Sunday, June 27, 2010

..YOU BAWAK FAHAMAN YANG SALAH...??!



* Di atas adalah sebahagian dari tujuan yang ingin dicapai dari proses pentarbiyyahan yang konsisten. Namun SEGELINTIR mereka yang tidak memahami akan melihat aktiviti agama sebagai ancaman yang membimbangkan. Namun, sebelum menyalahkan mereka yang tidak faham, adakah kita telah faham ke arah mana kita menuju....?*

Di suatu ketika beberapa minggu yang lalu...

“You buat kesalahan..masuk sembunyi-sembunyi ke kawasan kampus..”

“You bawak fahaman yang salah.. you bawak ajaran yang memecahbelahkan pelajar…”

“You ikut kumpulan XXX..kan…?”

“You ajar tak payah baca yasin malam jumaat, tak doa lepas solat, tak tahlil,bla..bla..bla…”

“You melanggar akta…tak boleh berkumpul melebihi 3 orang”

“Apa kelulusan you, you ada kelulusan agama ke..?

“Dah lama I cari you, baru hari ni jumpa…”

“You dalam pemerhatian pihak keselamatan…”

“You salah, makan-makan dalam surau…”

Suatu petang yang cerah dan damai, beberapa minggu lalu, kehadiran saya di sebuah kolej kediaman pelajar di salah sebuah IPT dipertikai oleh seorang pegawai yang juga menghuni di kolej yang sama. Ketika itu, saya baru sahaja ingin memulakan usrah bersama beberapa orang adik-adik di kolej tersebut, namun saya terlihat isyarat tangan pegawai itu meminta saya keluar. Dan di atas adalah sebahagian dialog yang diucap.

Saya agak kesal dengan ucapan dan pertanyaan-pertanyaan beliau yang bernada provokasi, namun harus saya akui ada kesilapan-kesilapan saya yang harus diperbetul.

Mudah sekali memberi label negatif pada orang lain, mudah sekali menggolongkan orang lain dalam kelompok yang salah..

Saya lantas memohon maaf kerana makan-makan di dalam surau. Dan memohon maaf seandainya benar tindakan saya berada di kolej adalah salah.

Dan saya sebenarnya tidak merasa bersalah [walau saya ada juga salah], kerana saya berada di situ pada masa melawat, saya masuk secara terang-terangan di pos pengawal, meninggalkan IC, memberitahu saya ke surau..hmm.. Saya juga menerangkan serba sedikit 'ajaran' yang saya bawa, dan cuba memberi jawapan atas soalan-soalan yang ditimbulkan... Alhamdulillah akhirnya pegawai itu kelihatan menerima penjelasan saya..

Saya sempat berpesan pada diri, tidak usah beremosi celaru dan melulu dalam hal sebegini. Jika benar diriku dan kalian mengusung panji dakwah dan tarbiyyah, bertindaklah dengan matang dan hikmah.

Pegawai itu hanya menjalankan tugasnya memantau segala aktiviti pelajar, dan beliau bertanggungjawab mengambil solusi dalam memastikan keharmonian terjaga bilamana ‘fahaman agama yang salah’ yang makin tersebar meletakkan para pelajar dalam kekeliruan.

Jadi untuk kalian yang meletakkan diri di barisan mereka yang bergelar student daie...

…adakah kalian menyampaikan kebenaran yang diturunkan ALLAH dan mengikut petunjuk Rasul SAW…, atau kalian menyampaikan hanya apa yang kalian dapati dari grup, jemaah, aliran dan fahaman yang kalian ikuti, tanpa kalian jelas dengan sumber dan rujukannya?

…adakah kalian menyampaikan kebenaran dengan ilmu, kematangan dan perancangan atau kalian meniti jalan dakwah dan tarbiyyah hanya dengan semangat beragama yang mengikut emosi melulu…?

Inilah antara persoalan penting yang harus dileraikan suapaya keberadaan kita dengan niat suci untuk menyumbang pada pembinaan ummah, malangnya membawa fitnah kerana kematangan yang rendah dan kefahaman yang sangat rendah tentang perjalanan dakwah dan tarbiyyah..

Wah…adakah ini bermakna saya tidak melakukan kesalahan, seolah-olah saya tersangat arif lagi luas pengalaman tentang dakwah dan tarbiyyah..?

Tidak sama sekali. Saya masih merangkak memahami nilai hidup yang saya pilih – kualiti dan destinasi hidup adalah pada jalan dakwah dan tarbiyyah. Saya juga sedang bersakit-sakit untuk istiqamah menegakkan islam sepenuhnya dalam diri dan pada orang lain. Ini adalah perkongsian muhasabah untuk diri saya dan kepada kalian, harap ada manfaatnya. Kita sama-sama belajar untuk jalan dakwah yang sulit dan panjang. Kita akan banyak tersilap, kita masih banyak perlu mendalami ilmu, kita masih jauh perlu berjalan dan merasa sakit menempuh arus dakwah untuk lebih matang dan hikmah meghadapi realiti yang mengelilingi ummah.

Ayuh teman-teman, perbaikilah dirimu dalam mencari redha ALLAH, dan serulah diriku dan orang lain untuk memperbaiki diri dalam perjalanan bertemuNYA.

Thursday, June 17, 2010

..Apa senarai mama untuk penjagaan ruhiyyah baby...?


 

Mama sedang membelek beberapa barang-barang baby di shopping mall itu..tiba-tiba terlintas di hati..

“ Mama dan papa alhamdulillah mampu sediakan semua keperluan fizikal saya.. mama boleh pilih barang-barang berjenama mahal atau yang biasa-biasa untuk menyambut orang baru ni... namun apa yang mama dah sediakan untuk keperluan fitrah suci saya sebagai anak…?”

Detik hati itu memberhentikan mama dari terus asyik melihat-lihat keperluan-keperluan untuk si comel..

“Panjang shopping list mama untuk newborn baby…., tapi apa list mama untuk keperluan ruhiyyah saya melalui kehidupan di dunia yang mencabar ini..?”

“…Mama excited dengan barang-barang baby yang comel, untuk menyambut kehadiran saya as baby yang comel… namun adakah jiwa insan comel ini akan bahagia dan tenang jika mama tidak excited menjadi ibu yang solehah..?”


“…Mama tak lenguh window shopping untuk saya.. apakah seperti itu juga kaki dan tubuh mama tak jemu beramal soleh untuk keluarga dan ummah..? Seperti itu jugakah kaki dan tubuh kuat untuk bermunajat di sepertiga malam…?”

“Mama.. terima kasih berusaha menyediakan segala keperluan dan kelengkapan saya.. Alhamdulillah bersyukur kepada ALLAh yang memberi kelapangan rezeki pada mama dan papa hingga boleh meraikan kehadiran saya dengan seadanya… namun mama jangan lupa, anak comel yang mama nantikan ini boleh saja menjadi ujian hebat pada kalian satu hari kelak…”

“..Mama yang dikasihi, ayuh dalam keterujaan membina keluarga, kita terus istiqamah membina iman dan taqwa dalam diri.. Ayuh memuhasabah hubungan kita dengan Pencipta.. Ayuh mendekatkan diri pada tuhan, agar kita tidak tersasar jauh dalam perjalanan ke kediaman sebenar kita di akhirat..”

“..Mama, dunia ini hanya persinggahan untuk saya kan…? Mama bimbinglah saya memanfaatkan dunia yang menjadi jambatan untuk saya meraih syurga.. Mama bimbinglah saya menjadi anak yang mampu meraih syurga dengan bakti saya pada mama dan papa.. Mama didiklah saya mematuhi ajaran ALLAH dan Rasul, agar kelak saya menjadi pewaris meyampaikan keindahan islam, agar kita menjadi khalifah yang benar-benar membantu mengharmonikan bumi ini…


….Ohh anak…di manakah diriku di hadapan tuhan….??

Saturday, June 12, 2010

...Rumah siapa paling cantik..??

Jika ada pertandingan rumah tercantik atas muka bumi, rumah siapakah agaknya yang akan memenangi anugerah itu...? Adakah rumah kita layak untuk menyertai pertandingan rumah paling indah...?



Mereka kagum dengan keindahan dan kebesaran rumahmu yang tersergam. Mereka terpaku dengan ukiran jua perhiasan-perhiasan yang menghiasi setiap sudut rumah. Mereka memuji rumahmu yang memiliki interior design terkini. Mereka kenyang dengan makanan enak yang dirimu sebagai tuan rumah sajikan. Mereka tidur nyenyak dengan kelengkapan bilik tidur yang selesa, berteman kedinginan air-cond.

Tetamu suka datang kerana rumahmu yang punya banyak bilik. Ada bilik untuk ayah ibu, anak-anak, suami isteri, ruang library, bilik solat, ruang menonton, dapur basah, dapur kering, malah beberapa bilik untuk tetamu… Rumahmu dilengkapi kemudahan ICT, mereka boleh melayari internet dan online dengan sesiapa yang diingini. Hatta tetamu suka berlama-lama di bilik air rumahmu yang setaraf hotel lima bintang...



 
Atau mereka memandang sebelah mata rumahmu yang cat dinding luntur tertanggal. Dengan keluasan rumah yang kecil, hanya tiga bilik asas, tiada sofa dan karpet gebu, tiada ruang dan bilik khas untuk tetamu, bilik air kecil...hanya sebuah pula, dan tetamu terpaksa bersila di atas tikar yang sisinya telah reput-reput. Tatkala bertandang, tetamu hanya dihidang biskut kering dan teh o panas. Keadaan rumahmu panas, hanya punya kipas yang terketar-ketar kerana ketuaannya.. tanpa air-cond. Dapur yang sempit hanya muat seorang untuk berdiri memasak, ada pula bumbung tiris di sana sini…

Wahai ayah, wahai ibu, wahai suami, wahai isteri, wahai anak-anak…

Rumah kamukah yang besar lagi indah itu..? Yang lengkap dengan segala keperluan dan keselesaan…?

Atau rumah kamukah yang kecil dan kelihatan sempit itu…? Rumah kamukah yang serba kekurangan tak cukup keperluan apatah lagi perhiasan luaran yang cantik…?

Nanti dulu.. ayuh kita menilai rumah – samaada besar, indah dan luas itu dari jendela islam yang menjadi rahmat ke seluruh alam.. Bukan dari penilaian manusia yang hidup di era rakus mengagungkan material. Ayuh kita melihat rumah mana yang meraih keberkatan ALLAH dan rumah siapakah yang sentiasa didoakan para malaikat…

Rumah yang besar tersergam boleh jadi terasa sempit tanpa nilai iman dan islam, begitu juga rumah yang kecil dan terhad boleh terasa indah mendamaikan, jika kita memiliki ciri-ciri murni yang mencantikkan kediaman kita.. di bumi dan negara mana sekalipun diri berpijak…

Seandainya saya menjadi panel hakim pertandingan.. saya kongsikan di sini sebahagian senarai ciri-ciri yang layak memenagi rumah tercantik di atas muka bumi..

Rumah paling cantik dimenangi oleh rumah yang:

.: Penghuninya selalu memperbaharui keimanan dan ketaqwaan, bukan sekadar memperbaharui langsir, sofa dan kelengkapan lainnya:.

.:Penghuninya menjaga kebersihan dan kesucian rumah, jua menjaga kebersihan dan kesucian jiwa:.

.:Penghuninya memahami bahawa rumah yang didiami itu hanyalah pinjaman ALLAH, ALLAH berhak mengambil bila-bila masa.. samaada kemudahan atau ketidakcukupan keperluan rumah, segalanya berlaku dengan izin ALLAH, kita berusaha yang termampu:.

.:Penghuninya menyedari bahawa rumah itu hanyalah kediaman sementara sebelum berada di kediaman yang lebih lama dan lebih kekal iaitu di alam barzak dan alam akhirat:.
.:Perhiasan –perhiasan rumah sederhana, bermanfaat dan tidak membazir, malah memiliki perhiasan rumah tercantik iaitu, akhlak mulia yang dimilik para penghuni rumah:.

.:Penghuninya berusaha menjadi tuan rumah yang dicintai ALLAh dan Rasul tatkala ada tetamu bertandang, memahami adab-adab Islami menjadi tuan rumah:.

.: Penghuninya berusaha menjadi tuan rumah yang bukan sekedar memenuhi tuntuan makan minum tetamu, namun berusaha menjamu tetamu dengan hidangan jiwa yang berlandaskan ilmu, iman dan pengalaman:.

.: Penghuninya mempunyai interaksi yang baik dengan Al Quran, melazimkan bertilawah, mentadabbur malah memotivasikan para penghuni rumah untuk menterjemahkan kehidupan bernaung Al Quran… bukan sekadar khat Al Quran cantik tergantung dan dibingkai , bukan mushaf Al Quran yang bertinta warna emas tersimpan rapi di almari perhiasan:.

.: Penghuninya menghidupkan budaya ilmu, samaada dengan menyediakan keperluan buku serta bahan-bahan agama dan ilmiah, atau mendapatkan ilmu dari luar untuk disebarkan sesama penghuni rumah:.

.: Penghuninya berkasih sayang kerana ALLAH, hati dan perasaan para penghuni diikat dengan ikatan iman, matlamat yang sama, berusaha mencari redha dan syurga ALLAH:.

.: Di rumah itu, para tetamu tidur dengan jiwa yang sejuk bernuansa keinsafan.. di hatinya tumbuh kesedaran untuk menumbuhkan keimanan, amal dan akhlak yang mendamaikan jiwa seperti yang dimiki tuan rumah:.

.:Di rumah itu, para penghuninya selalu menghitung dan bersyukur dengan nikmat tuhan yang amat banyak, selalu memuhasabah amal untuk kebahagiaan di hari akhirat:.

.: Di rumah itu, para penghuninya saling menasihati dengan berhikmah, saling menerima teguran dengan kerendahan hati, saling berpesan-pesan ke arah kebenaran dan kesabaran:.

####################


... Wahai diriku dan saudaraku...sejauh mana kita telah berusaha agar rumah kita menjadi rumah yang paling cantik, penuh barokah itu...?

Wednesday, June 9, 2010

...Membuat pilihan tentang jodoh...


Lebih setahun yang lalu, seorang teman berkongsi cabarannya dalam menghadapi proses bernikah. Hatinya berbolak balik, mahu menerima calon lelaki itu sebagai suami, atau tidak..? Beberapa perkara menjadi pertimbangannya. Namun dia tidak mampu membuat keputusan, kerana ramai orang yang menentang jika dia meneruskan berkahwin dengan lelaki itu. Sedangkan sebelah hatinya mampu menerima si calon menjadi suami.

Dia melarikan diri merentas lautan ke tempat yang jauh, namun sejauh mana pun pergi, hati makin kucar kacir jika tiada keputusan. Saya termasuk dalam kelompok kecil yang menyokongnya bernikah dengan lelaki tersebut. Saya berkongsi sisi positif apa yang mungkin terjadi seandainya dia bernikah dengan lelaki itu, sewaktu banyak orang membuka aib dan keburukan lelaki tersebut. Alhamdulillah mereka bernikah. Ternyata, usaha yang tak putus asa dan SANGKA BAIK pada ALLAH tak pernah mengecewakan. Banyak perubahan yang baik pada mereka setelah bernikah.

Kes seterusnya, seorang teman dilamar menjadi isteri kedua, dan sebaik orang lain mengetahui hal ini, kebanyakan mereka berkongsi sisi negatif tentang calon lelaki. Ya, dari satu segi ia memang bagus, perkongsian itu untuk memberi peringatan pada si perempuan agar mengetahui keburukan lelaki sebelum mengambil keputusan untuk bernikah.

Namun segala sangkaan dan berita buruk itu berjalan laju tanpa si calon lelaki diberi dan memberi penjelasan. Hingga 90% si perempuan mengkhabarkan pada saya yang ia akan menolak lamaran. Namun saya berusaha memasukkan diri ke kelompok yang mencari sisi positif, saya mencari ruang dan kesempatan agar si lelaki dapat membela diri atas segala perkhabaran negatif. Saya mencari ruang untuk saya menyokong si perempuan menerima lamaran, dan alhamdulillah mereka bahagia dengan pernikahan mereka saat ini.. [sekurang-kurangnya buat waktu ini].

Bukan bermaksud menyatakan seolah-olah orang lain selalu negatif, hanya saya yang sering positif.Bukan.

Kerana sebenarnya, perkongsian saya ini khas buat teman perempuan yang saya kasihi, yang dihadapkan lamaran untuk menjadi isteri kedua, dengan seribu satu ujiannya. Yang saya cuba sampaikan ialah, FIKIRLAH POSITIF, BERTINDAKLAH SECARA POSITIF.

Larut dalam rasa dan cara yang negatif berlama-lama tidak membawa ke mana, hanya merosakkan jiwa dan membuang masa. Kita terima atau tolak, teruskan atau putuskan, nilailah kekuatan kita. Dan kekuatan kita berhubung dangan ALLAH. Kita yang tentukan, orang lain boleh bercakap dan memberi pandangan.

Namun kita kelak yang menghadapi kesannya. Kita yang akan bertanggungjawab, kerana selepas kita kahwin, biasanya orang-orang yang menentang akan terdiam kalau kita bahagia, dan mereka yang negatif akan menunggu kejatuhan rumahtangga kita, untuk terus menempelak keputusan kita bernikah suatu ketika dulu.

Membuat pilihan tentang jodoh, sungguh, bukanlah satu keputusan yang mudah. Apatah lagi jika sebelumnya telah beberapa kali menghadapi cabaran dan kegagalan urusan ke arah pernikahan yang terhenti di tengah jalan.

Namun segala ujian kesulitan dan keburukan yang mengekori proses ingin menghalalkan hubungan, tidak semestinya bermaksud ALLAH tidak meredhai hubungan halal yang ingin dijalinkan. Tidak semestinya. Apatah lagi insan kerdil seperti kita yang selamanya tidak mampu membaca rahsia dan ilmu ALLAH – apakah ALLAH benar-benar redha atau tidak dengan sesuatu perkara.

Apa yang perlu kita lakukan..? Dalam soal jodoh, kita sebagai manusia pertama, perlu mencari yang soleh solehah, [atau meletakkan diri dalam kumpulan mereka yang dicari, maksudnya menjadi soleh dan solehah].

Kedua, fikirkan, ambil masa mengenali latarbelakang dan bincangkanlah tentang calon dengan orang-orang yang amanah dan berilmu. Mohonlah ilham dari ALLAH, mohonlah nasihat dari mereka yang matang dan berhikmah.

Ketiga, buatlah keputusan untuk bernikah DENGAN HATI YANG MANTAP.

Hati yang mantap ini, pada saya, ialah KESEDIAAN KITA untuk benar-benar menerima pilihan kita SEMAMPUNYA. Ya, KESEDIAAN KITA, bukan kesediaan orang lain menerima pilihan kita. Kita akan serabut kalau mengharapkan semua pihak redha dan merestui pilihan kita.

Begitu juga, kalau kita dah menolak calon suami/isteri, kita akan serabut dengan cakap-cakap orang yang ’kenapa awak tolak dia..dia kan baik bla...bla...bla.. tak pandai menilai gading bla..bla...’ sedangkan kita membuat keputusan menerima atau menolak dari persepsi kita, orang yang akan menikah dengannya.

”Habis tu kenapa bincang dengan aku, minta pandangan dan nasihat aku, kalau kau nak buat keputusan sendiri..?” ujar orang yang diminta pandangan, walhal dia sedar dia sekadar sekadar memberi pandangan dari persepsi dia. PANDANGAN, BUKAN ARAHAN.

HATI YANG MANTAP, juga bermaksud, setelah kita berfikir, berusaha mengenali latarbelakang calon suami/isteri, kita musyawarahkan dengan mereka yang berilmu dan berpengalaman, hati kita mantap meletakkan pergantungan pada ALLAH bahawa kita memilih calon ini dengan redha dan tawakkal pada perlindungan dan bimbingan ALLAH.

Siapa yang tak takut menikah dalam keadaan yang ditentang dan tidak disukai lagi tidak direstui...? Tapi ketakutan itu boleh pergi seandainya kita positif, sabar, bersangka baik dan tulus berdoa pada ALLAH. Dan tidak boleh dilupa ialah, apakah strategi kita untuk menyesuaikan diri dengan pasangan selepas bernikah, atau apakah perancangan dan visi kita dengan pernikahan..?

Atau kita berkahwin DALAM KEADAAN TAK SEDAR, ’kahwin je lah,...malas nak fikir jauh-jauh’...

Seandainya bernikah dengan perasaan pesimis begini, insyaALLAH rumahtangga kita kelak menambah statistik perceraian, menambah bilangan perkahwinan yang berkecai di usia awal pernikahan, menambah bilangan mereka yang menyesali perkahwinan dan menambah bilangan mereka yang melihat perkahwinan tidak lebih dari sebuah seksaaan dan penderitaan.

Kahwinlah dengan PENUH SEDAR dan TANGGUNGJAWAB...

“This is my marriage, I’ll put in hard effort to strengthen my marriage. It is my job, not other’s.”

Kahwinlah dengan niat benar-benar ingin menuju redha ALLAH, benar-benar ingin menjadi isteri yang ALLAH redha, walau macamana sekalipun ujian dan kesulitan yang ALLAH bagi melalui kehadiran teman bernama suami. Kahwinlah dengan ilmu yang sentiasa didalami, bagaimana menjadi isteri yang bermotivasi dan MEMOTIVASI, bagaimana menjadi isteri yang mampu SABAR dan tabah dalam dunia yang meragut kesabaran dan kelembuan hati ramai orang pada hari ini..

Jalan pernikahan yang dipilih sebenarnya tidak pernah salah. Namun seringkali kita salah bilamana kita membiarkan penilaian orang lain menutupi kesucian niat kita menjadi teman hidup yang halal. Penilaian orang lain yang streotaip dan negatif seringkali menutup usaha dan perancangan positif kita untuk melakukan perubahan dan peningkatan dalam hidup.

Ataupun kita sebenarnya yang terlalu negatif, hingga melihat bayang-bayang buruk lagi menyesakkan di setiap sudut keputusan. Hingga kita tak mampu membuat keputusan ingin menerima lamaran atau menolak. Ingin meneruskan pertunangan atau memutuskan.

Percayalah, sikap dan persepsi yang negatif akan menyukarkan sesiapupun, akan menekan jiwa dan perasaan sesiapapun, samaada berkahwin atau tidak. Samaada sebelum dan selepas pernikahan. Hidup ini, pernikahan yang dibina ini, akan hidup dan tumbuh dengan cara apa kita melihat, dengan cara apa kita bersikap. Ya, DIRI KITA. Tidak sesekali SIKAP DAN PERSEPSI ORANG LAIN yang menjayakan atau menggagalkan usaha kita dan rumahtangga kita...

...Perancangan Ramadhan...




Saya membelek-belek senarai target untuk meningkatkan kualiti diri pada Ramadhan yang lepas.. Sedar-sedar, Ramadhan seterusnya makin menghampiri.. Jika diizin ALLAH hayat ini masih ada, Ramadhan akan datang akan memberi status ibu kepada diri ini.. Maka, ingatlah diriku dan teman-teman yang dikasihi sekelian, tanggungjawab semakin bertambah, adakah akhlak, iman, taqwa, ilmu dan amal kita pun makin bertambah.......???

Bagaimana pula...,

Akidah...
Ibadah..
Akhlak...
Pengurusan Diri..
Mujahadah...
Kekuatan Ilmu...
Manfaat Diri Pada Orang Lain...
Kecergasan dan kekemasan Fizikal....

????
Semoga ALLAH SWT membantu saya ke arah menjadi hambaNYA yang solehah wa muslehah.

...MENJADI dan MENCARI yang SOLEH...




Ingin berkongsi pandangan, dari salah satu sisi kecil kehidupan..

Sejak kebelakangan ini, ramai juga teman-teman di sekeliling yang mendapat ‘kursus perkahwinan’ percuma dari saya, terutama teman-teman perempuan. Kursus percuma dari ‘kaunselor perkahwinan tak bertauliah’ seperti saya, adakalanya saya beri atas permintaan, banyak ketikanyanya tanpa diminta kerana saya seorang yang suka bercerita bab-bab perhubungan, sosial, motivasi dan perkara yang sewaktu dengannya [juga atas faktor saya juga adalah orang perempuan yang normal bercakap 15000 patah kata setiap hari berbanding lelaki hanya 5000 patah kata – mengikut satu kajian dalam buku yang saya baca].

Dan sebenarnya saya sangat suka memotivasikan teman-teman dan adik-adik yang masih bujang untuk terus berusaha berkahwin awal. Hmmm...Siapalah saya untuk bercerita dan ‘memberi kursus ‘ perkahwinan pada orang lain, kerana pernikahan saya sendiri baru saja berusia genap setahun pada bulan ini. Jauh dari kesempurnaan sebagai isteri, dan rumahtangga saya juga adalah rumahtangga realiti ada waktu ‘bintang-bintang berkerlipan menyeri alam’ dan ada juga waktu ‘panahan petir kilauan kilat di langit yang mendung’.

Teman-teman dan adik-adik perempuanku, berusahalah MENCARI jodoh, dan berusahalah MENJADI jodoh yang dicari… Bukan saya mendorong kahwin awal dengan semberono, namun berkahwinlah dengan persediaan untuk LATIHAN di MEDAN SEBENAR bernama PERNIKAHAN. Jika mencuba-cuba menjadi isteri atau suami sebelum masanya [ baca: berpacaran di luar pernikahan], kalian akan semakin jauh dari realiti berumahtangga.

Kalian tidak mahu terburu-buru berkahwin kerana bimbang rumahtangga tak bahagia…?

Maka, percepatkanlah berkahwin supaya kalian ada peluang lebih awal untuk belajar membina rumahtangga yang bahagia.

Tidak berjumpa lelaki yang soleh…?

Saya rasa lelaki-lelaki yang soleh juga menunggu kalian untuk membantu mereka memproses diri menjadi suami yang soleh.. Title 'Suami soleh' bukan lah satu anugerah yang diperolehi satu malam, melainkan proses panjang melalui kehidupan dengan isteri yang mendokong dan bersama dengannya membina peribadi soleh.....

Begitu juga jika kalian mengharap ketibaan wanita solehah alam hidup, ketahui pelayaran hidupmu dengan seorang perempuan itu [berteman ilmu dan ketaqwaan] insyaallah mampu membina dirinya menjadi isteri yang solehah. Realitinya, MENDAPAT atau MENJADI isteri dan suami yang soleh mengambil masa yang panjang, ia menuntut kesabaran dan kebijaksaan iman yang bukan calang-calang..

Jika tidak, kalian berasa hampa dengan rumahtangga yang dibina, kerana tingginya harapan untuk mendampingi suami soleh, dan meraih kebahagian, sedangkan kesolehan dan kebahagiaan adalah proses pembinaan yang sukar lagi panjang, yang tidak berteman dengan orang-orang yang cetek pemikiran dan dangkal kesabaran...

[Ya tuhan...tambahkan ilmu kami, dan kuatkan kesabaran kami....]

....Sekian, pandangan dan perkongsian ini sangat terbuka pada kesilapan dan ketidakmatangan, lantaran saya masih terkedek-kedek bertatih menjadi isteri di sebuah perjalanan kehidupan...

Sunday, June 6, 2010

...Moga ALLAH memberkati kalian Ihsan & Alia...




2 Mei 2010 menjadi saksi kepada sebuah lagi pernikahan iaitu pernikahan saudara seperjuangan kita, Muhammad Ihsan Abdul Razak dan Nurul Alia Md Noor. Alhamdulillah saya mampu hadir di majlis pernikahan yang damai itu beberapa ketika sebelum Ihsan melafaz akad nikah. Saya suka berada dalam majlis pernikahan dan menjadi saksi ikatan suci itu kerana secara peribadi, pernikahan mengingatkan diri saya akan perjanjian yang berat yang telah saya [dan suami] materai di hadapan ALLAH]..

Kerana pernikahan adalah salah satu pintu perjuangan, dan  jalan perjuangan yang juga menjadi wasilah pengabdian diri kepada ALLAH. Bermula dengan perjuangan membina diri memiliki syaksiah islamiyyah dan syaksiah daieyah, perjuangan itu masih berlangsung dan kini… perjuangan untuk membina rumahtangga muslim dan dakwah...

“Mudahnya bercakap tentang perjuangan..? Benarkah kalian orang yang berjuang…??”

Ya, hidup ini sebuah perjuangan. Kita semua berjuang menjalani kehidupan dengan cara yang terbaik dan paling mulia di pandangan NYA. Kita punya niat suci menuju Ilahi, namun godaan syaitan dan hawa nafsu mendatangi setiap penjuru hingga sering saja kita tersungkur di jalan mencari keredhaan ALLAH.

Saya dan kami semua perlukan kalian insan berjuang untuk bersama menapaki jalan perjuangan ini hingga ke akhirnya. Dengan potensi insan dan seinfiniti nikmat yang ALLAH limpahkan, ayuh kita ikhlas dan bersungguh-sungguh membangun peribadi, rumahtangga dan ummah yang meletakkan ALLAH, Rasul dan syariatnya di tangga teratas.





Saudaraku yang dikasihi lagi dihormati, Alia & Ihsan – rumahtangga kita bukan sekadar untuk meraih ketenangan dan kebahagiaan peribadi, namun rumah tangga kita adalah asas untuk melahirkan ummah yang juga merindui kebahagiaan di bawah naungan Islam dan Al Quran.

Pernikahan ini adalah antara ruang perbaikan diri yang paling baik dan paling besar. Perkara kecil sering saja mencipta konflik besar dalam rumahtangga. Bincanglah dengan telus dan hikmah segala ketidakpuasan hati. Jujurlah, bukalah hati dan matamu dengan luas untuk melihat kelebihan pasangan, dan ungkapkanlah pujian dan penghargaan agar kalian makin bersemangat mengikhlaskan diri dalam naungan pernikahan yang ALLAH kurniakan pada kalian.

Rumahtanggamu yang kalian bina di jalan dakwah ini,.. usahakanlah agar jauh lebih baik dari rumahtangga mereka yang lain yang berada di sekelilingmu. Rumahtangga itu mampu menjadi lebih baik bukan kerana kekerapan kalian bersama, bukan kerana harta material yang kalian nikmati bersama, bukan sekadar kemesraan fizikal yang kalian lalui, namun rumahtangga itu menjadi lebih baik kerana besarnya hati kalian untuk terus memperbaiki diri menjadi pasangan bertaqwa yang diredhai ALLAH.

Rumahtangga itu lebih baik apabila kalian bersungguh dan ikhlas mendalami dan mengerti hati suami dan isterimu. Bukan untuk menyemarakkan cinta tak tentu arah, namun untuk menyemarakkan cinta yang terbina di jalan dakwah…di hadapan ALLAH, di jalan pernikahan yang paling di redhai ALLAH…

Selamat menyubur cinta di bawah naungan cintaNYA..



Jom meriahkan PAKSI Talk Show...!! :)










Bermula dengan akhlak...


Diri ini yang berbicara tentang akhlak, sesungguhnya banyak lagi akhlak peribadi yang perlu diperbaiki. Dalam liqo' ku bersama adik-adik yang baru menjejak kaki di IPT, yang di garis permulaan meraih pengalaman menjadi daie kampus, perkongsian ini untuk mengingatkan kita bersama mencantikkan akhlak dalam membawa mesej dan syariat islam yang teramat cantik. Mana mungkin keindahan islam mampu ditonjolkan jika kita tidak menghias diri dengan keindahan akhlak islami..

Senarai akhlak yang ku tulis di sini hanyalah sebahagian dari akhlak yang sewajarnya dimiliki, agar insan-insan yang berada di sekeliling berasa tenang dan lapang..  Teruskan mengkaji akhlak-akhlak yang dipimpin Rasul SAW, teruskan berdoa meminta kekuatan dari ALLAH agar ditunjukkan kepada kebaikan akhlak, dan dijauhkan dari keburukan akhlak...

Renung-renungkanlah ke dalam diri... Adakah kita memiliki ciri-ciri di bawah....

Tidak ada masa/ tidak biasa untuk mengemas meja studi dan bilik tidur…?

Tidak biasa menjaga kekemasan diri dan kewangian badan…?

Tidak biasa mengukir senyuman ikhlas buat teman-teman …?

Tidak biasa menepati waktu…?

Tidak biasa berlemah lembut dengan ibu ayah jua teman-teman…?

Tidak biasa menyiapkan tugasan pada waktunya…?

Tidak biasa menahan marah…?

Tidak biasa berterima kasih…?

Tidak biasa meminta maaf dan memberi maaf…?

Tidak biasa berbaik sangka…?

Tidak biasa menahan diri dari mengumpat…?


Perhatikanlah akhlakmu.. Berhati-hatilah jika dirimu memiliki banyak akhlak seperti di atas, berusahalah perbaiki.. Kerana seorang pelajar muslim yang mukmin seharusnya…


 Menjaga kekemasan dan kebersihan meja studi dan bilik tidur

 Menjaga penampilan diri dan memelihara bau badan

 Membiasakan bermanis muka tatkala bertemu teman-teman

 Bersungguh-sungguh menepati waktu dan memenuhi janji

 Menghadapi ibu bapa dan teman-teman dengan hikmah dan berlemah lembut

 Ihsan dan itqan dalam menyiapkan tugasan

 Mendahulukan kesabaran dari kemarahan

 Mudah berterima kasih, kerana selalu menghitung kebaikan dari teman-teman

 Mudah memberi memaaf jua mudah meminta maaf

 Menghapuskan prasangka buruk, mencari jalan mendapatkan penjelasan

 Memelihara lidah dari ucapan yang sia-sia, menjauhi umpatan

Selamat memuhasabah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...