Saturday, January 29, 2011

Nikmat ALLAH saban hari..



Wahai diriku, dan semua insan yang diciptakan tuhan, ayuh kita duduk sejenak menghitung kurniaan tuhan yang datang dalam kehidupan seharian… Agar kita merasa syukur dan terus bersyukur. Agar kita menyedari Maha Pemurah ALLAH pada kita hambaNya, sedangkan kita seringkali melupakanNYA.

Walaupun sesungguhnya, tidak sesekali kita mampu menghitung setiap nikmat kurniaNya..

Pagi ini, Alhamdulillah saya masih dibangunkan ALLAH dari tidur. Alhamdulillah punya keluarga di sisi. Selepas bersarapan, ALLAH memudahkan urusan kami ke pasaraya Giant untuk membeli beberapa barang keperluan. ALLAH mentakdirkan kami mudah parking kereta, dan kami senang hati memilih barang-barang di dalam Giant kerana orang tak ramai.

Alhamdulillah ALLAH izin semua itu setelah kami berusaha sebaiknya merancang perjalanan di hujung minggu ini, iaitu keluar di awal pagi. Dan tak perlu pun beratur bila nak bayar di kaunter. Dan kerana kami dah penat berjalan di dalam Giant yang luas itu, saya tak larat nak masak, maka kami singgah makan tengahari di luar.

Alhamdulillah ALLAH memberi peluang kami makan di restoran baru di kawasan kami, walau telah berapa bulan kami bercadang mencuba makan di situ tapi tak kesampaian kerana waktu lunch dan dinner, restoran itu penuh sesak. Kami tidak mahu bersesak-sesak.

Tapi hari ini sebelum pukul 12 tengahari kami dah sampai, makanan dan minuman yang diorder cepat dapat. Alhamdulillah atas jus kedondong asam boi yang sedap dan nasi putih dengan ayam lemon, butter prawn dan sayur kailan. Jemputlah datang mencuba :)


:: Inilah restoran yang menjadi rezeki kami untuk lunch hari ini, Restoran Makanan Cina Muslim - Mohammad Chan Abdullah. Info lanjut tentang restoran ini, klik sini ::

Alhamdulillah di petang hari dapat menghabiskan masa dengan baby Abdullah, kami sama-sama duduk di beranda tepi rumah memandang sejuk dingin hujan yang menitis sederhana lebat. Abdullah yang sedang belajar tentang dunia ini teruja dengan alam ciptaan Tuhan yang dilihatnya..

Alhamdulillah anakku, ALLAH mengurniakan penglihatan kepada kita.. Dan ALLAH menggerakkan sistem pernafasan kita menghembus dan menarik nafas menghirup udara segar ini.

Berteman rahmat ALLAH yang mencurah, bersama Abdullah di pangkuan, saya mengulangkaji membaca buku kisah isteri-isteri Rasulullah. Alhamdulillah sangat baik karya itu untuk mentazkirah saya..dan betapa cemburunya saya pada mereka isteri baginda, Khadijah dan Hafsah, betapa mulianya mereka sabagai isteri.. inilah dua kisah sebaik-baik isteri yang sempat saya baca.

Malam tadi saya tidur lebih kurang pukul 2 pagi, berjaga menemani Abdullah. Petang ini terasa sangat ingin melelap mata, namun kasihan pada Abdullah yang bulat matanya seolah mengajak saya ‘berlibur’ dengannya.


:: Abdullah ber'posing' di atas carseat yang baru dibeli di Giant pagi tadi, Alhamdulillah syukur Ya ALLAH atas kemudahan carseat ini, memudahkan mama untuk keluar berdua dengan Abdullah. Thank You papa, belikan kami ::

 
Alhamdulillah syukur Ya ALLAH atas keprihatinan papa Abdullah.. Selepas asar, dia pula mengambil ‘turn’ menjaga Abdullah, bagi mama rehat pula, katanya. Terima kasih abang. Saya pun sedar-sedar dah terlelap hampir 45 minit, bangun dengan kepala terlebih pusing kerana tidur selepas asar..(tak elok, kata orang-orang tua.)

Untuk makan malam hari ini, saya buat kueh tiau goreng. Alhamdulillah atas semua bahan-bahan masakan yang mampu disediakan, dengan dapur dan peralatannya.. Syukur ALLAH kurniakan nana (makcik saya) untuk membantu saya memasak – potong-potong bawang…[walau sepatutnya saya tidak membebankan dirinya di usia lanjut, namun dia bertegas ingin membantu]..



Terima kasih Ya ALLAH. Saat ini, saya seakan lelah menikmati nikmat ALLAH yang terlalu banyak, dan lelah dengan diri sendiri yang tak menunjukkan syukur dengan perbuatan.

Ya ALLAH..bantu lah kami untuk mensyukuri nikmatMu..

Dengan segala nikmatMu, tambahkanlah kecenderungan dan keterpautan hati kami kepadaMu..



Friday, January 28, 2011

Tarbiyyah Penguat Jiwa



Beberapa tahun yang lalu sewaktu berada di tahun-tahun awal kampus, diri ini mencari-cari sinar hidayah buat menerangi kehidupan.

Berasal dari sebuah kampung di pedalaman Kuala Pilah, Negeri Sembilan, menjejak kaki ke UiTM Shah Alam adalah satu dunia baru yang asing lagi mencabar buatku. Asing dengan cara hidup di bandar yang serba pantas dan moden. Mencabar pada budaya asing dan pelbagai jenis life style yang melingkari para pemuda di alam kampus ini.

Arus mana yang harus ku ikuti?

Pergaulan bersama teman yang datang dari seluruh pelusuk negeri sungguh membuka minda dan jiwaku untuk melihat kehidupan ini dari sisi yang lain.

Diri ini mula menjejak hakikat sebenar kehidupan. Adakah kehadiranku ke universiti dan menyambung pelajaran itu matlamat akhir? Adakah menggapai segulung ijazah itu fokus utama hidupku? Bagaimanakah cara hidup yang harus ku jalani selama lima tahun diriku mengikuti pengajian di sini?

Tidak tahu ingin bermula di mana, namun bersusun doa ku panjatkan pada Sang Pencipta agar diri ini ditunjukkan ke jalan kebenaran. Doa yang tulus ku sampaikan padaNYA.. memohon keampunan, memohon bimbingan dan petunjuk, memohon kasih sayang dan rahmatNya agar memandu diriku menjadi insan yang lebih baik di sisiNya.

Sesungguhnya pada jiwa-jiwa setiap insan itu, ada fitrah yang sering merindui kebenaran dan kebaikan. Namun sering saja ia tertutup dengan pelbagai kejahilan dan kemaksiatan yang menebal di sekeliling kita.

Hati ini amat bersyukur mengingatkan laluan yang ALLAH buka, pertama kali menjejak kaki ke surau hostel, diri ini diperdengarkan dengan tazkirah yang bertajuk Tujuan Kehidupan. Duduk di celah-celah mahasiswi lain, tazkirah itu meninggalkan kesan mendalam. Pulang ke bilik, terus ku tulis segala impian, harapan, cita-cita dan keinginanku untuk merintis jalan baru hidupku sendiri.

Jalan bertemu tuhan dalam keredhaan. Jalan yang akan membawa kejayaan dan kedamaian. Telah pasti di hati, diri ini inginkan cinta dan redha Ilahi. Diri ini ingin menjadi hambaNYA dan khalifahNYA. Ilmu, iman dan amal adalah bekal yang amat-amat ku perlukan selagi nyawa dikandung badan.

Hidup di kampus, untuk menggali ilmu sebanyaknya. Jua memperoleh segulung ijazah, mematangkan pemikiran, membina keperibadian yang teguh, menjadi insan yang bermanfaat untuk orang lain. Dengan pinjaman pelajaran, PTPTN puluhan ribu yang dilakukan, moga kesemua tujuan murni itu bakal diraih. Agar pinjaman itu tidak sekadar curahan wang yang melekakan.

Benar janji ALLAH, ALLAH akan membantu insan-insan yang berusaha mengikuti syariat dan menghampirkan diri kepadaNYA.

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Al-Ankabut:69)



Setelah itu bermulalah penglibatanku dengan program-program tarbiyyah (usrah, ta’alim, daurah, MABIT, rehlah, mukhayyam dsb) yang berusaha disusun bersesuaian dengan jadual pengajian.

Semoga ALLAH memberkati kalian para pemuda dakwah yang merancang dan melaksanakan semua program yang membimbing dan membentuk para pemuda ke arah syaksiah muslimah wa daieyah (keperibadian muslim dan daie).

Hari-hari di kampus ku lalui dengan lebih bermakna dan bermotivasi, kerana diri telah mengerti dan memahami matlamat hidup yang ingin dicapai. Diri telah nampak jalan-jalan yang harus ditempuh dalam menunaikan setiap amanah yang ALLAH datangkan dalam hidup ini. Dan perjalanan itu sesungguhnya berat, sulit dan panjang.

Di samping bergelar pelajar, hati ini memilih menerima jawatan dalam kepimpinan kolej ,dalam rangka memcari peluang untuk menjalankan program-program tarbiyyah. Diri makin menyedari kepentingan tarbiyyah kerana tarbiyyah telah dan sedang membentuk akhlakku, perasaanku dan cara fikirku mengikut acuan Islam yang sempurna.



Program-program hiburan yang keterlaluan, ledakan teknologi maklumat yang melekakan, budaya ilmu yang makin terpinggirkan, akhlak islam yang berganti akhlak rendah kejahilan..semua ini menjadikan jiwaku berperang untuk memilih keimanan dan kebenaran. Alhamdulillah tarbiyyah menjadi bahtera yang menyelamatkan banyak jiwa insan.

Diri ini masih terlalu jauh dari kesempurnaan, namun itu bukan penghalang untukku mengajak orang lain menjadi lebih baik agamanya dan penghayatan islam dalam hidupnya. Jika diri ini merasa indahnya hidup dalam lingkungan tarbiyyah, ku mahu keindahan itu disebarkan.

Jika diri ini merasa teguhnya jiwa menjalani hidup yang menjadi medan ujian, ku mahu insan lain turut merasa kuat dalam menghadapi ujian Tuhan yang hadir silih berganti.

Program tarbiyah bukan sekadar menjadi taman-taman ilmu, bukan sekadar perhentian untuk meraih ketenangan, namun tarbiyyah turut memberi kemanisan ukhuwwah pada hati-hati yang bersama mengejar keredhaan tuhan. Tarbiyyah yang berterusan menjadi motivasi untuk beramal, beramal secara individu atau beramal jamaie.

Kini alam pengajian telah hampir tiga tahun ku tinggalkan, status juga berubah dari bujang kepada menjadi isteri dan ibu.

Ternyata, diri masih lagi memerlukan tarbiyyah. Amat-amat memerlukan. Hingga waktunya bertemu tuhan.

Keluarga yang dibina mengharap seorang suri dan ibu rumahtangga yang teguh peribadi dan kuat jiwanya. Untuk mencambah akhlak yang baik, dan menguatkan sanubari, tak mungkin dicapai jika berjauhan dari Al Quran dan As Sunnah. Dua bekal itu adalah unsur yang amat penting dalam tarbiyyah.

Menghayati kalam ALLAH dan mengikuti sunnah Rasul akan melahirkan individu yang mantap jati diri di zaman yang terlalu mencabar ini.

Kini menjadi isteri, tarbiyyah adalah jalan hidupku. Menapak di atas jalan ini, moga tarbiyyah membantu ku menjadi isteri penuh bakti dan bermotivasi. Mampu menguruskan keperluan dan hak suami sebaiknya. Menjadi penolong suami yang juga ingin menegakkan agama ALLAH, jua menjadi sumber motivasi suami untuk terus istiqamah mencari redha ALLAH.

Menjadi ibu, tarbiyyah menjadi agenda utamaku. Anak-anak yang lahir dari cinta tarbiyyah ini moga bakal meneruskan projek mega menyebarkan risalah agama ALLAH. Dan anak-anak itu sendiri, perlukan tarbiyyah yang konsisten dan strategik dari ibu ayahnya.



Keluarga yang mementingkan tarbiyyah akan membentuk ummah yang mampu menjadi pendokong agama, hingga akhirnya umat islam benar-benar mengecapi kemanisan agama yang benar dan tika itulah tarbiyyah menjadi kurnia yang besar, membentuk sebaik-baik ummat.

“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (karena kamu) menyuruh (berbuat) yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah…”

(Ali Imran:110)

Thursday, January 27, 2011

Kebahagiaan Dalam Perpisahan



:: Perpisahan Yang Tak Di Minta ::

Hati saya hampir merembeskan titis-titis jernih di mata melihat suami bersiap-siap untuk penerbangan tengah malam itu. Saya sedih masa begitu pantas berlalu buat kami, saya rindu momen-momen istimewa bersama yang kadangkala tenggelam kerana komitmen dan tanggungjawab yang mengelilingi. Minggu ini alhamdulillah ALLAH mengizinkan 3 hari untuk dijalani di sisi suami, namun hati ini merasa tidak cukup.

Saat itu, saya rasa ingin menangis tersesak-esak di dadanya. Dia belum pergi, namun hati saya membuak rindu. Merindui keberadaan suami di sisi saya dan anak. Namun saya menahan tangisan, memikirkan tidak mahu mengganggu hati dan pemikiran suami yang akan mengemudi perjalanan panjang KL-Dubai. InsyaALLAH saya akan menemuinya selepas empat lima hari.

Dalam hati yang basah yang dengan kesayuan, saya bertanya meminta kepastian cinta suami pada saya. Walau saya sangat tahu besarnya cinta suami buat kami isteri-isterinya dan juga pada anak-anaknya.

Dan hati saya makin deras dengan tangisan mendengar soalan suami pula,

“Nurul sayang ALLAH…?”

Sayang. Pasti sayang dan cinta ada di hati untuk ALLAH (ameen..insyaALLAH). Pertanyaan suami itu, pastinya untuk saya tidak larut dengan emosi seorang manusia bernama perempuan yang seperti ombak kadang-kadang tenang beralun, kadang –kadang besar menggulung…



Ini ujian yang mungkin kelihatannya sangat kecil.. Namun jika ‘isu kecil’ rindu-rinduan ini berkembang biak, tidak dicantas dengan baik, it hurts.

Yes, it hurts.

ALLAH memberi saya suami yang sangat baik walau dirinya sering tiada, ALLAH memberi saya merasa kehidupan bekeluarga, ALLAH telah memberi segala-galanya walau tanpa saya meminta. Pastinya ALLAH memberi lebih baik jika saya berdoa meminta-minta.

Dalam saya berusaha menyuburkan kesyukuran atas apa yang ada, dalam saya berusaha redha dengan apa yang tiada, ALLAH membawa saya bertemu isteri-isteri lain yang juga sedang menikmati ujian perpisahan dengan suami. Kerana tanggungjawab kerja, belajar, dakwah.

Malah ujian saya terlalu sepicing berbanding ujian mereka.. [hmm malunya…].

Hati saya tersentuh membaca coretan seorang isteri, saya seakan memahami ketidak-enakan hatinya yang saban hari dan saban minggu berlalu dengan masa yang teramat singkat dengan suami.

Dia seorang isteri, kesedihan kerana seorang doktor itu selalu sibuk dengan jadual yang ‘membunuh’ kehidupan. Suaminya seorang doktor. Jadual doktor (doktor Malaysia?) ‘membunuh’ kehidupan - kerana seorang doktor, teramat banyak masa dengan para pesakit.. bilakah masanya untuk menunaikan hak pasangan dan anak-anak? Bilakah masanya untuk menikmati hidup di luar hospital?

Isteri doktor itu (yang juga bekerja di hospital, tapi bukan doktor)berusaha memenuhi hari-harinya dengan aktiviti-aktiviti tambahan. Supaya hati tidak terasa sangat dengan ketiadaan suami di sisi. Berusaha positif mencari kebahagiaan dalam perpisahan. Namun hati seorang isteri yang kadangkala tewas, maka terjadi lah ‘cold war’ dengan suaminya. Cold war sebagai tanda protes dengan jadual kerja yang ‘menzalimi’ seorang isteri.

Namun isteri itu sebenarnya sangat mengerti bahawa bukan dirinya sahaja yang merasa penat menunggu kepulangan suami, tapi suaminya juga teramat penat dengan kehidupan sebegitu.

Maka apakah pilihan yang ada saat hati-hati terasa berat melalui ujian sebegini…?



Saya juga memahami sedih dan rajuk seorang lagi isteri (teman saya) yang berkongsi bahawa, dia akan beraksi merajuk dengan suaminya kalau merasa rindu yang amat. Suaminya sedang sibuk menghabiskan semester-semester terakhir pengajian, suaminya juga bekerja part-time untuk menambah pendapatan. Suaminya juga memilih untuk terlibat dengan program-program tarbiyyah yang membimbing para pemuda kampus kepada cahaya Islam.

Walaupun duduk serumah, kadangkala sukar untuk ada masa berkualiti bersama. Maka, selain keluar bekerja, isteri itu juga melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti sukarelawan membimbing mahasiswa mahasiswi kampus dengan kursus kepimpinan, study skills dsb. Berusaha positif mencari kebahagiaan dalam perpisahan.

Namun hati seorang isteri yang kadangkala tewas, maka terjadi lah juga ‘cold war’ dengan suaminya. Dia menyambut kepulangan suami dengan hati dingin dan merajuk.

Suami kepenatan namun menjejak ke rumah tiada wajah isteri yang ceria bagi menghilangkan kepenatan. Kerana isteri juga merasa penat dengan kesepian dan perpisahan yang tak nampak kesudahan.

Suaminya itu meluahkan rasa, betapa dia mengharap kepulangannya ke rumah disambut senyuman dan keceriaan seorang isteri. Suami berasa bertambah berat keletihan dan beban fikiran saat tiba di rumah, menghadapi isteri yang dingin dan muram.

Suami yang kepenatan, harus pula memujuk isteri yang kesedihan.. lama-lama suami menjadi bosan. Kerana dia juga mengharap pujukan dan belaian. Dia juga mengharap agar ada jam-jam yang lebih panjang untuk isteri yang dicintai dan anak-anak yang disayangi. Tapi, itulah realiti alam kerjaya. Itulah realiti yang terpaksa dihadapi juga bila memilih menyambung pengajian, bila juga memilih program-program dakwah dan pentarbiyyahan.

Perkongsian ini menjadi peringatan penting pada saya, agar saya memilih untuk bermanis muka setiap kali bertemu suami. Masa pertemuan yang singkat saban minggu, saya berusaha menyembunyikan kesedihan dan rasa kelat perpisahan.

Apatah lagi, ini adalah pilihan saya. Saya yang memilih menjadi isteri keduanya. Saya telah memberitahu diri sendiri bahawa masa suami juga ada untuk isterinya di sana dan anak-anak remaja yang perlukan keberadaannya.

Saya yang memilih untuk menerimanya walaupun telah diingatkan tentang jadual kerja sebagai pilot yang tidak menentu. Dan selepas bernikah, isu – isu masa berkualiti suami isteri telah banyak dibincangkan.. kami telah berusaha mencari titik tengah yang mampu terus menyatukan, dan mempertahankan kasih sayang yang terbina.

Suami pernah berkongsi tentang cerita dari sebuah movie English, seorang isteri yang curang kerana suaminya bekerja di bahagian kecemasan. Selalu on-call… dan ini membawa saya berfikir,

“Bagaimanakah suami boleh merawat cinta isteri tika dirinya dilanda kesibukan? Bagaimana isteri boleh menenangkan suami yang kerjayanya lebih menekan dari kerjaya isteri?”

Jika memilih perpisahan kerana kerjaya, adakah pasti kita akan bahagia dengan lelaki lain yang ‘tidak berapa sibuk’...?

Apakah yang ada pada pernikahan bilamana suami dan isteri ‘tiada masa’ untuk saling menggembirakan?

Apakah hujah dan pujukan pada hati sendiri untuk mempertahankan cinta tika suami - sekejap datang, lama pergi…?

Kepada yang telah bernikah dan bakal bernikah, ayuh kita merenung semula erti pernikahan yang kita harapkan.

Di sana, ada suami isteri yang berjumpa setiap hari.. namun rumahtangga kering dan sepi.

Ada isteri yang jauh terpisah benua dan lautan, namun cinta mekar dan subur. Walau perit dengan rindu dan kejauhan.

Ada isteri yang dekat dengan suami, tapi hati terasa jauh. Serumah, namun tiada keceriaan. Hambar kasih sayang. Menjalani rutin yang menjemukan.



Happiness in marriage is not something that just happens.

A good marriage must be created.

Dalam kesibukan, ayuh kita hidupkan celahan masa yang ada untuk kita saling cinta, saling menghargai, saling meniupkan kekuatan, saling meneguhkan hubungan dengan tuhan…bukankah tuhan pemberi kebahagiaan…? ALLAH memberi cintaNya pada kita, salah satunya melalui cinta kasih seorang suami.

Suami perlu kuat. Isteri perlu kuat. Supaya boleh saling meneguhkan. Jangan biarkan cinta berakhir dengan tanggungjawab atau komitmen pada pihak lain – majikan etc yang tidak pernah habis…

:: Doa Pemujuk Hati ::

Dalam tangisan yang ditahan-tahan, air mata saya menitis juga. Laju ia mengalir. Saya isteri yang sedang belajar menjadi kuat.

Beruntunglah kalian para isteri yang telah kuat, yang tegar melalui kehidupan tanpa suami di sisi. Yang tabah dan positif walau berjumpa suami beberapa bulan hanya sekali, setahun hanya beberapa kali. Suami-suami kalian yang bertugas di tengah lautan, yang kejauhan di sempadan negara, yang berhijrah jauh mencari rezeki, yang bermujahadah menuntut ilmu berjauhan dari anak isteri.

Beruntunglah juga kalian yang tenang dan sabar, walau masih belum dikurnia suami. Moga kelak ALLAH hadirkan suami, kalian mampu merajut cinta dalam doa tulus, andai diuji dengan perpisahan.

“Ya Allah Yang Maha Pengasih, terima kasih atas cinta kasihMU.. Yang menghadirkan cinta antara diriku dan suami. Jadikan kami bersyukur dengan kebersamaan. Jadikan kami sabar yang teguh dengan perpisahan. Peliharalah diri seorang isteri ini, peliharalah suamiku – akhlak kami, iman kami, kehidupan kami di dunia dan akhirat… Bantulah kami mencintai Mu..”

:: Menyusun Masa Berkualiti ::

Sejak awal bernikah, ayuh duduk bersama meluah rasa tentang masa berkualiti yang ingin dikecapi sebagai suami dan isteri. Kesibukan bekerja, belajar, dakwah dan lain-lain rutin harian jangan dibiar meragut kemesraan hidup berpasangan.

Carilah masa untuk memperbaharui cinta. Teguhkan cinta sebelum hadirnya anak, kerana anak boleh menjadi penyebab yang akan lebih menjarakkan hubungan suami isteri (jika tidak bijak meng’adjust kehidupan..). Namun anak sebenarnya adalah anugerah Allah yang boleh menjadi teman dan cinta hati kita … yang juga menjadi pengerat hubungan suami isteri.

:: Mengejar Matlamat Hakiki ::

Kenapa kita di sini…? Ke manakah kita akan pergi…? Why are we here…? Di bumi ALLAH, apakah misi yang yang perlu dicapai.. ? Moga jawapan-jawapan yang dicari dan disediakan penjadi penenang utama untuk ujian perpisahan.

“Ya ALLAH, tambahkanlah ilmu kami. Jadikanlah kami cinta pada akhirat.. Jadikanlah dunia ini ladang untuk kami beramal soleh..”

Sesungguhnya dunia hanya singgahan, dalam perjalanan ke syurga Maha Indah.

Izinkan kami merasa bahagia dalam perpisahan. Izinkan cinta kami berlanjutan kekal selamanya di akhirat sana.

Semoga misi dan destinasi hidup yang jelas membawa pernikahan dan percintaan kita ke teduhan kasih Ilahi di dunia dan di syurga…



Tuesday, January 25, 2011

Kesakitan Demi Kesakitan




"... boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu..."

(Al-Baqarah:216)

Saya menekap telinga ke dada baby Abdullah, dan saya masih mendengar 'desiran angin' atau murmur di sebalik degupan jantungnya. Ventricular Septal Defect (VSD), inilah nama ujian dari ALLAH pada jantung Abdullah, namun kami diterangkan doktor bahawa ia tidak serius.

InsyaALLAH ia tidak akan membawa kepada masalah jantung yang buruk, dan lama kelamaan lubang kecil di jantung itu akan tertutup dengan sendirinya.

Dengan pantauan doktor, dan setakat ini tiada apa-apa abnormality yang dapat dikesan mamanya (doktor tak bertauliah).., saya lapang dada dan berdoa moga ALLAH memelihara anak ini dari kesakitan yang berat. 



:: Abdullah di penghujung Januari ini berusia 5 bulan, terima kasih Abdullah bersama mama, menemani mama dalam perjalanan menjadi ibu yang diredhai ALLAH insyaALLAH..ameen ::

Saya terfikir untuk berkongsi beberapa kesakitan kecil yang dirasai saya dan baby Abdullah beberapa ketika lepas, yang dengan kesakitan itu membawa saya sedar nikmat sihat dan kuat, juga membawa hati saya untuk lebih empati pada insan-insan yang mengalami situasi yang sama...

:: Kesakitan fizikal ::

Pubic Bone Pain


Alhamdulillah saya tidak muntah-muntah sewaktu mengandungkan Abdullah anak pertama ini. Melihat ibu mengandung lain yang mengalami alahan yang teruk, harus saya bersyukur sebanyak-banyaknya kerana saya hanya mengalami sakit pinggang yang biasa-biasa. Saya sedikit kepenatan. Saya juga tidak mengalami sembelit.

Cuma ujian fizikal yang berat ALLAH datangkan ketika sebulan dua terakhir. Saya merasai Pubic Bone Pain. Saya tidak boleh tidur malam, malah mengerang kesakitan dalam tidur. Sedikit pergerakan ke kiri ke kanan terasa amat sakit. Doktor Najwa menunjukkan anatomi tulang pubik dan menceritakan sedikit sebanyak kenapa saya merasai kesakitan yang begitu. Thanks sister!


Sembelit


Mungkin kesan epidural yang kuat (betul ke doktor?), tiga hari pertama selepas bersalin saya merasa segar dan seperti tidak bersalin.  saya hanya merasa sakit bersalin empat hari selepas melahirkan Abdullah. Ujian sembelit. Saya menangis-nangis dalam tandas.

Saya mengambil tablet senna dan bisacodyl, yang dibeli dengan penuh kecemasan dari farmasi... yang kemudiannya saya tahu ia tidak sesuai untuk breastfeeding mothers, tapi itulah pembantu utama masalah sembelit waktu itu. Terima kasih banyak kepada kakngah (kakak ipar) yang sangat empati ketika ini... (ketika saya menangis-nangis sakit sembelit, tak mampu menyusukan baby, kakngah bergegas ke farmasi padahal hari raya, dan kemudian kakngah membantu menyusukan baby Abdullah)...

Tapi selepas itu, sehingga sekarang, ujian sembelit telah pergi jauh, Alhamdulillah. Ubatnya, bersenam secara istiqamah. Minum air putih dengan sangat banyak. Lebihkan sayur dan buah. Yang paling penting, kena tenang-tenangkan hati selalu, jangan stress :)


Back pain



Sebulan dua selepas bersalin, saya bersemangat membersihkan rumah yang dah lama tak disentuh, jadi sedar-sedar...saya dah menangis menahan kesakitan sakit belakang kerana banyak bergerak.

Dari pembacaan saya, hormon dan segala jenis urat saraf yang berubah dari fasa mengandung kepada melahirkan itu antara sebab utama sakit belakang. Maka ibu perlu banyakkan rehat. Di tambah pula jika tidak menyusukan baby dengan postur yang betul. Selepas kesakitan yang amat, saya tidak lagi memkasa diri membuat pelbagai kerja yang diluar kemampuan.

:: Kesakitan Emosi ::

ALLAH benar-benar menguji emosi saya sebagai ibu. Ohh.. jaundis ujian sakit yang 'kecil' untuk baby tapi saya tidak dapat menahan sendu dan air mata. Namun saya belajar, kerana kesilapan saya membiarkan baby kurang menyusu selama tiga hari pertama memburukkan jaundis itu.

Saya teringat Mawaddah.. ohh dasyhatnya ujian emosi yang dialami (ibu)nya. Saya teringat anak-anak kecil lain yang ALLAh uji dengan sakit yang lebih sukar dan kronik...

Ya ALLAH..ibu-ibu itu, KAU tabahkanlah hati mereka (dan saya)...

Sebelum ini saya hanya simpati melihat anak-anak kecil yang sakit, bila 4 hari Abdullah dan saya bermalam di wad ICU, saya belajar empati dengan ibu-ibu yang diuji itu..



Abdullah 'bergaya' dengan penutup mata hijau sebelum dikelilingi lampu atas bawah kerana jaundis yang tinggi. Ini gambar-gambar sewaktu ramadan lalu, Abdullah dimasukkan semula ke wad selepas sakit kuning/jaundis yang terlalu tinggi, menurut doktor.



Abdullah lena dalam balangnya walaupun tanpa tilam, tanpa baju dan seluar, tapi ibunya ini mula merasa erti 'sakit'nya perasaan seorang ibu melihat kesakitan anak.


Mama happy bila Abdullah diberi tilam, selepas lampu biru dibahagian bawah tidak lagi diperlukan.



Abdullah..maafkan mama membiarkan tubuh Abdullah kering hingga terpaksa dimasukkan air dan menyebabkan jaundis mengambil masa lama untuk baik.. Alhamdulillah 'ala kullihal.



Ini bukan Abdullah, ini adalah antara gambar baby yang diuji kesakitan yang saya terima melalui emel. Peliharalah anak dan ibunya Ya ALLAH, Engkaulah Sebaik-baik Pemelihara.



Anak ini cedera hebat angkara Zionis. Dan meninggal dunia.  Tempatnya di syurga.. Ya ALLAH, kurniakan kesabaran yang kuat pada si ibu agar ibunya juga beroleh syurga..


"Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti, atau kesusahan meningatkan apa yang telah berlaku - sehinggakan tikaman duri yang mencucuknya - melainkan Allah hapuskan dengan sebab itu, sebahagian dari dosa-dosanya. " (Hadis Riwayat Bukhari)

Sekian perkongsian, moga bermanfaat.

Sunday, January 23, 2011

Keindahan agama yang fitrah...


Ahad, 16 Oktober 2010

Beberapa jam malam tadi telah ‘diperuntukkan’ untuk melayan hati yang sedih dan hiba.

Jadi di pagi hujung minggu ini, awal-awal lagi saya dan baby Abdullah bersiap-siap untuk keluar rumah. Kami merancang pergi ke satu tempat untuk kembali meraih kekuatan diri sebagai isteri..sebagai hamba dan khalifah ALLAH. [Tetapi sebenarnya rumah adalah tempat terbaik membina kekuatan dalaman dan luaran bagi seorang wanita....].

Kami ke PAKSI Training Center di Sungai Buloh. MasyaALLAH..saya sangat gembira berjumpa teman-teman seperjuangan yang lama tak ditemui. Apatah lagi sejak bersama Abdullah, saya kurang menghadiri program-program tarbiyyah PAKSI Training.

Pagi Ahad itu, para peserta program telah berkumpul seawal 8 pagi di dewan untuk mendengar slot seterusnya. Objektif program ini adalah untuk menambah bekal ilmu dan panduan kepada para peserta, bagaimana untuk menjadi pemuda pemudi yang produktif dalam menjalani kehidupan di kampus.

Apakah yang menjadikan kehidupan kampus menarik dan bermakna…?

Bagi saya, kehidupan kampus sangat menarik bilamana kita menjadikannya ruang untuk menggilap potensi diri sepenuhnya.

Di kampus, saban hari ke kelas mencambah pemikiran. Di petang hari terlibat dengan aktiviti persatuan. Di malam hari ke kuliah ilmu agama yang menambah iman. Hujung minggu juga ada aktiviti bermanfaat bukan sekadar menghabiskan masa di tempat tidur.

Dan lebih bermakna, bila kita bukan sahaja membantu diri sendiri menggilap potensi, malah mengajak teman-teman lain juga mengenali dan memanfaatkan kurnia yang ALLAH beri.

Berbalik kepada program tarbiyyah pagi itu, saya mendapat beberapa ilmu dan pengalaman yang dikongsikan sahabat-sahabat lain. Mereka bukan sekadar berkongsi pengalaman biasa, namun pengalaman luar biasa dalam bermujahadah berusaha meraih cinta tuhan.

Banyaknya tazkirah dan kata-kata semangat dari sahabat yang juga sama-sama mencari cahaya hati menuju Ilahi..

Pentingkah cinta Tuhan…?

Sangat penting, sangat-sangat penting. Ini jawapan saya. Apakah jawapan kalian...?

ALLAH itu tuhan kita, namun sejauh mana kita benar-benar menyedari kepentingan hidup bertuhan.

Kenapa perlu ALLAH..? Kenapa perlu rasul?

Kerana ALLAH tujuan kita. ALLAH tempat kembali.

ALLAH sumber kasih sayang dan kebahagian.

ALLAH mengutus Rasul untuk mengajarkan kita fitrah islam.



Manusia itu fitrahnya islam - damai dan sejahtera. Bila kita melalui kehidupan melencong dari jalan islam, hati dan fikiran akan resah gelisah.

Manusia, di ‘design’ ALLAH terlalu istimewa. Dengan ciri dan fungsi yang sangat istimewa.

Tanpa ilmu, sukar untuk kita merasa diri ini terlalu istimewa. Tanpa yakin (beriman), sukar untuk merasa diri ini berharga.

Apa istimewanya kita…? Siapa kita…? Apa fungsi dan ciri-ciri kita dalam menjalani kehidupan setiap hari…?

Bangun. Makan. Kerja. Belajar. Main.Tidur.

Bangun. Makan. Kerja. Belajar. Main. Tidur.

Bangun. Makan. Kerja. Belajar. Main.Tidur.

Bangun. Makan. Kerja. Belajar. Main. Tidur.



Hanya seperti inikah fungsi kita seorang manusia..?

Tidak, kita amat jauh lebih bernilai dan punya peranan hebat di dunia yang singkat ini… Kita bukan robot yang tidak ada hati dan perasaan. Manusia berbeza dengan robot dan haiwan, kerana hati dan perasaanya yang diikat dengan iman.

DI PAKSI Training Center ini, guru-guru kami mendidik hati tanpa jemu, menanam cinta kami pada iman dan kehidupan. Guru-guru ini mendidik, supaya kami juga kelak mampu mendidik. Mampu menyebarkan kebaikan.

Mendidik diri sendiri mengikut syariat Allah.

Mendidik keluarga mencari keredhaan Allah.

Meyebarkan kebaikan pada teman-teman.

Menyebarkan keindahan Islam pada yang merindukan kedamaian.

Kita menjadikan hidup sebagai ladang beramal soleh. Dengan menjadikan Rasul SAW sebagai ikon, rujukan dan teladan yang paling unggul. ALLAH dan syurgaNYA.. menjadi tujuan dan harapan.



Carilah jawapan untuk diri sendiri..apakah makna kewujudan diriku di alam maya ini?

Hatta katak yang 'hodoh' punya fungsi dan  peranan di bumi ALLAH, masakan kita yang ALLAH muliakan dengan pelbagai kurniaan ini untuk menghabiskan masa tanpa jelas tujuan.

Jawapan saya untuk diri sendiri -  hidup kita, adalah untuk menjadi baik dan mulia di sisi ALLAH. Mengajak insan lain menjadi baik. Dan menjadikan dunia ini tempat yang bahagia dengan melunaskan syariatNYA.

Wahai sahabatku, teruslah kalian berkongsi kekuatan. Mentarbiyyah dan ditarbiyyah. Kami di luar ini mencari-cari sesuatu yang telah hilang…

Dan pastinya, program dua hari tidak cukup untuk menjaga iman dan keikhlasan sepanjang hayat ini.. Maka sama-sama kita manfaatkan 'program rutin' yang Allah susun buat para hambaNya, e.g solat, zikrullah, tilawatul quran, istighfar dan selainnya.... selagi ada nyawa.

...Selesai program di Sungai Buloh, kami ke UIA pula… dan di sana ALLAH rupanya berkehendak kami mengisi hati tentang tazkirah yang baik oleh ukhti yang baik di bumi Gombak itu..

InsyaAllah akan dikongsikan yang seterusnya…





Saturday, January 22, 2011

Suami Isteri: Berbaloikah Perhubungan Jarak Jauh?



Rasa untuk bernikah adalah fitrah yang ALLAH datangkan dalam diri setiap hambaNYA. Manusia merindukan kasih sayang hidup berpasangan. Kita menginginkan kemesraan dan kebahagiaan melingkari kehidupan bila mana kita memilih untuk bernikah.

Namun situasi hari ini, suami dan isteri kadang-kadang menghadapi dilema perpisahan - perhubungan jarak jauh - kerana tuntutan kerjaya. Berjumpa sebulan sekali atau dua kali. Atau jarang sekali.

Si isteri bekerja di negeri atau negara lain dengan gaji yang selesa. Si suami juga berada di tempat kerja lain, yang mungkin juga di kampung halaman sendiri yang menjadi keselesaan dan keutamaan.

Lalu apakah nilai pernikahan jika dihambat perpisahan dan kejauhan?

Suami mengharapkan belaian cinta kasih isteri, yang dulunya haram.. kini setelah halal bermesra-mesra , namun berjauhan pula?


 
Isteri berharap suami menjadi teman cinta yang melindungi dan menjaga dirinya dalam pelbagai perkara, namun suami jauh terpisah oleh sempadan negeri dan negara?

:: Rezeki dan ekonomi ::

Pandangan peribadi saya, isteri lah yang wajar mengikut jejak suami, walau di bumi mana sekalipun suami bertugas. Apatah lagi, jika ia adalah permintaan suami, maka isteri wajib berusaha untuk taat dan melepaskan kerjayanya. (Namun ada kerjaya tertentu seperti tentera, kelasi dll yang pastinya tidak memungkinkan isteri mengikut suami).

Kewajipan untuk taat dan mengikut suami bukanlah syariat ALLAH yang zalim. Maha Suci Allah dari semua itu. ALLAH sebaik-baik penyusun kehidupan, maka kita bersangka baik bahawa semua sistem dan peraturan yang ALLAH letakkan antara suami dan isteri adalah untuk memelihara kehidupan bekeluarga.



Kalau berhenti kerja, atau bertukar kerja.. akan memberi kesan kepada gaji dan pendapatan?

Usah bimbang, yakinlah ALLAH adalah pemberi rezeki yang sempurna. ALLAH menyusun setepat-tepatnya rezeki buat kita semua – suami, isteri, anak-anak, ibu bapa hatta setiap manusia itu ALLAH telah tetapkan rezekinya.

Kita hanya perlu berusaha pada kadar yang kita mampu.

Jika suami meminta isteri berhenti kerja, suami juga menyatakan kemampuan menanggung isteri sepenuhnya, subhanallah..inilah yang terbaik. Terbaik kerana terungkap dalam firman ALLAH, bahawa lelaki itu yang seharusnya menyara kehidupan seorang isteri.

Maka dengan keringat suami bekerja, akan cukup makan minum dan pakai seorang isteri. Punya tempat berteduh. Punya kenderaan yang boleh membawa suami dan isteri ke mana-mana.

Namun harus diingat, gaji suami tak akan pernah cukup untuk isteri yang ‘high maintenance’.. banyak keinginan material dan punya nafsu shopping atau berbelanja yang tinggi..

Selain itu, benar sekali kata-kata yang biasa didengar “anak itu rezeki..”.

Ya, ALLAH jua telah tetapkan ada rezeki untuk anak-anak itu, kita hanya berusaha mencarinya dengan cara yang terbaik, bukan dengan cara yang boleh mengancam hubungan suami isteri.

Mak ayah kita orang susah…?

Bantulah ibu dan ayah mengikut kemampuan kita..dan sebenarnya, adakah ibu dan ayah hanya perlu pada duit dan sumbangan material kita?

Tak. Maka jangan disempitkan erti memberi dan berbakti pada ibu dan ayah.



Sesungguhnya ibu bapa memerlukan anak yang soleh itu lebih dari segala-galanya.

Anak yang soleh, mendoakan keselamatan dan kebahagiaan ibu ayah di dunia dan akhirat. Apatah lagi jika ibu dan ayah semakin tua, anak-anak terlebih lagi perlu mengingatkan ibu dan ayah kepada dunia yang akan habis dan ditinggalkan.

Berharganya pemberian anak-anak bukan pada nilai ringgit malaysia dua ratus atau dua ribu sebulan, tapi pada keikhlasan dan istiqamah dalam menghulurkan. Ini yang menjadi nilaian ALLAH.

Anak yang soleh adalah anak yang bertaqwa. Bukankah ALLAh telah berjanji, akan sentiasa ada rezeki buat hamba-hambaNya yang bertaqwa?

Dan bertaqwa itu datangnya dari ilmu. Maka suami dan isteri usahakan mencari ilmu agama dan dunia dengan seimbang. Dalam sibuk mencari rezeki, usahakan ke kelas agama- belajar Al Quran dan Hadis, belajarlah ilmu-ilmu ALLAh yang memandu kita kepada kebahagiaan sebenar.

Supaya kemudian, bila ilmu dan taqwa menjadi bekal diri… hati merasa lapang, lagi merasa cukup dengan pendapatan bulanan. Mampu menjadi suami dan isteri yang bahagia bersyukur dengan rezeki ALLAH.

Dan yang penting juga, perlu memiliki pengurusan kewangan yang baik. Selain belanja kita suami isteri, hutang-hutang, bil-bil, sewa rumah dan kereta, jangan lupa masukkan dalam bajet bulan – sumbangan atau sedekah kita pada ibu ayah, adik beradik dan ahli keluarga terdekat. Boleh juga disediakan bajet untuk sedekah pada insan-insan yang memerlukan.

.:: If you want to feel rich, just count all of the things you have that money cannot buy ::.

 
Setelah mengatur kewangan dengan baik, setelah berusaha dan berdoa pada ALLAH agar dilapangkan rezeki…apakah masih tidak cukup gaji bulanan..?

Ayuh muhasabah harta benda yang dimiliki..Mungkin ada di sana sini yang kita berbelanja mengikut nafsu..

Berapa almari pakaian kita? Berapa banyak handbag kita? Berapa pasang kasut yang kita miliki? Jam tangan, handphone, alat make-up, perhiasan diri dan rumah… semua ini dibolehkan namun bersederhanalah…

:: Duduk jauh vs duduk sekali ::

Setelah duduk satu rumah, hari-hari bertemu muka… awal-awalnya kalian merasakan kebahagiaan hidup berdua. Saling memanjai, saling berkasih sayang, segala aktiviti terasa ‘sweet’ dan indah.

Dalam masa yang sama, berhati-hatilah dengan tipudaya syaitan. Syaitan telah bersumpah di hadapan ALLAH untuk memecahbelahkan kasih sayang dan persaudaraan. Rasul SAW juga mengungkap dalam hadisnya bahawa syaitan sentiasa bersama kita dalam setiap keadaan , dan mudah mempengaruhi bila kita lupakan ALLAH.

Dan syaitan yang paling hebat mendapat pengiktirafan di kalangan ‘geng’ mereka adalah, syaitan yang berjaya memisah-misahkan suami isteri..



“Dulu masa bercinta ok je? Dulu masa duduk jauh ok je? Kenapa sekarang macam banyak je yang tak kena.. Asyik nak bergaduh…”

Saat berjauhan, hati sering merindu. Ada rasa teruja dan bersemangat menanti pertemuan saban minggu atau saban bulan. Hati dan diri berusaha memberi yang terbaik pada pasangan.

Namun bila duduk satu rumah, semakin banyak perkara yang dihadapi bersama, pastinya suasana menjadi lain. Apatah lagi perasaan cinta selepas bernikah, sukar untuk terus segar seiring dengan masa.

Percayalah..semua pasangan akan berkonflik untuk fasa membangunkan keserasian dan kefahaman.

Jadi harus positif, bersedia untuk belajar dan berubah. Kebahagiaan dalam pernikahan tidak subur dengan sendirinya, perlu konsisten berbuat baik, perlu bermujahadah untuk berakhlak baik, perlu ikhlas… mencintai dan melayani suami dan isteri kerana benar-benar inginkan redha tuhan.

Jika tidak ikhlas mencintai manusia kerana ALLAH , hati terasa sakit mencintai manusia. Tanpa ALLAH di hati, hati tak mampu memaafkan.



Ujian bakal menerpa silih berganti. Ujian kewangan, ujian mertua dan ipar duai, ujian hubungan seksual, ujian kerjaya, ujian komunikasi dan lain-lain lagi bentuk ujian kecil dan besar…

Malah betapa banyaknya pasangan yang rasa ‘sesak dada’ menghadapi pelbagai-bagai perbezaan yang seakan menghapuskan cinta yang pernah mekar di dalam dada. Perbezaan psikologi lelaki dan perempuan, cara bertindak, dan cara berperasaan..jika tidak berusaha difahami, isteri semakin bosan dengan gelagat suami, suami semakin bosan juga dengan kerenah isteri..

Juga cara berpenampilan, cara makan dan minum, cara tidur, cara mengemas, cara menjaga kebersihan, cara bersosial, cara mendidik anak, cara bershopping… salah satunya atau kebanyakkan perkara ini jika tak ditangani dengan baik menjadikan hati-hati kita kecewa dengan pernikahan.

Malah jika semua bentuk-bentuk ujian ini tidak dihadapi dengan emosi dan pemikiran yang matang, bersedialah anda untuk bercerai selepas dua tiga tahun usia pernikahan..

Perkongsian ini bukan untuk menakutkan, tapi dari pengalaman isteri-isteri /jua suami-suami yang berkongsi permasalahan.

Ayuh belajar berkomunikasi dengan baik dalam hubungan pernikahan yang dijalin ALLAH ini. Ungkapkan terima kasih dan penghargaan atas perkara kecil dan besar yang dilakukan pasangan. Nyatakan ketidakpuasan hati jua teguran dengan hikmah dan bijak. Saling menasihati dengan kesabaran dan kasih sayang..

Oleh itu, andai diri bersedia untuk duduk dekat dan serumah dengan suami, bersedialah mental dan fizikal untuk melaksanakan kewajipan sebagai isteri, sebaiknya dan seikhlasnya.






 
Bagi yang bujang, ada yang sering merasa ‘kecederaan hati’ melihat kebahagiaan pasangan yang gambar bahagia terpapar di mana-mana blog atau forum maya, namun realitinya.. di sebalik gambar-gambar dan wajah-wajah bahagia itu, ada pasangan suami isteri itu yang lebih ‘tercedera’ lagi hati mereka dengan sikap pasangan dan situasi rumahtangga yang diuji.

:: Isteri sebagai pencorak rumahtangga – jatuh bangun rumahtangga banyak ditentukan oleh isteri ::

Dalam sebuah buku yang saya baca, jatuh bangun sesebuah rumahtangga banyak ditentukan oleh peranan isteri dan ibu. Kejayaan dan kegagalan seorang suami juga ada pengaruh besar dari isteri. Maka atas sebab itulah, saya memberi pandangan bahawa yang terbaik adalah isteri menjadi isteri dan ibu sepenuh masa. Tanpa perlu bekerja pada mana-mana majikan lain.

Cukuplah ALLAH dan suami menjadi majikan. Isteri dan ibu fokus pada membina keluarga yang menjadi tempat berteduh yang nyaman dan harmoni buat suami dan anak-anak. [Dalam masa yang sama, ada pertimbangan-pertimbangan lain yang kita bersetuju bilamana isteri terpaksa bekerja.]

Suami akan tenang bekerja, dan kuat menghadapi tanggungjawab lain di luar rumah dengan adanya isteri di rumah yang juga tenang dan kuat. Tenang lagi menenangkan. Isteri yang berilmu dan beriman. Isteri yang hatinya luas dengan kasih sayang, sabar dan bijak menghadapi suami yang stress dengan kerjaya dan ujian lain. Isteri yang cekap menguruskan kerja-kerja rumahtangga dan berhemah menguruskan belanjawan rumahtangga.

Namun bila bekerja, isteri seakan telah habis emosinya di tempat kerja, dengan bebanan kerja yang meragut senyuman dan ketenangan hati seorang isteri dan ibu. Pulang ke rumah, suami dan anak-anak tidak punya wajah teduh seorang isteri dan ibu, kerana ibu juga pulang bekerja dengan rasa kepenatan mengejar dateline dan seribu satu tugasan di tempat kerja.

Pada wanita yang terpaksa bekerja, moga ALLAH membantu meringankan beban kalian menghadapi tanggungjawab mencari rezeki..moga ada jalan keluar untuk masalah ekonomi yang tak kunjung sudah..

“Bosannya duduk rumah…”

Bosan akan kadang-kadang menimpa, bukan sekadar pada isteri yang duduk di rumah, mereka yang di tempat kerja juga kadang-kadang merasa bosan dan malas dengan rutin kerja seharian..

Ya, harus saya akui kadang-kadang hadir rasa bosan tinggal di rumah bersama anak dan melakukan kerja-kerja rumah, namun itu adalah perasaan yang sangat manusiawi. Maka saya mencari aktiviti-aktiviti pelbagai yang boleh dilakukan di dalam dan luar rumah, selagi dalam batas syariat ALLAH, agar kita dapat menjaga semangat dan keikhlasan dalam berkhidmat untuk keluarga..

Malah dengan adanya dunia tanpa sempadaan di alam maya, maka pelbagai bisnes dan aktiviti yang boleh mendatangkan keuntungan di lakukan secara online. Belajarlah ilmu ini dari yang telah berjaya melakukan.

Jangan sekadar menghabiskan jam-jam yang bayak depan internet, hanya sembang kosong, bergosip ..namun jadikan kemudahan internet sebagai ruang untuk menambah pendapatan, menambah ilmu agama dan dunia, untuk mempertingkat kualiti diri sebagai manusia melalui laman-laman web yang membina.

Penghilang bosan yang utama adalah mengingatkan diri kita hakikat kehidupan. Kita dalam perjalanan pulang bertemu tuhan..kalau bosan, tidak boleh berlama-lama. Kalau sedih, usah larut panjang berjela. Kalau marah, tahanlah semampunya, maafkanlah semua..Mintalah maaf dari orang yang kita lukai, mohonlah ampun pada ALLAH..


 
Kuatkan hati, bangun semula..

Bila telah memilih berhenti kerja kerana mengikut suami, jangan menyesali keputusan yang dibuat.

Berbaloikah pengorbanan kita meninggalkan kerjaya yang stabil, hanya untuk melalui ujian rumahtangga yang sebegini..?

Berbaloi insyaALLAH.. Kalian memilih berhenti kerja, kerana cinta dan niat murni memberi yang terbaik untuk suami dan keluarga, maka ALLAh akan menjaga kalian. ALLAH adalah sebaik-baik pemelihara diri kita, dan pemelihara cinta kita.

Yakinlah. Berusahalah menjadi hamba yang soleh. Berimanlah pada ketentuan tuhan.

Moga pilihan kita hari ini akan memberi makna dan nilai yang besar pada saatnya waktu bertemu tuhan.

Sekian perkongsian, moga bermanfaat~


p/s- Entri ini ditujukan khas buat adinda yang sedang PJJ dengan suaminya.. Adinda di selatan semenanjung, suaminya di Pahang.. Moga membuat pertimbangan sebaiknya dengan doa yang dipanjatkan kepada ALLAH :)


Wednesday, January 5, 2011

Belajar Menghargai: Thank You Papa...!



Saban waktu, nikmat dan kurnia ALLAH tidak putus-putus mengaliri kehidupan kita..hingga mungkin kita terlupa menghitung dan menghargainya.

Saya ingin mengajak diri sendiri dan kalian semua untuk melahirkan terima kasih jua mengiktiraf segala bentuk kasih sayang, pemberian dan perkongsian dari insan-insan tersayang - ibu, ayah, suami, isteri, anak-anak, teman-teman dan sesiapa saja yang meyumbang pada keberterusan hidup ini... tidak kira walau sekecil mana sekalipun kebaikan itu, harus kita hargai dan nyatakan terima kasih...

Moga ia tidak lain menjadi tanda kesyukuran kita pada nikmat ALLAH, dan agar terima kasih dan pengiktirafan itu menghubung kasih sayang dan kemesraan sesama kita.

“Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak mensyukuri Allah”. (Hadith riwayat Ahmad dan At-Tirmizi)


Surat Cinta Abdullah: Thank You Papa!

Assalammu’alaikum wa rahmatullah

Semoga papa yang dikasihi lagi dihormati berada dalam kesejahteraan hati dan fizikal… Moga ujian kesihatan papa yang sedikit diuji semakin sembuh dan baik.

Betapa setiap hari datang dan pergi dengan pelbagai nikmat ALLAH, moga hati-hati kita selalu mensyukurinya dengan keimanan dan amal soleh.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

(Surah Ibrahim:7)

Abdullah mengambil kesempatan ini untuk menyatakan terima kasih banyak-banyak kepada papa, yang telah bersama-sama Abdullah sejak hari pertama Abdullah melihat dunia lebih empat bulan yang lalu. Malah sebelum itu sewaktu Abdullah masih dalam kandungan, papa juga mengambil berat perihal Abdullah.

Alhamdulillah, syukur kepada ALLAH Yang Maha Melimpahkan Kebaikan. Abdullah sangat bersyukur punya seorang ayah, seperti papa yang bertanggungjawab, berusaha memberi dan menyediakan yang terbaik untuk seorang anak kecil seperti Abdullah.



Papa yang dikasihi,

Terima kasih banyak, papa bersama mama menjaga Abdullah dari hari pertama, terima kasih menyediakan keperluan-keperluan Abdullah.

Abdullah seronok papa menyediakan masa bersembang dengan Abdullah, terima kasih papa mendodoikan dan memujuk Abdullah yang kadang-kadang meragam.. Kadang-kadang papa mandikan Abdullah juga, kadang-kadang dukung Abdullah jalan-jalan di halaman rumah.

Walau sering saja kita berjumpa dalam masa yang singkat, papa show kindness, warmth and care… Abdullah sangat hargai, malah Abdullah sangat perlukan semua itu untuk menyuburkan emosi ini.

Papa yang dihormati,

Terima kasih banyak juga, papa mengingatkan mama good safety habits untuk baby dan semua penumpang kereta, papa set a good example by always using your seatbelt, Abdullah hargai didikan itu. Kelak seandainya diuji dengan kemalangan, kita akan mampu sabar dan redha setelah berusaha yang terbaik dan berdoa = bertawakkal. InsyaALLAH.

Terima kasih banyak, papa komited keluar bekerja untuk famili kita. Seminggu dua ini jadual kerja papa agak sibuk, moga ALLAH mengurniakan tenaga extra kepada papa. Dan moga rezeki yang ALLAH lapangkan buat papa, sedikit sebanyak dapat dikongsi dengan mereka yang memerlukan.

Semalam papa terbang ke Denpasar, Bali. Hari ini ke bumi China, Xiamen. Esok malam insyaALLAH papa akan ke Osaka, Jepun…

Moga permusafiran papa diberkati ALLAH, serta selamat perjalanan pergi dan balik. Sesungguhnya papa meninggalkan mama-mama, abang, kakak dan Abdullah dengan sebaik-baik pelindung dan penjaga, iaitu ALLAH..

Dalam keterbatasan waktu, papa menyediakan masa juga untuk menulis kolum-kolum bulanan majalah. Papa turut membaca dan mengkaji untuk menjawab persoalan-persoalan agama yang diterima dari pelbagai medium.

Semoga semua itu menjadi amal soleh papa yang diterima ALLAH, dan Abdullah akan cuba mencontohi papa yang mencintai ilmu.



Sekian buat kali ini, Abdullah melahirkan terima kasih dan penghargaan kepada papa atas pesanan Rasul SAW…

“Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak mensyukuri Allah”. (Hadith riwayat Ahmad dan At-Tirmizi. Kata Al-Albani: Sahih)

Pastinya ada lagi bentuk-bentuk kebaikan dan kasih sayang papa yang Abdullah terima, hanya ALLAH lah sebaik-baik pemberi ganjaran.

Moga ALLAH izinkan papa bertemu kita semua lagi insyaALLAH…

Selasa, 4 Januari 2010





Saturday, January 1, 2011

Sendiri dan Bermotivasi


 
Sebelum bernikah, hati amat ingin menjejak kaki ke alam berumahtangga. Hati ingin merasa kemanisan cintanya. Hati merindui nikmat berpasangan dan memiliki zuriat.

Namun, lihatlah mutakhir ini.. sebegitu cepat, hanya selepas beberapa bulan, selepas setahun dua.. semakin ramai isteri yang ingin melangkah keluar dari sebuah pernikahan – kelukaan, kekecewaan, terabaikan, disakitkan fizikal dan emosi..

Saudara perempuanku...,

Hatimu merindui kehadiran teman hidup yang baik

Hatimu ingin merasa ketenangan yang ALLAH janjikan antara suami dan isteri

Hatimu ingin membina keluarga tempat singgah berteduh

Suami, anak-anak.. Hatimu ingin milikinya..

Berkongsi kasih dalam perjalanan bertemu tuhan

Duhai adikku dan kakakku yang amat ku kasihi.. Hati ini juga sayu dan sedih dengan luahan harapanmu.

Keinginan dan impianmu benar sekali, rumahtangga dan anak-anak adalah perhiasan dunia yang indah.

Namun, dengan seribu satu sebab, lelaki-lelaki yang baik sukar ditemui.

Hingga keinginan dipendam, terpendam.

Di sana, ada para isteri yang dulunya sangat menginginkan pernikahan

Kini, suami dan kekusutan rumahtangga telah meninggalkan luka paling dalam

Lebih luka dan pilu dari bujang sendiri menghadapi hidup

Lebih mudah rupanya menjawab persoalan..

“Bila nak kahwin…memilih sangat ke?”

Dari menjawab,

“Kenapa nak bercerai…dah fikir betul-betul ke ?

Keindahan pernikahan itu sungguh cantik dan mendamaikan, jika syariatNYA selalu mendahului perasaan.

Pernikahan itu terlalu membahagiakan jika hati lapang memberi dari mengharap, bahagia buat mereka yang memilih kesabaran dan memberi kemaafan. Terlalu bermakna buat mereka yang menggantungkan pernikahan pada tali ALLAH.

Dan merenung sisi kesakitan sebuah pernikahan, ia adalah mengecewakan lagi tertekan. Namun pada yang melihat sisi kebaikan, konflik dan perceraian sebenarnya adalah goncangan yang memberi kesan teguh pada peribadi dan rumahtangga.

Dan setelah usaha-usaha menghidupkan pernikahan dilakukan, kenapa ALLAH masih menduga hubungan kalian dan pasangan?

Kerana ada hikmah yang mungkin sukar difahami dari neraca penilaian kita sebagai manusia. Cukuplah kita beriman bahawa takdir yang ALLAH putuskan mengandungi kebaikan dan kemaslahatan yang besar buat kita semua.



Saudaraku.. setelah kalian berusaha dan berdoa, namun jodoh masih tak kunjung tiba, bersabarlah..

Teruslah berusaha dan meminta dariNYA.

Bersangka baiklah padaNYA.

Bukan DIA tak tahu hatimu yang merindui, ingin mengasihi dan dikasihi

Bukan DIA tak mengerti hatimu yang pilu dan resah menunggu memikirkan

Hanya DIA Yang Maha Bijaksana.. ketentuanNYA adalah dengan ilmu dan rahsiaNYA yang terlalu agung..

Lihatlah penantianmu ini..

Bukan sia-sia.

Di satu sisi, kalian menjadi anak terbaik. Kalian memanfaatkan masa bujang ini untuk melakukan perkara yang menggembirakan ibu dan ayah. Banyak masa kalian berlalu dengan usaha-usaha untuk menyenangkan hati ayah dan ibu.

Ya ALLAH..lihatlah anak yang soleh solehah ini Ya ALLAH.. Mereka berkorban dan mengetepikan perasaan untuk menggembirakan hati ayah ibu.. Mereka memilih tidak segera menikah kerana rasa tanggungjawab yang tinggi berbakti pada ayah dan ibu.. yang sudah tua, yang kelemahan dan perlu sokongan..

Ya ALLAH,..kurniakanlah buat mereka seorang suami yang soleh di dunia, dan teman cinta hati di syurga dengan keikhlasan mereka berbuat baik pada ayah dan ibu…

Di sisi yang lain, kalian menjadi guru terbaik. Nikmat bujang kalian gunakan sepenuhnya untuk komitmen pentarbiyyahan.

Akhawati fillah..tahukah kalian, dengan usaha kalian mentarbiyyahku kini diriku terdorong menjadi isteri dan ibu yang baik?

Kalian menganjur program-program tarbiyyah yang terancang dan konsisten, kalian bersabar dan bersabar menghadapi kerenah mutarobi.. kalian tidak meninggalkan diriku sewaktu diri ini merasa berat memilih jalan kebenaran.. Kesungguhan kalian menyusun dan mengisi halaqah, menjadi asbab saudaramu ini masih terus ingin mencari redha ALLAH.

Ya ALLAH..lihatlah hambaMU yang soleh solehah ini. Mereka memperbaiki diri untuk menjadi daie dan murobi.

Kerana mereka bujang dan ‘available’, mereka selalu ada untuk kami mencurah rasa hati, berkongsi musykilah diri. Mereka mencintai kami keranaMU Ya ALLAH, mereka ingin bersama kami meniti jambatan ke syurga.

Mereka berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk membimbing kami menuju cahaya Islam. Ya ALLAH.. hatiku bertatih mengenaliMU kerana usaha mereka ini yang tak putus asa mencari syurgaMU..

Ya ALLAH..kurniakanlah mereka suami yang baik di dunia & teman cinta yang mulia di syurga.

Saudaraku, ayuh membina kegembiraan di hati.. dengan atau tanpa suami, kita menjalani hidup yang bermotivasi. Kerana ALLAH melihat amal dan keikhlasan, bukan status berkahwin atau bujang.


 
Dengan suami, merasa bahagia seandainya cinta suami menjadikan kita makin cinta padaNYA.

Tanpa suami, merasa bahagia kerana ALLAH menjadi teman cinta sepenuhnya, ingin diraih redha dan ampunanNYA.

Mencintai suami, mengharap suami - pasti kecewa, pasti terluka.. Mengharap perhatian dan perlindungan suami, sedangkan dia juga manusia lemah, jiwa sakit terseksa bila harapan tak tertunaikan.

Mencintai ALLAH, mengharap rahmat dan perlindungan ALLAH, pasti bahagia, pasti hidup indah berbunga.

Kerana ALLAH tak pernah mengecewakan. ALLAH..hanya pada DIA ada kesempurnaan kasih sayang dan penjagaan.

"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar."

(Surah Al-Ahzaab, ayat 35)


"Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan."

(Surah An-Nahl, ayat 97)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...