka dan puas hati tentang suami - itu erti bersyukur kepada suami seperti yang ditunjuk Rasul SAW. Berlaku adillah, jangan lupakan kebaikan suami walaupun rasa suami telah menyinggung hati.

Komunikasi melalui muka masam, nada tegang dan aksi merajuk macam saya dulu-dulu sangat berpotensi membunuh perkahwinan. Beberapa isteri berkongsi bahawa suami tak suka mereka berdiam diri jika ada sesuatu. Belajarlah meluahkan. Nyalakan asap anda. Supaya suami boleh fikirkan dan muhasabah. Supaya suami juga boleh memperbaiki keadaan. Maka suami juga perlu belajar merespon supaya isteri rasa tenang dapat meluahkan. Isteri juga harus mengkedepankan perasaan suami, supaya dalam merajuk - masih ada penghormatan dan ketaatan.

Dan saya memang rasa tenang selepas meluahkan, apatah lagi suami merespon dengan cara yang saya suka dan rasa difahami. Terima kasih memujuk… Saya juga dah biasa dengar yang orang lelaki fed up isteri merajuk lama-lama, jadi sekali suami datang pujuk dan mendekati – saya pun terus rasa nak berbaik-baik. Ruginya buat syaitan happy…

Dan lebih membimbangkan, time isteri merajuk lama-lama inilah hati suami terbuka besar buat wanita di luar sana yang bermanis muka dan melayannya dengan baik…ngeee takutnya…mendedahkan suami pada fitnah lantaran rajuk kita yang tak terarah... Kalau suami ada isteri lain yang nak melayannya, alhamdulillah. Bukan teman wanita lain.

Bila suami dah minta maaf, hati pun berbunga ceria (teruknya kan…saya yang bersalah, tapi nak suami pula yang minta maaf) . Ya ALLAH bantu kami menjadi insan pemaaf dan meminta maaf walau kepada sesiapapun yang telah kami sakiti. Mudah-mudahan kata maaf suami dan lembut hatinya memujuk isteri menjadi amal soleh yang bernilai di sisi ALLAH, demi keharmonian jangka panjang sebuah perkahwinan.

Jadi para suami soleh di luar sana, sama-sama kita belajar kitab komunikasi agar isteri berasa difahami, agar isteri rasa puas dirinya didengari, difahami, rasa dihargai dan dicintai.. Wajib membaca dan menelaah buku tentang relationship dan perkahwinan supaya tidak bercerai… seperti seorang pakcik yang saya temui bercerai selepas usia separuh abad dengan alasan –bercerai kerana salah memahami karakter wanita. Perceraian adalah harga yang perlu dibayar untuk ilmu yang tidak diusahakan. Selepas bercerai baru pakcik itu lebih memahami kerana telah mengikuti kelas yang berkaitan perkahwinan dan psikologi lelaki perempuan..

Apapun, para isteri jangan hanya fikir merajuk diri sendiri yang tak berkesudahan. Lihatlah ke hati dan minda suami, apa pula yang suami merajuk dan berjauh hati dengan sikap kita sebagai isteri. Pujuklah suami dengan perbuatan, sentuhan dan kata-kata yang menenangkan – bila suami merajuk dan berjauh hati. Berusahalah memasukkan kegembiraan ke dalam hati suami dengan usaha dan doa.

Bila ALLAH menjanjikan syurga buat isteri yang taat kepada ALLAH dan suami, ia bukannya semudah ABC. Ia adalah amal ketaatan yang berterusan, mujahadah yang tinggi dan segala akhlak mulia kepada ALLAH dan sesama manusia (terutama kepada pasangan). Jika kita merasakan diri ini adalah seorang wanita yang baik, maka kebaikan itu biarlah teratas dinikmati dan dirasai suami. Janganlah hanya orang luar yang menilai kita baik, namun di mata suami kita adalah sembilu yang menusuk pedih ke ruang paling dalam...

Moga rumahtangga kita dipelihara dan diberkati Allah selamanya…

Sunday, November 27, 2011

Taqwa dan Rezeki Rumahtangga



:: Insan yang hatinya tak mengenal dan tak berhubung dengan ALLAH sebenarnya telah lama tiada...hanya jasad kosong menanti disemadikan... tertekan tanpa arah.. Sayakah ini..? Ya ALLAH, bantulah kami untuk mencari jalan menujuMU ::


Saya punya seorang sahabat yang berasal dari keluarga berada. Setelah bertaaruf melalui unit baitul muslim, mereka merancang untuk bernikah awal. Bernikah awal dalam ertikata masih belajar di alam kampus sedangkan waktu nikah yang dianggap normal pada masyarakat kita ialah apabila telah meraih segulung ijazah, telah berkerja dan membayar downpayment untuk kereta :P

Namun bagusnya mereka pada saya ialah setelah bernikah, meninggalkan kehidupan senang yang biasa dilalui. Mereka hanya menyewa sebuah rumah yang amat kecil bagi saya, punya sebuah bilik tanpa perabot– namun itulah kemampuan mereka. Mereka tidak mahu mengharap bantuan ayah ibu. Namun mereka kelihatan gembira sekali. Saya pula yang sedih melihat mereka. Ujian kesulitan mereka itu juga tidak menghalang mereka membantu saya yang satu waktu kecurian.. Saya merasa malu, kerana tidak sepatutnya menerima bantuan dari mereka yang juga kesusahan.

Namun melihat keharmonian yang hadir di wajah muda suami isteri ini, saya percaya rahsianya adalah keyakinan mereka akan janji ALLAH untuk membantu insan yang bernikah demi memelihara kehormatan diri.

“Barangsiapa bertaqwa kepada ALLAH nescaya DIA akan membukakan jalan keluar baginya, dan DIA memberinya rezeki dari arah yang tak disangka-sangkanya.” (Surah At-Thalaq: 3)

Berdasarkan ayat di atas, sebahagian para ulama’ berkata, “ Orang yang bertaqwa sama sekali tidak akan pernah miskin.”

Ayuh teman-teman, kita mengenal dan mendalami erti taqwa… Inilah kunci bahagia yang sebenar. Berkahwin awal atau berkahwin lewat. Atau tidak berkahwin sekalipun, kita sangat perlu kepada taqwa yang akan melapangkan dan memaniskan jalan kehidupan di sebalik kepayahan.

Taqwa adalah melaksanakan seluruh ketaatan, mengharap rahmatNya dan meninggalkan maksiat. Merasa takut dengan azab Allah, dan sentiasa merasa kehadiran Allah dalam segenap kehidupan...

Adakah kita merasa kerana setiap hari kita pergi berkerja, maka gaji itu datangnya dari majikan? Dari syarikat? Dari kerajinan dan usaha kita berpenat- lelah semata? Dari tidur yang kita korbankan untuk mengurus bisnes dan client?

Adakah kerana kita telah berkahwin dengan orang yang kaya dan mampu, maka suami itulah yang memberi rezeki kepada kita?

ALLAH lah yang melimpahkan rezekinya - melalui suami, melalui majikan, melalui syarikat, melalui bisnes... Rezeki semuanya dari ALLAH.

Gelora rumahtangga yang hebat juga mendatangi seorang teman  yang ada rangkaian bisnes, kelihatan kaya kerana punya lebih dari satu kereta, tapi bercerai kerana suami yang curang, yang mengaku meniduri perempuan lain. Malah isteri ini juga mengakui kesilapannya mengabaikan banyak suruhan tuhan.

Beberapa selebriti terkenal dan tokoh kenamaan telah memberi contoh kepada kita bahawa harta dan wang mencurah-curah yang diperolehi tidak sama sekali menyelamatkan rumahtangga mereka dari pergaduhan dan perceraian.

Kita tak bahagia kerana taqwa telah lama dipinggirkan dari kamus kehidupan... Kita tak bahagia kerana menguruskan kehidupan tanpa menyedari ALLAH lah sebenarnya yang Maha Memberi Kehidupan..

Usah tertipu dengan menyangka, ‘Seandainya aku lebih kaya, pasti rumahtangga aku lebih bahagia’. Ini adalah harapan yang juga akan mengecewakan andai benar kita suami isteri menjadi kaya suatu hari nanti. Kerana kekayaan juga datang dengan pakej cabaran dan ujian yang tersendiri (tak percaya? tanyalah orang-orang kaya yang dah bercerai...). Seperti mana kekurangan wang ringgit turut menghamparkan kesulitan dalam memikul beban rumahtangga.

Orang beriman selalu bersangka baik, di samping berusaha menambah pendapatan, “Sesungguhnya Ya ALLAH, moga dengan kemiskinan ini sebenarnya ENGKAU menjaga diriku dari kemudaratan yang dibawa oleh kekayaan…”

Jadi dalam kesibukan menambah pendapatan, membangun bisnes, usahakan juga mencari rezeki yang berbentuk kasih kasih sayang dan petunjuk tuhan. Bila melihat ke dalam diri-diri kita, kenapa merasa kehidupan sempit dan susah - adalah kerana kita tidak ada hubungan dan sandaran yang hebat pada ALLAH... Kita sangat perlu mencari kasih ALLAH, kerana kita mahu ALLAH memberi pada kita..

Belajarlah mencintai ALLAH. Belajarlah mengenali dan mendekati ALLAH. Saya akui ini untuk diri sendiri, sekalipun beberapa insan yang memandang melihat saya teramat bahagia :D  namun bila ALLAH tidak menjadi nombor satu di hati saya, kehidupan terasa sempit.. cinta terasa hambar dan sirna.. wang pun asyik tak cukup :D

Bantulah kami Ya ALLAH, menjadi insan bertaqwa..





* Kupasan tentang taqwa dirujuk kepada buku Tazkiyatin Nafs - Syeikh Ibnu Taimiyyah.

Tuesday, November 22, 2011

Bila nikah cerai menjadi bisnes...



Malam ini air mata menitis. Merindukan sesuatu yang paling berharga.., Mampukah dimiliki? Moga ALLAH membantu dan menunjuk jalan.

**************

Siang tadi antara emel terawal yang dibaca adalah tentang isteri yang berpisah dengan suami – kerana tidak dibenarkan berjumpa oleh madu, katanya. Dan ini bukan kes yang pertama dikongsi dengan saya, tentang isteri yang dipisah-pisahkan. Oh ALLAH, bagaimana saya boleh membantu?

Petang tadi berjumpa seorang peguam syarie untuk urusan berkaitan nikah cerai… Bila mendengar kos yang agak tinggi untuk orang biasa, Ya ALLAH, sebeginikah bisnes yang berlangsung antara mereka hasil perceraian kami yang berlangsung satu persatu?

Sebelum bernikah - butik perkahwinan, pakej perkahwinan dan segala bisnes berkaitan majlis perkahwinan telah mendapat pulangan lumayan puluhan ribu. Kerana keghairahan pegantin untuk sebuah majlis yang ‘sederhana tapi sempurna’. Sewaktu pernikahan terbubar, ribuan juga yang perlu disediakan untuk peguam yang menjadi orang tengah. Tidak menyalahkan peguam, itulah rezeki dari bidang mereka yang sebenarnya membantu urusan mahkamah…tapi…tapi…

Tapi bagaimana untuk mengelak ribuan ringgit pergi begitu saja untuk sebuah perceraian yang tak pernah diimpikan… ( Namun bercerai suka sama suka tak memakan kos yang tinggi - pergi saja melafaz cerai di pejabat agama).

Malam ini menerima juga sms seterusnya dari seorang teman lama yang memikir-mikir untuk meniti jalan perceraian… Ya ALLAH, bantulah hambaMU ini.. Bantu diriku dan mereka… Masihkah ada jalan pulang untuk kami kembali kepadaMU tanpa perlu meleraikan ikatan pernikahan ini? Masih adakah ruang untuk anak-anak comel ini melihat penyatuan hati ibubapanya?

Hari ini ALLAH benar-benar menguji dengan urusan nikah kahwin cerai. Mendengar statistik perceraian di sebuah daerah yang berjumlah 1700 untuk 300 hari pertama tahun 2011… Sebuah daerah, bagaimana dengan sebuah negeri?? Ya ALLAH, apakah yang akan jadi pada ummah ini jika rumahtangga sebagai unit terkecil punah dan ranah…

Terasa kerdilnya jiwa… Hingga airmata tertumpah dengan semua ini. Antara teori seorang kaunselor ialah harus bijak mengasingkan diri dengan masalah dan cabaran orang lain. Tidak boleh overwhelmed dengan masalah orang, nanti tak boleh bertugas dengan professional.

Saya bukan kaunselor. Hanya blogger muslimah yang membawa tema pernikahan. Dan kalian adalah saudara semuslim yang saya kasihi...pasti sedih sama terasa. Mungkin saya baru lagi menghadapi perkongsian kisah sebegini - jadi terasa kejutan, sedih dan tak percaya. Saya hanya insan biasa yang ingin mendaki tangga kehidupan bersama kalian.

Saya seorang hamba yang berusaha melaksanakan tanggungjawab khalifah. Membantu menjadikan bumi ini tempat yang damai untuk didiami. Ia terasa semakin sulit dan payah. Tuhan, eratkan cinta dan jiwa kami….

***************

Airmata masih menitis. Hikmah perjalanan hari ini meredah panas dan hujan lebat silih berganti = menjadikan saya banyak bicara kepada ALLAH. Dalam sendu, ada rindu yang datang bertalu…

Saya mencapai handfon dan sms kepadanya, “Alhamdulillah bersyukur sangat ada rumah tempat berteduh, ada tilam yang selesa, ada semua kesenangan dunia…Moga kita semua makin mencintai ALLAH.”

Rindunya…Sangat merindui cinta ALLAH. Sangat merindui kampung sebenar yang ALLAH sediakan di sana…….Saya tidak mahu apa-apa.Tidak pernah ingin ke mana-mana lagi, hanya mahu ke sana……..bersama kalian semua.



Monday, November 21, 2011

Pernikahan 3.0



Beberapa teman pembaca berkongsi ujian kesedihan yang mendatangi bilah-bilah kehidupan berumahtangga. Pernikahan 3.0 adalah muhasabah buat diri saya yang menjangkau tiga tahun usia perkahwinan, berdasarkan pemahaman dan penilaian sendiri tentang hakikat pernikahan. Moga menjadi peringatan juga buat kalian yang bercita-cita menjadi isteri yang diredhai ALLAH dan suami.

Kesedihan mendatangi setiap penjuru, yang bermadu, yang tak bermadu. Yang ada anak, yang tak punya anak.

Kesedihan menjadi isteri yang diabaikan suami, walaupun tak berpoligami.

Kesedihan menjadi isteri kedua yang dipisahkan dari suami.

Kesedihan menjadi isteri pertama yang tidak mengetahui kehadiran isteri kedua.

Hati saya tersentuh dengan kisah kesabaran dan ketabahan yang terpaksa kalian bina. Namun sebenarnya hati ini juga kagum dengan kekuatan yang dimiliki hingga ALLAH memberi ujian yang setanding dengan keutuhan hatimu. Segala puji bagi ALLAH yang menitipkan kekuatan buat hati-hati insan. Semoga ALLAH terus memimpin hati-hati kita mencari jalan keluar dengan cara yang diredhaiNYA.

Saya tidak mampu memberi pandangan dan solusi yang spesifik, lantaran setiap rumahtangga itu hanya difahami oleh suami isteri yang mengemudinya. Apatah lagi dengan usia perkahwinan saya yang baru setahun jagung, banyak perkara yang tidak sampai pada tahap ilmu, kematangan dan kesedaran saya. Maka perkongsian saya di sini tentang alam perkahwinan dan poligami pasti saja tidak mencakup seribu satu kisah yang kalian lalui.

Saya juga meniti kehidupan rumahtangga yang normal seperti kalian. Ada masa-masanya gembira dan berjalan lancar. Ada masanya konflik menduga dan kesedihan menyapa. Namun ALLAH Maha Baik. ALLAH datangkan insan-insan yang menggerakkan saya untuk tidak putus asa mencari redha tuhan. Kalianlah insan-insan itu. Teman-teman yang dekat dengan saya. Yang dekat rumahnya, menjadi jiran dan sahabat. Yang dekat daerahnya, di Shah Alam dan Selangor. Yang dekat dengan blog saya walau berbeza negeri dan negara. Yang dengan dengan laman maya yang sering saya kunjungi. Kalianlah sahabat saya.

Pada sahabat yang memuji, kalian memberi semangat agar diri ini menjadi lebih baik dari yang kalian sangkakan. Pada yang mengkritik, kalian mengingatkan diri ini agar lebih bertaubat mensucikan diri dan lebih mencantikkan kata-kata dan perbuatan. Sesungguhnya kita adalah hamba-hamba ALLAH yang bersaudara. Maafkanlah segala tindakan saya yang menyinggung perasaan dan mengusik hati.

Kita melangkah kaki ke alam rumahtangga dengan segala yang baik. Niat yang baik dan hati yang baik. Untuk beramal sebagai isteri yang baik. Begitu juga dengan suami kita. Pandanglah jauh ke dalam hatinya. Saat dia menikahi kita, ada azam dan niat untuk menjadi suami yang terbaik. Untuk kita. Walau kita isteri ke berapa sekalipun. Seperti mana kita ingin memberi dan mencari bahagia ketika memilih pernikahan, begitu juga nurani seorang suami yang mendamba ketenangan dan sangat ingin memberi kebahagian pada suri (dan suri-suri) hidupnya.

Justeru ciptalah kebahagiaan rumahtangga itu dari jam pertama kita bernikah. Kebahagiaan itu perlu dicipta dan diusaha. Tidak sesekali ia hidup mekar begitu saja. Perkahwinan adalah benda bernyawa, digerakkan oleh suami isteri yang bernyawa. Jika ia tidak dipupuk, ia akan mati. Perkahwinan dan cinta akhirnya akan mati jika tiada rutin harian, mingguan dan bulanan untuk terus menyuburkannya.

Usaha untuk mengharmonikan perkahwinan ini ada dua bahagian. Pertama, usaha kita memberi pada suami. Kedua, usaha kita mendekat pada tuhan. Jika kita ada salah satu, kita akan mampu rasa bahagia tetapi tidak lama. Kita mesti menggilap kedua-dua bahagian. Hubungan dengan suami kita perelokkan. Hubungan dengan ALLAH kita indahkan. Ibarat membuat kek, ada bahan-bahan kering dan basah. Gabungan kedua-dua ini yang menjadikan kek itu gebu dan enak.

Kita berusaha meraih cinta tuhan dengan amalan wajib dan sunnat. Solat, puasa, tahajjud, tilawah dan tadabbur quran. Taubat dan zikrullah selalu. Bersyukur, bersabar dan bersangka baik dengan ALLAH. Hingga ALLAH mendekati dan menjaga kita dari keburukan.

Dalam masa yang sama, kita berusaha menjadi peribadi yang menjemput cinta sayang suami. Bukan sekadar menjaga kebersihan rumah, menjaga anak dengan elok, memasak makanan yang enak, menjaga tubuh badan agar seksi dan menarik, tetapi juga bersabar dengan kekurangan dan keburukan suami. Menjadi pendorong suami dalam menempuh kehidupan yang semakin sulit ini. Menjadi teman di kala susah dan senang. Membangunkan potensi suami sebagai pemimpin hingga isteri dan anak-anak mendapat limpahan kebaikan suami – hasil dari keikhlasan dan kesungguhan isteri sebagai timbalan pemimpin kepada suami.

Maka apabila rumahtangga terasa hambar, kasih sayang menjadi pudar dan konflik yang menjelma makin menyala - ayuh muhasabah ramuan kebahagiaan ini. Adakah cinta semakin dingin kerena hubungan kita dengan ALLAH juga tidak basah dan merah? Solat seolah terpaksa, di akhir waktu dan tak kusyuk pula. Al Quran hanya perhiasan di almari, tanpa rutin harian membaca dan merenungnya. Bagaimana bakti kepada ibu bapa dalam meraih cinta ALLAH? Bagaimana pergaulan dan penampilan sebagai muslimah? Inilah sebahagian nilai hubungan kita dengan ALLAH.

Atau kita hanya menjaga hubungan dengan ALLAH namun kita mengenepikan usaha untuk mendekati, mencintai dan berbakti setulus hati dengan suami? Pernahkah kita berterima kasih kepada suami keranan menikahi kita? Berapa banyakkah terima kasih kita setiap hari kepada suami atau sebulan pun susah untuk berterima kasih? Adakah kita sering melihat dan mengungkap kebaikan suami? Atau kita sering membesarkan dan menampakkan kelemahan suami?

Tanyalah pada suami dengan rendah hati, apakah yang boleh kita perbaiki sebagai isteri? Juga mohonlah pada ALLAH, bantulah kita hamba yang lemah ini untuk menjadi isteri yang dicintai ALLAH dan disayangi suami. Mohonlah ALLAH memberikan akhlak yang baik, memberi ilmu rumahtangga, memberi keimanan dan kekuatan untuk kita menjadi tulang belakang rumahtangga suami. Hingga kekuatan diri kita sebagai ‘ustazah pilihan’ memberi rasa dan warna baru pada rumahtangga. Ketepikan harapan ‘saya mahu suami yang dapat membimbing diri’ sebaliknya, bimbinglah diri sendiri dan bawa perubahan pada famili.

Mohon perlindungan dari ALLAH dari gangguan syaitan yang sentiasa ingin merosak bahagia dan ketaatan isteri pada suami dan pada tuhan. Saat ingin berbuat baik kepada suami, “Suami aku bukan baik sangat pun pada aku”, lantas menahan kebaikan.

Saat suami mendekati dan ingin berbaik, “Sorry..aku pun boleh mogok juga, tak heranlah”. Setelah bergaduh, “Sorrylah aku nak minta maaf.” maka bersikap dingin tidak mahu berbaik. Bila bergaduh, rasa rindu sebenarnya nak berbuat baik dengan suami. Tapi bisikan syaitan menguasai hingga menahan kita untuk mula menghulur tangan meminta maaf, untuk kita memasukkan kegembiraan semula ke hati suami setelah bertelingkah.

Jangan biarkan syaitan mengawal hati seorang isteri. Selalulah kita meletakkan tuhan di hadapan sekalipun sedang terluka, merajuk dan kecewa. Hingga keazaman kita untuk tetap berbuat baik dan memaafkan menggagalkan usaha syaitan untuk merenggangkan suami isteri. Ya, syaitan bersama kita setiap hari, setiap waktu.

Demikianlah yang mampu hati ini kongsikan dengan teman-teman yang disayangi. Teruskan berdoa, jangan putus harapan mencari kebaikan pada diri, suami dan rumahtangga. Carilah ilmu buat penguat menempuh kehidupan sementara. ALLAH Yang Maha Pengasih sentiasa ada untuk bergantung dan memperkenan doa tulus seorang isteri.






 

Sunday, November 20, 2011

Besarkan matlamat pernikahan

"Harta & anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia, tetapi amal-amal yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan" [Kahfi:46]


"Kak.. Kenapakah hari-hari yang dilalui sebagai isteri ini semakin membosankan..?"

Inilah antara luahan seorang isteri hanya setelah beberapa bulan usia rumahtangganya.

Kenapa berlaku begini ya?

Pada teman yang sedang bersemangat untuk bernikah, bersedialah untuk merasa bosan dan tertekan dengan pernikahan :D Lebih bosan dan lebih tertekan dari zaman bujang sendirian......

Haaa ????? Kenapa menambah pesimis bakal pengantin baru ni... ??

Pertama, kerana syaitan tak suka hubungan suami isteri selalu mesra lagi segar harmonis.. Malah ada grup syaitan khusus untuk menggempur memporakperandakan keluarga kita. Syaitan terhebat adalah yang berjaya memutuskan hubungan suami isteri.

Rumahtangga tak akan hidup berjaya dan bahagia dengan sendiri, melainkan ia dihidupkan oleh isteri cerdas solehah (DAN suami soleh yang cerdas). Perlu belajar trik dan tips menghilang kejemuan dan menutup keburukan pasangan yang buat kita rasa kesedihan atau bosan.

Yang paling penting, kena ada aktiviti dan target lain, kalau fokus pada suami atau rumahtangga saja, jadi bosan.. Dan kita sama-sama berdoa ya ukhti, moga pernikahan ini jadi wasilah hebat untuk saya dan ukhti mencari syurga Allah - melalui khidmat, kasih sayang dan ketaatan kita kepada suami... 

Opps bukan maksud saya tak perlu fokus pada suami dan rumahtangga, tapi biar fokus kita itu adalah untuk mencapai target yang lebih besar. Suami bukan tujuan hidup, namun suami menjadi perantara untuk kita meraih kebahagian hidup.

Kita melayan dan berbuat baik pada suami, bukan sekadar untuk suami juga melayan kita dengan baik.

Tapi,... untuk kita meraih bahagia atas amal soleh yang penuh keikhlasan kerana Allah. Dilaksanakan dengan cara yang diredhai Allah. Berbakti dan berbuat baik kepada suami dan anak-anak sebagai amal soleh, dengan harapan dan keyakinan ada balasan indah dari tuhan. Di dunia, terlebih lagi di akhirat sana.

Ya Allah, engkau telah memberiku seorang suami, jadikanlah suami ini wasilah ibadah untukku makin mendekatkan diri padaMu... Yang membantu meraih syurgaMu.

Jadikanlah kehadiranku ini mampu mendorong suami dalam keimanan dan ketaatan padaMu.

Adakah matlamat yang lebih besar selain dari syurga dan redha Allah?

Ya Allah... Suamiku rupanya tidak menjaga solat lima waktu. Dia rajin bekerja, baik dengan ibubapa tetapi dia memandang remeh pada solat.. Bantulah diriku memelihara solat dan  membimbing dirinya menunaikan segala suruhanMu...

Adakah bimbingan dan ajakan yang lebih baik selain dari mengajak kepada mentaati Allah?

Ya Allah.. Engkau telah mengurniakan zuriat hasil perkongsian hidup kami. Bantulah diriku mendidik anak ini menjadi hamba dan khalifah yang menunaikan peranannya di bumi yang sementara ini.

Adakah yang lebih baik untuk dibangunkan melainkan membangun generasi yang bermanfaat untuk ummah...?

Jika suami selalu tiada di sisi, gunakan masa yang ada untuk menyumbang potensi diri pada masyarakat - menulis, mendidik, membantu orang susah, menziarah dan menghibur orang tua dan anak yatim, menjadi sukarelawan, mencari setiap ruang dan keadaan yang menambah kesyukuran dan meluaskan wawasan kehidupan.

Jika suami setiap hari ada di sisi, manfaatkan masa yang ada untuk saling mengingati, saling memberi khidmat, saling memberi dorongan, nasihat dan memberi peringatan dalam membentuk keluarga yang beriman.

Jika suami susah, sama-sama berikhtiar menambah pendapatan dan saling berjimat cermat. Ingatkan suami bahawa rezeki pasti ada dari tuhan, maniskan senyuman bahawa kita akan sentiasa menemani suami dalam kesulitan dan cabaran. Airmata yang bergenang, titiskan ia di sujud yang panjang sewaktu berduaan dengan tuhan.

Jika suami dilapangkan rezeki kewangan, doronglah suami untuk bersedekah dan membantu insan yang memerlukan. Tahanlah diri dari mengarahkan kekayaan suami untuk keinginan peribadi yang tak pernah terpuaskan.

Jika suami sibuk menuntut ilmu, berilah dorongan dan mendoakan agar pencarian ilmunya dimudahkan. Bantulah menyediakan keperluan dan kelengkapan suami semampunya dalam memudahkan pengajian. Tenangkan hatinya, bahawa kita akan menjaga anak anak dan urusan rumah sebaiknya bila suami pergi meninggalkan.

Bila suami lelah mencari rezeki, hiburkan dirinya dengan rumah yang penuh ketenangan. Ada makanan yang sederhana, ada rumah yang bersih kemas, yang penting, ada isteri yang wangi kemas bersih menyambut suami. Isteri yang berakhlak baik, bertenang, bermanis muka dan tutur bicara.

Buat isteri yang bekerja di luar, moga makin terbina kesabaran dan keimanannya. Penat lelah mengurus kerjaya yang bermanfaat untuk ummah, memperoleh gaji untuk dinikmati ahli keluarga, tetap pula mengurus anak dan rumahtangga.

Indahnya hidup bila mana sering memikirkan bagaimana untuk memberi kebahagiaan pada suami yang dikasihi, pada anak-anak dan famili. Bagaimana perlu mengangkat akhlak diri supaya memberi contoh pada suami dan famili. Bagaimana menanam keimanan ke dalam diri agar memupuk iman dalam jiwa setiap famili.

Matlamat yang besar datang dari ilmu, pengalaman dan kematangan yang dibina berterusan. Moga Allah membalas niat suci dan usaha berterusan seorang isteri dan ibu yang menjaga famili. Hingga famili inilah yang akan membentuk ummah yang baik, beradab dan harmoni.

Perkahwinan ini sesungguhnya bukan sekadar wadah bermain perasaan. Ia adalah harapan dan penyerahan kepada tuhan. Ia adalah ruang ibadah selagi hayat dikandung badan. Ia adalah medan dakwah dan tarbiyyah yang akan melahirkan insan yang mengenal dan mentaati tuhan.

Ia adalah taman ilmu yang perlu dipupuk dan disiram keimanan dan amal soleh. Besarkanlah impian dan matlamat pernikahan, agar rumahtangga ini memberi nilai tambah pada ummah untuk bangun melawan arus kejahilan.



Published with Blogger-droid v1.7.4

Tuesday, November 15, 2011

Ali ditegah memadukan Fatimah?




Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh pernah merancang untuk memadukan Fathimah binti Muhammad radhiallahu ‘anha, akan tetapi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarang beliau. Ini merujuk kepada hadis berikut:

al-Miswar bin Makhramah berkata: Sesungguhnya Ali bin Abu Thalib pernah meminang puteri Abu Jahal dengan memadukan Fatimah. Lalu aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkhutbah di atas mimbar ini mengenai hal itu, yang pada waktu itu aku sudah baligh. Baginda bersabda:

Sesungguhnya Fatimah adalah bahagian daripadaku. Sesungguhnya aku takut terjadi fitnah pada agamanya. [Shahih al-Bukhari, no: 2879]

Diriwayatkan juga bahawa baginda bersabda: Fathimah adalah bahagian daripada diriku. Sesiapa yang menjadikannya marah bererti membangkitkan kemarahanku. [Shahih al-Bukhari, no: 3483]

Peristiwa ini menjadi hujah masyhur di kalangan pihak yang menolak poligami.

Marilah kita mengkaji peristiwa ini secara lebih mendalam.

Langkah pertama ialah dengan merujuk kepada hadis tersebut secara keseluruhan. Pengajaran penting terdapat di penghujung hadis di mana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Dan sesungguhnya aku bukan ingin mengharamkan sesuatu yang halal, bukan pula menghalalkan sesuatu yang haram. Akan tetapi Demi Allah, selamanya tidak akan berkumpul puteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya.

[Shahih al-Bukhari, no: 2879]

Sayang sekali penghujung hadis ini kerap kali disembunyikan oleh pihak yang menolak poligami.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Dan sesungguhnya aku bukan ingin mengharamkan sesuatu yang halal, bukan pula menghalalkan sesuatu yang haram.

Ini menunjukkan bahawa apabila baginda melarang Ali bin Abi Thalib memadukan Fathimah, ia bukan kerana mengharamkan sesuatu yang halal. Dalam erti kata lain, ia bukan untuk mengubah hukum poligami, bahkan tiada kaitan dengan poligami.

Akan tetapi sebab baginda melarang Ali bin Abi Thalib memadukan Fathimah ialah kerana: Akan tetapi Demi Allah, selamanya tidak akan berkumpul puteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya.

Ringkasnya, faktor larangan ialah kerana berkumpulnya puteri Rasulullah dan puteri musuh Allah dalam satu tempat.

Faktor larangan bukan kerana poligami.
Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya aku takut terjadi fitnah pada agamanya, fitnah yang ditakuti ialah pengaruh buruk yang mungkin dibawa oleh anak musuh Allah kepada agama Fathimah. Sekalipun puteri Abu Jahal telah memeluk Islam, kemungkinan besar baginda mengetahui apa yang tidak diketahui oleh orang ramai ketika itu.

Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang menjadikannya marah bererti membangkitkan kemarahanku, kemarahan yang dimaksudkan ialah kemarahan Fathimah yang mengenangkan betapa zalim Abu Jahal kepada Rasulullah sejak saat awal dakwah Islam.

Sesiapa yang menyayangi ayahnya pasti akan memarahi orang yang pernah menzalimi ayahnya satu ketika yang lalu.

Oleh itu larangan ini adalah khusus untuk puteri-puteri Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah:

Adapun yang nampak bagiku bahawa tidak terlalu jauh bila dikatakan ini termasuk kekhususan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam untuk tidak memadukan anak-anak wanitanya. Mungkin juga yang demikian khusus bagi Fathimah ‘alaihissalam. [Fath al-Bari, jld. 25, ms. 773, syarah hadis no: 5230]

Ibn Qayyim al-Jauziyah rahimahullah menjelaskan:

Pada larangan baginda kepada Ali untuk tidak memadukan antara Fathimah radhiallahu ‘anha dengan puteri Abu Jahal, terdapat hikmah yang sangat mendalam iaitu seorang wanita mengikut darjat suaminya. Jika wanita itu sudah mempunyai darjat yang tinggi dan demikian pula suaminya, maka dia berada pada kedudukan yang tinggi kerana dirinya dan sekaligus kerana suaminya.

Beginilah keadaan Fathimah dan Ali radhiallahu ‘anhuma dan Allah ‘Azza wa Jalla tidak akan menjadikan puteri Abu Jahal dan Fathimah berada pada darjat yang sama, tidak kerana faktor dirinya sendiri dan tidak pula kerana faktor orang lain, kerana ada perbezaan yang sangat jauh antara kedua-duanya.

Maka poligami Ali terhadap pimpinan kaum wanita di alam semesta tidak terpuji secara syari’at dan tidak pula secara taqdir. Baginda telah memberikan isyarat akan hal ini dengan sabdanya: “Demi Allah, puteri utusan Allah tidak boleh berkumpul dengan puteri musuh Allah di satu tempat selama-lamanya.” [Zaad al-Ma’ad, jld. 6, ms. 139]

Ada yang mendakwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarang Ali berpoligami kerana prihatin kepada perasaan cemburu Fathimah. Dikatakan juga Fathimah keseorangan sehingga tidak ada sesiapa yang dapat menghiburkan dirinya dari perasaan cemburu tersebut.

Dakwaan ini tertolak dari beberapa sudut:

1. Tidak ada bukti kukuh bahawa Fathimah menghadapi masalah kecemburuan yang berat sehingga Rasulullah perlu campur tangan.

2. Dalam hadis-hadis sahih sedia tercatat peristiwa kecemburuan di antara isteri-isteri Rasulullah. Namun baginda tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak berpoligami. Andai benar Rasulullah campur tangan dalam kecemburuan puterinya tetapi membiarkan kecemburuan para isterinya, bererti baginda mengamalkan double standard yang tercela. Sudah tentu ini tidak benar ke atas baginda.

3. Fathimah tidak keseorangan. Beliau masih memiliki Allah, Rasulullah, Ali bin Abi Thalib, Hasan dan Husein.

Cemburu ialah reaksi seseorang apabila sesuatu yang memiliki kepentingan bagi dirinya disaingi atau dicabar. Reaksi tersebut boleh jadi perasaan yang benci dan marah, boleh juga diterjemahkan kepada perbuatan fizikal seperti memecahkan atau membaling barang.

Sementara Fathimah binti Muhammad radhiallahu ‘anha ialah seseorang yang dikhabarkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai: “Wahai Fathimah, mahukah kamu menjadi pemimpin para isteri orang-orang mukmin atau sebaik-baiknya wanita umat ini?” [Shahih Muslim, no: 4487]

Setiap insan memiliki sifat cemburu. Namun mengatakan pemimpin para isteri dan sebaik-baik wanita umat ini memiliki sikap cemburu berlebih-lebihan yang menghalang suaminya dari berpoligami adalah satu tuduhan yang tidak benar.

Kontroversi poligami Ali bin Abi Thalib akhirnya dapat dirumuskan sebagai berikut:

1. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarangnya kerana ia melibatkan puteri baginda dan puteri Abu Jahal. Puteri Rasulullah tidak boleh berhimpun dengan puteri musuh Allah.

2. Rasulullah juga melarang kerana bimbang puteri Abu Jahal membawa sesuatu pengaruh yang negatif ke atas agama Fathimah.

3. Rasulullah juga mengetahui kemarahan Fathimah kepada Abu Jahal, dan apa yang menyebabkan Fathimah marah akan menyebabkan baginda marah.

4. Larangan Rasulullah tiada kaitan dengan hukum halal-haram poligami.

5. Tidak ada bukti kukuh bahawa Fathimah menghadapi masalah kecemburuan yang berlebih-lebihan dalam hal ini sehingga menjadi faktor penghalang untuk Ali bin Abi Thalib berpoligami.

 
 
 
Dipetik dari : 202 Pelajaran Tentang Poligami (oleh Hafiz Firdaus Abdullah)



Monday, November 14, 2011

Istikharah Pernikahan



Antara persoalan, lontaran dan perkongsian yang kerap diterima di kotak emel dan komen saya adalah berkaitan istikharah dan proses membuat pilihan tentang jodoh. Persoalan lain yang lebih banyak kebelakangan ini ialah berkaitan poligami, moga ALLAH membantu saya menyediakan ruang dan kesempatan untuk menaip perkongsian semampunya. Moga ALLAH anugerahkan di hati ini rasa cinta di sebalik bait - bait kata – cinta tulus kepadaNYA, jua cinta kepada teman-teman yang membaca.

Saya tidak mengetahui dengan mendalam dengan isu solat dan sebagainya yang berkaitan fiqh ibadah, namun saya kongsikan di sini berdasarkan sedikit ilmu dan kefahaman yang telah diperolehi tentang solat istikharah. Ilmu dan kefahaman ini saya gandingkan dengan pengalaman yang telah dilalui. Dialu-alukan perkongsian ilmiah dari kalian buat menambah ilmu kita semua tentang solat istikharah.

Yang setakat ini difahami, solat istikharah itu dilakukan setelah kita berusaha mencari jodoh,  membuat pilihan berdasarkan taaruf dan melakukan penyelidikan tentang calon yang melamar atau dilamar.

Tidak boleh mengharap jodoh tanpa usaha dan doa. Jika ingin berkahwin awal, perlu berusaha, seperti yang saya kongsikan di sini. Jika ingin berkahwin lewat pun, ada usahanya :P

Terdapat pelbagai cara yang mengikut syariat yang boleh dilakukan untuk mencari jodoh bagi lelaki dan wanita, boleh rujuk di sini.

Contoh yang pernah saya alami, sewaktu belajar dulu saya suka seorang lelaki yang nampak baik, yang dikenali dalam salah satu program khidmat masyarakat yang saya sertai, bernama Abdullah (bukan nama sebenar). Jadi mula-mula saya sekadar tertarik kerana akhlak yang zahir, tapi saya tak tahu rasa suka saya ini akan bawa ke mana.. saya hanya mengadu pada tuhan akan perasaan saya :D suka sekadar kerana nampak baik, tapi sekarang dah tak ada rasa suka dan dah lupa pun..

Lalu saya berusaha, pertama, memilih untuk menyiasat tentang Abdullah dan latarbelakangnya dari teman-teman yang dipercayai.

Usaha saya yang kedua, saya bercerita kepada ibu bapa saya tentang Abdullah, apa pendapat mak abah jika saya ingin berkahwin dengan Abdullah..?  

Usaha seterusnya, dengan info-info yang saya ada tentang Abdullah, saya mengambil keputusan untuk melamarnya.

Sebelum saya melamarnya itu, saya beristikharah, menghadapkan pada ALLAH keputusan saya untuk melamar lelaki itu...

Dan setelah beristikharah, saya melamar Abdullah. Tetapi akhirnya takdir ALLAH itu melakar bahawa Abdullah yang saya lamar bukan jodoh saya. Sebagai manusia biasa, saya bersedih kerana saya telah berusaha untuk bernikah dan saya berharap ALLAH membantu saya bernikah dengan jodoh ini.

Malah kerana itu adalah cubaan 'berani mati' saya yang pertama melamar seorang lelaki, perasaan saya ketika itu sangat teruji dengan rasa-rasa yang agak negatif, kecewa, down.

Tetapi ALLAH Maha Mengetahui kan? Maka hati pun terpujuk dengan rangkap doa istikharah yang diajar Rasulullah SAW.

"...Ya ALLAH, andai urusan yang ku inginkan ini baik untuk agama dan kehidupanku dunia dan akhirat, maka takdirkanlah ia untukku, mudahkanlah jalannya, berkatilah ia..

...Andainya urusan ini membawa keburukan untuk agama dan kehidupanku dunia dan akhirat, jauhkan ia dariku, takdirkanlah kebaikan untukku di mana saja diriku berada, dan berilah keredhaan kepadaku."

Saya juga tidak rasa menyesal kerana hubungan itu diputuskan setelah berbincang dengan orang-orang yang amanah dan berilmu. Untuk soalan seberat jodoh, jangan sesekali membuat keputusan tanpa berdasarkan musyawarah (perbincangan) dengan ibu bapa dan orang-orang berilmu.

Istikharah dan musyawarah adalah sangat penting untuk membuat keputusan yang mantap dan tidak berakhir dengan penyesalan.

Namun bagi ramai antara kita yang jatuh cinta dan berpacaran sebelum bernikah, maka perasaanlah yang menjadi panduan dalam membuat jodoh. Berhati-hatilah, lorongkanlah perasaan itu untuk mencari jodoh yang beriman dan membantu kita dalam kehidupan menuju akhirat yang kekal abadi.

Dan kini Abdullah ada di sisi saya, bukan Abdullah yang dilamar, tapi Abdullah anak saya yang ALLAH bagi melalui suami yang ALLAH tetapkan buat saya...

Bagaimana pula usaha saya untuk bernikah dengan suami yang ALLAH telah tetapkan ini?

Setelah kakak isteri pertama menyampaikan hasrat suami menjadikan saya isteri kedua, saya membincangkan dengan teman-teman terdekat dan kakak naqibah yang mengendalikan usrah saya. Saya tak berani terus-terus memberitahu pada ibu ayah - saya bimbang mereka terkejut, atau marah, atau bersangka bahawa saya yang sengaja menjalin hubungan dengan suami orang.

Namun yang terawal adalah berdoa meluahkan segala rasa hati pada ALLAH -  kebimbangan, ketidakpastian dan segala gelodak perasaan dengan lamaran poligami itu. Kerana ALLAH lah yang kemudiannya menemukan kita dengan teman-teman baik yang membantu meleraikan persoalan dan kekusutan.

Saya kemudian meluahkan pada mak, tapi mak pastilah berkongsi dengan abah. Dalam pada itu, saya banyakkan bertemu dan memohon pandangan tentang lamaran poligami dari makcik pakcik, majikan tempat saya bekerja, ustaz ustazah. Yang agak rapat dan boleh dipercayai.

Saya mula menggoogle tentang suami saya, banyak juga pakcik google sediakan info. Saya mendapat paling banyak info tentang suami saya dari kakak isteri pertama. Saya bertanya pandangan orang-orang yang mengenali suami saya secara jauh atau dekat.

Saya menggoogle tentang kehidupan poligami. Saya meminjam buku tentang poligami dari sahabat. Saya menemui beberapa isteri yang berpoligami untuk mendengar cerita dan pengalaman.

Setelah berbincang dengan ibu ayah dan adik beradik, dengan segala risikan dan penyiasatan tentang suami saya, dengan taaruf yang sempat berlangsung dengan suami beberapa waktu, dengan info tentang kehidupan berpoligami yang perlu saya ketahui, semuanya diproses hati dan minda saya - saya kemudian beristikharah.

Dengan doa istikharah, saya berteguh hati menerima lamaran. Tidak ada mimpi aneh memberi petanda, tidak ada bisikan yang datang di malam hari. Tidak ada wajah yang hadir di alam tidur.

Hasil istikharah itu bagi saya ialah, saya merasa tenang. Saya merasa bantuan. Saya merasa ALLAH menunjuk jalan.

Saya merasa lapang meneruskan walau banyak cabaran yang datang di sepanjang perjalanan menuju pernikahan.

Maka sebenarnya untuk urusan jodoh ini perlu usaha yang optima dan berterusan, dalam rangka kemampuan kita asalkan mengikut syariat. Dan bukan meminta ALLAH membuat keputusan untuk kita, tapi dengan segala usaha kita menyelidik latar belakang pasangan, dengan persediaan kita menerima atau menyesuaikan diri dengan keperibadian calon teman hidup - inilah akhirnya yang membawa kita membuat keputusan.

Dan usaha serta keputusan seorang insan kerdil ini kita hadapkan dalam solat istikharah kepada ALLAH dengan setulus perasaan, memohon perlindungan, meminta kebaikan, merayu rahmat dan petunjuk. Setakat yang saya tahu, doa istikharah itu boleh dilafazkan sebelum atau selepas memberi salam, dalam bahasa melayu, bahasa cina, bahasa france atau sebaiknya dalam bahasa arab - asalkan kita faham, tak kira bahasa apa.

Islam bukan agama yang pasif, bukan hanya menerima calon yang melamar tanpa merisik dan menyiasat latarbelakang, atau bukan duduk menunggu jodoh datang bergolek. Islam bukan mengajar memilih jodoh dengan hanya dengan perasaan, namun aspek perasaan ada bahagiaanya dalam memilih jodoh. Islam mengajar aktif dan proaktif mencari jodoh mengikut syariat. 

Kesimpulannya, solat istikharah memilih jodoh adalah gabungan usaha yang optima dan tawakkal yang tinggi kepada ALLAH. Kita sebagai manusia berusaha mencari, berkenalan, menyelidik dan berkomunikasi dengan calon teman hidup dalam kadar yang sewajarnya. Kemudian, kepada ALLAH kita sandarkan dengan keyakinan segala ikhtiar, harapan dan perjalanan kehidupan yang kita rancang. Hingga akhirnya kita redha dengan ketentuan dan keputusan tuhan yang Maha Mengurus Kehidupan.

Thursday, November 10, 2011

Bab 4 Rumahtangga - Bergaduh sebab kewangan?



Bismillah. Kali ini saya ingin menulis tentang bab kewangan di alam rumahtangga. Sebelum ini telah saya kongsikan tentang isu pembahagian kerja rumah, hubungan seksual dan komunikasi.

Isu kewangan adalah antara isu yang menduduki tempat teratas menjadi punca perbalahan dan membawa kepada perceraian… tapi teragak-agak juga nak menulis tentang ini, sebab mesti teman-teman pembaca ada yang tak puas hati kan, “Alah nurul tu…suami dia mampu segala… mana ada masalah kewangan..???!”

Hee…nanti dulu, cuba tengok sekeliling kita… perceraian bukannya hanya di kalangan mereka yang tinggal di rumah kos rendah, tapi juga berlaku pada mereka yang punya kereta mewah menjalar, banglo tersergam, jawatan tinggi dan berharta… jadi apakah sebenarnya tentang isu kewangan ini?

Di awal-awal berkahwin dulu, timbul juga konflik antara saya yang orang kampung dengan suami saya orang bandar dalam bab berbelanja. Bukan sebab duit banyak atau sikit..tapi the way we spend it. Suami spend macam begitu, isteri spend macam begini. Dan sangat penting bagaimana kita suami isteri berbincang tentang isu kewangan ini, hingga mencapai keserasian dan kesepakatan. Tidak kisahlah gaji RM 2 ribu atau 20 ribu sebulan. (Dan hingga hari ini saya sangat kagum dengan ayah saya yang dengan gaji cikgu sekolah dua tiga ribu, punya isteri surirumah sepenuh masa, boleh besarkan 9 anak tanpa hutang beli rumah atau hutang kereta…).

Saya bukan pakar kewangan, jadi saya cerita berdasarkan pengalaman sendiri, perkongsian orang lain dan pastinya melalui pembacaan ( ya, 70% yang saya share di blog ini adalah hasil pembacaan).

Masa sebelum berkahwin, bakal suami saya bertanya berapa jumlah hutang saya.. Aik… tanya pasal hutang…??? Isu duit ni kan sensitif, malunya, rasa tak selesa pun ada.. tapi akhirnya suami saya tahu juga segala hutang saya. Bila saya dah kahwin, barulah saya faham dan sedar bahawa sangat-sangat penting untuk kita tahu kedudukan kewangan calon suami atau isteri.

Tak boleh diamkan saja.

Cuba tengok 20 questions to ask before married di Oprah.com - empat soalan teratas adalah berkaitan kewangan. Bagi kita mungkin, “ Agak-agaklah nak bincang pasal duit… benda ni kan sensitif.. Lagipun kita bukan nak sangat duit dia…”

Tak, bila kita tak boleh atau tak pernah berbincang tentang duit, hutang, money management, expenses sebelum bernikah – bersedialah untuk kita bersinsing lengan bermasam muka tentang isu duit dan duit selepas bernikah.

Kita ambil tahu pasal hutang pasangan supaya kita boleh bekerjasama untuk selesaikan hutang. Kita boleh membantu dan saling mendorong untuk menyelesaikan hutang. Ini malah tersangat penting untuk suami isteri yang bekerja, supaya dapat gambaran secara kasar keseimbangan dan ke mana aliran tunai masing-masing pergi.

Dengan izin ALLAH, suami saya adalah sumber kewangan saya tika ini. Jadi segala perbelanjaan, hutang dan sumbangan yang dirancang dan diingini saya harus melalui soal jawab dan siasatan dengan suami…hehe…jadi saya dapat peluang belajar skill memujuk dan meyakinkan :D  Sekali lagi, segalanya berkaitan dengan komunikasi. Dulu juga saya hairan, kenapa kalau nak beli apa-apa barang, suami akan tanya saya (isteri-isteri) – kan suami saya ada duit, beli sajalah barang yang dia suka dan rasa perlu…

Barulah saya belajar bahawa berkahwin adalah hidup berkongsi. Jadi hidup berkongsi ada etikanya. Berkongsi keinginan, berkongsi impian, berkongsi harta, berkongsi amanah dan tanggungjawab. Berkongsi kewangan. Bukan poligami saja hidup berkongsi ya :D

Berkongsi, berbincang dan bertukar pendapat adalah etika yang sangat penting dalam rumahtangga. Dari alam pertunangan, harus bangunkan dan biasakan komunikasi yang baik. Minta pandangan tentang isu-isu yang timbul. Sebab selepas kahwin, ada lebih banyak isu untuk dibincang dan digaduhkan hehe..

Isu duit, isu hak dan peranan suami isteri, siapa nak urus anak, siapa nak urus rumah, apa aktiviti hujung minggu, aktiviti ziarah dan berziarah, isu mertua ipar duai, isu facebook….hah?? ni baru sikit…banyak lagi isu-isu rumahtangga yang menyerabutkan :P

Bila suami atau isteri kerap bertindak atau buat keputusan sendiri-sendiri, maka sebenarnya kita dalam proses menjarakkan diri dari pasangan secara halus. Sedar-sedar selepas dua tahun, “kenapa aku dan suami terasa jauh… padahal duduk serumah dan sebilik…????”

Sangat penting bagi isteri untuk tak buat keputusan sendiri-sendiri. Bukan sekadar memaklumkan pada suami, tapi meminta izin dan meminta pandangan. Minta izin ( peringatan penting untuk saya dan semua isteri!).

Suami susah dibawa berbincang…? Takpe, kita cuba lagi ya… belajar skill berbincang yang betul. Muhasabah setiap patah kata, ayat, nada dan body language, agar suami selesa berbincang dengan kita. Agar suami rasa pandangannya dihormati. Supaya setiap tindakan kita sebagai isteri diketahui, direstui dengan lapang hati. Jangan buat suami kita terpaksa beri izin, atau dipaksa rela mengikut kehendak kita kerana kita dah mogok tak layan suami..

Ohh sambung semula bab duit. Setelah mengetahui berapa hutang calon suami atau isteri, perlu juga dilihat aspek pembahagian duit. Ada yang buat akaun gabungan suami isteri. Ada yang buat akaun asing-asing. Terpulang. Sekali lagi, pokoknya berbincang. Duit awak, duit saya, duit kita – apa kesepakatan darinya?

Bila dah berkahwin, “Ini hutang kita, macam mana kita nak jelaskan,..” Jangan bebankan suami saja, atau isteri saja. Bukannya, “Itu hutang awak..awak fikirlah sendiri”.

“Saya jimat, awak boros, tu lah masalahnya.” Hohooo… ini juga ayat fevret suami isteri kan… Saling menuding jari.

Sedangkan sebenarnya we both spend, but on different things. Let's budget :D

Bincang-bincangkan semua ni dengan hikmah dan kasih sayang. Jangan lupa meminta bantuan dan petunjuk tuhan untuk kelancaran dan keharmonian rumahtangga. Suami ada keperluannya, isteri ada keperluannya maka komunikasikan plan dan kos segala keinginan kita.

Bab shopping, bab travel, bab bagi duit pada mak ayah dan adik beradik, bab pampers dan keperluan lain anak, bab menyimpan nak pergi haji dan umrah, bab nak renovate rumah, bab nak menderma pada orang susah di kalangan famili atau orang luar… semua ini perlu dibincang secara berkala.

(Tapi masalahnya pada kita ialah, sibuk dan penat bekerja – mana ada masa tenang-tenang nak bincang ya tak? Hujung minggu sibuk berjalan dan kemas rumah. Tak pun balik kampung sibuk dengan mak ayah dan ipar duai…Tunggu suami buat keputusan atau bagi keizinan, macam lambat… macam mana tu…???? ) Nanti lah kita tulis topik lain bab tak cukup masa ya..)

Yang terakhir saya nak kongsi, bak kata money expert - Anything could happen. Let's plan for emergencies.

Sebab saya dah ada suami yang ‘mampu’ macam anggapan teman sekalian, maka sedikit sebanyak saya rasa sangat secure di zon selesa – hingga asyik nak habiskan duit.. takde simpanan. Hehe.. tapi bila suami dah tegur serius, baru saya tak kacau duit emergencies..ok, jangan tiru perangai teruk saya. Sama-sama kita mujahadah dengan hormon perempuan yang suka shopping… :D

Sediakan duit juga untuk bantu orang lain yang emergency atau ditimpa musibah.. Moga ALLAH membalas setiap satu sen yang kita keluarkan untuk famili dan orang lain… Bahagianya kan bila dapat berkongsi dengan orang lain walau sedikit ? :)

Kesimpulannya, tak lah sesingkat dan semudah ini untuk membicarakan aspek kewangan, banyak lagi pertimbangan-pertimbangan lain. Namun  bukan duit banyak atau sikit yang jadi isu. Bukan gaji besar atau gaji kecik. It’s how we manage it. Dan bagaimana kita membina keserasian kewangan dengan pasangan.



:: Sekian, moga bermanfaat ::
 
 
 

Friday, November 4, 2011

Hebatkan hantaran perkahwinan



 
Cuti sekolah hujung tahun insyaALLAH menjenguk sekali lagi. Cepat benar masa berlalu kan? Apa agaknya perkara-perkara bermakna yang telah kita capai dan lakukan pada tahun ini? Apa agaknya liku-liku berduri yang telah ditempuh oleh hati-hati kita sepanjang hampir dua belas bulan ini?

Cuti sekolah hujung tahun amat sinonim dengan jemputan kenduri kahwin yang silih berganti. Para bakal pengantin begitu sibuk dengan persiapan terakhir sebelum majlis walimah berlangsung. Pelbagai cabaran dan dugaan menguji di sebalik rasa teruja dan gembira bakal mengikat hubungan yang halal. Memang normal kalau To-do list and To-buy list rasa tak sempat dikejar oleh masa dan duit :D

Maka peringatan penting yang ingin saya kongsikan kali ini ialah perhebatkanlah hantaran perkahwinan. Hantaran perkahwinan yang saya maksudkan ini termasuk perkara teratas yang yang perlu diberi perhatian.

Saya tidak berkata tentang dulang-dulang hantaran tujuh berbalas sembilan. Atau sembilan belas berbalas dua puluh satu. Saya bukan ingin berbicara tentang dulang-dulang yang berisi sirih junjung, sejadah dan telekung yang digubah penuh kreatif, set perfume yang mahal, ferraro rocher yang menjadi jelingan dan rebutan anak saudara, ipad sebagai latest hantaran perkahwinan di tahun 2011/2012…

Namun hantaran perkahwinan yang saya maksudkan perlu diperhebat adalah diri kita sendiri sebagai seorang isteri yang akan melangkah ke rumah suami.

Wah…boleh ke umpamakan diri kita seorang wanita sebagai hantaran perkahwinan?

Sebahagian dari kita berbulan-bulan lamanya telah berdikit-dikit mengumpul duit dan mengubah dulang hantaran untuk majlis perkahwinan. Berbulan-bulan resah gelisah tentang kenduri kahwin. Menempah dan mendesign baju pengantin… Sedarkah kita ia hanya untuk majlis satu hari?

Apakah cukup persediaan agama, fizikal, mental, dan emosi untuk kita menghantar kebahagiaan pada suami dan rumahtangga agar kekal sepanjang hayat?

Adakah berbulan-bulan juga kita memantapkan ilmu, iman dan akhlak yang amat diperlukan untuk tampil sebagai isteri terbaik di hadapan suami – di bulan pertama rumahtangga hingga nafas terakhir seorang suami?

Adakah kita berasa risau dan resah memikirkan strategi dan tips penting dalam membangunkan rumahtangga sewaktu statistik perceraian di kalangan pasangan muda makin naik seperti mana naiknya harga barang di pasaran?

Adakah kita seorang wanita yang telah mendalami ilmu ALLAH yang disampaikan Rasul SAW tentang hak suami yang sangat besar untuk ditunaikan? Ehem..hak isteri juga besar ya, wahai abang-abang di luar sana. 

Ohh jangan takut dengan soalan saya… Saya tanya je, jangan tak jadi kahwin pula :P Jangan terus tinggalkan persiapan walimah dan membuat dulang hantaran.

Saya dulu ada juga dulang hantaran berisi terjemahan dan tafsir Al Quran – yang alhamdulillah masih dibaca hingga kini. Berisi sepasang kasut yang hingga tahun ini saya pakai, tapi beberapa minggu lepas anjing liar telah menceroboh masuk dan menggigit kasut hantaran saya itu :(. Ada hantaran handbag yang juga setiap masa setiap tempat dipakai hingga tercabut dah talinya. Ada kek sederhana besar warna biru yang selamat dinikmati sanak saudara di malam majlis walimah. Itu saja… lima dulang dari saya pihak perempuan. Saya ada kongsikan serba sedikit di sini tentang persiapan majlis walimah saya di sini.

Saya mengajukan persoalan-persoalan di atas sebab dulu tak ada sesiapa tanya pada saya. Saya tahu secara umum saja perkahwinan itu ada konflik-konflik yang berat. Saya tahu secara kasar saja bahawa seorang isteri ada tanggungjawab yang besar pada suami. Ehh…mungkin ada kot yang menimbulkan persoalan seperti itu, tapi tak sedar :P

Dan ternyata persediaan dan persiapan saya sangat minimima tentang bagaimana peranan seorang isteri mengisi sebuah perkahwinan yang bahagia. Hinggakan awal-awal berkahwin dulu ada juga saya rasa,

“Adakah saya telah tersalah timing masuk ke alam rumahtangga?”

“Adakah saya tersalah langkah masuk ke alam poligami?”

“Adakah suami saya telah tersalah memilih saya sebagai isteri?”

“Adakah saya terburu-buru menikah pada usia 24 tahun 4 bulan?”

“Adakah saya sebenarnya tidak bersedia untuk bernikah?”

Hehe.. dan bila berkongsi dengan beberapa isteri lain, mereka juga turut timbul pertanyaan sebegitu selepas berkahwin gara-gara kebingungan dengan konflik-konflik bersiri yang terjadi dengan suami. Tapi ada juga isteri yang cool, tak konflik sungguh-sungguh dengan suami.

"Laa...kenapa kalian berkonflik sampai macam tu?? Nampak kalian macam serasi je...?? Macam pasangan bahagia je..??"

Sebab lelaki perempuan tak compatible, hmmmm tapi bukan sebab itu sebenarnya. ALLAH mencipta kita semua dengan sempurna. Kita yang tak cukup ilmu mengurus incompability :P

Ya, bagi sebahagian orang, hanya dua hari pertama bernikah yang memang best. Perfect. Atau dua minggu pertama memang best. Tak berenggang, asyik duduk dalam bilik. Ada magnet luar biasa antara suami isteri. Senyum terpamer selalu di wajah. Tapi selepas dua bulan, welcome to the real life :D

Tamat fasa honeymoon, datang fasa berkonflik. Janganlah terus ke fasa perang dunia ketiga ya. Perfectly normal jika ada konflik. Namun berkonfliklah dengan matang, ikhlas dan terbuka. (Berkonflik dengan ikhlas, maksudnya - berkata-kata dan bertindak dalam batas yang diredhai ALLAH).

Jangan melancarkan perang dingin, tak bercakap dan tak bersentuhan. Jangan keluar rumah tanpa izin ya wahai isteri wahai suami… Bila bergaduh, atau timbul apa-apa tak puas hati – tenangkan perasaan hati sendiri dulu. Kemudian tenangkan suami, tak kisahlah siapa yang salah.

Aik…mana boleh??? Bukan saya yang salah???!! Yelah, memang kita ‘perasan’ kita tak salah, tapi kita kan nak bercinta hingga ke syurga, bukan hingga ke kamar mahkamah atau pejabat agama, jadi ikut petunjuk Rasul dalam membina keharmonian berumahtangga - isteri dianjur menenangkan suami.

Tahu tak kenapa suami pilih kita sebagai isteri? Sebab kalian nampak sweet, sopan, lemah lembut, matang, bertenang, seksi, solehah, menyejukkan pandangan – lantas harapan suami menggunung bahawa kalian akan menebarkan kasih sayang dan ketenangan pada suami. Bahawa kalian akan selalu menggembirakan dan menghiburkan hati.

Sekali, bila dah kahwin – baru nampak wajah kelat mencuka pasangan, baru nampak jelingan marah mengganti renungan redup sewaktu zaman dating dulu. Baru tahu suami punya bilik macam tongkang pecah. Pakai t-shirt sampai tiga hari dah berbau tapi tak perasan. Baru tahu isteri tidur berdengkur kuat dan suka mandi lama-lama sampai asyik terlambat keluar rumah. Dulu suami tak kisah belanja makan setiap kali keluar dating sekarang nak beli ikan sardin satu tin pun suami akan pertikai… Hehe… Jangan marah ya suami, isteri...

Jadi, sama-sama kita hebatkan diri wahai isteri. Jadilah seperti harapan suami. Hantarkan diri sebagai seorang wanita solehah kepada suami - the best thing a man can have. Seorang isteri yang benar-benar datang dari acuan islam akan menjaga kebajikan suami dan berusaha memasukkan kegembiraan dalam hati suami. Akan belajar mengangkat suami sebagai pemimpin di sebalik kelemahan suami, memotivasi bila diperlukan.

Seperti dulang hantaran pernikahan, luar dalam begitu mahal dan berseri dihias. Diri ini lebih berharga, maka cantikkan penampilan, pakaian dan akhlak luaran depan suami, lunakkan kata-kata yang terbit dari lidah. Cantikkan kulit, sihatkan tubuh dengan senaman. Biasakan mengukir senyuman. Untuk dalaman – yang bernama hati – biasakan zikrullah pada tuhan. Bersihkan dari keegoan dan kemarahan. Teguhkan hati dan isilah ia dengan kemaafan, kesabaran, kelembutan baaaaaaaaaaaanyak-banyak…..

Bila isteri sebagai timbalan pemimpin dalam rumahtangga sangat berwawasan dan positif, suami juga akan terdorong untuk memberi lebih kebahagiaan pada isteri dan famili. Belajar merungkai kesalahan pasangan dengan hikmah, bukan dengan marah melulu apatah lagi mencari-cari kesalahan suami untuk dibentangkan depan suami. Tak, tiada siapa yang suka dikritik dengan lantang apatah lagi dengan senarai panjang. Satu-satu, bertahap-tahap. Akui juga kelemahan dan keburukan diri kita.

Untuk menjadi timbalan pemimpin yang bagus dalam rumahtangga bukan sehari dua atau sebulan dua. Belajar teori, dan istiqamah membinanya di alam realiti. Bermulalah dari sekarang, maka anda diseru untuk bernikah dengan hati terbuka :)

Kesimpulannya, hebatkan diri sebagai isteri, tenang-tenang saja dengan persiapan walimah dan gubahan dulang hantaran yang masih tak siap lagi. Jom…saya juga ingin sama-sama belajar dengan kalian menjadi isteri yang dicintai suami diredhai ALLAH. Fokus pada bagaimana seharusnya kita menghantar diri ke alam rumahtangga yang suami impikan. Bagaimana untuk menjadi menantu dan ipar yang memberi manfaat pada keluarga suami. Bagaimana untuk perkahwinan kita ini memberi nilai tambah pada ummah … Selamat bercinta di syurga dunia :)





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...