Tuesday, July 26, 2011

Bersediakah berkongsi suami?


:: Indahnya sebuah taman, ada bunga pelbagai warna.. Begitulah taman rumahtangga, dihiasi redup kasih para isteri yang pelbagai kelebihan dan potensi, moga membantu suami menjadi lebih berjaya..di dunia dan akhirat sana ::


Sesungguhnya poligami adalah rahmat ALLAH ke atas seluruh ummah, lelaki dan perempuan - memberi peluang bersuami kepada yang bujang, ibu tunggal, yang muda dan yang tua.

Dan semestinya segala yang ALLAH syariatkan itu terbaik lagi sempurna buat hamba-hambaNYA yang bermukim di muka bumi ini. Hanya saja, bagaimana kita para hamba  melunaskan mengikut acuan yang digariskanNYA.

*************

"As salammu’alaikum, Kak sebenarnya tak kisah pun kalau suami nak beristeri lebih dari satu. Yang penting cukup agama dan keperluan isteri-isteri tu nanti. Yang masih menghantui fikiran kak ni, "Nape suami-suami ni nak isteri yang muda(single), bukannya mereka yang berstatus ibu tunggal?"

*************

Begitulah bunyinya komen kakak seorang pengunjung rumah maya Nurul Adni Adnan ini. Terima kasih kakak, membaca dan memberi respon :)

Saya pun dulu terfikir seperti kakak, bahawa kalau benar ‘niat’ poligaminya, kahwinlah dengan ibu tunggal yang lebih memerlukan suami, apatah lagi punya anak-anak yang perlukan kehadiran seorang ayah..

(Namun tentang niat, sesungguhnya rahsia hati manusia dengan ALLAH, bukan kita yang menilainya…)

Komen kakak membawa saya merenung perjalanan diri sendiri.

Kakak, sewaktu saya di kampus dulu, dalam kelas saya hanya ada lima orang lelaki. Itu pada tahun pertama. Pada tahun terakhir, hanya tinggal dua orang lelaki dalam kelas saya..Sedangkan pelajar wanita lebih dua puluh orang. Dan sememangnya di fakulti saya ada ratusan pelajar perempuan, hanya beberapa kerat pelajar dan pensyarah lelaki.

1 lelaki= 4 wanita

Kakak, sewaktu saya praktikal mengajar, di sekolah ada lebih seratus guru perempuan, sedangkan guru lelaki hanya ada dalam 30 puluh orang, yang majoritinya sudah berkahwin.

1 lelaki = 3 wanita

Selain terlibat mengendalikan program-program di kolej, saya juga menyertai program-program kemasyarakatan NGO luar. Hampir semua ahli jawatankuasa adalah wanita melainkan 3 4 orang adalah lelaki.

Kakak, di mana peluang saya untuk bertemu lelaki jika lingkungan saya semuanya perempuan dan sedikitnya lelaki?

Kalau bukan saya pun, di mana peluang ribuan wanita di kampus ini, yang berpendidikan dan berakhlak baik untuk bertemu jodoh?

Poligami tidak menyelesaikan semua, namun ia mampu menjadi sarana utama yang boleh mengurangkan jumlah yang masih belum berkeluarga.

Jadi.. bolehkah kita menerima bahawa bila seorang lelaki memilih seorang gadis, bukan ibu tunggal, menjadi isterinya – lelaki itu juga membantu gadis itu memperoleh kehidupan berumahtangga – punya suami dan anak-anak ?

Itu senario tiga tahun dulu, betapa ramainya teman-teman yang bujang yang mencari peluang untuk mendapat teman hidup.

Hari ini, menghampiri Ramadhan tahun 2011 ini, adakah hati saya tenang melihat masih ramai teman-teman yang bujang, yang sudah berkerja, yang mengimpikan keluarga namun tidak bertemu jodoh?

Saya terbaca dalam akhbar beberapa minggu lalu, bahawa bilangan lelaki yang tidak berkahwin di Pahang jauh lebih ramai berbanding wanita bujangnya.. Namun di negeri yang paling besar di semenanjung itu, adakah kita memasukkan juga statistik ribuan para bujang lelaki itu yang menghuni pusat serenti, yang menagih dadah, yang merempit dan menganggur tanpa arah…?

Bukan sekadar di Pahang, bukan kalian pemuda Pahang sahaja yang sebahagiannya tidak baik.. baik lelaki mahupun perempuan, di semua negeri, sekarang ini terlalu banyak cabaran gejala sosial.. sukar ditemui lelaki yang siap dan berusaha membangun rumahtangga.

Pada yang biasa dengan unit mencari jodoh atau baitul muslim, lihat betapa banyak borang data maklumat para gadis muslimah yang ingin bernikah,  jumlahnya terlalu banyak berbanding lelaki muslim yang ingin bernikah.

Bolehkah para gadis yang berusaha menjadi baik ini bernikah dengan para suami yang sudah mampu berumahtangga, walau kalian tahu suami kalian tidak sempurna penuh kelemahan?

Pada sebahagian teman telah saya kongsikan rasa hati, bahawa saya suka kalau kita yang sudah beristeri ini membantu suami kita berpoligami, dalam masa yang sama, kita membantu wanita yang fitrahnya yang juga ingin kan keluarga..

Poligami, projek jangka panjang yang perlu dorongan, dokongan dan suambangan banyak pihak. Tidak boleh dipermudah-mudahkan, tidak boleh diketepikan.

Ya, kalau hanya kita yang sanggup berkorban perasaan, hanya empat orang wanita boleh dijemput sama menikmati kehidupan berumahtangga.

Namun jika ada ratusan isteri yang ada kefahaman dan kesedaran yang tinggi untuk menghidupkan alam poligami, insyaALLAH ribuan wanita akan punya suami sebagai pendamping. Dan insyaALLAH mereka dapat merasai fitrah menjadi ibu seperti mana kita para ibu merasai indahnya kehadiran anak-anak.

Ya, bukanlah semudah itu untuk merealisasikan, poligami yang teguh itu datangnya dari perancangan dan pembinaan iman dan akhlak yang tidak mengenal jemu.

Bagi yang tidak punya suami, bujang atau ibu tunggal, sama-sama lah kita berusaha menjadi insan yang baik. Mudah-mudahan seandainya dipilih menjadi isteri kedua, ketiga dan keempat – kita sama-sama membantu suami dan isteri sedia ada memantapkan rumahtangga.

Kebahagian hidup berumahtangga bukan pada cantik atau muda, tapi pada keperibadian menyeluruh seorang insan samaada lelaki atau wanita.

Jadilah kita suami isteri yang berilmu, jadilah kita suami isteri yang berakhlak baik, yang berusaha selalu mencari keredhaan tuhan – inilah yang menjamin kebahagiaan buat yang berpoligami, yang tidak, yang bujang, ibu tunggal atau andartu.

Kebahagiaan itu sesungguhnya dalam ketaatan dan keimanan pada NYA.

Hal ini terlalu berat pada sebahagian kita, tidak mengapa... Kita perlahan-lahan berusaha memahami dan membuka hati seandainya diuji oleh suami yang menyampaikan hasrat untuk berpoligami.

Panjang lagi yang perlu dikupas, moga perkongsian ini punya manfaat dan kebaikan~

Friday, July 22, 2011

Couple kerana Allah?



Indahnya cinta selepas pernikahan, perasaan cinta itu subur hadir dengan perjanjian halal yang bersaksikan ALLAH. Dengan lafaz nikah, lelaki dan perempuan menjadi pasangan yang memiliki ruang yang luas untuk menyuburkan cinta.

Perasaan cinta tika itu bukan sekadar emosi yang memenuhi jiwa namun menjadi ibadah bila diterjemah pada penyatuan fizikal suami isteri. Dan cinta yang menyubur setelah pernikahan itu amat indah bila mana kesucian diri dan akhlak dipelihara sebelum suami dan isteri menjadi pasangan yang halal.

“Kami belum mampu bernikah untuk merasai nikmat cinta yang sebegitu… Salahkah kami bercinta di luar ikatan pernikahan..?”

Sekali lagi, bercinta tidak salah. Apatah lagi umat islam ini adalah umat sebuah agama yang menganjurkan kasih sayang dan meraikan fitrah ingin dicintai dan mencintai.

Namun biasanya rasa cinta yang wujud di luar pernikahan itu tidaklah statik, akan semakin berkembang dan bersemarak di dalam jiwa.

Mata yang melihat pasangan yang dicintai terasa ingin berdekatan dan ingin bersentuhan. Telinga dan mulut yang semakin kerap berhubung membawa kepada kata-kata dan aksi-aksi cinta yang selayaknya terbit di antara suami isteri yang halal.

Rindu dan sayang menjadi semakin menggebu-gebu hingga pasangan bercinta itu bukan sahaja ingin bersatu dari segi perasaan namun juga fizikal. Mereka yang bercinta amat menginginkan kemesraan dan kedekatan fizikal.

Ketika inilah iman pasangan bercinta semakin terancam hingga sering kita dengari kes-kes perzinaan berlaku kerana cinta yang tidak dikawal ini. Dengan suburnya cinta sebelum pernikahan, fikiran dan perasaan pasangan bercinta amat mudah dikuasai sehingga mereka terdorong membayangkan hubungan seksual sebelum masanya dan semakin jauh dari mengingati larangan dan suruhan ALLAH.


Couple kerana Allah?

Mari kita renungkan satu hadis dari Rasulullah SAW.

Pada Hari Akhirat kelak, ALLAh akan bertanya: “Di manakah orang-orang yang saling mencintai kerana AKU? Pada hari ini AKU akan menaungi mereka di bawah naunganKU, di hari yang tiada naungan kecuali naunganKu.” [Shahih Muslim, no:2566]

Hadis ini boleh menjadi satu pendorong untuk insan memelihara jiwanya dari cinta yang tersalah arah.

Jika benar seseorang lelaki mencintai pasangannya kerana ALLAH, dia akan menempatkan cinta kepada seorang perempuan di dalam pernikahan demi memelihara kehormatan dan harga diri seorang muslimah. Dia menahan diri untuk melakukan ‘aksi-aksi cinta’ yang melalaikan muslimah itu sebelum bergelar suami isteri.

Seseorang perempuan yang tulus mencintai pasangannya kerana ALLAH akan menjaga diri supaya tidak menggugat iman lelaki dengan ‘aksi-aksi cinta’ yang tidak sepatutnya tanpa ikatan nikah.

Sebelum bernikah, mereka bersama berusaha menjadi individu muslim yang diredhai. Setelah bernikah, mereka berusaha menjadi pasangan suami isteri yang terus mencantikkan peribadi.

Percintaan yang diusahakan di dalam pernikahan yang bersulam tanggungjawab dan amanah, insyaALLAH kelak mampu meletakkan pasangan suami dan isteri di bawah naungan terbaik, iaitu naungan ALLAH.

Bernikahlah. Kemudian semarakkan cinta. Kerana ALLAH meletakkan keindahan dan kesempurnaan cinta itu di dalam sebuah ruang yang bernama pernikahan. Dalam pernikahan, cinta yang bermula dengan pandangan dan perasaan mampu disuburkan secara fitrah dengan perkataan dan perbuatan.

Kesimpulannya, saya mengingatkan diri sendiri dan para pembaca sekelian untuk menyuburkan cinta dalam tempat teristimewanya yang bernama pernikahan. Betapa sempurna dan indahnya syariat yang diatur oleh ALLAH. Salah satunya adalah cinta dan pernikahan.

Sebelum bernikah, rasa cinta dan kecenderungan yang hadir itu cukuplah sekadar mendorong diri untuk bersama membangun pernikahan yang diredhaiNYA. Semoga cinta yang dipelihara sebaiknya dalam lingkungan syariat ALLAH akan membuahkan kebahagiaan bukan sahaja di dunia yang sementara ini, namun akan terus mengalirkan kebahagian di kehidupan akhirat yang berkekalan.

Namun harus diingat, cinta sempurna dalam pernikahan bukan ibarat cinta dongeng '...and they live happily ever after'.. Cinta sempurna itu adalah cinta yang hadir dalam ketaatan padaNya, samaada diuji dengan bahagia atau duka...



 

Wednesday, July 20, 2011

Bawa Hati Kepada Tuhan




"...dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenang." (Ar Ra'ad:28)



 Kebelakangan ini, ada hati yang nampak tak indah.

Ada hati yang tak terjaga. Mungkin terleka dengan dunia, lalu tidak kusyuk berhubung dengan Sang Pencipta.

Hati saya kah itu?

Ya, hati saya yang agak caca marba :(

Saya mudah terasa marah dan tak sabar melayan kerenah Nana sehari dua ini. Nana, makcik saya yang berusia 83 tahun yang tinggal bersama kami di rumah pinjaman ALLAH ini.

Di awal-awal Nana datang tinggal bersama kami lebih setahun yang lalu, saya sudah membelek-belek buku Guide To Caring For Aging Parents.

Saya rasa, saya sudah faham dan hadam betapa warga tua ini teruji fizikal, emosi dan psikologinya hingga ia amat perlu kepada belas kasih orang-orang muda yang masih bertenaga ini. Tapi saya tak sabar kadang-kadang...

Ohh air mata telah mula menitis.. Moga ALLAH ampunkan saya.

Mungkin yang tinggal bersama orang tua atau mertua yang sudah lanjut usia mengerti bukan? Mencabar sekali untuk kita bersabar dan tenang mengurus keperluan si ibu dan ayah yang sudah amat tua itu..

Kerenah, kata-kata, tingkahlaku yang kadangkala sangat tidak masuk dengan jiwa kita, mudah saja untuk kita marah, bosan, buat muka dan lain-lain respon kita manusia biasa yang lemah. 

Wahai hati saya dan hati-hati kalian, sekali lagi - ikhlaslah.. InsyaALLAH sampai masanya kita pun akan tua, fizikal dan minda kita juga akan lemah, akan pelupa, kita akan rasa takut pada perkara-perkara yang orang muda tak rasa... Kita kelak turut perlu dijaga. Perlu orang lain sabar mengurus kita.

Jadi, lunaklah wahi hati dengan kalam ALLAH, dengan akhlak yang ditunjukkan Rasulullah.. Moga kesabaran itu sentiasa berlapis dalam melayani mereka sebaiknya..

Sungguh, hati yang tak terjaga akan mengundang masalah bertimpa.. Semua perkara terasa susah, payah. Bosan. Tak suka. Malas menguasai jiwa.

Adik-adik saya, maafkan diri ini. Hati ini sebentar terlupa kalian yang juga ingin menghidupkan jiwa.

Ayuh kita mula semula, kita kembalikan hati ini pada ALLAH, rawat sebaiknya dengan munajat rindu dan cinta memohon rahmatNYA..

Bila hati saya tak terjaga, masalah adik-adik ini boleh jadikan kita hilang punca. Hati tak terjaga, jauh dari cahaya. Tuhan, mana mungkin kami mampu terus melangkah tanpa suluh hidayahMu.

Ayuh kita bersihkan hati menghadap tuhan. Hati yang bersih kuat mengharung ujian, hati yang bersih suka pada ukhuwwah dan persaudaraan.

Seterusnya hati ini, bila tidak diikat kuat pada cinta tuhan, ia akan merayau-rayau bergantung sepenuhnya cinta dan perhatian pada insan.

Kerana hati yang tak terpelihara, saya merasa amat lemah bila ditinggal sementara. Suami jauh ke sudut benua sana, saya menangis pada ALLAH minta bawa saya ke sana juga.. ingin kedekatan, ingin perhatian. 

Hati rapuh, bila ingatan pada ALLAH menjauh..

(lantas menjadi isteri yang cengeng, sedangkan hati ini sangat ingin meringankan beban perasaan suami.. Ya ALLAH kuatkan hati suami dan para isteri...)

Teman-teman, kakak-kakak, adik-adik, para pembaca sekalian.. kita sama-sama kuatkan hati ya..

Tuhan lebih tahu ujian kalian,,,

Menuntut ilmu penuh kesukaran..

Dugaan dakwah yang menggugah kesabaran..

Tekanan di tempat kerja tak tahu bila kan berakhir...

Sengketa keluarga dan adik beradik yang masih samar jalan keluar.

Mungkin teruji rumahtangga semakin hambar .

Ujian kewangan mengusutkan fikiran.

Membesarkan anak bermacam ragam..

Banyaknya kan ujian yang kita tempuh saban hari, silih berganti ujian kesenangan dan kesusahan..

Apapun terjadi, ayuh membawa hati kepada Tuhan.. :)

Hanya pada ALLAH lah kekuatan dan ketenangan.

"...dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenang."








Tuesday, July 12, 2011

Menjadi isteri kedua




Saya tidak pernah termimpi untuk menjadi isteri kedua. Ya, siapakah antara kita yang memasang cita-cita untuk terus-terus berada di alam poligami…? Berkahwin dengan suami orang…?

Baguslah jika ada di antara kalian yang bujang, positif menerima dan bersedia berpoligami, kerana mungkin kalian telah nampak kebaikan dan kepentingan melaksanakan syariat ALLAH yang satu ini. Dan sebenarnya, kebaikan syariat poligami ini jauh lebih baik dari yang kita sangkakan. Alhamdulillah.

Pertama kali dikhabarkan oleh kakak isteri pertama, bahawa suaminya ingin menjadikan saya isteri kedua, saya terasa amat berat mencucuk fikiran. Ya ALLAH, moga ini hanya mimpi. Namun, terjaga dari tidur, saya ‘terpaksa’ memikirkannya kerana ternyata ini adalah ujian nyata yang ALLAH datangkan dalam hidup yang sementara.

Saya juga sama seperti kalian, ingin bernikah. Ingin menjadi isteri yang pertama. Bukan sekadar menjadi isteri pertama, tapi saya juga ingin menjadi satu-satunya isteri.

Saya tidak ingin suami saya mencintai dan menyayangi wanita lain. Saya tidak mampu. Kerana saya dibesarkan dalam lingkungan masyarakat dan arus media yang sangat mendokong monogami, menyisihkan poligami.

Tapi ternyata ketidakmampuan saya sangat sedikit berbanding kehebatan ALLAH mengatur setiap salur galur urusan makhluknya.

[ Malah kini saya suka kalau suami saya dan para suami lain diberi kemampuan untuk memiliki lebih dari satu isteri...opss, nanti kita kupas pasal ni..]

Melalui kakak isteri pertama, saya mendapat info dan sedikit sebanyak pengenalan mengenai suami saya (bakal suami waktu itu). Dan seterusnya setelah saya bersemuka dengan bakal suami bersama isterinya, saya menghadapkan lamaran itu kepada mak dan abah.

Ya, mak dan abah amat sukar untuk menerima. Kata abah, perkahwinan itu sendiri terlalu banyak cabaran dan ranjaunya, apatah lagi hidup di alam poligami. Saya terlalu mentah untuk menghadapi semua itu, abah mengingatkan.

“Mak pula macam mana ya…?” tanya saya pada mak.

“Mak ni, kalau boleh biarlah bukan suami orang. Saudara mara kita tak pernah ada yang bermadu… tapi kalau dah jodoh tu, mak terima je lah..” mak menjawab dari persepsi seorang ibu.

Mak sempat juga berkongsi, tentang seorang kawannya, “ Dulu dia bercerai sebab tak boleh terima suaminya nak berkahwin lagi…tapi sekarang, dia pun dah berkahwin semula dengan suami orang lain”. Maksud mak, kadang-kadang perkara yang kita tak nak dan tak terfikir, akan datang juga kepada kita.

Waktu itu, saya berusaha mencari isteri yang berpoligami, ingin meminta pandangan mereka. Ada dua orang isteri, yang bergelar isteri kedua, yang memberi pandangan kepada saya. Mereka menasihatkan saya supaya tidak menjadi isteri kedua atas sisi-sisi negatif kehidupan poligami yang mereka lalui.

Namun setelah difikir-fikir semula, sisi negatif itu bukan kerana mereka berpoligami, tapi itu adalah konflik lumrah yang berlaku dalam perkahwinan monogami sekalipun. Apapun, saya tetap menghargai pandangan mereka berdua.

Selain mereka berdua, saya tidak ada contoh rujukan yang lain dari kalangan yang berpoligami. Namun saya bersyukur, beberapa orang yang saya minta pandangan, memberi nasihat yang sangat menenangkan iaitu– Kembalikanlah semua ini kepada ALLAH. Kuatkanlah hubungan dengan ALLAH. Persiapkanlah diri menghadapai ujian-ujian rumahtangga yang pasti, samaada bermadu ataupun tidak.

Menghadapi pula sebahagian pandangan insan sekeliling yang lain, ternyata inilah yang membuatkan tak ada orang yang terdorong untuk berpoligami.

Untuk yang ingin menjadi isteri kedua - bersedialah dengan kata-kata yang tidak enak didengar. Atau dilabel perampas dan pengacau.

“ Dah tak ada orang lain ke.. orang bujang kan ramai lagi…”

“Dah desperate sangat ke…??”

“Kenapa mengganggu kebahagiaan orang lain..??”

Ya ALLAH, ampunilah mereka..sesungguhnya mereka tidak mengetahui…

Sedangkan para isteri pertama pula dikatakan tidak pandai menjaga suami, dan segala cakap-cakap lain yang mengganggu kesediaan dan ketenangan para isteri untuk meraikan alam poligami.

Para suami tidak kurang hebatnya dikecam, ‘gatal’ dan ‘miang’ gelaran biasa bagi suami yang berusaha membina rumahtangga seterusnya.

‘Kahwin kerana nafsu’.. kata sebahagian orang pada para suami yang berhasrat bernikah lagi. Apakah kita  dan kalian semua yang berkahwin kali pertama, baik lelaki atau perempuan, bukan kerana didorong nafsu dan perasaan ? Tak apa.. yang ni pun boleh buka topik lain :p

Moga ALLAH mengampunkan dosa-dosa kita yang mudah melabel, berprasangkan buruk dan mengeluarkan kata-kata yang seandainya kita tahu redha dan murka ALLAH atas perkataan yang disebut, nescaya kita memilih untuk mengunci lidah dari berbicara.

CEMBURU

“Tak cemburu ke…..????” inilah persoalan yang kerap diajukan kepada para isteri yang bermadu.

Duhai teman, jika anda seorang perempuan yang normal, anda akan cemburu. Bukan cemburu sikit-sikit, boleh jadi cemburu sangat-sangat. Kadar cemburu setiap orang itu berbeza-beza…

Dan saya adalah perempuan normal itu :P

Cemburu saya memuncak sebelum saya bernikah. Menghampiri tarikh pernikahan, saya tak dapat membayangkan kelak suami saya punya isteri lain yang diberi perhatian, yang disayangi, yang dirindui… dan macam-macam bayangan yang menjadikan hati saya tidak kuat untuk menampung rasa cemburu itu.

Saya pun terus menulis emel panjang lebar kepada bakal suami, bahawa saya ingin membatalkan lamaran yang diterima atas beberapa sebab-sebab, satu sebab sahaja yang saya tak tulis…bahawa saya sangat cemburu..saya tak mampu….. Terima kasih melamar saya menjadi isteri kedua.

Tapi saya tak sempat tekan butang ‘send’. Saya termenung di hadapan komputer. Ya ALLAH.. . betulkah tindakan ku ini..? Hanya kerana rasa cemburu, saya ingin membatalkan pernikahan yang dirancang. Adakah PERASAAN saya yang akan membuat keputusan, bukan petunjuk keimanan dan pemikiran yang matang dan waras..?

Airmata saya menitis, saya teringat bahawa saya selalu mengingatkan teman yang sudah bertunang dan mendekati pernikahan, jangan semudahnya memutuskan pertunangan hanya kerana cabaran-cabaran yang datang, hanya kerana ragu-ragu yang mencuit-cuit hati..hanya kerana perasaan yang bertukar-tukar dan tak tenang.

Fa’iza ‘azamta, fa tawakkal ‘alallah. (Setelah kamu bertekad, bertawakkal lah kepada ALLAH.) Rujuk Surah Ali Imran:159.

Saya delete emel untuk memutuskan lamaran itu, bismillah, saya tidak fikir lagi tentangnya. Saya hanya berdoa moga ALLAH permudahkan pernikahan kami.

Ya...memang takut sebenarnya, melangkah ke alam pernikahan bernama poligami, kerana ia sesuatu yang janggal dan masih belum diterima di hati-hati kita semua.

Saya meluah perasaan kepada seorang bapa saudara, abang kepada ibu saya,

“Paklang.. nanti kalau saya kahwin jadi isteri kedua, nanti esok kalau jadi apa-apa, macam mana saya nak hadapi..? Nanti orang kata – sape suruh jadi isteri nombor dua..???????”

Jawab Paklang, “Tak payah kita ramal-ramal masa depan ni.. Kita tak tahu. Memanglah risau kalau fikir macam-macam.. tapi sekarang ni kita buat dengan cara elok. Dia (bakal suami) pun dah datang jumpa mak abah dengan cara elok.. orang nya pun nampak elok.. Tak payah fikir sangat benda yang kita tak nampak”

Paklang nasihatkan - perlu bersedia menghadapi hidup berumahtangga, dalam masa yang sama, jangan keterlaluan memikirkannya, hingga kita takut untuk melangkah.

Yang saya kongsikan di sini, hanya tentang secebis kisah cemburu dan pandangan insan lain tentang poligami. Banyak lagi cabaran lain yang menduga, dan banyak lagi bentuk cemburu lain yang menjelma sepanjang pernikahan..namun ALLAH lah sebaik-baik Pemelihara.

Justeru, rasa cemburu, ragu-ragu, sedih, kecewa, takut, bimbang dan macam-macam rasa yang kalian lalui untuk menuju ke arah pernikahan, serahkan lah ia kepada ALLAH. ALLAH lah yang memegang hati kita… dan dengan rahmat ALLAH lah, perasaaan itu mampu kita terjemahkan dengan akhlak yang diredhainya.

Akan bersambung, moga perkongsian ini menjadi peringatan untuk menambah keimanan...

Monday, July 11, 2011

Abdullah ingat papa ya..




Kebaikan itu seluruhnya daripada ALLAH... Bantulah kami untuk mengingatiMu Ya ALLAH..

********


Abdullah sedang duduk dengan selesa di pangkuan papa. Papa membacakan doa-doa dan zikir sebagai ikhtiar untuk menyembuhkan demam Abdullah yang sudah berlarutan lebih seminggu. Kemudian papa hembuskan pada kepala Abdullah. Abdullah senyum-senyum suka dihembus papa sebegitu.

Abdullah.. melihat keeratan yang terbina antara Abdullah dan papa, mama terharu. Alhamdulillah, syukur padaNYA atas kasih sayang ini.

Papa sangat-sangat sayang kepada Abdullah (hee sampai mama kena marah kalau tak jaga Abdullah elok-elok :P )

Sememangnya Papa sayang pada abdullah, abang dan kakak. Pada mama-mama juga.

Dari hari pertama Abdullah lahir, papa dah libatkan diri menjaga Abdullah. Panjang sebenarnya kalau nak senaraikan segala yang papa buat.. tapi mama senaraikan juga sedikit sebanyak supaya bila Abdullah besar, Abdullah tahu jasa-jasa papa dan Abdullah jaga papa elok-elok juga tau.

Berterima kasih kepada manusia, tanda kita berterima kasih kepada ALLAH.

Papa yang sediakan keperluan pakaian dan barang-barang asas lainnya. Mama jadi tukang 'shopping'.  Dari hari pertama Abdullah lahir, papa berusaha memberi yang terbaik semampunya.

Papa selalu tolong kemas bilik Abdullah...hee bila mama tak sempat (tak sempat???)

Papa buangkan sampah pampers.. Papa akan check aircond supaya Abdullah tak panas sangat, tak sejuk sangat. Papa tolong-tolong mandikan Abdullah.

Dulu waktu Abdullah 3-4 bulan, banyak malam juga Abdullah meragam menangis kuat-kuat. Mama risau.. tapi dengan sedikit ilmu dan perkongsian dengan ibu-ibu lain, mama kurang risau.

Kadang-kadang, papa tidur kepenatan balik flight, tapi bila Abdullah menangis tak berhenti, mama pun tak berjaya tenangkan Abdullah... papa bangun dan dukung dodoikan Abdullah sampai Abdullah lena. Bukan satu malam, banyak malam yang papa bersabar bersama mama menjaga Abdullah.

Sekarang Abdullah dah semakin besar, dah pandai merangkak dan dah teruja dengan makan minum.

Bila papa balik rumah kita dari flight, Abdullah merangkak cepat-cepat nak terkam papa, nak didukung papa.. Tak sempat papa nak basuh tangan, yelah..papa kena basuh tangan dulu nanti mana tahu ada virus dari seluruh pelosok dunia yang papa tersentuh, papa pindahkan pula pada Abdullah.

Walaupun hanya beberapa minit sewaktu papa balik kerja, papa luangkan juga masa untuk gurau-gurau dan sembang-sembang dengan Abdullah, bagi Abdullah panjat-panjat papa..

Nanti papa mama dah semakin tua dan uzur, Abdullah harapnya tak bosan dengan kerenah kami..

Bila waktu makan, papa tolong-tolong juga mama suapkan Abdullah makan.. Kadang-kadang Abdullah makan main-main, minum air hembus-hembus nakal.. tertumpah air dan bubur Abdullah kat baju atau seluar papa, papa sabar je suapkan air dan makanan..

Malam-malam selalu juga Papa temankan Abdullah tidur di bawah dengan 'toto' - tilam nipis sebab nak temankan Abdullah tidur.. Abdullah kalau tidur atas katil waktu tu, senang saja berguling nak jatuh.. Ingat ya, nanti insyaALLAH kalau Abdullah masih bersama papa mama di hari tua, berusahalah teman-temankan kami yang mungkin takut berseorangan... atau cari orang lain temankan :D

Waktu Abdullah sakit, papa berulang alik ke hospital.. Papa sebenarnya tak boleh datang hospital selalu, virus-virus hospital suka menumbangkan papa.. tapi papa tetap menjenguk kita seadanya..

Terima kasih papa :D

Alhamdulillah...ALLAH Maha Baik, Maha Pemberi.. ALLAH mengurniakan rezekinya pada Abdullah melalui papa yang rajin berkerja, penuh dedikasi.. Dengan gaji papa, kita ada tempat berteduh dan cukup makan minum.. [sampai  mama pun semakin sihat :P.. ok, Abdullah kena bantu mama jadi kurus dan cergas...]

Dan dalam kesibukan papa bekerja, menulis, mengkaji, papa juga menyediakan masa untuk memberi perhatian kepada Abdullah dan ahli keluarga lainnya.

Moga kerajinan dan kesungguhan papa mencintai ilmu dicontohi Abdullah. Moga dengan budaya ilmu yang papa tunjukkan itu, mejadikan kita keluarga yang berusaha melaksanakan syariat ALLAH sebaiknya.. ameen.

Dan sebenarnya antara perkara terbaik yang papa berikan pada anak-anak ialah, menyayangi mamanya. Terima kasih pada ALLAH, yang menyatukan hati mama dan papa dan kita semua.

Masa kita sangat singkat dengan papa.. Abdullah pun mesti tertanya-tanya, ke manalah papa selalu pergi kan.. Tak apa, nanti Abdullah dah besar sikit, Abdullah makin faham - papa sibuk dengan kerja, papa ada dua famili, papa pun serius berkongsi ilmu dengan menulis, jadi papa sibuk studi - membaca, mengkaji...

Dalam masa yang sama, papa berusaha menjawab persoalan-persoalan agama yang sangat banyak dari saudara-saudara seislam..[Moga mereka yang bertanya pada papa di facebook, email, forum maya dan sebagainya faham kesibukan yang papa lalui... dan sebenarnya kita semua tak pernah cukup 24 jam kan...??]

Nikmat masa yang sedikit dengan papa, kita syukuri. Moga ALLAH menambah lagi nikmat itu. Kita berusaha jadikan masa yang singkat itu berkualiti, saling mengingatkan dan saling berkasih sayang dalam perjalanan menuju tuhan...

Seperti mana kita menghitung kebaikan seorang insan, seharusnya hati-hati kita lebih kusyuk menghitung nikmat ALLAH yang melimpah ruah.. agar kita tidak punya alasan untuk bersedih dan muram berpanjangan..

Ya ALLAH..bantulah kami untuk mensyukuri segala nikmatMU..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...