Thursday, June 30, 2011

Pernikahan: Gembira kerana Tuhan



“Saya tak kisah kalau dia tak bagi duit, tak belikan apa-apa, tak ada selalu di sisi saya, tapi saya nak perhatian dia.. nak dia dengar cerita saya dan layan saya sembang..” luah seorang isteri yang berjauhan dengan suami.

“Sms dan telefon pun tak boleh ke? Tak boleh ke gembirakan saya dengan jawab telefon atau sms elok elok...” sambungnya.

“Saya nak cerita dengan siapa lagi, kalau bukan dengan suami yang dah halal untuk saya?” kesedihan menyapa hati.

Wahai isteri, sungguh, hanya Tuhan sahaja yang dapat memenuhkan emosi kita.

Tidak ada mana-mana lelaki atau manusia yang mampu meraikan perasaan kita seperti yang kita mahukan dan harapkan.

"Tapi dulu waktu sebelum kahwin boleh je bergayut lama-lama, sms banyak- banyak...?"

Kesilapan yang pertama bila menjejak kaki ke alam perkahwinan ialah, kita menggantungkan kegembiraan dan keceriaan kita pada pasangan SEPENUHNYA.

Kesilapan seterusnya ialah membandingkan dengan alam sebelum bernikah... Lagipun sebelum bernikah, berhubung hanya untuk taaruf dan berbincang perkara-perkara perlu..bukannya untuk melayan rindu cinta sayang berlebihan. Sekarang kita yang susah hati dan sedih sebab mula membanding-bandingkan.

Mungkin sebenarnya isu jawab call, jawab sms ini perkara kecil bagi kita...tapi ia besar bila dikaitkan dengan isu fokus dan tanggungjawab kita menjaga keutuhan keharmonian rumahtangga.

Saya kongsikan beberapa tips yang saya baca untuk kita tetap gembira dan bersemangat sekalipun masa berkualiti dengan suami hanya beberapa jam seminggu. 

Pertama, binalah rangkaian teman-teman sejenis yang dapat melayan sembang dan mengisi kesunyian.

Sekalipun sudah bersuami, itu tidak bermakna perlu memutuskan persahabatan dan persaudaraan dengan teman perempuan. Kita perlukan kawan perempuan, untuk mengisi bahagian hidup kita yang tak mampu diperolehi dari suami.

Suami bukan dicipta untuk menghilang kebosanan kita, tidak. Kehadiran suami boleh menambah ketenangan dan keceriaan kita melalui kehidupan, tapi ia juga bergantung sejauh mana kita sendiri membina kegembiraan dalam hidup.



Seorang isteri juga pastinya akan berasa rimas jika suami asyik bergantung pada isteri untuk merasa gembira dan bersemangat. Sebegitu juga seorang suami, dia suka punya isteri yang ceria dan menceriakan, bermotivasi lagi memotivasikan. Bukannya hanya mempertikaikan suami sms atau tak, telefon atau tak..

Lelaki bukan makhluk yang suka bersembang-sembang hal perasaan, kata pakcik-pakcik yang expert bab perkahwinanan. Malah sebenarnya seorang perempuan yang berjiwa besar, yang sibuk dengan urusan agama, membangun keluarga dan ummah, juga bukan hanya memikirkan soal perasaan..

Tapi benar, suami isteri berkongsi perasaan adalah elemen romantika dalam rumahtangga. Malah sememangnya pernikahan itu wadah berharga kerana ia satu-satunya ruang menjalin cinta dan rindu yang paling indah. Namun jika berlebihan perasaan dilayan, kelihatannya kita mengagungkan perasaan dari membesarkan cinta tuhan.

Di awal-awal pernikahan, dari perkongsian teman-teman, nampaknya biasa sekali menjadi isu di kalangan pasangan muda, isu tak call, tak sms, tak jawab call, tak jawab sms... [....ehh macam saya je tu dulu :P....]

Sewajarnya menjadi rutin suami dan isteri update perkembangan dan khabar samaada di tempat kerja, tentang hobi atau aktiviti sampingan yang lain. Supaya kita tahu pergerakan suami isteri dalam kadar yang sewajarnya, dan yang penting dengan saling berhubung, kita dapat memberi sokongan, dorongan dan kritikan membina.

Adalah sangat tak best dan membosankan kalau berhubung atau bertemu, ayat pertama yang muncul,

"Kenapa tak call saya?"

"Kenapa tak jawab call saya?"

"Kenapa balik lewat?"

"Kenapa tak reply sms saya"

Jadi mungkin kita boleh tukar kepada ayat yang lebih menarik.. Contohnya suami sibuk dengan urusan bisnes, atau masih di pejabat,

"Assalammu'alaikum abang.. abang busy ya, moga ALLAH permudahkan segala urusan abang :) takpe, take your time.. sayang tunggu abang balik, sayang nak tidur dengan abang.."

"Ehh takkan saya nak mesej macam tu? Sori lah..saya dah malas. Dari petang tadi saya dok tunggu dia reply sms, takkan sepatah pun tak boleh jawab, pastu nak kita sms elok-elok... lantaklah dia" jawab kita agaknya.

Tak apa, bila kita tetap bersabar bereaksi dengan baik, kita sebenarnya telah menyelamatkan situasi gaduh yang lebih teruk dan panjang.

Kalau tak ada sesiapa yang nak mengalah, akhirnya suami isteri akan semakin renggang.

Bagi suami, "Entahlah...tak faham lah perempuan ni..Apa lagi lah yang tak cukup.. Rimaslah.."

Bagi isteri, " Dia memang tak peduli saya.. abaikan saya.. apa guna jadi suami isteri.."

Ini merujuk kepada huraian pakcik John Gray, bahawa suami akan happy jika isteri happy, dan akan rasa bosan dengan perempuan yang sukar untuk dipuaskan perasaan dan keinginannya. Sedangkan perempuan, akan rasa tidak disayangi jika suami tidak memberi perhatian pada perkara-perkara yang diinginkan.

Dulu sebelum bernikah, bila membaca petua-petua menghangatkan cinta suami isteri, ada antaranya ialah perlu ada date dengan suami seminggu sekali, atau dua minggu sekali, atau sebulan sekali.

Tika itu, saya terfikir, "Apa relevannya nak date.. kan suami isteri? Boleh saja berbual bercinta mesra bila-bila masa?"

Kini setelah bernikah..saya faham, malah itulah antara yang perlu dipraktikkan.

Harus memasukkan dalam jadual waktu untuk date, berdua-duaan dengan pasangan tak kira date di rumah, keluar ke mana-mana berdua bersiar-siar atau beriadah atau bercuti dua tiga hari. Objektifnya adalah untuk mengeratkan hubungan suami isteri. Walau untuk sekadar sembang-sembang berkongsi perasaan tentang harapan dan keinginan.

“Tapi mana cukup date seminggu sekali..atau sebulan sekali….????? Oh tidak..” jawab kita.

Sebab itulah ada syurga, yang tidak ada lagi kepenatan dan tanggungjawab. Realitinya kehidupan dunia hari ni, amat sukar menjalin kemesraan setiap hari, bukan sekadar dengan suami isteri tapi dengan sesiapa jua.  Kita sibuk dan 'sibuk'.

Saya pernah bertanya pada seorang sahabat… "Apa perasaan ukhti setelah lebih 4 tahun bernikah…?”

“Syurga.. teringin sangat nak masuk syurga..”jawabnya.

Saya tidak bertanya lebih lanjut, kerana saya rasa telah memahami sedikit sebanyak  hakikat pernikahan dan kehidupan di dunia.

Saya juga faham benar dengan kesibukan sahabat itu bekerja, menyambung pelajaran, menjadi isteri jua ibu kepada dua anak kecil, malah masanya terisi dengan aktiviti-aktivit pentarbiyyahan. Malah dialah antara sahabat yang mula- mula membawa saya ke alam tarbiyyah islamiyyah.

Inginkan syurga, kerana di syurga saja kita boleh bercinta sepuasnya. Tiada tanggungjawab, di dalam mahligai indah bersama suami yang bertaqwa dan diredhai, dalam keadaan fizikal seorang perempuan yang paling jelita dan segar bugar..bercinta dan bergembiralah sepuasnya dengan pasangan. Tiada duka, tidak terluka dan tidak kecewa.

Pasangan sempurna, cinta sempurna hanya di syurga.

Di dunia ini, kita sangat menyayangi suami dan anak-anak. Sangat-sangat mencintai hingga berat untuk kita berjauhan, kita hanya ingin bersenang lenang ditemani suami dikelilingi anak-anak penghibur hati… kita mengharapkan kesempurnaan perjalanan pernikahan dan kehidupan bekeluarga. Namun... tugas, cabaran kewangan dan amanah lain yang datang - menguji kemesraan hidup berpasangan.

Maka, teguhkan hati.

Gembirakan diri sendiri dengan anugerah lain dan kurniaan tuhan yang melimpah ruah, agar seterusnya mampu pula kita menggembirakan insan lain terutama pasangan hidup yang ALLAH jodohkan.

Cintai suami setulus hati, besarkan-besarkan kebaikannya, tutup-tutuplah kelemahannya…carilah perkara yang baik dalam rumahtangga, dan sabar memperbaiki kekurangan yang ada.

Moga ketulusan cinta kita saling menerima kelebihan dan kekurangan pasanagn akan menghembus kekuatan untuk terus melangkah menuju cinta tuhan.



Sunday, June 26, 2011

Kita kan kembali pada ALLAH ...


Assalammua'alaikum wa rahmatullah, gambar di atas adalah gambar mama abdullah (yang pakai topi tersengih lebar) dengan abang sulung mama, Mohd Saifullah.. Itu gambar sewaktu mama berusia enam bulan rasanya. Begitu pantas dan sekejap kehidupan dunia, mama yang comel kecil dulu, kini telah ALLAH pinjamkan, hadirkan juga anak comel kecil seperti Abdullah.



Abdullah berusia 6 bulan waktu ini. Sekecil ini, Abdullah menjadi hiburan dan penyejuk mata. Abdullah belum ada amanah dan tugas yang perlu dilaksanakan. Tapi Abdullah, masa akan terus berjalan dan kita kan semakin membesar dan akhirnya menuju kematian. Hidup ini penuh tujuan dan akan ada pengakhiran.



ALLAH lah yang menjadikan kita tertawa dan menangis. ALLAH mengatur suka duka kehidupan, ALLAH mendatang ujian kesulitan dan kebahagian.. Abdullah, dunia ini medan ujian, hanya persinggahan. ALLAH akan menguji harta, kesihatan, ilmu, usia dan segala-gala yang ALLAH beri pada kita..




Tiba waktunya kita menghadapa ALLAH, yang kita tak pernah tahu bila, mungkin hari ini, mungkin esok - bersediakah kita mempersembahkan iman dan amal soleh?

Mama perlu selalu mensucikan hati, memuhasabah nilai diri mama di hadapan ALLAH, mama perlu ihsan menunaikan tanggungjawab sebagai isteri, ibu, anak, penuntut ilmu dan pembimbing manusia ke arah kebenaran dan kebaikan.

Mama harus membimbing hati dan diri ini sebelum mama mampu membimbing Abdullah, keluarga dan ummah ke jalan ALLAH.

Abdullah..sama-sama kita memohon pada ALLAH Yang Maha Pengasih, agar ditunjukkan kita sentiasa jalan yang lurus.....hingga bertemu ALLAH kelak.








Saturday, June 25, 2011

Jom jadi Ustazah Pilihan....!

 


“Wanita dinikahi kerana 4 perkara : kerana hartanya, keturunannya, kecantikkannya & agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)


‘Ustazah Pilihan’ sudah mula diperkatakan... program mencari role model dari kalangan kaum perempuan di Malaysia. Alhamdulillah. Terima kasih Astro, secara tidak langsung program itu membawa kita memuhasabah diri sebagai makhluk ALLAH yang bernama perempuan…kan?

Hebatnya makhluk yang bernama perempuan ini, ALLAH umpamakan perempuan ini ciptaan terbaik, terindah di atas muka bumi… namun bukan perempuan sebarangan, kerana yang terbaik itu adalah perempuan solehah.

"Dunia ini adalah perhiasan dan seindah-indah perhiasan adalah wanita solehah" (Hadis Riwayat Muslim)

Program Ustazah Pilihan yang saya fahami, sebenarnya untuk mencari wanita yang solehah, untuk ditonjolkan sebagai contoh teladan kepada para muslimah lainnya.

Namun yang kita bimbangkan, perempuan yang pada awalnya memiliki sifat solehah, akan pudar ciri solehahnya bila berada dalam gemerlap gemerlip dunia penyiaran dan penerbitan.... Tak mengapa, kita tinggalkan dulu pro and cons program Ustazah Pilihan ini.

Ayuh kita menilai diri sendiri dengan ciri-ciri Ustazah Pilihan yang digariskan Astro, kerana sesungguhnya ciri-ciri itu, bagi saya, sangat-sangat perlu kita suburkan pada diri dalam menongkah arus zaman berstatus wanita muslimah.

Ciri pertama, berkebolehan dalam komunikasi.

Samaada bekerja di rumah atau di pejabat, setiap hari ada keperluan untuk berkomunikasi kan? Sesama suami isteri, anak-anak, ahli keluarga, teman sekerja, majikan dan orang bawahan, malah tidak dilupa juga komunikasi dengan pakcik makcik Jaga/ Guard, cleaner, makcik pakcik di café atau warung makanan dan lain-lain insan yang kita berurusan.

Komunikasi yang baik dan efisyen akan membuahkan hasil yang baik, dan begitulah sebaliknya, tidak sedikit urusan menjadi serabut kerana kegagalan berkomunikasi dengan berkesan.

Antara orang-orang yang mudah didekati adalah orang –orang yang ada ketrampilan komunikasi.

Ayuh.. kemampuan berbicara ini kita gilap, hingga kita mampu berkongsi ilmu secara baik, memberi nasihat dengan hikmah, memotivasikan pasangan dan teman-teman, menjalin persaudaraan dengan saudara seislam walau sekadar berjawatan tukang sapu. Komunikasi lisan yang paling ringkas adalah 'assalammu’alaikum', ditambah dengan komunikasi tubuh, iaitu senyum manis yang dikuntumkan, pasti mengikat rasa cinta sesama kita.

Jangan sesekali kita hanya memandang dan sudi berbicara pada orang-orang yang 'sedarjat' dengan kita sahaja..tapi Ustazah Pilihan berminat pada manusia, sentiasa ingin mengenali dan mempelajari sesuatu dari insan lain. Orang atasan dihormati, orang sedarjat didampingi, orang bawahan sentiasa di hati.

Ciri kedua, berilmu.

Orang yang berilmu adalah orang yang yakin dalam tindakannya dan teguh pada keperibadiannya. Tidak akan mudah ikut-ikutan, juga tidak akan mudah menyalahkan, sebaliknya mencari hujah dan berbuat sesuatu didasari oleh ajaran ALLAH dan Rasul SHALLALLAHU ‘ALAIHI WASALLAM.

Ayuh kita tanpa jemu dalami ilmu, ilmu yang mendekatkan kita pada tuhan, ilmu menjadi hamba dan khalifah ALLAH di muka bumi, ilmu memimpin masyarakat, ilmu menguruskan rumahtangga, ilmu psikologi mendekati anak-anak, ilmu berdampingan dengan suami, malah terlalu banyak ilmu yang perlu dicari gali sebagai bekal di kehidupan sementara ini...

Yang paling penting, orang berilmu sentiasa belajar untuk mengajar dan berkongsi ilmu. Tidak perlu risau tidak punya kelulusan tinggi, kongsilah ilmu sekadar yang kita tahu dan mampu kita praktikkan.



Ciri seterusnya, berpegang kukuh kepada agama.

Inilah yang paling susah :) Kadang-kadang ilmu itu sudah dimiliki, namun untuk mempraktikkan dan menjadikan ia sebati pada diri perlu mujahadah yang bukan sedikit.

Mintalah pertolongan ALLAH agar kita bersabar mentaati ALLAH dan bersabar meninggalkan larangan ALLAH. Berdoa memohon akhlak yang baik. Dihindarkan dari akhlak dan musibah iman. Ujian hidup pasti datang dari pelbagai sudut, maka setiap kali kita ingin berhadapan ujian-ujian itu, bertindaklah dengan cara yang ditunjukkan ALLAH dan Rasul SAW.

Antara cabaran menggenggam erat pada agama ialah, tafsiran agama yang berbeza-beza buat kita semua.

Contohnya, Ustazah A berhujah, pakaian muslimah perlu tudung yang menutup belahan dada, tak perlu labuhkan hingga ke bawah dada. Ustazah B pula hujahnya, tudung muslimah perlu menutup labuh ke bawah dada. Ustazah C hujahnya, pakaian yang sebenar terbaik, cukuplah pakaian taqwa. Tudung atau tak, adalah pilihan.

Jadi, di mana kita? :)

Apapun, ini adalah contoh 'ringkas' yang saya terfikir setakat ini.. . Bukan bermaksud untuk saya mengatakan Islam ini hanya fokus pada pakaian, tidak sama sekali. Islam itu luas, Islam adalah kehidupan yang kita lalui saban hari, di Malaysia atau di mana-mana. Tetapi perlu diingat, Islam itu bukan agama yang tersembunyi, ia tertonjol pada akhlak dan penampilan pendukung agamanya. 

Ciri terakhir yang dicari, berdaya fikir tinggi serta matang.

Di zaman langit terbuka ini, kita mengharung dunia remaja dan menginjak kedewasaan dengan khayalan yang dibawa oleh hiburan dan kebebasan keterlaluan...

Saya sendiri melalui tahun-tahun remaja yang panjang menelaah novel-novel cinta yang mengagungkan cinta manusia. Saya juga dulunya merasa tempias fesyen tempatan dan fesyen-fesyen antarabangsa yang menjauhi fitrah muslimah yang ALLAH muliakan, saya turut teruji godaan pergaulan bebas lelaki perempuan yang terbuka besar-besaran..

Lambakan hiburan, fesyen yang mengenepikan malu seorang insan, di tambah program realiti tv berbentuk nyanyian dan tarian... pergaulan bebas tanpa batasan, mungkinkah pemikiran dan wawasan hidup kita dapat dimatangkan?

Tidak, itu semua hanya mendorong untuk berseronok-seronok, untuk berhias-hias, menyuburkan cinta di hati dengan konsep - girls meet boys and live happily ever after..

Para remaja dan putera puteri islam, hanyut lemah dengan arus senang lenang yang dibudayakan ini.

Sedangkan muslimah yang matang, sentiasa melihat di manakah dirinya boleh menyumbang potensi sebagai insan makhluk terbaik ciptaan ALLAH.

Berbakti yang terbaik sebagai anak. Kemudiaanya bernikah untuk membangun ummah. Mentarbiyyah diri sebagai hamba, menggilap karakter sebagai Khalifah ALLAH. Menuntut ilmu, sepanjang masa dan menyampaikannya juga. Wawasannya menjangkau kehidupan dunia, jiwanya merindui ALLAH, dan mengimpikan kebahagiaan akhirat yang berkekalan.

Kesimpulannya..
Wahai diriku dan para muslimah.. ayuh kita berusaha memiliki dan membina ciri-ciri ustazah pilihan yang digariskan itu.

Moga dengan memperbaiki dan menggilap ciri-ciri itu, akhirnya kita mampu menjadi ‘Ustazah Pilihan’ yang sering disebut-sebut ALLAH dan Rasul.

"Sesungguhnya…orang-orang perempuan yang Islam, … orang-orang perempuan yang beriman, …orang-orang perempuan yang taat, … orang-orang perempuan yang benar, … orang-orang perempuan yang sabar, …orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), … orang-orang perempuan yang bersedekah, … orang-orang perempuan yang berpuasa, …orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, … orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar." (Surah Al-Ahzaab, ayat 35)






Tuesday, June 7, 2011

:: ALLAH, padaNYA cinta & kasih sejati ::



Sudah masuk dua minggu...blog ini sepi tanpa coretan baru. Duhai kalian, hati ini tidak mampu menulis bila hati dan fikiran ini tidak dibulatkan untuk berkongsi tulus ke arah kebaikan. Urusan-urusan harian, jika tidak disusun dan diprioritikan, tidak ada urusan extra yang mampu dilakukan..seperti menulis blog.

Maka siang tadi sewaktu 'menyelongkar' khazanah tulisan saya yang dulu-dulu, saya temui coretan warkah yang pernah saya kirimkan pada seorang sahabat, Norshahadah Zulkifli. Saya tidak tahu di mana dirinya kini, kami terputus hubungan selepas dia menyambung pelajaran di Terengganu. Bait-bait tulisan yang terlakar di dalam warkah itu, istimewa saya karang sempena pernikahannya beberapa tahun dulu.

Lebih tiga tahun dulu, sewaktu bait kata itu tertulis, saya masih sendiri bujang tanpa suami, di luar alam pernikahan. Tapi hari ini diri telah bergelar seorang isteri..., kata-kata nasihat yang tercatat sepi itu secara halus menyentuh hati ini.. Seakan tidak percaya nasihat itu datangnya dari diri sendiri, kerana sesungguhnya menulis dan mengucapkan itu terlalu jauh lebih mudah dari melaksanakannya di perjalanan kehidupan.

Mudah pada teori, sukar pada realiti. Tazkirah yang pernah saya beri itu kembali menasihati diri sendiri bila sampai masanya.. Saya kongsikan coretan ringkas itu di sini, moga hati ini dan hati kalian juga, sabar menghadapi kesulitan dan kebaikan yang datang pergi silih berganti...


============================================



Assalammualaikum wa rahmatullah

Adah yang dikasihi lagi dirindui,

Semoga coretan ini menemui Adah dalam kondisi Adah yang paling baik, sejahtera dan bahagia dalam peliharaan ALLAH SWT, bersama suami dan keluarga tersayang.

Terima kasih atas persahabatan Adah - dulu, kini dan selamanya. Adah adalah antara teman terbaik yang nurul temui dalam kehidupan. Sahabat yang ALLAH kurniakan pada nurul untuk mengingatkan hati yang sering lalai dan lupa tujuan kehidupan. Terima kasih Adah, menjadi sahabat yang sering menjadikan perasaan ingin dekat dan kembali pada tuhan.

Hidup ini sementara, moga kita isi dengan kesyukuran dan melakukan kebaikan sepanjang perjalanan.Ada masa senang, ada masa susah, ada masa sedih dan ada masa gembira – segala-galanya adalah baik jika kita beriman kepada ALLAH.

Moga Adah dan suami dapat membina keluarga yang diberkati. Moga terus berkasih sayang walau kadangkala didatangi ujian yang menggusarkan perasaan.

Cinta dan ketenangan itu tidak terjadi secara kebetulan – melainkan perlu diusahakan dengan saling menghargai, saling mendoakan, saling memaafkan dan terus menyuburkan iman. Tanpa iman, kurangnya taqwa, kehidupan tidak beerti tiada seri…

Kerana sesungguhnya kasih sayang itu ALLAH yang semaikan dalam hati-hati insan beriman…. ( Maryam:96)

Kerana jika seluruh wang ringgit dan harta benda dilaburkan untuk mendapatkan cinta dan kasih sayang, kita tak akan ada jaminan memperolehinya, kerana ALLAH lah satu-satunya sumber mawaddah wa rahmah... hanya ALLAH Yang Maha Berkuasa menyatukan hati-hati manusia...(Al Anfal: 63)

Kita semua akan pulang menuju ALLAH, bila-bila masa... maka iman itulah bekalnya. Mudah-mudahan kita menemuinya dengan hati yang tenang... dan sesungguhnya tiada pencarian yang lebih besar dalam kehidupan ini selain mencari redha ALLAH.

Nurul selalu berharap agar persahabatan ini mendapat naungan ALLAH di akhirat kelak..doakan kita semua...

Adah dan suami harapnya berusaha kuat agar tidak hanya berkasih sayang di dunia namun berterusan hingga ke syurga.. agar tidak menjadi seteru di akhirat- yang saling menyalahkan dan membongkar keaiban.

Kita memohon perlindungan hanya dari ALLAH. Moga kita semua sentiasa diberi kesedaran, kekuatan dan kelapangan untuk membentuk dan membina keluarga dan ummah yang diredhai ALLAH SWT...

Moga diri-diri kita diberi kesabaran untuk melaksanakan komitmen hidup yang bertambah dari sehari ke sehari... Sekian.


Salam Kasih & Hormat,

Nurul Adni Adnan
21 Ogos 2007

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...