Saturday, August 28, 2010

.:: Ketibaan Khalifah ::.

  
"...Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan sesetengah kamu atas sesetengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."  Al-Anaam:165]



Birth Announcements
Birth Announcements by WiddlyTinks.com

Friday, August 20, 2010

.:: Antara Bukti Kasih Sayang ALLAH ::.


ALLAH mengujiku dan dirimu, dengan segala apa yang meresahkan, menyusahkan, menyedihkan dan menyakitkan....bukan hanya untuk menghapus dosa, namun kerana ujian-ujian itulah juga antara bukti cinta kasih ALLAH pada jiwa-jiwa ini...

Tidakkah kita tenang dan bahagia melihat sebahagian bukti cintaNYA...?

"...Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلاَءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلاَهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ

Sesungguhnya besarnya ganjaran (pahala) bersamaan dengan besarnya ujian (bala’). Sesungguhnya apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, Dia menurunkan ujian (bala’). Maka sesiapa yang redha maka dia mendapat keredhaan (Allah) dan sesiapa yang marah maka dia mendapat kemurkaan (Allah).

Apabila sesuatu bala’ menimpa sesuatu kaum, jangan kita pantas mengatakan mereka sedang diazab oleh Allah. Ini kerana boleh jadi apa yang berlaku ialah sebaliknya, iaitu Allah mengasihi kaum itu dan menurunkan ujian sebagai bukti kasih sayang-Nya. Melalui ujiannya itu Allah mengurniakan ganjaran pahala yang besar kepada para hamba-Nya yang redha.

Kadangkala sesuatu ujian amatlah berat sehingga lebih mirip kepada siksaan. Ini boleh jadi benar akan tetapi sekali lagi ia tidak bererti mereka ialah satu kaum yang derhaka sehingga Allah sedang mengazab mereka. Ini kerana apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala mengkehendaki kebaikan bagi sesuatu kaum, Dia mempercepatkan siksaan di dunia terhadap apa-apa kesalahan kecil yang telah mereka lakukan sehingga dengan itu mereka bebas di akhirat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan hakikat ini:


إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الْخَيْرَ عَجَّلَ لَهُ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدِهِ الشَّرَّ أَمْسَكَ عَنْهُ بِذَنْبِهِ حَتَّى يُوَافِيَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Apabila Allah mengkehendaki bagi hamba-Nya kebaikan, maka Dia akan menyegerakan siksa baginya di dunia manakala apabila Allah mengkehendaki bagi hambanya keburukan, maka Dia akan menangguhkan siksaan itu hingga Hari Kiamat kelak...."

Sumber:
http://hafizfirdaus.com/content/view/152/43/



Friday, August 13, 2010

4 Ramadhan: Menjadikan Poligami Pilihan Bersama



Di kesempatan Ramadhan kali ini, ingin saya berkongsi sedikit sebanyak dari persepsi seorang isteri, yang ALLAH izin menjadi isteri yang kedua [terlibat dengan poligami].. Perkongsian saya ini pastinya terbuka pada kesilapan dan kritikan. Ungkapan maaf terlebih dahulu disua andai ada coretan keterlaluan yang menyinggung perasaan.

Tulisan di bawah dicoret setelah beberapa bulan berkahwin, betapa ketika itu saya cenderung menyokong poligami atas beberapa faktor, dan kini setelah setahun enam bulan bergelar isteri, alhamdulillah saya masih cenderung melihat syariat poligami disuburkan..

                               *                                         *                                         *

Poligami itu umumnya berat diterima isteri. Kerana apa ya..? Di sana ada rasa dan alasan yang berbeza bagi isteri yang tidak menyenangi hasrat suami untuk berpoligami. Secara peribadi, bagiku ia terasa berat kerana dirasakan seandainya suami kahwin lagi, suami akan membawa pergi sayang dan kasihnya meninggalkan diri ini. Kasih sayang suami akan beralih ke isteri baru yang mungkin lebih baik dari kita dalam banyak aspek. Rasa dilupakan. Rasa tidak disayangi seperti sebelumnya.. Itulah antara yang datang membolak balik hati dan perasaan.

Sedangkan kalau suamiku kahwin lagi, mungkin itu ubat yang terbaik untuk hati ini. Suamiku adalah kurnia ALLAH yang besar, benar-benar untuk menguji diri ini. Saat yang aku lalui tika ini dilimpahkan kesenangan yang ALLAH berikan melalui usaha seorang suami. Perhatianku dan sayangku banyak tertumpu pada suami. Rasa bersemangat dengan hadirnya suami di sisi. Rasa sepi dan sunyi bila suami meninggalkan diri.

Melalui suami  dan perkahwinan juga, kadangkala ALLAH datangkan ujian yang selalu  membawa diri ini bermujahadah untuk terus mendahulukan redha tuhan dari kepuasan perasaan.

Rindu. Lumrah bila rasa rindu menjelma pada suami. Lumrah jua merasa bahagia dan gembira dengan hadirnya pasangan yang setia di sisi.. Namun apa khabar dengan rindu pada Ilahi…? Di mana gembira dan bahagia bercinta kerana Ilahi? 

Ku tercari-cari rindu dan semangat yang pernah subur dalam cintaku pada Mu , Ya Rabbi.

Orientasi hidup sedikit sebanyak berubah di waktu indah melalui alam rumahtangga. Berbuat dan tidak berbuat sesuatu itu hanya kerana suami. Ada suami jadi baik, suami tak ada rasa biasa-biasa..Wahai diri, Inikah erti ikhlas kerana ALLAH?

Moga poligami menjadi wasilah meluruskan hati. Supaya hati tidak terlupa, suami yang disayangi ini hanya pinjaman Ilahi. Supaya hati tidak terleka, cinta yang murni itu benar-benar milik Ilahi. Tak perlu takut kehilangan cinta sayang manusia. Kerana, selama ini adakah rasa cinta di bawah naungan pernikahan itu suami yang bagi? Atau cinta itu percuma saja kita temui, bila-bila masa datang dan pergi…?

Tidak. Cinta dan kasih sayang itu ALLAH yang bagi. Seperti pesan Baginda Muhammad SAW, tatkala ALLAH mencintai, ALLAH menjadikan suami mengasihi diri ini. ALLAH mengikat hati suami isteri dengan rindu dan kasih sayang. ALLAH juga yang menjadikan insan-insan lain mengasihi kita bila kita mentaatiNYA.

Jadi cinta ALLAH itulah yang perlu dicari gali. Dengan mencintai ALLAH, rasa bersemangat melangkah mencari redha dan bimbinganNYA. Rasa bahagia berbuat baik kerana ikhlas mengharap rahmatNYA.

Lalu poligami akan dirasakan sebagai syariat yang indah suci. Pernikahan itu kan memang indah. Di sana ada ruang berkasih sayang dalam ketenangan dan keselamatan. Kita gembira memiliki suami, apakah kita tidak merasa bahagia jika saudara perempuan kita juga berbahagia ada lelaki halal lagi baik yang menyayangi?

Realiti hidup waktu ini, ramai wanita mampu berdikari - punya rumah dan kereta sendiri, punya kerjaya dan jawatan tersendiri, hebat dan cemerlang potensi diri di sebagai anak dan pekerja, namun itu semua tidak memenuhkan keingian fitrah insani - yang ingin bercinta dan dicintai. Ingin punya pasangan halal dalam memperoleh separuh kebahagiaan beragama. Jiwa tabiie yang ingin bermanja dan dimanja. Setiap hati terdetik dan merindui kehadiran keluarga sendiri didahului seorang insan bernama suami.


Perkahwinan bukanlah segalanya. Perkahwinan hanya wasilah yang menghantar diri merintis jalan baru dalam perjalanan pulang ke kepada Ilahi. Namun ada banyak kebaikan duniawi dan ukhrawi dalam medan pernikahan ini, insyaALLAH. Kemanisannya tak terungkap dengan perkataan. Namun kesulitan yang datang juga sama berat dengan kebaikan.

Pernikahan dan poligami hal yang amat manusiawi. Jika diriku redha dan menerima poligami, mudah-mudahan kerana diri ini berusaha membina cinta mukmin yang tulus. Cinta pada saudara perempuan yang mengharap kehadiran teman bernama suami. Lelaki yang bujang zaman ini, ramai yang lemah tanpa jati diri. Ada banyak juga yang baik, tapi mungkin lebih baik suami-suami kita yang matang dan lebih berpengalaman turut tersenarai dalam barisan yang layak dinikahi…

(hmm... rasa beratnya nak berkongsi suami.. kemesraan dan perhatian suami yang eksklusif pada kita akan beralih pada isteri seterusnya…)

Telah ku rasakan sakinah wa mawaddah dalam hati, ku ingin juga berkongsi dengan saudara-saudara perempuanku indahnya hidup di sisi seorang suami. Bahagia luar biasa dalam perkongsian rasa di dakapan dan ciuman suami. Apatah lagi bila kalian memiliki suami yang baik, berilmu dan bertanggungjawab. Suami yang berilmu dan mengenal ALLAH dan Rasul akan melayani isteri dengan makruf – penuh cinta dan kelembutan. Menjaga kebajikan  luaran dan keperluan perasaan.

Namun kita yang bernama isteri perlu telus melihat realiti dan bersabar menghadapinya. Jua membantu suami bersabar menghadapinya.  Tanggungjawab suami berat sekali, apatah lagi jika punya isteri lebih dari satu. Moga diri ini bersungguh berbakti, memahami dan pandai mensyukuri.

Jika isteri-isteri dalam poligami tak tabah, suami akan rebah penuh resah. Perlu saling melengkapi, saling menghulur tangan dalam melangkah mencari keredhaan. Ada masa gembira mendaki kehidupan, ada masa sakit terjeropok di bawah. Komunikasi suami isteri yang dibangunkan dan hubungan dengan tuhan akan terus menyinarkan kekuatan.

Tidak perlu dibahas poligami dengan data dan hujah tanpa henti jika suami dan isteri-isteri tidak mengerti tujuan dan cara hidup yang diredhai. Kerana bagi yang bertaqwa, pasti ada jalan keluar, itulah janji ALLAH di dalam Al Quran. Iman dan taqwa itulah sebenarnya yang perlu di cari.

Iman yang kurang, tidak akan mampu rasa senang dan tenang dalam perkahwinan. Walaupun tidak bermadu, keindahan pernikahan terasa hanya mimpi yang jauh untuk dikecapi, andai iman selalu menghilangkan diri. Apatah lagi poligami, suami sering jauh di sisi, tanpa iman dan ketaqwaan - hati dan jiwa akan kosong dan sepi.

Ohh…panjangnya tazkirah untuk diri sendiri. Jadi harus sudah redha dan bersedia andai suami bertemu jodoh lagi.

InsyaALLAH redha.

Andai suami orang yang harithun ‘ala waqtihi (menjaga waktu), insyaALLAH akan mampu menyusun waktu dengan baik untuk para isterinya. Andai suami orang yang arif memantau ekonomi, insyaALLAH ekonomi keluarga kan terjaga dengan baik. Andai suami orang yang jelas tujuan dan wawasan, mudah-mudahan para isterinya kan jua bermotivasi untuk maju ke hadapan.

Ohh,,..jangan lupa, suami kita juga insan biasa miliki kelemahan dan kesilapan, jadi para isteri harus siap untuk memaafkan dan ikhlas kita semua melakukan perbaikan.

Tak cukup jika hanya seorang dua suami yang mahu, berusaha dan bersedia untuk menambah isteri. Untuk kita melihat poligami ini menciptakan kemajuan, jom para isteri, kita teguhkan perasaan, permudahkanlah perkahwinan, agar ummah ini berjaya dengan poligami dan institusi pernikahan.



Wednesday, August 11, 2010

1 Ramadhan: Sebuah Coretan


Satu ramadhan berlalu sudah, mentari dua ramadhan kini menjelma. Di waktu sahur semalam, mommy dan papa masing-masing makan semangkuk oat dan nestum yang ditabur sedikit kismis. Kemudian kami berkongsi sebiji epal, dan turut mencicip sedikit tamar. Alhamdulillah dengan menu sahur yang sederhana itu, mommy mampu bertahan hingga waktu maghrib walau pun di waktu zuhur mommy dah rasa zero energy.. hee anak mommy ke yang kuat makan dan lebih rasa lapar..??

Sebenarnya mommy yang rasa tak sabar dengan kepenatan [dan kelaparan] berpuasa, maklumlah tidak melazimi puasa sewaktu mengandung. Jadi di samping melewatkan sahur, dan mengambil vitamin,  mommy berusaha memberi santapan hati yang cukup supaya kekuatan ruhiyyah mommy mampu mengalahkan kelemahan fizikal untuk puasa kali ini.

Alhamdulillah mommy dan baby masih dipanjangkan usia dan diberi kesihatan untuk menunaikan ibadah puasa. Mommy menghitung hari akan kehadiranmu duhai anak.. namun mommy juga mengingatkan diri agar dalam keterujaan menanti hadirnya permata hati, mommy tidak melupakan perkara-perkara lain yang besar dan penting berlaku di sekeliling, perkara yang berkaitan tugas kita sebagai khalifah.

Mommy kadang-kadang tidak sabar dengan tubuh yang makin berat dan sering sakit-sakit, lantas berita-berita yang berlaku dalam dunia sekeliling kita menjadi motivasi dan pengingat bahawa kesusahan yang mommy lalui tidak layak dikatakan susah, berbanding kesusahan yang manusia lain alami di negara lain.

Ingin mommy kongsikan tentang bencana yang menimpa tiga negara tika ini iaitu, Pakistan, China dan Rusia.

"...PBB berkata, banjir melanda Pakistan sekarang adalah krisis kemanusiaan terburuk sejak beberapa tahun lalu dengan 13.8 juta orang terjejas dan 1,600 orang terkorban setakat ini.

Banjir dan tanah runtuh yang melanda China sejak tiga hari lalu sudah menyebabkan 702 orang terkorban dan lebih 1,000 orang dilaporkan hilang, di samping menyebabkan kerosakan berbilion dolar di 28 wilayah.

Di RUSSIA, rumah mayat hampir penuh di Moscow ketika negara itu dilanda kebakaran hutan yang dicetuskan cuaca panas terburuk sejak 130 tahun lalu..."

Sumber: Berita Harian Online


Anakku sayang, bersyukur tidak terhingga kita berada di bumi Malaysia yang masih jauh dari bencana itu.. Namun tidak usah bersenang hati, di masa depan pasti bencana itu tiba di tempat kita kerana bumi yang semakin tua, ditambah pula sikap kita yang tidak mahu, tipis ilmu dan kesedaran dalam menjaga kesegaran bumi.. hingga bumi kini mengalami pemanasan global.

Pemanasan global inilah yang mencetus bencana, hingga banjir di wilayah Pakistan itu dilaporkan lebih buruk dari bencana tsunami 2004, yang mana dalam banjir di hampir sebahagian besar wilayah di Pakistan itu manusia yang terjejas berjumlah hampir mencecah 14 juta. Laporan juga menyebut, bencana buruk itu berlaku akibat kehadiran supercharged jet stream atau gelungan besar angin kencang yang dikatakan menjadi punca banjir di China dan cuaca panas berpanjangan di Russia yang menyebabkan kebakaran hutan.

Cukuplah Ramadhan ini mentarbiyyah jiwa kita untuk turut sama merasai kesusahan oleh insan lain.. agar jiwamu dan jiwaku banyak sababar dan banyak bersyukur.

Ramadhan ini sememangnya bulan membentuk kelembutan dan kepekaan hati dengan sedikit makan, namun kerana nafsu makan, bulan ini terbalik menjadikan hati makin keras, fizikal makin lembik kerana terlebih banyak makan..

Ramadhan ini, sewaktu mereka meratap kematian keluarga sanak saudara yang menjadi korban banjir, tanah runtuh dan kebakaran hutan, kita di Malaysia berpusu-pusu memperuntukkan wang untuk mega sale yang berlangsung di setiap shopping mall pelusuk negara...

Ramadhan ini, sewaktu mereka penuh sedih dan duka menanti bantuan kemanusiaan, mengharap seteguk air dan sesuap makanan, kita di Malaysia bersenang lenang di bazar Ramadhan yang menyajikan terlalu banyak pilihan makanan.. untuk akhirnya disumbat di dalam tong-tong sampah kerana perut tidak mampu menampungnya..



Mereka sakit kerana bencana alam, kita di Malaysia sakit kerana terlebih makanan..

Mereka tidak punya wang untuk meneruskan kehidupan, kita tergamak berbuka puasa dan bersahur  bufet di hotel dan restoran lainnya dengan kadar bayaran yang mewah hanya dengan sekali makan...

Inilah sedikit sebanyak coretan , untuk perkongsian dengan kalian.. Teruslah jiwa-jiwa kita mentadabbur Al Quran, bagaimana kehidupan ini harus dilalui samaada diuji keburukan dan kesenangan...

Monday, August 9, 2010

.:: Keluarga Impian : Kenyataan Sering Menguji Impian ::.



Assalammua’alaikum wa rahmatullah

Moga kalian para tetamu rumah maya ini, jua anakku yang bakal menjengah dunia berada dalam rahmat dan kasih sayang ALLAH yang tidak putus-putus. Lama juga tidak mengisi blog ini dengan sesuatu, benar sekali, jika iman di sukma ini tidak seberapa, hati dan jari jemari terasa kesat untuk berkongsi untaian kata yang bermakna.

Kali ini ingin ku kongsikan sedikit pandangan tentang keluarga impian, berdasarkan hidup berkeluarga yang telah dilalui sejak 26 tahun yang lalu. Dahulunya, erti bekeluarga dikelilingi ayahbonda tercinta dan adik beradik, tika ini ALLAH izin diriku membina keluarga seterusnya bersama suami dan anak tercinta insyaALLAH. Mohon doa dan bimbingan semua.



Penulisan ini sebenarnya adalah tugasan dari halaqahku, sementelahan diri ini telah berumahtangga, diminta untuk menulis tentang keluarga impian. Alhamdulillah tugasan yang membawa diri ini memuhasabah diri, keluarga bagaimanakah yang ingin ku bentuk di dunia yang sementara ini... Arah mana dan jalan apakah yang ingin ditempuh menuju Ilahi..? Perkongsian ini hanya dari ilmu jua pengalaman diriku yang dangkal, moga ada sedikit manfaaat pada mereka yang sentiasa ingin menggapai redha dan syurga tuhan.


                                     *                          *                            *                          *

Setiap insan pastinya menginginkan kebahagiaan dan kejayaan melingkari kehidupan bekeluarga yang dibina. Tafsiran keluarga bahagia itu pula berbeza-beza bagi setiap orang, namun insyaALLAH jiwa-jiwa yang mendamba keredhaan tuhan menilai erti keluarga bahagia berpandukan wahyu ALLAH dan petunjuk Rasul SAW.

Keluarga impian adalah keluarga bahagia yang menjalani kehidupan dunia dengan keimanan dan amal soleh. Keluarga impian adalah keluarga yang menjalani kehidupan penuh kasih sayang dalam redha ALLAH. Mereka sangat mengimpikan untuk menjadi keluarga bukan sahaja di dunia yang sementara ini, namun ingin berkumpul bersama seluruh ahli keluarga di syurga yang kekal abadi.

Di dunia, ahli keluarga merasa tenang tenteram bernaung di bawah keluarga yang berusaha melaksanakan ajaran Al Quran dan As Sunnah. Mereka adalah keluarga yang membudayakan ilmu, dan dengan ilmu yang dimiliki, mereka berusaha menerapkan akhlak dan sistem islami dalam segenap ruang kehidupan. Bukan sekadar ahli keluarga, masyarakat yang diluar juga akan memperoleh manfaat dari keluarga cemerlang seperti ini yang menjadi contoh teladan dalam beramal. Unit-unit keluarga yang cemerlang akhirnya akan membina masyarakat dan peradaban ummah yang kehadapan dalam banyak aspek.

Namun, untuk meraih keluarga bahagia yang diimpikan seperti itu adalah satu perjalanan panjang yang sukar. Bertahun-tahun sebelum mendirikan rumahtangga, seseorang individu harus mempersiapkan diri dengan ilmu, akhlak dan kematangan untuk dirinya melangkah ke alam yang lebih mencabar bernama pernikahan. Jika dirinya ingin membina rumahtangga yang penuh keberkatan dan rahmat ALLAH, dia harus bermula dengan diri sendiri menjadi hamba yang benar-benar faham akan erti pengabdian yang tulus kepada ALLAH. Dia harus memahami tujuan dan hakikat kehidupan di bumi ini.


Keluarga impian bermula dari peribadi seorang muslim dan muslimah yang berusaha menjadi lebih baik di sisi ALLAH. Dia menyedari terpikul ke atasnya tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah. Dia telah berazam untuk istiqamah sebagai daie dan murobbi. Dia kemudiannya akan memilih pasangan hidup yang juga mempunyai peribadi mulia dan fikrah islam yang luas, yang akan bergandingan bahu untuk terus istiqamah di jalan dakwah dan tarbiyyah. Penyatuan dua jiwa yang mempunyai penghayatan agama yang baik inilah asas kepada keluarga impian yang bermanfaat pada masyarakat dan ummah.

Dengan ilmu dan kesedaran, ikatan pernikahan yang dibina menjadi titik tolak untuk pasangan suami dan isteri menyusun dan membina rumahtangga yang menyumbang pada perjalanan dakwah dan tarbiyyah. Misi dan visi keluarga disusun seiring dengan misi dan visi dakwah. Program-program keluarga juga diatur agar selari dengan program-program dakwah.

Sebelum bernikah, individu muslim dan muslimah berusaha membina karakter seorang daie dan saudara mukmin yang mengaurakan kekuatan pada perjuangan menyebarkan risalah. Setelah bernikah, mereka berusaha pula untuk membentuk karakter suami isteri yang menyalurkan kekuatan diri dan ketenteraman jiwa pada pasangan. Mereka terus mencari ilmu dan bersungguh untuk menjadi suami isteri yang dikasihi pasangan jua dicintai ALLAH.

Setiap yang mendirikan pernikahan amat mengimpikan mendapat hak dan layanan yang terbaik dari pasangan. Namun seringkali pengharapan dan impian tidak berjalan seperti yang diinginkan. Tika inilah amat penting untuk suami dan isteri memfokus bukan pada menukar pasangannya menjadi soleh solehah, namun diri sendiri yang harus bermuhasabah dan bersungguh menjadi yang lebih baik di sisi pasangan, kerana ALLAH. Suami atau isteri yang bahagia akan memfokus kepada bagaimana dirinya boleh memberi yang terbaik pada pasangan dan membina kebahagiaan dalam rumahtangga, bukan sekadar berharap menerima dan meraih kebahagiaan dari pasangan.

Sesungguhnya niat, perancangan dan usaha yang bersungguh dalam membina keluarga impian akan menghadapi banyak rintangan dan ujian di dalam menghadapi realiti kehidupan. Dalam semangat dan keikhlasan untuk menyeru manusia ke jalan dakwah, konflik dan ujian adalah pasti mendatangi setiap rumahtangga yang dibina. Seandainya ujian dan dugaan itu tidak diurus dan diluruskan dengan baik, rumahtangga yang dibina kerana dakwah boleh bertukar menjadi fitnah kepada dakwah.

Situasi kehadiran anak-anak menambah lagi amanah sedia ada yang perlu dilunaskan. Pasangan bergelar suami atau isteri yang dulunya satu fikrah dan satu perjuangan mungkin teruji lalu berubah tingkah dan arah yang meresahkan jiwa pasangan yang ingin terus meraih keluarga impian. Seterusnya apabila keluarga semakin membesar, tuntutan mencari rezeki juga perlahan-lahan memberi tekanan pada ibu ayah untuk membahagi-bahagikan masa antara keluarga dan keluar menyumbang kepada tuntutan dakwah. Kerjaya dan kemewahan dunia juga tidak sedikit melalaikan manusia hingga keluarga yang dahulunya mendahulukan Al Quran dan As Sunnah kini mengutamakan kedudukan, pangkat dan harta bertimbun yang dikejar manusia kebanyakan.


Ketika ujian dan kesulitan tidak putus mendatangi, keimanan dan ketaqwaan adalah bekal yang terbaik. Seluruh ahli keluarga tidak boleh tidak, harus kembali kepada ALLAH dalam apa jua keadaan, susah dan senang. Segala kemudahan dan kebaikan dari ALLAH disyukuri, segala kesusahan dan kesempitan ditempuhi dengan kesabaran yang baik.

Kasih sayang dan kesatuan dalam keluarga akan hadir berpanjangan bagi hati-hati yang basah dengan keimanan, seperti yang ALLAH nyatakan di dalam surah Al-Anfal dan Surah Maryam. ALLAH juga berjanji, sesulit manapun cubaan yang menimpa, pasti ada jalan keluar bagi hamba-hambaNya yang bertaubat dan bertaqwa. Jalan keluar ini boleh datang dalam pelbagai bentuk, seperti rezeki kewangan dari arah yang tidak disangka-sangka, malah kekuatan dan kesihatan fizikal juga adalah nikmat yang besar dari ALLAH hingga urusan orang mukmin menjadi lancar dengan nikmat ALLAH ini.

Arus zaman yang bergerak pantas menjadikan masa semakin sempit sedangkan tanggungjawab semakin meluas. Adalah sukar untuk menyeimbangkan tuntutan dakwah, kerjaya, keluarga dan menuntut ilmu, namun bagi keluarga yang berjaya, kekurangan itu berusaha diperbaiki dari semasa ke semasa. Justeru, kebajikan keluarga perlu disusun bukan dengan kuantiti masa, namun dengan kualiti masa. Keluarga yang bahagia dan berjaya sentiasa merancang aktiviti secara harian, mingguan, bulanan dan tahunan. Mereka kemudian berusaha melaksanakan perancangan agar setiap ahli keluarga mendapat hak terbaik mengikut kemampuan masing-masing.

Rutin kerja dan tuntutan program dakwah dan tarbiyyah bukan bermaksud keperluan dan hak keluarga dipinggirkan. Suami dan isteri menyediakan masa untuk aktiviti yang memperbaharui cinta dan meluruskan komunikasi tentang banyak perkara. Masa juga disediakan untuk ibu bapa dan anak-anak memperbaharui semangat dan kasih sayang mencari kehidupan yang bermakna.

Melalui kehidupan bekeluarga, adalah penting suami dan isteri jua menyediakan ruang untuk saling menegur dan menasihati sesama pasangan, malah anak-anak juga diberi ruang untuk meluahkan rasa tentang layanan dan kepimpinan ibu bapa. Komunikasi yang telus lagi berhikmah sesama pasangan dan anak-anak akan banyak menyumbang pada keluarga harmoni yang dinamis, mampu merasa sakinah dan rahmah.

Sesungguhnya keluarga impian amat sukar untuk diwujudkan namun ia tidak mustahil dengan berpegang teguh pada syariat yang dipimpin ALLAH dan Rasul. Sebagai pengakhiran, keluarga impian bukanlah keluarga yang sempurna namun keluarga yang tidak putus-putus melakukan perbaikan dalam mencari keredhaan tuhan. Apa yang lebih penting, keluarga impian tidak akan terhasil dari angan dan usaha sehari semalam, tapi terbina dari usaha positif yang bertahun berterusan.



Sunday, August 1, 2010

.:: Terima kasih teman ::.


Anakku sayang, di kesempatan kali ini, mommy ingin mengucapkan ayat-ayat cinta & terima kasih buat teman-teman yang ALLAH kurniakan dalam hidup mommy..

"One of my fears dulu ialah going into labor early and unexpectedly. So always be somewhat prepared. InsyaALLAH. Yakinlah dengan ALLAH, dan yakinlah ilmu-ilmu yang ditimba adalah ilmu milik ALLAH sekalipun datang dari orang kafir, kerana mereka setakat belum sedar mereka juga adalah hamba ALLAH. Birthing and being pregnant was one of those experiences yang paling meransang hati ana supaya banyak bergantung pada ALLAH. Love you.." kongsi sahabatku. Sahabatku lebih separuh dekad, yang sejak awal banyak mendorongku mempersiapkan diri untuk menjadi ibu yang berilmu.

"Ukhti kena rajin-rajin jaga hubungan dengan ALLAH.. InsyaALLAH kita mampu beramal walaupun kita sakit, itu semua kerana pertolongan ALLAH... Ukhti pun pasti akan boleh buat  kalau lebih banyak bantuan dari ALLAH. Kuatkan semangat ya, semoga ALLAH sentiasa bersama ukhti.." pesan sahabatku yang lain pula, sewaktu diriku mengadu rasa sakit dan sulit di minggu-minggu terakhir kehamilan.
 
Teman tersayangku juga sering memujuk dan menenangkan diriku bahawa kesakitan dan kesulitan mengandung ini pasti meraih pahala ALLAh atas kesabaran yang berpanjangan..insyaALLAH. Terima kasih atas bantuan dan sokongan yang tak berbelah bagi pada diri ini..
 
Di kesempatan ini juga, mommy ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih pada sahabat mommy yang dekat di hati dan dekat juga tinggal dengan rumah kita, yang sekarang menjadi driver mommy ke mana-mana, yang temankan mommy tinggal di rumah bila papa tak ada, yang bantu mommy kemas rumah dan kadang-kadang masak untuk kita.. dan yang penting selalu memberi tazkirah yang menambah iman. Moga ALLAH merahmatinya dan mengurniakan juga kepadanya cahaya mata yang soleh..
 
Banyak lagi sebenarnya teman-teman di alam nyata dan di alam maya yang memberi sokongan untukku menempuh takah hidup yang naik satu persatu. Sebahagian mereka sering dan pernah ku temui, sebahagian yang lain hanya mendapat ilmu, pengalaman dan pengajaran dari blog-blog mereka yang sangat informatif lagi bermanfaat.
 
Sahabat dan saudara muslimahku sekalian, teruslah menggunakan potensi tulisan untuk kalian saling menasihati dan mengajak pada kebaikan dan kasih sayang. Kadang-kadang mungkin kalian tidak sedar satu ayat atau satu perenggan yang kalian tulis mampu membuka perspektif baru yang sangat baik pada pembaca yang lain. Mungkin juga satu lembaran tulisan kalian itu menjadi asbab untuk insan lain mendapat petunjuk ALLAH.
 
Ikhlaskan hati, dan istiqamahlah menulis, kerana ALLAH, moga menjadi amal soleh yang punya nilai di sisi ALLAH.


Sekali lagi, tulisan kali ini adalah untuk menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada semua teman-temanku, samaada kalian disebut atau tak di laman maya ini, sesungguhnya kalian amat banyak memberi sokongan pada diri ini menempuh perjalanan hidup yang mencabar dan makin bertambah amanah yang perlu dijaga. Terima kasih semua... :)
 
 
 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...