Monday, October 31, 2011

Poligami: Minta kekuatan dari tuhan



:: Semakin dikongsi cinta, semakin bertambah bahagianya jiwa.. Mintalah dari ALLAH, sesungguhnya kasih sayang dan cinta hanya dariNYA. dan ALLAH Maha Kaya ::


"Suami saya layak berpoligami, tapi saya yang rasa tak mampu..." respon seorang isteri kepada entri di blog Sisi Kehidupan ini... Boleh bertukar nama kepada Sisi Poligami kot ??

Buat para isteri yang ku kasihi, moga kita semua dirahmati ALLAH.

Benar sekali, poligami itu sesuatu yang sangat berat, amat sukar lagi  menyedihkan. Pada isteri pertama atau kedua, ada kesakitan masing-masing.

Kecuali bilamana telah mendapat pendedahan dan pengalaman yang positif dari awal tentang poligami, jadilah seperti saya yang kelihatannya over-excited pada sebahagian teman :( maaf ya teman-teman semua.. Saya cuba melontarkan pandangan dengan adil, moga ALLAH tidak memudarkan kasih sayang kita semua kerana isu poligami ini. Sesungguhnya segala kekuatan dan kebaikan itu dari ALLAH jua.

Maka bertahap-tahaplah kita mempersiapkan diri dan menambah ilmu bahawa setiap syariat ALLAH termasuk poligami ada kebaikan yang hebat. Pertama, perlu terus mengkaji kebaikan poligami. Kedua, perlu melaksanakan dan menerima sepenuh hati mengikut syarie. Yang kedua inilah bahagian yang sangat sukar untuk suami dan isteri. Suami berat pada tanggungjawabnya, isteri berat pada perasaannya.

Jika tidak ada keperluan, kemahuan dan keinginan - biarlah bermonogami. Bahagiakan diri sebagai satu-satunya isteri. Bahagiakan suami yang mencukupkan dirinya dengan satu isteri. Tetapi jika suami membuka bicara, bahagiakan diri untuk melalui semua ini.

Pada permulaan poligami, adalah pasti adanya fasa yang menyakitkan, berat, cemburu yang tak dibendung, makin jatuh keyakinan diri, kesedihan menyesuaikan diri menerima hakikat hidup bermadu dan berkongsi suami. Akan tetapi yakinlah janji ALLAH, ada kemudahan selepas kesulitan. Ada kegembiraan menyusul kedukaan.

Salah satu cara untuk meringankan hati dalam proses suami berpoligami ialah dengan terlibat membincangkan dan membantu suami. 'Ohh tak sanggup...' ya memang tak sanggup mulanya, tapi lama-lama akan biasa. Bila kita yang membantu suami dan mula terbuka tentangnya, dapat mengurangkan pelbagai prasangka seperti ' Suami senyap-senyap dengan perempuan lain', 'suami seronok membina cinta baru', 'suami dah tak peduli', 'suami dah tak sayang'... Tanyalah pada isteri pertama yang dah melakukan, ya ada rasa berbaur-baur..tapi bila suami seorang diri dalam berpoligami, lebih mengharukan perasaan. Perasaan suami. Perasaan isteri.

Sampai hati saya bagi cadangan macam ini kan...? Saya tak faham perasaan kalian kah...?

Memang susah, tapi percayalah suami akan makin peduli dan makin sayang jika isteri membantu dan berusaha memahami situasi suami yang berpoligami. Yakinlah pada ALLAH yang menitipkan cinta dan kasih sayang. InsyaALLAH moga ALLAH membalas kalian yang tetap melakukan kebaikan pada pasangan sekalipun hati terguris yang amat dalam... Moga rasa itu kelak digantikan dengan kemanisan.

Sama-samalah kita bermujahadah dan berjuang membuat yang terbaik dalam ujian yang diberikan ALLAH. Ada yang diuji dengan sakit kronik, ada yang diuji dengan perpisahan, ada yang diuji dengan anak yang sakit, ada yang kurang upaya, ada yang terlantar sakit jauh dari nikmat dunia.

Hidup adalah perjuangan. Hidup adalah cinta. Hidup adalah ujian. Hidup adalah pengorbanan. Hidup penuh dengan kenikmatan. Hidup akan ada pengakhiran. Hidup ini sempurna dengan ketidaksempurnaan. Dengan gabungan semua ini, teruskan berdoa dan meminta pada ALLAH kebaikan hidup di dunia dan akhirat.


***********************************************

 
"Saya fobia dengan poligami dan women violence... adakah kerana bisikan syaitan, atau kurang ilmu atau tidak akur dengan ketentuan tuhan ?"

Ya, saya akui perasaan yang wujud itu. Takut dan seram dengan poligami, juga keganasan rumahtangga. Begitu juga ada orang yang fobia dengan perkahwinan biasa yang bukan poligami.

Antara pandangan yang sering  didengari, poligami itu menjejaskan psikologi anak-anak dan mendera isteri secara mental dan emosi. Maka poligami tidak seharusnya digalakkan.

Tapi realitinya, perkahwinan biasa hari ini, begitu ramai juga para isteri yang terdera perasaan dan emosi dengan suami yang tak bertanggungjawab sekalipun hanya satu isteri. Malah lambakan anak-anak bermasalah di sekolah kerana famili yang porak peranda. Maka apakah dengan cabaran semua itu, maka institusi perkahwinan itu patut dihalang dan malah perlu dielakkan?

Ada beberapa teman berkongsi cerita, sangat takut untuk bernikah lantaran menyaksikan siri-siri pernikahan abang kakak masing-masing yang porak peranda. Maka tindakan yang wajar ialah, bukan tak mahu berkahwin namun mengkaji bagaimana untuk mendapat successful marriage. Seterusnya berusaha praktikkan ciri-ciri insan yang positif dari sebelum dan selepas bernikah. ALLAH pasti akan mengubah situasi perkahwinan dari kemuraman dan pergaduhan, kepada keharmonian jika kita berubah banyak karakter diri dan mengubah cara pandang terhadap perkahwinan.

Begitu juga sikap dan pandangan kita kepada poligami. Kita tak mampu mengubah konotasi masyarakat yang sebahagian besarnya negatif kepada poligami. Mulakan dengan diri kita, seorang isteri, seorang hamba ALLAH yang berusaha membangunkan pernikahan - poligami atau monogami - dengan ilmu dan ketaqwaan. Tak perlu menunggu diri menjadi isteri yang hebat dan tabah, kerana kehebatan dan ketabahan itu hanya akan datang setelah kita melalui kesakitan dan kekecewaan.

Selama ini juga saya merasakan ia sebahagian besarnya dipikul oleh suami untuk menjayakan insitusi poligami. Tidak sama sekali. Suami ada peranan penting dan besar. Isteri pertama, kedua, ketiga, keempat juga ada peranan penting dan besar. Teamwork inilah yang membangunkan poligami bahagia. Malah untuk pernikahan biasa, jangan saling menyalahkan – kita harus bekerjasama dengan ilmu dan keimanan. Maka pernikahan yang bahagia dan harmoni akan lahir di sebalik ujian kehidupan yang silih berganti. InsyaAllah.





 


Saturday, October 29, 2011

Bacaan Di Jalanan Kehidupan

Assalammu'alaikum wa rahmatullah :)

Kali ini saya ingin berkongsi tentang beberapa buku yang pernah dan masih hadir dalam senarai bahan bacaan saya. Buku-buku inilah sebenarnya yang banyak membentuk pemikiran dan perasaan kita secara tidak sedar, maka berhati-hatilah menjamu minda, pilihlah bahan bacaan yang bermanfaat agar ia mampu kita terjemahkan di alam realiti.




Novel JAUH ini suatu ketika dulu di alam remaja begitu menjadi rebutan di kalangan teman-teman saya hingga renyuk buku itu bila sampai di tangan pemiliknya (bukan saya ya..). Harus saya akui novel itu begitu melambung jiwa remaja saya, seronok membacanya berkali-kali... Tapi kasihan  sebenarnya, novel cinta memang ada beberapa mesej yang baik - tapi pandangan peribadi saya, ia hanya lebih banyak membentuk jiwa wanita yang terlalu banyak bergantung pada cinta manusia. Tapi mungkin itu novel cinta sepuluh tahun dulu, mungkinkah novel-novel cinta sekarang sebenarnya benar-benar mengajak kepada meraih dan menagih cinta ALLAH...?



 Inilah juga novel yang dulu berulangkali saya baca..hmm bukannya saya nak promote, tapi saya agak terkejut ia dijadikan drama tv juga... malah melihat sedutan babaknya yang XXXxxxx, saya berharap ada di kalangan kita yang menjadi penulis skrip drama dan novel yang benar-benar islamik dan mendidik hati ke jalan tuhan...opps saya sendiri bila nak buat, asyik mengkritik je :( 




Saya dulu sangat suka membaca buku-buku motivasi seperti HM Tuah Iskandar dan Dr Fadzilah Kamsah. Sangat bagus - positif dan menimbulkan semangat untuk menjadi cemerlang. Sekarang saya dah tak baca kerana saya lebih suka buku motivasi dengan kupasan hadis dan Al Quran yang mendalam, tapi saya percaya buku sebegini ada banyak ilmu dan perkongsian yang meluaskan wawasan kehidupan.




Setiap kita sebenarnya ada kewajipan berdakwah, pada satu tahap tertentu. Tetapi dakwah itu amat susah walaupun indah :) Pertama, faham (ilmu). Kedua, ikhlas. Dan banyak lagi ciri lain yang perlu dimiliki oleh insan yang ingin mengubah diri sendiri dan orang lain ke jalan kebenaran. Buku ini sedikit sebanyak meniupkan semangat, malah mendorong kita agar dakwah itu sampai hingga kepada anak-anak yang di dalam kandungan.





Bila saya membaca buku tentang pedoman bermazhab ini, saya temukan banyak perkara baru tentang islam yang saya tidak tahu. Lebih faham mengapa islam itu 'berbeza' dalam sesetengah perkara. Terima kasih suami saya, moga ALLAH memberinya kekuatan dan kefahaman untuk terus berkongsi ilmu sebegini dalam kadar yang mampu.





Satu lagi buku ringkas tentang hadis, tapi menarik bagi orang awam seperti saya yang baru berjinak-jinak dengan hadis. Mengenali hadis, menjadikan kita makin cinta dengan pedoman yang ditunjukkan Rasul SAW insyaALLAH.




Novel Tautan Hati tulisan sahabat saya, Ukhti Fatimah Syarha - seorang penulis yang sangat produktif dalam penulisan - novel ini sangat saya minati kerana jelas dan hikmah mengajak kepada kebaikan. Antara novel terbaik yang pernah saya baca, kalau dulu menangis baca novel cinta - bila hero berpisah dengan heroin. Tapi novel ini menitiskan air mata saya kerana ia menunjukkan betapa kita hambaNYA sering tersangat jauh....dan jauh dari ALLAH, hingga hati dan akhlak menjadi tidak cantik kerana tiada ALLAH dalam kehidupan. Indahnya mencintai ALLAH... (jom usahakan..!)




Saya meminta buku ringkas tentang akidah ini dari suami, kerana saya ingin belajar apa ertinya syahadah yang saya sebut sebagai seorang muslim, dan apa ertinya syahadah dalam solat yang kita ungkapkan. Moga saya rajin mengulangkaji buku ini bersama buku-buku tentang akidah yang lain supaya tidak terkeluar dari akidah yang satu dan benar.




Buku ini sangat bagus bagi saya, khusus tentang poligami. Semua wanita yang teruji kesakitan perasaan dengan poligami, moga buku ini menyembuhkan luka dengan izin ALLAH. Pada yang telah terlibat, moga buku ini memberi motivasi untuk menjadi isteri yang dicintai Tuhan.






       Buku tentang pendidikan anak, antara buku terawal yang saya baca banyak bab, tapi masih tak habis...Hmmm banyak mana lah agaknya baru dipraktikkan...???

                                                           




Buku ini benar-benar mendidik agar kita mampu berinteraksi dengan baik terhadap insan di sekeliling dari pelbagai lapisan usia, malah ia mengajar kita untuk merespon sebaiknya di dalam situasi suka dan duka, di dalam gembira dan kecewa.

 
Sekian untuk kali ini, selamat membaca, sediakan masa, jiwa, wang ringgit dan tenaga untuk kita membaca dan menimba ilmu. Sesungguhnya ilmu adalah salah satu kunci bahagia di dunia dan di akhirat sana....ameen.






Friday, October 28, 2011

Diari Suri Muslimah - Konflik dan Halaqah




Kali ini saya kongsikan sedikit catatan harian dalam kehidupan ringkas saya seorang muslimah bergelar isteri dan ibu. Doakan saya menjadi mukminah ya...

Jumaat, 28 Oktober 2011

Hari ini terasa begitu panjang dan agak memenatkan dengan pelbagai agenda. Bila terlebih penat, saya rasa tak larat nak senyum. Tetapi tak boleh, saya perlu kuatkan hati untuk senyum pada suami dan anak, dan pada teman-teman yang ditemui :) Namun jika dibandingkan dengan para isteri dan ibu-ibu lain, mereka jauh lebih penat dan lebih sibuk. Jadi para ibu dan isteri, andalah kekuatan saya, mengingati kalian menjadikan saya bersyukur :) ALLAH jua yang Maha Memberi.

Suami membantu di pagi hari

Selepas bersarapan, saya terus berada di ofis (baca: dapur) untuk memasak. Baru pukul 8.30 pagi, tapi saya perlu lebih pantas sebab Abdullah tak sihat dari semalam. Jadi sementara dia tidur, saya pun mula memasak tapi ada bahan yang kurang… sayur tak ada :( semalam saya tertinggal di kedai. Saya pun minta izin suami untuk ke Giant berhampiran nanti setelah selesai masak nasi tumis. Suami saya ada hal-hal lain yang perlu diselesaikan, malam nanti pukul 9.30 suami akan ke airport untuk flight ke Korea selama tiga hari.

Tiba-tiba pagi ini, suami pula yang sudah bersiap-siap untuk keluar. Terima kasih banyak-banyak, suami saya offer untuk beli sayur dan beberapa barang dapur yang lain di samping bawa abdullah jalan-jalan di Giant. Saya pun siapkan Abdullah yang dah terjaga tidur dan ….bye bye.. dua hero saya telah pakai seatbelt dalam kereta dan bergerak keluar rumah.

Saya pun bergegas memasak untuk lunch (boleh makan untuk dinner sekali), kemudian menggosok uniform kerja suami saya. Alhamdulillah makanan yang perlu dibekalkan untuk suami, saya dah masak semalam, tapi belum pack. Sambil memasak, jangan lupa ya mengisi hati dengan zikrullah. Kalau tak, kita rasa bosan dengan aktiviti yang sama saban hari saban minggu saban tahun. Yang penting, insyaALLAH zikrullah itu memberi energy untuk kita aktif dan produktif dalam rutin seharian.

Uniform suami dah digosok, bekal makanan dah siap pack letak dalam freezer, nanti malam letak dalam beg suami saja. Selepas lunch, saya bersiap untuk solat zuhur dan keluar ke halaqah mingguan. Opps janganlah sangka rumahtangga saya ini indah smooth bahagia selalu selamanya…

Dalam sibuk-sibuk itu, ada juga konflik yang timbul antara saya dan suami. Saya rasa tak seronok… dan seperti biasa, ada hormon yang membantu merembeskan air mata. Saya akui ia salah saya, tapi……….. tiada siapa yang suka jadi di pihak yang bersalah kan… suami menegur sesuatu, saya terasa sangat, tapi kan saya dah berjanji pada diri sendiri untuk positif dan berlapang dada dengan apa jua teguran.

Apatah lagi konflik hari ini membuatkan saya lebih faham perasaan dan harapan suami saya…wah besar je bunyi nya :D

Alhamdulillah ALLAH bagi kekuatan untuk saya minta maaf, salam cium tangan suami lepas dia pulang dari solat jumaat, dan pukul dua lima minit saya pun keluar pergi halaqah bersama abdullah dengan perasaan bercampur baur. Tapi itulah hikmahnya kan…sepanjang dalam kereta ke halaqah, terasa hati ini berbicara dengan ALLAH kesan dari konflik. Lagipun untuk halaqah, sebenarnya memang kena ada interaksi yang sangat baik dengan ALLAH. (dan sepanjang hidup perlu diusahakan interaksi yang baik dengan ALLAH.)

(Waktu saling berbaik dan saling memahami, itulah yang sangat indah dalam pernikahan. Ada kerjasama yang harmoni. Ada kemesraan tak bertepi. Tapi waktu berkonflik dan hati kita kurang iman juga kurang motivasi, sedikit pergeseran akan membawa kepada kesakitan perasaan. Saat-saat inilah syaitan mengambil peluang untuk menutup kebaikan pasangan dan keindahan berumahtangga hingga jika ia berlanjutan tidak dikawal dengan mujahadah, bisa membawa kepada perceraian.)

Halaqah Cinta di Petang Jumaat

Suami berehat di rumah petang itu sebagai persediaan untuk flight yang perlu berjaga sepanjang malam. Saya pula satu jam setengah berada di dalam halaqah dengan adik-adik itu, syukur ia menambah ilmu dan pengalaman yang menggembirakan. Alhamdulillah.

Halaqah sesungguhnya adalah pertemuan yang manis, kerana ia didasari keinginan dan harapan yang sama. Bertemu dan berpisah kerana ingin jadi hamba ALLAH yang lebih baik. Bertukar ilmu Al Quran dan Hadis sekadar yang difahami, berkongsi permasalahan, meminta pandangan dan sedikit makan-makan :D halaqah sebenarnya adalah antara ruang cinta terindah yang hadir dalam hidup saya.

Abdullah pun bagi kerjasama, duduk main elok-elok waktu mama berhalaqah  – tapi saya meminta izin untuk pulang awal dari halaqah sebab selepas pukul lima adalah masa saya untuk suami pula. Apatah lagi minggu ini masa amat singkat suami berada di rumah saya. Adik-adik teruskan halaqah, insyaALLAH moga ada peluang untuk kita saling bicara menambah ilmu, amal dan iman. Pulang dari halaqah sebagai aktiviti yang mengisi jiwa dan memperbaharui emosi, insyaALLAH mampu bertemu suami dengan jiwa yang lebih tulus ceria.

Selepas makan malam dan mengemas dapur seadanya, saya melayan Abdullah. Manakala suami membantu membasuh vakum (bekas habuk). Bagusnya kan, suami saya dah nak pergi kerja, tapi sempat membantu isteri. Hmm isterinya lah yang tak bagus, suruh suami buat pula....:(

‘Ya ALLAH..ampuni dan rahmati suami yang kukasihi ini, agar selamat seluruh perjalanannya di dunia dan akhirat yang selamanya’ itulah sepotong sms saya kepada suami beberapa ketika sebelum pesawat dijadual berlepas jam 11.30 malam.

Moga doa dan kebaikan yang sama dianugerahkan ALLAH juga kepada saya dan kita semua yang terus berusaha mencari hakikat sebuah kehidupan.

Kini suami saya telah selamat di Bumi Incheon, saya dan Abdullah meneruskan kehidupan di rumah. Apa kebaikan seterusnya yang ingin kita lakukan dalam hidup ini… ? Apakah cara untuk kita makin taat dan mendekati tuhan? …Andai hari ini adalah hari terakhir untuk kita…adakah bersedia untuk menghadap tuhan Yang Maha Mencipta?





 

Wednesday, October 26, 2011

Poligami: Bukannya tak sayang... (Versi Isteri)




Ada sebahagian teman pembaca yang tertanya-tanya dengan keterbukaan saya tentang poligami.. Tak sayang suami ke, senang-senang nak bagi kat orang..? Tak cemburu ke suami bersenang-senang dengan isteri lain?

Bukannya tak sayang... Bukannya tak sedih... Bukannya tak cemburu...

Kalau datang time sedih, terus menitis air mata, kenapa suami tak ada, kenapa suami ada sekejap saja, kenapa begini, kenapa begitu.... dan melaratlah kesedihan ke episod-episod lain dalam hidup. Tapi kena stopkan emosi yang tak membantu itu dan ...bersyukur :) alhamdulillah...

ALLAH sangat baik, sangat banyak yang ALLAH bantu dan bagi pada kita kan...? Senyum, tak perlu kata apa-apa... Terus bertukar kepada rasa sedih yang lain... Ya ALLAH, kalau diriku ENGKAU tak terima, apalah erti segala yang ku miliki dan nikmati ..................

Kali ini kita kongsi versi isteri. Nanti versi suami pula - kalau dia kahwin lagi - bukan bermakna suami tak sayang isteri tau.

Ok, bukannya tak sayang... Bukannya tak sedih... Bukannya tak cemburu...

Tapi...

Tapi..

Mungkin sebab utamanya adalah kerana saya bukan yang pertama. Perasaan menjadi isteri kedua itu ialah, hati melangkah masuk ke dalam alam pernikahan dengan seorang suami yang telah memiliki cinta kasih dan perhatian buat wanita lain (isteri pertama). Maka, tiada frasa - cinta suami beralih arah. Tiada ungkapan - cinta isteri dikhianati. Tiada anggapan - suami dah tak sayang lagi.

Sebab utama juga - saya merasai kebaikan yang amat banyak dengan kehidupan berumahtangga yang ALLAH kurnia. Alhamdulillah. Maka saya juga suka untuk melihat saudara perempuan lain memperoleh peluang ke arah kebaikan perkahwinan melalui syariat poligami. Ya, selain ujian kebaikan dan kemanisan, cabaran dan ujian kesakitan dalam perkahwinan juga sama besar atau lebih lagi, bersedia ya :P

Masa dan keberadaan suami terasa sekejap pada saya, kadang-kadang datang second thought, "Kenapa nak suami kahwin lagi? Lebih baik suami fokus pada diri ini sahaja, di samping keluarga pertama. Bukan ke nanti masa makin kurang, suami akan semakin sibuk dengan perhatian yang perlu dibahagikan kepada tiga keluarga? Perlu lebih banyak berkorban, perlu lebih lama perpisahan?

Dengan kelapangan hati dan sokongan isteri-isteri, suami saya mempertimbangkannya juga. Alhamdulillah ALLAH membantu suami saya menjadi seorang yang sangat bersungguh-sungguh dan bertanggungjawab menjaga keharmonian keluarga, jadi ia bukan keputusan mudah untuk menambah isteri. Poligami atau pernikahan bukan perkara seronok-seronok, ia adalah amanah yang berat. Menyeimbangkan antara tanggungjawab kerja, keluarga, penuntut ilmu, penyebar ilmu - tanpa fokus dan disiplin yang tinggi - semua tanggungjawab itu takkan dilunaskan dengan baik.

Yang lebih penting, seorang suami sangat perlu pada isteri-isteri yang bertanggungjawab dan turut mendokong suami dalam segenap urusan kehidupan. InsyaALLAH doakan kami dan kita semua menjadi isteri yang membantu lagi mempermudah suami menunaikan segala kewajipannya. (Hurm saya sedang belajar mengurangkan manja, cengeng - ingin lebih matang, lebih beriman, lebih ke hadapan menunaikan kewajipan sebagai isteri, ibu, hamba dan khalifah Tuhan.)

Teman tersayang berkongsi satu ayat yang juga menjadi peringatan bermakna kepada saya dalam menempuh alam poligami iaitu, tentang saudara-saudara islam Ansar dan Muhajirin pada zaman penyebaran islam. Mereka serba kekurangan, namun tetap memberi bantuan, malah mengutamakan saudara-saudara yang berhijrah.

Sekalipun kita perlukan lebih masa, lebih wang dan lebih perhatian suami dalam kita menguruskan rumahtangga dan anak-anak, moga itu tetap melapangkan hati ini menerima kehadiran isteri lain kepada suami - bukan kepada suami saya saja - tetapi kepada suami kita semua, andai saatnya datang.

“..Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat memerlukan...”

(Surah Al-Hasyr, ayat 9)

Saya juga sangat suka dengan sebuah perasaan yang lahir dari seorang isteri, Ummu Habibah yang ingin berkongsikan kebaikan yang dimiliki – iaitu kebaikan suami. Ummu Habibah r.a meminta Rasulullah SAW mengahwini adik perempuannya, kerana mahukan adiknya juga memiliki suami yang baik. Namun syariat tidak membenarkan.

Salah seorang isteri Rasulullah SAW yang bernama Ummu Habibah Binti Abi Sufyan Radhiyallahu ‘anhu berkata : “Wahai Rasulullah, nikahilah saudaraku, putri Abu Sufyan.”

Nabi bersabda : “ Apakah engkau senang dengan hal itu (dirimu dimadu)?” Ummu Habibah berkata, “ Ya, (agar) aku tidak bersendirian dengan dirimu. Sesungguhnya orang yang paling aku sukai untuk menemaniku dalam kebaikan adalah saudara perempuanku.” Nabi bersabda : “ Sesungguhnya yang demikian itu tidaklah halal bagiku…” (Sahih Bukhari)

Baginda SAW tidak menerima cadangan itu kerana tidak boleh mengumpulkan dua wanita bersaudara (adik beradik) bersama seorang suami.

Perasaan itulah yang hadir secara halus di hati ini, setelah mengenali dan mencintai seorang insan yang sempurna dengan kelemahan dan kelebihan sebagai suami, saya berlapang hati punya rasa untuk berkongsi kebaikan yang dimiliki. Moga ada ruang untuk kita semua membina keluarga dalam memenuhi fitrah seorang insan. (aik.. bukan promote suami, lagipun buat masa ni - suami bilang - cukuplah dua isteri :D )

Kepada semua muslimah yang bujang dan bergelar isteri, kesyukuran dan kesabaran itu luas medannya, tidaklah hanya di alam poligami. Ayuh kita saling mendoakan dengan kasih sayang, agar ALLAH Yang Maha Penyayang memberi kekuatan dan keimanan yang mendalam dalam setiap ujian kesenangan dan kesusahan.







Tuesday, October 25, 2011

Rumahtangga - Bab 3 - Berkomunikasilah, kerana ALLAH




"Saya tak tahulah macam mana nak bagitahu abang.. Saya serba salah sebenarnya.. Kalau saya cerita, abang jangan marah ya. Dah dua hari saya asyik fikir pasal ni... Tapi kalau tak bagitahu, saya serba salah simpan sorang-sorang.

Abang janji ya, tak marah kalau saya cerita. Saya tak pasti saya patut cerita ke tak... Tapi saya nak kongsi dengan abang. Tapi sayang takut penerimaan abang. Tapi kalau sayang tak cerita, mana abang tau kan. Sayang ceritalah, tapi abang terkejut pula nanti. Sayang serba salah lah..."

Apa sebenarnya yang isteri nak sampaikan dengan intro yang panjang berjela ini.......? :D

Saya teringat antara buku pertama yang saya terima dari suami bertajuk ‘The Art Of Talking To Anyone’.

Memberi mesej pada saya akan besarnya harapan suami agar saya dapat menggilap kemahiran komunikasi bukan sahaja untuk perbaikan bidang tarbiyyah yang saya ceburi, namun untuk jangka panjang lapangan komunikasi sihat suami dan isteri.

Antara perkara yang diperingatkan suami sewaktu kami di ambang pernikahan ialah pentingnya ilmu komunikasi untuk menjaga keharmonisan rumahtangga. Malah sewaktu dalam proses ke arah pernikahan, beberapa kali suami saya menegur beberapa sikap dan cara berkomunikasi saya yang kurang disenangi. Dan perlu diperbaiki.

Wah, sebelum kahwin dah kena tegur macam-macam...sanggup ke nak jadi isteri?

Sanggup insyaALLAH. Wahai para isteri dan bakal isteri - akui kesilapan dan kelemahan diri, rendah hati untuk belajar, sedia dan sentiasa berubah ke arah kebaikan...! Syarat pertama untuk isteri mencipta kebahagiaan berumahtangga.

Ternyata suami saya seorang yang verbal, mudah mengkomunikasikan apa yang ada di hati dan fikiran. Maka, lebih mudah saya belajar tentang dirinya. Lebih mudah memahami,  lebih mudah membina keserasian.

Tidak demikian pula bagi diri saya - suka ke, tak suka ke - saya lebih banyak diamkan. Tapi kemudian saya mula belajar mengungkap apa yang ada di hati, kerana saya ingin hubungan di alam rumahtangga ini bersifat dinamik dan positif. Saya mula belajar bercakap dan meluahkan perasaan bila menyedari suami saya tidak boleh menyambung kabel printer pada minda saya untuk mencetak bahasa jiwa dan buah fikir saya :P

(tapi biasalah, memang ada perkara-perkara yang sukar diungkap, samaada kerana kita nak menjaga hati insan yang mendengar atau kita simpan kerana kita rasa ok saja teruskan kehidupan tanpa membicarakannya. Kita pilih mendiamkan jika mudarat lebih banyak dari manfaat.)

Susah nak berkomunikasi..?

Bagi saya memang susah.. Mungkin budaya kita (Orang melayu? Orang Malaysia? Atau didikan keluarga?), we tend to suppress our feelings. Memendam perasaan. Kita tak biasa melahirkan perasaan dengan asertif, dan kita jarang sekali belajar cara bercakap yang sepatutnya.

Semua boleh bercakap, tapi siapa yang mampu bercakap dengan perkataan dan cara yang baik menghampiri seperti yang ditarbiyyah Rasulullah…?

Kita tak suka, kita diam. Tapi di belakang kita marah dan mencela.

Kita marah, kita diam. Tapi dalam hati marah merebak pada dendam dan kebencian.

Kita bimbang, kalau kita bercakap, akan melukakan dan menyakitkan. Kita ingin meluahkan, tapi bimbang luahan kita tak dipedulikan.

Akhirnya kita yang bernama isteri menangis kesedihan kerana rasa tiada pengertian atau empati dari suami. Rasa sempitnya dada menyimpan ketidakpuasan hati tentang banyak perkara atau ketidaksetujuan dalam beberapa keputusan yang diambil suami.

Kita kena belajar bercakap rupanya… (juga belajar mendengar dan merespon).

Saya masih baru nak belajar bercakap. Perkahwinan ini buat saya betul-betul merasai kepentingan pandai bercakap (baca: berkomunikasi dengan berkesan). Yalah, dengan komunikasilah dapat memahami hati budi suami yang baru dikenali. Tak mengenali, mana mungkin menyayangi. Tak memahami, mana mungkin menghormati.

Lainlah kalau dengan kita sama-sama teman perempuan kan, kita boleh saling membaca body language dan eye contact dengan cemerlang :P

Kita tahu yang teman baik perempuan kita ini sedih atau geram tentang benda yang berlaku semalam di ofisnya semalam. Kita tahu dia termenung sebab teringat pada kucing kesayangan yang telah kembali menemui tuhan. Kita tahu dia buat suara monyok sebab dia rindu kat suami dia yang baik tu.......

Suami? Well, jangan expect suami kita faham dan empati kita masih bersedih dengan kisah gaduh yang tiga minggu lepas. Fikiran isteri masih ulang tayang konflik lama tu, bila suami ajak keluar berjalan - isteri tunjuk muka kesedihan. Dan insyaALLAH akan bermulalah pergaduhan baru sebab isteri rasa tak difahami, suami pula tak faham kenapa isteri muka monyok dan tak bersemangat. Suami rasa, yang dah lepas - forgive and forget.

Sedangkan kita yang perempuan, suka sembang perkara yang sama berulang kali, sampai rasa lega dan puas hati. Sebab itulah, isteri wajib ada kawan perempuan yang rapat walaupun selepas berkahwin, untuk jadi teman sembang sepuas hati :D

Kasihan lah kat suami, yang psychologically tak di design untuk cerita hal berkaitan perasaan 20 jam sehari. Sedangkan perempuan, memang boleh :D tapi jangan cerita keaiban atau makan bangkai manusia ya (baca: mengumpat). Alhamdulillah, ALLAH menjadikan lelaki suka topik perkara lain dari perempuan. Kalau tak, siapa yang nak buat kapal terbang, kereta, ipad, elarti, dan sebagainya yang bukan bidang kesukaan orang perempuan.

Orang lelaki - berterima kasihlah pada ALLAH mencipta orang perempuan  yang tak habis-habis bercerita pasal hias rumah, hias laman, pasal penjagaan anak-anak, pasal resepi, pasal pakaian dan perhiasan.

Alhamdulillah beberapa buah buku relationship lelaki perempuan dan komunikasi yang suami berikan, perlahan-lahan saya cuba realitikan. Kami sama-sama belajar. InsyaALLAH.

Yang penting, semua ini kerana ALLAH. Bab komunikasi yang kita ungkapkan selalu ini bukan sekadar untuk pelihara cinta sesama manusia, tapi dalam rangka ibadah dan ketaatan kepada ALLAH. Untuk kita saling membantu dalam melaksanakan hak dan amanah sebagai suami isteri.

Sebagai isteri, bila kita komunikasikan dengan baik apa yang sepatutnya, kita membantunya bertindak dan membuat keputusan yang terbaik sebagai suami. Dengan komunikasi yang kita bangunkan, suami akan lebih berlaku adil dalam pimpinannya.

Seorang suami yang jujur dan ihsan dalam komunikasi pula akan membuka jalan pada isterinya untuk lebih memahami dan menghormati kehendaknya.

Bila bergaduh suami isteri, first thing to stop adalah komunikasi. Dan biasanya isteri yang mula bagi silent treatment kat suami. Tak cakap, atau endah tak endah, buat muka, atau keluar rumah. Kalau keluar, terus tak balik satu malam atau bermalam-malam.

Jadi kalau nak pulihkan konflik, tidak boleh tidak, pintu komunikasi adalah perkara pertama yang perlu dibuka. Dan bila syaitan dah menghangatkan konflik, waktu isteri dah sedar kesilapan memboikot suami - suami pula lancarkan silent treatment. Syaitan laknatullah kan sangat suka suami isteri bergaduh? Paling suka, kalau gaduh dan gaduh sampai bercerai.

Suami memang tak tahan dengan rejection isteri kan...? Sekali atau dua kali bolehlah suami pujuk, atau minta maaf. Kali seterusnya, jangan hairan kalau suami buat endah tak endah lebih dasyhat dari isteri.

Atau saat beginilah biasanya suami sangat mengalu-alukan kehadiran 'orang ketiga'. Sebarang perempuan lain yang melayan suami dengan baik sikit je, samaada di ofis atau bertentang mata bertukar senyuman di kopitiam, akan meresap ke jiwa suami. Yelah, isteri di rumah buat tak layan, maka suami ada perempuan lain yang boleh mengisi jiwanya - samaada chatting di fb, ym, sms etc segala kecanggihan laman sosial yang banyak bak cendawan tumbuh...

Kesimpulannya, berkomunikasilah..  mudah-mudahan ia membuka pintu penyelesaian dan kebaikan..



Monday, October 24, 2011

Poligami: Nikah di sempadan dan giliran hari





InsyaAllah kali ini saya akan berkongsi tentang dua perkara berkaitan poligami berdasarkan respon dan pertanyaan teman-teman pembaca iaitu tentang nikah di sempadan, dan giliran hari dalam poligami.

Kalau dulu sebelum bernikah, saya bukanlah orang yang mampu terlibat dengan poligami. "Kenapa mengganggu kebahagiaan rumahtangga orang lain?" Mungkin agaknya ini juga persepsi yang saya miliki dulu.

Apatah lagi jika mendengar kisah orang berkahwin di sempadan Thailand, fikir saya, "Kenapa buat macam tu, kenapa tak nikah elok-elok di Malaysia ni aje?"

Tapi alhamdulillah setelah bernikah dan melibatkan diri dengan dunia poligami, saya membina pelbagai persepsi baru - mudah mudahan ianya adalah persepsi yang mampu menjadikan diri saya lebih matang dan terbuka dalam mengharungi pelbagai liku kehidupan.

Tiada siapa yang mahu bernikah di luar negara jauh dari famili sanak-saudara , apatah lagi di sempadan Thailand yang merupakan tempat kontroversi di kalangan masyarakat kita.

Tetapi pastinya sempadan Malaysia - Thai menjadi alternatif apabila jalan lain tidak memberi peluang yang positif untuk melaksanakan sebuah pernikahan. Dan laporan di dada akhbar baru-baru ini menceritakan pada kita bahawa begitu ramai yang menunggu giliran untuk bernikah di sana.

Bagi saya sendiri, saya memahami dan menerima keputusan kalian bernikah di selatan Thai. Hanya saja pastikan ia bukan sindiket yang tidak menyediakan bukti hitam putih dan jangan sampai tertipu sedangkan kalian telah membayar kepada mereka yang sepatutnya menguruskan pernikahan kalian.

Kahwin di sempadan ini sangat sinonim dengan poligami. Ya, poligami agak tidak mudah dilaksanakan di Malaysia. Borang-borang permohonan yang perlu diisi, menunggu tarikh perbicaraan, perbicaraan ditunda dan sebagainya.

Dalam proses poligami ini, saya sendiri ada beberapa pengalaman mengecewakan dalam berurusan dengan mereka yang berada di pejabat agama dan jabatan agama islam. Tapi pastinya bukan semua, antara yang saya hormati adalah Ustazah Nurul Ain di Pejabat Agama Klang yang melayan pertanyaan-pertanyaan saya dengan baik. Juga Puan Suwiya (harap ejaan betul) di JAIS yang juga melayan pertanyaan dan membalas panggilan telefon saya dengan sangat baik.

(Lagipun isu layanan dan perkhidmatan yang mengecewakan ini bukan di jabatan agama saja, malah di tempat lain juga seperti hospital, pejabat pos, restoran dan pelbagai kaunter kerajaan atau swasta. Jadi ia adalah isu sikap dan kemahiran individu, malah kita sendiri yang berurusan harus muhasabah - adakah sikap kita yg menyebabkan mereka tidak melayan kita dengan baik?)

Akhirnya dengan kesungguhan dan bantuan semua pihak, saya selamat bernikah. Alhamdulillah. Ayah saya telah berbesar hati menikahkan saya, di sebalik pelbagai cabaran ke arah pernikahan poligami ini.

Berbalik pada bernikah di sempadan, yang beratnya pada kita ialah persepsi masyarakat yang negatif tentang bernikah di sempadan. Tapi percayalah, sekejap saja orang-orang akan membicarakannya. Orang yang suka mengata, akan beralih mencari topik lain pula bila dah bosan. Orang-orang yang positif,  akan berfikir penyelesaiannya dan menghulur bantuan di mana ada kesempatan.

Isu ini sensitif, malah berat untuk dilaksanakan oleh kalian yang diberi pilihan untuk ke sempadan - tak mengapa - kuatkan kesabaran, perelokkan perancangan, dan usahakan ketaqwaan, insyaAllah akan selalu ada jalan keluar dan pertolongan dariNya di sebalik kesulitan.

Bukan sengaja kita melanggar undang-undang yang ditetapkan, namun harus kita akur undang-undang juga tidak sempurna dalam memberikan jalan kepada mereka yang memerlukan. Pada yang mampu mengikut undang-undang, moga Allah merahmati kalian. Pada yang tidak mampu, kita doakan generasi kita kelak tidak terperangkap dalam situasi yang memerlukan perlanggaran undang-undang.


*****************

Setelah bernikah, saya mendalami dan mengkaji subjek poligami untuk membantu saya menjadi insan yang lebih baik dalam membangunkan perkahwinan. Alhamdulillah banyak input berguna diperolehi dari pembacaan bahan-bahan seperti artikel dan buku tentang poligami, samaada yang ditulis oleh muslim atau bukan muslim. Membaca pandangan berbeza pelbagai ulama menemukan saya keindahan syariat poligami, seterusnya menjadikan saya sangat cenderung kepada poligami. 

Saya suka juga membaca dan membuat perbandingan tentang pengamalan poligami di malaysia dan di negara luar terutamanya di kalangan muslim di Barat. Dan kini, dari sedikit ilmu dan pengalaman - saya kongsikan dengan kalian hal yang berkaitan.

Berbalik kepada persoalan giliran hari antara isteri-isteri, tika ini saya memegang kepada prinsip kesepakatan dalam ketaatan. Keadilan yang luhur itu datangnya dari kesepakatan suami dan isteri-isteri dalam banyak perkara.

Tentang giliran hari, ada yang bergilir satu hari-satu hari.

Salleh Yaakub katanya, bergilir-gilir dengan tiga isteri mengikut jam, bukan hari.

Untuk kami, setakat ini suami akan bergilir ke rumah dua isteri setiap tiga atau empat hari.

Ada yang duduk serumah dengan madu-madu, lain pula pembahagiaan masanya.

Tidak ada waktu yang seragam, atau tetap. Tidak ada set pembahagian masa yang terbaik, kerana ia bergantung kepada keperluan setiap rumahtangga. Semua rumahtangga berbeza keperluan dan cabaran. Yang penting, kita berusaha yang terbaik menunaikan hak pasangan dan anak-anak, dalam poligami atau monogami.

Isteri-isteri boleh menyuarakan keperluannya dan pandangannya, dan suami-suami akan membuat keputusan giliran hari terbaik berdasarkan penilaiannya sekadar yang mampu.

Sebagai isteri, doakan semoga Allah memimpin dan meneguhkan kepimpinan suami. Dan kita membantu jua memotivasi suami dalam situasi yang diperlukan.

"Minggu depan hari isnin dan selasa abang plan duduk di sini (rumah isteri kedua) sebab kakak (isteri pertama) nak balik kampung lama sikit... boleh ke?" tanya suami dengan baik.

"Boleh.. Saya dah plan nak join program persatuan XXX, tapi takpe saya boleh adjust hari ikut program yang lain.. So that saya ada di rumah waktu abang ada" jawab isteri berlapang dada dengan perubahan jadual.

"Ok, thanks for your understanding.." ujar suami.

Komunikasi perlu telus dan efektif. Jadi ada masa-masanya, suami perlu lebih lama di rumah isteri lain, bila ada kesepakatan - insyaAllah para isteri tenang menghadiahkan hari giliran.

Bila suami teliti menyusun jadual dan perancangan, insyaAllah mudah diselaraskan pentadbiran dua atau lebih famili. Realitinya juga, ada waktu-waktu bilamana keputusan yang suami buat tentang pembahagian hari atau perkara lain, tidak kena dengan jiwa isteri.

Namun isteri yang solehah menunjukkan ketaatan dan keredhaan sepenuh hati dengan keputusan suami. Andai ada rasa tidak senang, ayuh adukan pada Tuhan Yang Maha Mencukupkan... Moga ketenangan di hati isteri mampu membiaskan ketenangan di jiwa suami -.dalam perjalanan menuju kehidupan yang berkekalan...


:: Sekian buat kali ini, moga membantu persoalan di minda dan hati ::



Published with Blogger-droid v1.7.4




Saturday, October 22, 2011

Bernikah: Mak ayah tak bagi...



Kalian nak kahwin tapi mak ayah tak bagi…? Banyak sekali faktor yang membawa kepada situasi ini.

Tapi dua perkara yang boleh saya kongsikan dari pengalaman dan ilmu yang sedikit, pertama, belajarlah negotiation skills. Bukan yang biasa-biasa tapi yang efektif. Supaya ada hasil negotiation yang memuaskan pihak ibu ayah dan empunya diri yang ingin bernikah. Tak perlu memuaskan hati semua pihak sanak saudara jiran tetangga, kerana untuk menyenangkan semua orang – kita takkan pernah ada peluang untuk melakukan perubahan.

“Mak… saya rasa, saya nak kahwin awal…” intro anak kedengaran.

“Boleh, nanti dah abis je belajar, teruslah kahwin… dah ada orangnya ker?” tanya mak.

“Dah ada…yang saya cerita kat mak dulu, tapi saya nak kahwin masa belajar…” sambung lagi.

“Ishh… sabarlah sikit.. Biar selesai satu-satu.. Kan ada setahun setengah lagi belajar…?? Kurang-kurangnya, tunggu lah dapat kerja, boleh kumpul duit…” mak tak setuju.

“Lelaki tu pun tak kerja lagi… nanti macam mana nak hidup..?” mak menambah soalan.

“Mak.. kalau saya kahwin, nak buat kecik-kecik je…” luah anak seterusnya.

“Yelah kecik-kecik pun, kena lah ada seekor lembu. Nanti apa pulak kata orang kampung, kalau mak tak ajak semua..” mak dah mula rasa tak senang.

“Ehh tak nak lah buat kenduri puluh-puluh ribu macam anak Makcik XXXXX tu… saya tak nak sanding-sanding, hantaran-hantaran ni tak payah, dah boleh jimat banyak… khemah satu je.. yang penting nikah..” anak juga tak senang dan mula meninggi suara.

“Tak boleh lah macam tu.. nanti apa pulak pandangan orang kat mak ayah…saudara mara kita tak ada yang kahwin macam tu…” mak berkeras dengan pandangannya.

“Ala mak ni..fikir orang lain je.. Anak mak ni, mak tak fikir pun..” nada merajuk, dan terus masuk bilik. Tutup pintu kuat-kuat. Tak keluar makan. Tidur, tak bangun-bangun.

Teman-teman sekalian, boleh tak kita sama-sama perbaiki dialog di atas?

“Mak…apa pandangan mak kalau saya kahwin masa belajar?” tanya anak dengan sopan pada masa yang agak sesuai, sambil tolong mak lipat kain atau basuh pinggan :P

“Ohh mak rasa macam tu ya.. saya faham..” anak mengiktiraf perasaan mak bila mak timbulkan persoalan-persoalan,

“ Kerja takde…nanti nak makan apa?”

“Nak buat kenduri ada duit ke?”

“Kalau mengandung masa belajar, susahlah nanti. Nanti dah kahwin, mesti study pun tinggal”

Bila mak ayah dah mula beremosi, hentikan sembang bab kahwin. Jangan sampai suasana terlalu tegang.

“Ok mak, nanti saya fikir dulu ya.. terima kasih mak dengar cerita saya… Maaf ya kalau ada apa-apa yang mak tersinggung dengan saya” jawab dengan tenang dan berhikmah.

Jangan sesekali marah mak, atau melabel mak;

“Mak ni tak faham lah”.

“Mak ni susah lah nak dibawak berbincang”.

Cuba letakkan diri kita dalam situasi mak ayah. Sangat-sangat risau hati mereka, anaknya yang dulu sebesar tapak tangan, tiba-tiba buka cerita pasal kahwin. Mak dan ayah kebanyakkannya memang tak ready, kalau di tahun 2011-2012 ni, anak-anak nak kahwin sedangkan umur baru 23 ke bawah… Banyak yang mereka fikirkan dan bimbangkan sebelum benarkan anak mereka berkahwin. Bukan tak bagi anak berkahwin - tapi belum masanya, ujar mak ayah.

Kalau mak ada sakit jantung dan darah tinggi, please be extra careful. Tunggu dua tiga hari, baru sambung bincang tentang nikah. Bila emosi dah tegang, tangguhkan lagi berbincang.

Jangan berusaha dengan 3 atau 4 kali perbincangan, tapi kena lebih. Jangan putus asa, kesabaran gandakan kuasa dua.

Doalah dengan sangka baik pada ALLAH.

“Ya ALLAH, ku harap dapat bernikah sebagai wasilah menjaga akhlak dan keimanan diri. Bantulah diriku menjaga kehormatan diri sebagai muslimah. Bantulah kami berkasih sayang dalam hubungan yang halal. Bantulah kami agar tidak melukai hati ibu dan ayah.Bantulah kami menempuh cabaran sebelum dan selepas bernikah. Bantulah kami untuk bernikah ya ALLAH, bantulah kami agar sentiasa dalam petunjuk dan redhaMU.”

Teruskan memujuk, dan berkomunikasi dengan baik kepada mak ayah.

“Mama dan papa.. Saya meminta izin untuk bernikah kerana saya ingin menjadikan hubungan ini halal dan diredhai ALLAH. Saya menghormati mama dan papa, saya sayang sangat dengan mama dan papa. Saya tidak sengaja melukai hati bila saya bersungguh meminta restu untuk bernikah. Saya minta maaf atas segalanya. Mama papa sangat mengenali diri saya, kelemahan dan kekuatan diri. Terima kasih atas jasa mama papa mendidik dan membesarkan saya dengan sangat baik hingga hari ini.

Saya akui banyak kelemahan diri saya dan pasangan, maka sebab itulah saya mohon izin, bantuan, dan keredhaan mama papa untuk saya membina rumahtangga. Saya tahu keinginan saya ini perkara yang besar, saya merendah hati berdoa pada ALLAH agar kehadiran suami membantu menguatkan diri saya, membantu saya menjadi insan yang lebih matang dan bertanggungjawab.

Moga perkahwinan membantu saya lebih bermotivasi dengan studi supaya kami dapat membina masa depan yang baik. Mama dan papa, saya faham pernikahan ini berat amanahnya, maka saya sangat perlu bimbingan, nasihat dan teguran mama papa untuk meniti tahap kehidupan seterusnya. Kami akui kami masih mentah, kami mohon tunjuk ajar… Jangan biarkan kami sendiri. Doakan kami menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat.”



Bersambung.... :)

Thursday, October 20, 2011

Didiklah Hati





Untuk semua pembaca, blogger, follower dan teman-teman yang saya kasihi…

Saat ini, kita hidup saling berhubung tiada sempadan. Sempadan kita adalah keimanan dan ketaqwaan. Iman dan taqwa ini lahirnya dari hati yang berilmu. Ilmu itu bukan sebarangan, tetapi segala ilmu yang membawa hati ini semakin dekat dan semakit takut pada kehebatan tuhan.

Dalam kesibukan, ayuh ilmu itu kita perdalamkan. Jadikan Al Quran sumber cahaya di hati, jadikan As Sunnah teladan diri.

Wahai teman, sewaktu tiada apa yang memisahkan, jadikanlah hubungan kita ini untuk saling menaikkan dan mengingatkan. Untuk saling berkongsi kekuatan dan kebaikan. Jauhkan dari kedengkian dan permusuhan. Biarlah kemaafan selalu diberikan. Biarlah keaiban kita sembunyikan.

Wahai teman, langit terbuka atas nama globalisasi, terhidang jutaan keenakan berbentuk halal dan maksiat. Berbentuk pemborosan dan pembaziran. Jangan biarkan hati kita terapung-apung di alam maya penuh dosa. Tambatlah hati ini dengan tali keimanan dan ketaqwaan, yang lahir dari kefahaman tentang syahadah dan erti kehambaan.

Hati-hati ini, darinya lahir kata-kata dan tulisan. Darinya lahir tindakan. Didiklah hati untuk mengikhlaskan tujuan, dan mencantikkan akhlak kerana inginkan syurga tuhan. Basuhlah hati dengan air mata taubat dan keinsafan, latihlah hati untuk solat dan berdoa penuh kekhusyukkan, kerana dunia yang keras ini, tak mampu dihadapi oleh hati yang kabur dari pedoman tuhan.

Ya ALLAH, diriku dan diri kami semua amat perlu kepadaMU.. kepada petunjukMU, kepada bantuanMU, kepada pemeliharaanMU.

Di alam pekerjaan, di alam perkahwinan, di alam bujangan, di perjalanan mencari ilmu dan pengalaman – jangan biarkan kami terus melangkah dengan hati yang kering dan kotor tanpa arah. Bantulah kami untuk kembali kepadaMu membawa hati yang paling suci tenang. Bantulah kami mengikhlaskan setiap perkataan dan perbuatan dalam meraih rahmat dan redhaMU.

Selamatkan hati kami kami dari tipudaya syaitan. Selamatkan hati kami dari nafsu yang mendorong diri kami dan orang lain kepada kejahatan. Bantulah kami untuk mentaatiMU, mensyukuri nikmatMU dan beribadah kepadaMU dengan cara yang terbaik.

Saat ingin berkata, sucikanlah lidah ini wahai tuhan.

Saat ingin bertindak, pandulah akhlak ini ya tuhan.

Saat hati menangis, ingatkan kami bahawa ENGKAU Maha Mengetahui segala kesulitan. Maha Suci Engkau Ya ALLAH dari menimpakan keburukan kepada hambaMU melainkan setiap sesuatu itu ada kebaikan yang tersirat.

Saat hati tersenyum, insafilah hati ini bahawa kenikmatan itu tidak berkekalan. Kesusahan dan kegembiraan itu ENGKAU pergilirkan. Ujian kebaikan dan keburukan, sesungguhnya untuk hati ini semakin hampir dan hampir kepada Yang Maha Penyayang.

Di mana pun, dengan siapapun hati ini berada, jangan biarkan hati ini menjauh dari merasa kebersamaan tuhan. Isilah hati ini dengan segala sangka baik, kesabaran, keikhlasan, keredhaan, ketenangan…… merasa kehambaan yang berterusan hingga kami kembali menghadapMU tuhan.

Ajari hati ini berpaut hanya padaMU yang memberi cinta. Ajari hati ini memohon perlindungan dan kekuatan dariMu Sang Pemilik Kerajaan. Jadikanlah kami cinta kepada amalan-amalan yang Engkau cintai, jadikanlah kami cinta kepada insan-insan yang mencintaiMU.

“Hakikat diri seorang hamba adalah hati dan rohnya, tidak mungkin hati itu baik kecuali dengan adanya ALLAH. Hati itu tidak akan tenang melainkan dengan selalu mengingatiNYA. Hati itu akan bekerja keras dan amat rindu untuk bertemu denganNYA. Seandainya seseorang itu merasa kebahagiaan tanpa adanya ALLAH, nescaya kebahagiaan itu terasa sebentar cuma.”


:: Salam Kasih Berkongsi Peringatan :: Moga hari ini kita menjadi lebih baik dan lebih banyak mengingati tuhan ::



Wednesday, October 19, 2011

Pernikahan: Kemesraan dan Hubungan Intim




Semalam Bab 1 yang membincangkan tentang pembahagian kerja-kerja rumahtangga yang menimbulkan konflik. Bab 2 hari ini, tentang kemesraan dan hubungan intim. Dan seterusnya akan ada topik tentang kewangan, keluarga mertua, komunikasi, keibubapaan dan beberapa lagi.


****************


..... “Terima kasih abang, abang selalu bantu buat kerja rumah, sayang hargai sangat.” Ucapkanlah disertai dengan sepotong ciuman manja atau sambil mengurut badan suami. Bunyi macam skema je ayat?? Buat lah ayat sendiri yang agak logik pada pendengaran kalian berdua, pokoknya suami sangat cinta pada isteri yang menghargai dan berterima kasih. Tapi tak payahlah sampai sepuluh kali berterima kasih, suami rimas pula ngee..

Lepas dah berterima kasih, jangan lupa belaian istimewa untuk suami.. atau menidurkan suami dengan rahmat ALLAH yang sangat indah dalam perkahwinan (baca: seks). Kalau isteri atau suami tak nak tidur lagi pun tak apa, nak bangun semula menghadap laptop. Atau isteri nak bangun kemas dapur, masuk kain dalam washing machine, nak memblog atau nak prepare menu istimewa untuk sarapan suami dan anak-anak besok harinya.

Tapi waktu salah seorang suami isteri nak masuk tidur, luangkan masa 10-15 minit untuk mengecaj hati dengan romantika dan kasih sayang suami isteri. Baring di pangkuan, pelukan, ciuman dan usapan ringan main-main rambut isteri.. tak, tak semestinya untuk buat hubungan seks baru ada sentuhan-sentuhan macam ni…

Tahukah kita, sentuhan suami atau isteri itu boleh merembeskan hormon ketenangan yang banyak, ruginya tak manfaatkan.. sedangkan ia free. Dan tak penat pun… (kalian boleh baca topik The Magic of Touch, tapi bukan di blog ini).

Wahai suami, antara luahan lain para isteri, “suami hanya menyentuh bila nak buat hubungan seks..” sedangkan isteri amat mendambakan sentuhan mesra suami di waktu-waktu lain…

Bila-bila lah yang sesuai - sediakan masa untuk hugs and kisses, cuit-cuit sayang. Sebelum tidur, bangun tidur, lepas solat, pergi kerja, balik kerja etc… sentuhan-sentuhan in a non-sexual way inilah salah satunya yang buat isteri rasa suaminya romantis...masak untuk isteri pun kira romantis juga, ada isteri rasa romantis bila dapat bunga..ikutlah citarasa masing-masing..

tapi sebolehnya usahakan tubuh dan wajah wangi berseri, dah gosok gigi… barulah bersemangat nak peluk cium.. tapi jangan cuit-cuit waktu isteri tengah sibuk memasak, nanti senduk melayang :P

“Tapi when kids around… bilanya yang ada masa nak baring sama-sama, apatah lagi nak buat hubungan seks?”

Pandai-pandailah, kena kreatif… sekali lagi, jangan tunggu. Jadilah isteri yang proaktif, macam mana kita yang nak mulakan membina kemesraan dengan suami, apa yang boleh kita lakukan untuk menarik perhatian suami pada kita sewaktu suami asyik fikir pasal duit, bil, bisnes etc.

Kena atur waktu tidur anak, pukul 10 malam atau 9.30 malam anak-anak mesti dah kena masuk tidur. Mama atau papa boleh gilir-gilir tidurkan anak, bagi anak minum susu suam segelas, susu boleh bantu anak-anak dapat mood tidur. Suramkan lampu.

Bedtime story pun boleh… anak-anak dapat kembangkan neuron, develop imaginasi dan creative thinking bila dengar mama atau papa bercerita… jangan cerita sebarangan, cerita tentang kisah anak-anak muslim yang bagus di zaman awal, zaman moden atau kisah haiwan teladan yang baik.. Alamak, parents pun tak banyak membaca, macam mana nak bercerita dengan anak-anak…

Kalau anak-anak yang pergi sekolah dari pagi hingga petang, biasanya waktu malam mereka akan cepat mengantuk. Kalau yang umur dua dua tiga tahun, ajak mereka main kejar-kejar dan main nyorok-nyorok, supaya mereka cepat penat dan cepat tidur. Jadi mama lepas tu boleh main-main dengan papa pula.

Ataupun ada juga yang meletak dua katil queen/king size dalam masterbedroom. Anak-anak kecil sebenarnya sangat seronok bila dapat baring dan panjat-panjat ibu ayah, seronok dan bahagia dapat tidur sekali dengan mama papa, mereka bahagia bila tengok mama papa pun peluk ketawa dengan gembira.

Mereka nak tidur dengan mama, tak boleh tidur sendiri tapi mama papa pun perlu rehat dan masa peribadi kan.. jadi bila anak-anak dah tidur atas katil queen mereka, suami isteri pun tidurlah bersama atas katil lagi satu.

Tapi bila baru pukul 10 atau 11 malam pun dah rasa penat sangat, letak kepala kat bantal terus tertidur… Bila masa nak melayan pasangan sexually?

Ok, apakata buat date waktu lain…tak semestinya waktu malam. Nanti pukul 5.45 pagi, kejutkan pasangan dengan lembut, solat subuh berjemaah lepas tu teruslah ‘bercinta’ dengan berkualitinya - dengan tenaga yang paling banyak, perasaan pun masih tenang di pagi hari, anak-anak pun tidur lagi…

Tapi enam setengah pagi dah kena keluar pergi kerja? Nak siapkan anak-anak lagi… Mama nak bersiap pakai tudung hana tajima lagi…Ehh ada ke mama yang pakai tudung ala-ala hana tajima??? :P

Hohoo.. no way sex nak jadi first thing di pagi hari weekdays… Kalau macam tu, reservelah untuk weekend. 'Ehh takkan seminggu sekali je,' suami pulak tak puas hati..

Kalau macam tu, bangun pukul tiga pagi, solat tahajud dan solat witir.. suami isteri di waktu hening itu sama-sama berdoa minta ALLAH bagi ketenangan dan kekuatan untuk menjaga amanah rumahtangga dan anak-anak, bagi extra tenaga untuk melayan anak pasangan… InsyaALLAH di sepertiga malam ini boleh jadi detik yang paling indah untuk penyatuan hati dan fizikal suami isteri.

Ehh takkan pasal hubungan seks pun nak doa dengan ALLAH….??

Boleh saja.

Banyak benda yang perlu kita minta dari ALLAH.. minta ALLAH ampunkan banyaknya dosa dan salah kita, minta petunjuk buat kebaikan di dunia dan akhirat, minta iman yang mendalam, minta jadi anak soleh, minta dapat kerja yang baik, minta dapat grad on time, kita minta ALLAH murahkan rezeki, minta Allah jadikan kita dan anak-anak hamba yang soleh….

…, minta ALLAH sembuhkan dari penyakit, minta ALLAH teguhkan kasih sayang, minta ALLAH bantu buat tesis master dan PhD..........,

kenapa pula tak boleh minta ALLAH bagi kita jalinkan hubungan seks yang baik dan indah dengan suami atau isteri…?

Cubalah petua berdoa memohon bantuan dan kurnia ALLAH untuk hubungan intim ini, insyaALLAH akan diperbaharui kemesraan seks suami dan isteri. Kasih sayang pasangan, anak-anak yang bijak dan comel, harta dan duit yang mencukupkan kehidupan… semuanya ALLAh yang bagi..

Boleh, boleh.. ALLAH boleh bagi kita menikmati hubungan indah suami isteri yang halal, dengan syarat perlu ada usaha dari kita sebagai manusia.

Kita suami isteri perlu ada komunikasi yang baik, menambah ilmu berkaitan hubungan intim dan sentiasa belajar bagaimana menjadi suami dan isteri yang dapat memberi ketenangan sebaiknya pada pasangan dari segi fizikal, emosi, spiritual dan seksual kepada pasangan.

Saranan untuk dating berdua setelah ada anak, ada benarnya. Minta tolong datuk nenek jaga cucu, atau jiran merangkap rakan yang dipercayai. Tinggalkan dua tiga jam, maka suami isteri beraktivitilah yang eksklusif berdua, di rumah atau bersiar-siar di luar rumah.

Ok, memang dah ada masa untuk bermesra dan berhubungan intim, tapi masalahnya tak seronok pun... tak puas dengan pasangan. Suami puaskan diri sendiri saja... Kesian suami, asyik kena salahkan... :D Kesian isteri juga... saya asyik salahkan isteri ngee... ya ke?

Saya dah pernah tulis tentang hubungan intim secara ringkas di sini.

Teluslah melihat hati pasangan. Suami suka seks, isteri pun suka seks dan pastinya juga suami isteri nak pasangan saling enjoy hubungan seks. Tapi faktanya - hanya kerana suami adalah lelaki, tak bermakna suami expert. Jadi dari awal bernikah, isteri harus bantu suami untuk memesrai dengan cara yang memuaskan kedua-dua belah pihak. Isteri harus jadi partner seks yang aktif (ohh ini saya pinjam kata-kata penulis buku Mahkota Pengantin terbitan Pustaka Tazkia)

Ada kisah isteri yang lari meninggalkan kamar bila suami nak berhubungan intim dalam keaadaan bogel sepenuhnya. Malah bergaduh dan marah.  Isteri cakap - kena tutup, kena berselimut - tak boleh telanjang bulat...

Sedangkan - saya petik tulisan Yusuf Al Qardawi di dalam buku Wanita Dalam Fiqh Al Qardhawi - "adalah dibenarkan suami isteri menikmati hubungan seks dengan cara seperti bertelanjang saat berhubungan, boleh bermain-main dengan kemaluan pasangan, boleh meransang suami atau isteri dengan pelbagai cara. "

Tak kisahlah nak berbungkus, nak berpakaian atau macam mana cara atau teknik sekalipun, semuanya adalah dari komunikasi untuk mencipta kemesraan, keseronokan dan kenikmatan. Ikutlah keselesaan dan kesesuaian pasangan.

"Jagalah auratmu, kecuali dari suamimu" (Hadis Hasan - At-Tirmidzi). Maka nikmatilah tubuh pasangan seluruhnya secara fizikal atau penglihatan.

Tapi mungkin para isteri jadi takut-takut lantaran hadis-hadis yang tersebar, seperti "melihat kemaluan suami/isteri menyebabkan kelupaan atau menjadi buta..." Dan satu lagi  " hendaklah menutup tubuhmu dan janganlah bertelanjang seperti keldai".

Namun di dalam buku yang sama menyebut bahawa itu adalah hadis-hadis  yang lemah, dan pandangan itu tertolak. (Malah dipersilakan merujuk buku-buku lain yang jelas hujahnya dari segi ilmu dan dalil).

Bab oral seks, suami isteri boleh baca di sini.

Sebagaimana komunikasi penting untuk urusan lain rumahtangga, begitu juga dalam hubungan seks. Dari awal berkahwin, perlahan-lahan perlu dibina keserasian hubungan seks supaya suami isteri tidak dizalimi kerana sebenarnya tidak merasa pun, 'di manakah keseronokan hubungan seks itu?'

Jangan sampai isteri meluahkan, " Selama lima tahun berkahwin ni, tak pernah saya rasa kepuasan seks, suami pentingkan diri. Selesaikan nafsu sendiri saja "

Sepatutnya sebulan dua lepas bernikah, dah mula luruskan ketidakpuasan hati tentang seks dan segala isu lain. Sebab bila menunggu lama, ia amat payah untuk dirungkai dan diperbaiki.

Demi ALLAH, tiada suami yang tahu isteri puas ataupun tidak melainkan isteri telus mengkomunikasikan secara verbal atau body language apa yang disukai, apa yang menyeronokkan. Isteri jangan kaku. Dan suami bantu isteri yang sangat tebal rasa malu. Jangan mudah salahkan isteri macam batang pisang, jika suami pun tak jadi partner seks yang menarik.

Waktu hubungan seks, suami atau isteri boleh bagi closed-ended question, yang boleh dijawab a simple 'yes' or 'no'.

"Suka tak abang buat macam ni.. " tanya suami dengan romantis.

"Abang suka tak sayang main-main macam ni.." ujar isteri dengan penuh manja.

Atau isteri boleh direct luahkan dengan lembut... "Sayang suka bila abang......bla..bla.."

Suami dan isteri perlu sensitif reaksi pasangan, dua tiga kali berhubungan intim mungkin tak cukup untuk saling membangkitkan sensitiviti seksual pasangan. Tak dapat membaca gelora dan rasa. InsyaALLAH semakin lama, memakan bulan, memakan tahun - suami atau isteri makin arif memesrai kulit dan seluruh tubuh pasangan. Perlu istiqamah.

Hindarkan bersikap keras, kasar, atau nada tegang memberi arahan, sekalipun kita tak suka dengan sentuhan atau belaian pasangan di particular area.

"Janganlah buat macam ni..!" atau "Buatlah macam ni...!"  ohh jangan sebegitu ayat dan nada kerasnya, ini bukan kem tentera.

Sekali lagi, jangan lupa berterima kasih sesudah habis sesi itu.

 "Thanks sayang"  pada suami atau isteri selepas hubungan yang suci tulus itu. Juga jangan terus tertidur atau terus bangun dari katil (atau dari mana-mana). Cium kening isteri, pegang tangan atau rangkul isteri dalam pelukan...

Ya..betul suami panas dan mestilah sangat penat rasa nak terus terlelap..tapi sedikit sentuhan lembut dan sedikit belaian (afterplay) bagi markah besar di hati isteri. Mendamaikan hati isteri.

Sekian terima kasih, selesai kali ini bab hubungan intim ~ Jangan marah saya jika terlalu terbuka atau keterlaluan atau macam tak sensitif... Saya mohon pada ALLAH moga topik ini bermanfaat untuk kalian.

Berhenti saling menyalahkan, sama-sama renung dan perbaiki kesalahan kita sendiri.

Saya petik sekali lagi ringkasan  tulisan Dr Yusuf Al Qardawi, " Islam tidak menganggap seks itu buruk,...Islam merupakan ajaran yang sempurna, membicarakan segala sisi kehidupan termasuk tentang seks suami isteri. Islam mengatur kaedah, hukum dan cara..." ya, dengan sangat sempurna.

Moga penyampaian saya tidak memburukkan yang indah.

Kesimpulannya untuk bab 2 ini, suami dan isteri perlu kreatif dan proaktif menghidupkan kemesraan dan hubungan intim. Bila isteri sudah sibuk melayan ragam dan kerenah anak-anak, suami jangan jadi terpinggir. Jangan lupa ayah kepada anak-anak kita pun sangat ingin dimanjakan, diberi perhatian dan penghargaan. Pada suami, rezeki bukan sekadar duit – kasih sayang dan ketenangan hidup bekeluarga pun adalah rezeki yang besar. Sediakan masa untuk membantu, juga masa untuk sesi romantika dan beramah mesra dengan isteri.


:: Satu Malaysia, Perkahwinan Bahagia :D ameen ::

Tuesday, October 18, 2011

Rumahtangga Malaysia dalam bahaya...? (Bab 1)



Sebenarnya bukan di Malaysia saja, hampir di seluruh pelosok dunia pun mengalami krisis keruntuhan rumahtangga ( kesimpulan mudah ini saya buat berdasarkan pembacaan tentang marriage counselling dan selepas menonton satu movie yang memaparkan keluarga-keluarga berantakan dari 4 benua).

Pernikahan sememangnya antara cinta terbaik yang ALLAH berikan pada insan, namun cinta terbaik itu datang dengan penjagaan yang serius dan berterusan. Samaada monogami atau poligami.

Pernikahan tak akan runtuh hanya dengan satu konflik, tapi oleh banyak-banyak konflik yang tak diselesaikan.

Kali ini saya ingin berkongsi bab konflik kerja-kerja rumahtangga. Mungkin nampak kecil, tapi kalau tambah dengan konflik lain, ia mudah mencetuskan pertengkaran tak berkesudahan.

Suami mencari rezeki dan biasanya lebih tertekan dengan aspek kewangan berbanding isteri, namun jangan lupakan perasaan isteri yang juga mahukan perhatian, belaian dan penghargaan dalam kesibukan mengurus rumahtangga dan anak-anak. Apatah lagi isteri juga kepenatan keluar mencari rezeki. (Aik..suami juga yang salah ya..)

Kalau isteri duduk rumah, penatnya pun sama. Suami nak try duduk rumah satu hari -masak, kemas rumah, pergi pasar, jaga anak, bersilat dengan anak etc...?? :P

“Terima kasih sayang, masak untuk abang dan jaga anak-anak kita…” ucap suami penuh kasih sayang.

“Abang pun terima kasih bantu sayang masak dan tolong-tolong bersihkan rumah...” balas isteri dengan ceria.

Pulang dari kerja suami bertanya, “Ada apa-apa abang boleh bantu?” Ini ayat magik yang mampu melegakan hati isteri yang juga penat pulang dari kerja. Sekadar bertanya pun, sebenarnya isteri dah rasa dapat perhatian...

Isteri memahami wajah suami yang kepenatan… “Takpelah abang masuk mandi dulu… saya tengokkan Dania dan Danish ni ..lepas ni abang tolong jaga diorang ya, saya nak mandi pula…” ujar isteri dengan senyuman dan bertenang.

Mungkin sambil isteri mandi, suami boleh bantu panaskan makan malam. Isteri dah letak dalam pinggan atau bekas microve proof, jadi panaskan saja.. nanti isteri dah siap mandi, boleh terus makan sama.

Bila suami bertanya ingin menghulur bantuan, isteri jangan sesekali membalas dengan muka masam, atau sekadar bermonolog dalam hati,

 “Takkan tak nampak kot, suratkhabar majalah berselerak kat ruang tamu.. ni sampah dah berbau satu rumah.. Tolonglah buang..!! eiii geramnya.. boleh tanya lagi nak buat apa…???!!” Namun ini hanya kata-kata yang bergema dalam jiwa isteri.

Biasakan komunikasi yang jelas dan jelas.

“Abang..sayang nak basuh pinggan kejap, lepas tu nak mandikan Danish &  Dania. Abang boleh tolong buangkan sampah dan simpan kain baju yang sayang dah lipat? Terima kasih abang…” pinta isteri dengan penuh hormat dan sopan.

InsyaAllah suami akan bersemangat nak tolong, suami kan sebenarnya memang nak jadi hero isteri :P Nantinya malam sebelum tidur, baring sebelah-menyebelah, sekali lagi berterima kasih kepada suami ..

“Terima kasih abang, abang selalu bantu buat kerja rumah, sayang hargai sangat.” Dengan sepotong ciuman manja atau sambil mengurut badan suami.

Bunyi macam skema je ayat tu?? Buat lah ayat sendiri yang agak logik pada pendengaran kalian berdua, pokoknya suami sangat cinta pada isteri yang menghargai dan berterima kasih. Tapi tak payahlah sampai sepuluh kali berterima kasih, suami rimas pula ngee..

"Selalu bantu??? Saya tiap-tiap hari masak, basuh pinggan, kemas rumah, jaga anak, mop lantai, jemur kain, lipat kain, .. Takkan suami buang sampah dua kali seminggu pun saya nak puji suami melangit…..????????? "

Tak apa, terima kasih dan pujian itulah cara untuk suami memberi lebih banyak bantuan dan penghargaan pada isteri. InsyaALLAH perlahan-lahan suami akan berubah, bila dia tahu setiap kerja rumah yang suami buat itu ada nilai dan dihargai isteri.

Dah cuba cara baik, tapi suami tak bantu juga pun? Jangan cuba tiga empat kali, cuba berminggu-mingu ya, atau berbulan-bulan.. :D Jangan putus asa dalam realiti Tv Akademi Isteri Solehah ni..!

Suami memang tak jalan dengan 'ceramah'.

"Rasulullah tu orang paling sibuk dengan kerja dan dakwah 24 jam tapi bantu juga kerja rumah isteri..abang ni, saya pun tak tahu lah apa yang abang sibukkan...??!!"

Apatah lagi dengan leteran dan rungutan.

“Abang ni kan… tak nampak ke saya sibuk ngan anak-anak, abang dok baca surat khabar, pastu dok main fesbuk.. saya penat tau..saya pun kerja… nak masak lagi.. penat lah macam ni… " luah isteri merungut tak puas hati.

Suami terus membatu dengan Harian Metro, tak pun dok tukar-tukar channel rasa panas hati dengan rungutan dan leteran isteri...

Dengan ceramah, rungutan atau leteran, kita hanya lebih mendorong suami untuk memendam perasaan, berjauhan dengan isteri dari segi perasaan, rasa tiada penghormatan dari isteri, rasa nak keluar rumah cari hiburan di luar dsb...

Duhai isteri, geram kan..?? Duhai suami, kesian tak?? Saya sedih bila dengar beberapa luahan dari isteri... Hanya ada dua tiga luahan suami yang saya dengari... walaupun hakikatnya sama,  banyak juga yang suami tak puas hati dengan isteri...

Ok jangan gaduh kat sini, saya tak menangkan siapa-siapa, saya cuma ingin berkongsi macammana kita boleh pertahankan rumahtangga, sekurang-kurangnya dua tahun.. (ohh tak berani berharap rumahtangga kekal 70 tahun macam pakcik makcik yang masuk suratkhabar tu...takpe, bukan putus asa, tapi buat masa ni fokus here and now)..

“Diperlihatkan kepadaku Neraka, sesungguhnya kebanyakan penghuninya adalah wanita, mereka itu mengkufuri”. Lalu Baginda SAW ditanya: apakah mereka itu mengkufuri Allah? Rasulullah SAW menjawab, “ Mereka itu mengkufuri suami (atau nikmat-nikmat berumahtangga), dan mereka mengkufuri Ihsan. Apabila kamu melakukan kebaikan kepada salah seorang daripada mereka sepanjang tahun, tetapi kemudiannya dia melihat sesuatu yang tidak kena padamu, nescaya dia akan berkata (kepada suaminya): aku tidak nampak satu apa pun kebaikan padamu!” (Sahih Bukhari)

Saya berkongsi hadis ini bukan untuk menekankan perempuan berisiko besar masuk neraka, kerana lelaki pun sama besar peluangnya untuk masuk neraka jika tak jalankan amanah dengan baik sebagai pemimpin keluarga. Nauzubillah. Hanya saja, saya mengingatkan diri dan kalian untuk kita sama berusaha senantiasa menghargai kebaikan suami walau sekecil manapun.

Ya, ia sukar kerana keburukan dan kelemahan suami yang tertonjol seolah menutup terus kebaikannya..tapi kita cuba ya.. berterima kasih pada suami. Bersyukur dan terima kasih pada ALLAH.

Kita optimis ya.. Moga ALLAH menambah lagi nikmat kebaikan suami. Hari ni tolong buang sampah, mana tahu esok dia tolong mandikan anak, jemur kain, beli barang-barang dapur dan lain-lain.

"Barangsiapa yang bersyukur kepada-Ku maka akan Ku-tambah nikmat untuknya,.." (Surah Ibrahim: 7)



....bersambung




:: Moga Bermanfaat :: Ameen ::







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...