Monday, March 15, 2010

Membina Syaksiah Daieyah [ Daie Kampus]


 
Wahai teman-teman dan adik-adik yang bergerak di alam dakwah kampus, ingin saya kongsikan beberapa perkara yang perlu dimiliki dalam perjalanan tarbiyyah yang panjang ini. Moga dalam kesibukan kalian bekerja dan belajar, kalian mencari kesempatan meningkatkan kualiti diri sebagai daie. Jua paling menjadi peringatan buat diri saya yang berusaha istiqamah mencari jalan kebenaran bersama kalian..

Pertama, perlu cerdas dalam berorganisasi. Jalan tarbiyyah memerlukan bukan sahaja peribadi-peribadi yang ikhlas, namun harus produktif dan memaksima potensi diri. Dengan kata lain, ikhlas sahaja tidak cukup, perlu bijak memanfaatkan organisasi yang disertai untuk memacu perjalanan dakwah dan tarbiyyah.

Mahasiswa yang cerdas memilih organisasi yang sesuai dengan fitrah, bukan sembarangan organisasi seperti Kelab XXX yang membudayakan pergaulan bebas, yang fokus hanya pada pembangunan fizikal, mental tapi mengabaikan pembangunan jiwa para ahlinya. Sangat perlu memilih kelab yang mampu menggarap potensi kalian sebagai pemuda dari segala aspek seperti kepimpinan, komunikasi, teamwork etc terutama aspek kecerdasan iman dan ruhiyyah, di sebalik seribu satu agenda musuh-musuh islam yang meruntuhkan peribadi islami pemuda yang mencari erti mukmin.

Tidak semestinya memilih Persatuan Pelajar Islam atau Kelab Amar Makruf, namun organisasi yang dipilih sebaiknya boleh bekerjasama dan berkembang untuk misi dan visi dakwah. Kecerdasan kalian memilih akan membantu kalian melihat organisasi kalian sebagai wasilah yang sangat baik untuk menghidupkan aktiviti dakwah dan tarbiyyah.

Apa kesan tidak cerdas mengorganisasi..? Pertama, kerja banyak, masa terbuang, namun tidak nampak nilai tarbiyyah. Sibuk ke sana ke mari berprogram, ruhiyyah menjadi penat, kerjasama dengan rakan sekelab mudah kucar kacir kerana matlamatnya jauh dari membawa manusia mengenal ALLAH. Timbul lah isu untuk meletak jawatan dan gosip liar memburukkan persatuan sendiri.

Kedua, apabila hebat berorganisasi tapi tak cerdas - hasilnya kita kenal ramai orang, orang besar orang kecil, namun kita tidak manfaatkan untuk menggiatkan dakwah dan tarbiyyah. Hanya berbangga mendampingi tokoh-tokoh yang dikenali, namun rakan persatuan yang lain makin hilang jati diri kerana program-program yang dianjurkan sifatnya sementara dan kering' - hanya memenuhkan jadual progam setiap semester. Banyak aktiviti, namun tiada sasaran yang jelas.

Seterusnya, seorang daie perlu memiliki gagasan pemikiran yang mantap dan luas. Harus Membaca. Membaca. Membaca. Seperti pesanan murobi tercinta saya, tidak boleh tidak, seorang daie perlu selalu memperdalam ilmu dan kematangan dengan jadual bacaan yang konsisten. Apapan bidang dan pilihan ilmu yang ingin dikuasai, semua ini perlu bersumber Al Quran dan As Sunnah. [Murobi saya itu juga mengingatkan untuk berusaha semampunya mengamalkan ilmu yang diketahui, kerana sebagai manusa kadangkala terjatuh pada kesalahan, terdedah melakukan keburukan.]

Tidak mungkin manhaj Islam yang benar mampu disampaikan jika para daie hanya memetik kata-kata 'murobi tercinta', atau ucapan senior dalam persatuannya, atau kata-kata penasihat dan pegawai-pegawai agama kampus tanpa dirinya cuba memahami islam dalam manhaj yang benar.

Tidak mungkin mempunyai kekuatan hujah jika tak intensif dengan tilawah dan tadabur Al Quran. Perlu dekat pada Sunnah Rasulullah SAW dan cinta untuk mengamalkannya. Dengan ilmu yang sentiasa dipelajari, para daie mampu meneguhkan gagasan pemikiran bukan sekadar berorientasi kejayaan dunia, namun gagasan pemikiran yang membawa keberuntungan sebenar di akhirat.

Untuk menyaksikan kesinambungan dakwah juga, daie kampus harus punya sensitiviti yang tinggi untuk menjaga keamanan perjalanan tarbiyyah dan dakwah di kampus. Berusaha 'memurnikan' program dengan kelulusan HEP, mengikut syarat yang diletakkan dalam berprogram dan menghindarkan underground activity yang boleh menyingkatkan usaha tarbiyyah kita. Sering saja mahasiswa kampus dalam semangat dan kesedaran menegakkan agama, terburu melanggar peraturan HEP dengan alasan 'dakwah ini sifatnya ditentang', maka mereka pun terus mengetepikan pandangan orang lain yang minta program ditangguhkan, diubah atau dibatalkan.

Daie yang cerdas memandang jauh ke depan, tidak mahu di lucutkan dari gelaran mahasiswa kerana emosi, tidak mahu usaha tarbiyyah orang lain di kampus juga terus dipatahkan HEP hanya kerana semangat yang melebihi kematangan.

Ya, dakwah menyeru pada manusia kepada ALLAH itu sunnatullahnya dimusuhi sepanjang adanya langit dan bumi, namun CARA berdakwah itu tidak harus dibenci orang[mad'u]. Perlu mengambil ibrah dari dakwah Rasulullah yang berkembang luas, bagaimana Rasulullah sangat matang berdakwah dengan nilai ilmu dan keimanan tanpa melupakan perancangan jua strategi.. bagaimana indahnya tutur bicara dan perilaku baginda yang menjadikan orang sekeliling cinta pada agama ALLAH ini, lembutnya sikap baginda amat menyentuh perasaan, dalam masa yang sama, ketegasan baginda tidak menjengkelkan... inilah yang berusaha kita contohi.

[Wahai para daie kampus, timbalah pengalaman sebanyak-banyaknya di kampus, pengalaman itu tidak datang sendiri melainkan melalui jatuh bangun, kejayaan dan kegagalan kalian sepanjang berprogram dan beraktiviti. Daie yang ikhlas akan membantu saudaranya yang tersilap di jalan dakwah, daie yang ikhlas juga akan mengambil teguran dan nasihat temannya untuk terus thabat di jalan yang sulit ini.]

Yang keempat, ayuh saudaraku, kita berusaha menjadi teladan dalam beramal. Inilah bahagian sukar dalam lapangan dakwah, kita diuji dengan kekangan diri untuk merealitikan kebaikan yang diseru. Kita alpa melakukan kebaikan yang diseru kadang-kadang, ada masanya diri sendiri terjatuh pada perkara berdosa dan maksiat yang kita cuba cegah di jalan tarbiyyah ini.

Banyak sekali senarai karater mulia yang perlu dilengkapkan pada diri. Sudahkah kita para daie menjadi anak, suami atau isteri yang menunaikan sebaiknya hak ibubapa dan pasangan? Sudahkah kita menjadi orang yang menjaga dan memanfaatkan masa hingga kita menukar 'janji melayu' kepada 'janji daie'? Menjadi daie sangat perlu untuk mempunyai akhlak yang mendamaikan hati di mana pun berada. Sangat penting menjaga itqan dan jiddiyah di lapangan kerja dan belajar.

Yang terakhir, para daie harus punya ruhiyyah yang tinggi. Semakin banyak bekerja, semakin jauh melangkah di jalan dakwah ini, para daei harus mempunyai ruhiyyah yang sering basah dengan keimanan dan ketaqwaan. Kekuatan ruhiyyah menjadi bekal agung dalam dakwah. Ruhiyyah itu ibarat petrol pada kenderaan, harus selalu diisi supaya perjalanan lancar dan istiqamah. Ruhiyyah yang segar itu yang memperbaharui keikhlasan.

Ada kata-kata menyebut, iman itu turun dan naik. Benar sekali, arus global yang bergerak pantas menyaksikan kepantasan syaitan melemah segenap kekuatan muslim. Mudah sahaja rasa bersemangat di pagi hari, namun di petang hari imannya kembali memudar. Hanya mujahadah dan hati yang sering zikrullah jua zikrulmaut dapat memelihara diri dari godaan dunia dan tipudaya syaitan.

Duhai pemuda daie di kampus, kitakah yang sering berprogram ke tengah malam hingga lelah tidak terbangun untuk solat malam? Malah subuhnya sering di penghujung waktu...? Kita kah berprogram menjaga kebajikan teman sekampus, adakah kita juga prihatin urusan ibu ayah yang menanti kehadiran kita memberi warna baru dalam musykilah keluarga yang tak kunjung habis..?

Kitakah yang rancak bersembang hal dakwah namun tidak rancak bertilawah dan tadabbur sedangkan Al Quran itulah yang menyalurkan kekuatan terhebat pada para sahabat dalam memperjuangkan Islam. Mungkin kah benar menyeru pada ALLAH jika Al Quran dan solat tahajjud tidak menjadi sumber rujukan, ketenangan dan kekuatan para daie sekalian.

InsyaALLAH sama-sama kita kembali cerdas dalam berorganisasi, dan meningkatkan wawasan pemikiran dengan pembacaan dan pengkajian ilmu. Bersama juga kita meningkatkan sensitiviti menjaga 'keamanan' perjalanan dakwah untuk jangka panjang di samping menjadi teladan dalam beramal. Dan teruslah kesegaran ruhiyyah di jaga agar kita sering ikhlas dan istiqamah di jalan para rasul.

Inilah sedikit sebanyak perkongsian saya yang belajar untuk bersama-sama kalian mencari redhaNYA, insyaALLAH marilah kita sama-sama memuhasabah diri memberi yang terbaik dalam amanah yang ditunaikan.


Destinasi cinta yang sama, walau karakter berbeza



Seorang teman rapat berkongsi pengalaman diri bahawa dia pernah ‘rasa dengki dan membenci’ seseorang teman yang rapat dengannya. Dia dengki kerana teman perempuannya itu lebih lembut, lebih sopan, lebih baik dan lebih disukai oleh ramai kawan berbanding dirinya. Dia benci memandang wajah si teman, selalu rasa ingin bergaduh dan ingin memarahi tanpa alasan yang kukuh. Namun sekarang mereka berdua telah berkawan baik.

Saya bertanya, “ Jadi macam mana sekarang dah boleh berbaik-baik?”

“Alhamdulillah kerana tarbiyyah..” Jawabnya.

Saya memahami bahawa program pentarbiyyahan islamiyyah – usrah, MABIT, daurah, rehlah, mukhayyam etc – telah memproses diri teman saya untuk membuang karat-karat mazmumah. Jalan pertarbiyyahan yang berterusan diikutinya telah membina peribadinya untuk menjadi seorang yang pemaaf, bersabar, berlapang dada, mendahulukan kepentingan saudara dan menjauhkan diri dari dengki dan buruk sangka.

Namun saya melihat bahawa manusia itu sering saja berpisah dan berpecah kerana karakter yang berbeza. Padahal ada disebut bahawa perbezaan itu ALLAh jadikan untuk lebih saling mengenal dan saling mengasihi.

Saya sendiri beberapa kali diuji dengan ketidakmatangan menghadapi perbezaan. Yang terbaru, saya berasa tidak suka dengan seorang ukhti yang serius dan kelihatan sombong, padahal itu hanya prasangka buruk saya. Saya berasa tidak selesa dengan keberadaannya dalam program yang saya hadiri.

Saya tertanya-tanya pada diri sendiri, saya susah nak benci orang, tapi kenapa dengan ukhti ini saya ada aura yang negatif…? Ada sesuatu yang buat saya macam tak suka dia dan saya rasa dia pun macam tak suka saya…

Hingga akhirnya ALLAH mentakdirkan saya dan dia perlu bekerja erat untuk program pentarbiyyahan, nyata sangkaan saya salah belaka. Saya rasa amat berdosa. Ternyata benar firman ALLAH dalam Al Quran, kebanyakan prasangka adalah dosa. Ianya salah. Ukhti yang tidak saya sukai ini rupanya seorang yang baik, matang, prihatin dan mengambil berat malah sangat komited dengan tugasnya.

Malah tanpa diduga dia kini menjadi teman terbaik yang saya ada. Saya kini sering mencurahkan rasa hati dan berkongsi masalah dengannya, orang yang saya pernah benci. Hati saya menangis kerana pernah merasa tidak suka dan bersangka buruk padanya.

“Kerana apa aku tidak suka padanya dulu…?” Saya terus memuhasabah diri. Saya tidak mahu mengulangi. Saya tidak mahu hati saya kotor kerana merasa diri sendiri baik dan orang lain kurang bagus - hingga benci, tidak suka dan tidak selesa menghuni hati.

Setelah memuhasabah, saya terfikir bahawa saya tidak menyukainya kerana ada beberapa karakternya terlalu bertentangan dari karakter saya. Tidak perlu saya nyatakan di sini. Namun memang tidak wajar alasan berbeza karakter itu mewujudkan benci di hati saya.

Alhamdulillah destinasi cinta telah menemukan kami. Kami mencari dan menuju cinta yang Satu. Walau berbeza, kami tidak putus asa menjadi orang-orang bersaudara di jalan ALLAH. Saya belajar bahawa setiap orang ada perwatakan dan cara yang tersendiri - yang perlu kita hormati dan pelajari.

Andai saudara itu punya ciri yang positif, bersama kita contohi dan hargai. Andai ciri itu negatif, kita membantunya untuk berubah pada yang lebih baik.

Yang penting, kita semua ingin ke taman indah yang seluas langit dan bumi. Dan bertemu ALLAH.



Wednesday, March 10, 2010

Serahkan hatimu padaNYA...




"hati tak tenang,, ibadah tak terjaga,,study pun tak fokus,,

ruang memori dalam otak ni macam banyak kosong je.. cuba nak

isi,, tapi tak terisi..

nak exam esok,, tak tahu nak jawab apa,,sebab macam tak ingat apa-apa je...

Lemah sungguh iman

Rapuh sungguh hati

Murah sungguh air mata

baca quran,,solat..tapi tak dapat ketenangan..

Tak tahu nak buat apa dah..

Call mak,abah..

Semua harap lulus exam kali ni,,tapi entahlah..

Macam akan menghampakan mak ngan abah je.."

Begitulah bunyi perkongsian seorang adik nun di seberang laut yang sedang menghadapi musim exam di semester awal bidang perubatannya.. Lalu ku nukilkan sebuah peringatan khas untuk dirinya yang ku sayang, jua buat diri ini dan kalian yang bersama-sama di arena menata kehidupan sebuah hati anugerah ilahi.

Tentang hati yang tak tenang. Hati yang merapuh..

Adikku sayang, hati inilah punca ibadah yang tak terjaga.. hati inilah yang memudarkan semangatmu bersungguh-sungguh dengan tuntutan studi.. kerana kita yang bernama manusia, menjadi manusia pada sebuah jiwa, pada sekeping hati dipanggil roh yang ALLAH titipkan pada penciptaan seorang manusia. Jiwa ini jugalah yang menikmati sakit manis perjalanan kehidupan sempit dunia ke akhirat yang luas berkekalan.

Adikku sayang, kadangkala dalam menjalani kesibukan harian, kita terlupa menata hati. Kita terlupa membersihkan hati. Kita terlupa menyentuhkan hati ini dengan 'makanan dan minumannya' hingga hati berasa letih, kosong dan kering.

Mulut berzikir menyebutNYA telah menjadi rutin selepas solat, atau mulut berzikir bila disiplinnya diri dengan zikir pagi dan petang, namun hati tidak merasa terhibur sedangkan zikrullah adalah penghibur yang terbaik (minuman hati).

Pagi dan petang kita mendirikan solat, namun solat itu tidak menghubungkan jiwa yang satu ini dengan ALLAH Ar Rahman Ar Rahim. Solat sekadar kewajipan yang kadangkala berat dan lewat kita melaksanakannya. Masa tidak terjaga, kusyuk kurang pula. Lalu solat tidak meleraikan keresahan jiwa sedangkan solat adalah medan komunikasi intim dengan ALLAH, buat manusia menghamparkan cinta, duka lara dan hatinya yang selalu alpa(menjadi makanan hati).

Hati tidak tenang kerana hati itu sering dibawa berlari merentasi kesulitan dan kesibukan urusan harian, namun jarang sekali hati itu dipimpin pada indahnya rahmah dan aturan tuhan.

Hati tidak tenang kerana titis-titis dosa yang meresap ke dalam hati tidak selalu dibersihkan dengan istighfar yang berterusan, tidak bertaubat dengan kerendahan perasaaan. Malah mungkin merasakan diri maksum tanpa kesalahan.

Duhai adik, mungkinkah hati tenang jika hati dibiarkan lama terputus dari merasai hakikat kehidupan, terputus dari keikhlasan sebuah pengabdian. Mungkinkah hati tenang jika hati seringkali tersasar dari tujuan hati ini diciptakan..

Adikku, ayuh kita kembali meneruskan ibadah yang tak terjaga.. Kita solat, mujahadah lah agar hati kusyuk menghadap tuhan. Dalam doa di sujud-sujud yang panjang kita mohon rawatan dari tuhan, hati ini kita mohon dbersihkan. Jiwa ini mohon dikuatkan. Perasaan ini mohonkanlah agar kembali mengenal kasih sayang tuhan.

Ayuh bawa hati ini pulang pada tuhan, dengan zikrullah yang penuh penghayatan, dengan tahajjud di malam sepi untuk membasahkan jiwa yang kegersangan.

Berusahalah menangiskan hati.. adukan pada Yang Maha Mendengar, Yang Maha Mengetahui, bahawa hati ini terkadang lemah, bosan dan alpa. Hati ini sering merasa kepayahan menunaikan kewajipan, hati ini terkadang amat lelah dalam perjuangan menjadi baik. Hati ini terkadang kalah penilaian, kalah dengan tipudaya syaitan.

”Bantulah kami untuk merindui pertemuan dengan MU ya ALLAH. Bantulah kami untuk sentiasa mengingatiMU.. ” begitulah antara rangkai kata doa yang Rasul SAW ajarkan pada umat yang dicintai baginda ini.

Menata hati ini semestinya bukan sekali, bukan dua kali, bukan seratus kali.. Namun hati ini berulang kali tanpa henti perlu disucikan, didoakan, diisi ilmu, dikuatkan dengan kalam tuhan selagi nyawa tidak berpisah dari badan.

Dalam diri mengejar pencapaian, menunaikan kewajipan, mencari hiburan – jangan sekali-kali hati ini dilupakan.

Ada kata-kata menyebut 'Alangkah hairannya melihat manusia yang bersedih dengan kematian, menangisi perpisahan, sedangkan dirinya tidak menangisi jiwanya sendiri yang telah lama kematian, hanya jasadnya bergerak untuk segala keperluan. Sedangkan manusia itu mulia dengan jiwanya yang membezakan dari haiwan..'

Jiwa itu mati bila tidak dibersihkan, tidak disucikan, tidak dibawa pada ketaatan dan penyerahan pada Sang Pencipta.

Menata dan membersihkan hati bukanlah senang, kerana hati itu bersih dengan kepayahan, mujahadah, perjuangan meninggalkan godaan nafsu syaitan. Hati itu teguh dalam keberterusan sebuah ketaatan. Hati itu tidak disucikan dengan ketawa dan kegembiraan berlebihan, namun hati itu bersih dengan tangisan dan rintihan yang membelah perasaan.

Teruslah kita mencari ketenangan , dengan membawa dan menyerahkan jiwa ini pada tuhan....

Menjadi Solehah



Solehah.

Sepatah perkataan yang mudah disebut. Perkataan yang memberi maksud sesuatu yang paling baik diantara perhiasan-perhiasan dunia yang lain. Perkataan yang indah bilamana ia benar melambangkan maksudnya. Perkataan yang cantik bila ia dimiliki dengan sebenarnya oleh pemiliknya.

Namun solehah ternyata bukan mudah pada realiti kehidupan ini. Solehah itu bukan hanya boleh dinilai di penghujung perjalanan, namun sentiasa diberi nilai dalam setiap tahap-tahap kehidupan.


Mudahkah menjadi anak yang solehah? Bila balik bertemu ibu ayah sekali sekala , dua tiga hari di kampung, mempamer dan menonjolkan akhlak terbaik, mentaati tanpa jemu setiap permintaan ibu dan ayah. Tapi bila tinggal lebih lama, hati mula jemu, mula kurang sabar, suara tidak lagi rendah dan lunak – disuruh mula berdalih dan merasa berat, ditegur mula memberontak mempertahankan kesilapan...

Wahai anak, di manakah solehahmu pada ayah ibu yang terlalu banyak pengorbanan dilakukan untukmu?

Mudahkan menjadi gadis yang solehah? Di akhir zaman yang mendatangkan fashion yang menampakkan keindahan berharga seorang perempuan, mampukah menepis nafsu yang sering ingin cantik di pandangan awam,,, Membiarkan diri dan tubuh dijamah pandangan lelaki murahan kerana tipis dan pendeknya pakaian...? 

 Dengan akhir zaman yang membuka seluas-luasnya ruang perhubungan lelaki dan perempuan, dengan ransangan filem-filem, lagu-lagu dan bahan bacaan yang menghidup kan rasa cinta hingga menyala-nyala dalam dada, mudahkah untuk menepis kedatangan SMS, call, chatting YM, Facebook, email etc yang bertalu-talu dari lelaki yang 'soleh' dan tak soleh?

Awalnya mungkin mudah, dengan prinsip cinta hanya untuk suami dan isteri, tapi jika konsistennya SMS yang caring lagi prihatin hingga menghidupkan warna merah muda dalam hati, mampukah lagi menolak? Mampukah lagi mengelak dari serangan-serangan perasaan ‘fitrah’ yang ingin disayangi dan menyayangi, lebih-lebih lagi teman-teman disekeling juga tidak lagi sendiri ?

Mudahkah menjadi solehah, jika pergaulan yang dirasakan sederhana mengundang curiga dimata masyarakat? Mengundang cemburu di hati si isteri-isteri? Mengundang fitnah di hati yang berlainan jenis?

Mudahkah menjadi isteri solehah? Di awal mahligai cinta dibina dalam pernikahan, waktu kasih membara, solehah itu seolah pasti terjadi, ada ketaatan sebelum dipinta, ada layanan kelas pertama, ada pengorbanan yang tidak terasa, ada kelembutan yang mempesona, diri terhias tersembunyi dan nyata..

Namun, bila masa berlalu memaparkan suami sebagai insan biasa-biasa punya banyak alpa, yang terus zahir pada suami adalah terlalu banyak keburukan dan kelemahan. Hingga tidak merasa perlu mentaati dirinya yang dulu pernah paling ditaati, hingga acuh tak acuh pada suami yang dulu mendapat cinta kelas pertama, hingga tidak mampu melihat apatah lagi mensyukuri pemberian suami pada keluarga.

Pudar kasih, luput sayang, yang ada hanya lah hati yang luka berbisa. Tiada penghormatan, tiada penghargaan, yang ada hanya ungkitan kesilapan pasangan . Tiada kesyukuran, tiada keredaan hingga diri memikirkan untuk meruntuhkan, melarikan diri dari perjanjian dan ikatan yang dibuat atas nama ALLAH…

Dimanakah solehah? Waktu belum dituntut menjadi pasangan, di luar ikatan mampu menjadi solehah memenuhi segala permintaanya, memohon maaf penuh perasaaan atas kesilapan padanya, mengasihinya sepenuh jiwa raga, tidak mahu melukai hanya ingin mencintai… merasa hebatnya aura sayang dua jiwa dipenuhi kata-kata sopan lagi manja…namun bila ikatan pernikahan yang benar-benar menuntut soleh dan solehah,.. terus sirna, kesopanan dan kelembutan hilang ditelan kejemuan… solehah, dimanakah solehah…?

Solehah…bagaimanakah untuk solehah..? Bagaimanakah untuk terus solehah selepas diri jauh meninggalkan solehah…? Bagaimanakah untuk tetap solehah diwaktu tidak lagi ingin solehah?

Bagaimana bertahan untuk solehah sewaktu sukarnya ingin menjadikan diri solehah?

Sukarnya solehah…sewaktu masih sendiri, terasa sukar menjaga kesucian diri dan hati.. kerana diluar sana tarikan untuk memudarkan solehah terlalu tinggi,… dan sewaktu sudah bersuami, mungkin lebih sukar kerana ada pula hati suami untuk ditaati , dijagai agar tidak tercalar, sedangkan hati dan iman sendiri masih terkontang kanting kering nur rabbani…

Solehah itu anugerah ilahi. Mahal harganya, Tak terhitung nilai kepayahannya, Kerana syurga balasannya.

Ya ALLAh ajari aku untuk solehah dalam menghadapi ujian-ujian dariMU, uJian kesenangan atau kesusahan.

Bantulah aku untuk memilih solehah dari yang lainnya dalam keadaan sukar atau mudah. Bantulah diri hambaMU ini agar mampu ku mentaatiMu, yang dengan nya menjadikan aku mampu mentaati ibubapaku dan sesiapapun yang perlu ku taati.

Bantu lah aku memenunaikan segala suruhanMu agar mampu ku tunai hak-hak sahabat dan saudaraku ingin ku cintaiNYA keranaMU.. Bantu lah diriku menjauhi segala laranganMu agar ENGKAU memberikan jalan keluar atas segala urusanku.. Bantu lah aku ya ALLAH, dengan rahmat da kasih sayangMU perbaiki lah urusan ku dan jangan biarkan ku membuat keputusan sendiri walau sekelip mata.

Bantulah diriku untuk memilih solehah walau memilih solehah terasa letih, sakit dan sukar bagi diriku, namun izinkan diriku bertemu asiah, maryam, khadijah dan fatimah di dunia sana yang berkekalan...



* Artikel muhasabah diri yang dikorek dari folder artikel yang ditulis setahun yang lepas..









Marriage is..





When men and women fail to form stable marriages, the result is a vast expansion of government attempts to cope with the terrible social needs that result. There is scarcely a dollar that the state and federal government spends on social programs that is not driven, in large part, by family fragmentation: crime, poverty, drug abuse, teen pregnancy, school failure, mental and physical health problems.

Maggie Gallagher


**************

When there is love in a marriage, there is harmony in the home; when there is harmony in the home, there is contentment in the community; when there is contentment in the community, there is propsertiy in the nation; when there is prosperity in the nation, there is peace in the world.

****************

Marriage is a public good, not just a private relationship. We have a public stake in healthy marriages and two-parent families. Our society suffers with the collapse of the relationship of the couple who brings a child into the world.

Bill Doherty, DrBillDoherty.org

**************

If we are serious about renewing fatherhood, we must be serious about renewing marriage. . . . Healthy marriages are not always possible. But we must remember, they are incredibly important for children.Our hearts know this and our nation must recognize this.None of us is perfect. And so no marriage and no family is perfect.


******************

Successful treatment of domestic violence must restore the sense of father as protector for the well being of women, children, and society-at-large. Children do not need fathers to fight and die for them; they need fathers to live for them, to value them, and to value what they most value - their mothers. A father who truly protects his children cannot possibly hurt their mother.

Steven Stosny, compassionpower.com





Ayah Ibu Juga Bahan Belajar Kita..




Adikku, diri ini cuba mengerti luahan hatimu yang terbuku dengan insan bernama ayah ibu. Diri ini cuba memahami tekananmu menghadapi hari-hari yang sering melihat pertengkaran ayah dan ibu.

Dalam masa yang sama, cuba jua hati ini merasai perasaan insan bernama ayah dan ibu. Fitrah mereka menyayangi dan mempeduli anak-anak yang dikurniakan.. bukan menyayangi, tapi sangat-sangat menyayangi. Di dasar hati mereka menginginkan kesenangan dan kesejahteraan anak.

Tidaklah kesalahan dan kelalaian mereka mengurusi jiwa dan peribadi anak disengajakan, namun ada sebab yang membenarkan persengketaan ini berlaku.

Mungkin kerana tekanan. Atau kejahilan.

Konflik, perselisihan dan pergaduhan yang kita saksikan di jendela keluarga bukan didatangkan tuhan tanpa kebaikan. Kesedihan, kekesalan dan kepahitan yang telah kita tempuh sedari dulu sarat pengajaran dan kemanisan.

Pengajaran dan kemanisan yang bagaimana ..?

Adikku, bukankah dari pertelingkahan keluarga dan keserabutan keluarga telah menunjuk jalan untuk kita menghampiri tuhan? Bukankah kekecewaan perpecahan itu menghadiahkan kita sebuah kematangan?

Ujian berat itu ALLAH kurniakan sebagai bahan belajar buat kita. Kata-kata negatif ibubapa dan ahli keluarga telah menjadi senjata yang memisah-misahkan. Lantas, kisah sedih itu mendorong kita mendalami medan komunikasi dan pertuturan. Kerana tidak mahu kesilapan menyampaikan dan kesalahan perbicaraan mematikan kegembiraan anak kita di masa depan. [Sama ada anak kandung, atau anak didik atau sesiapa pun yang kita kongsikan pengalaman.]

Mak ayah menghamburkan perkataan yang mengguris perasaan, mungkin kerana tertekan meniti kehidupan. Tekanan wang ringgit, tekanan pekerjaan, tekanan membesarkan anak-anak, mengurus rumahtangga dan mungkin tertekan kerana jauh dari pedoman tuhan.

Lantas, kita belajar dan tekadkan di hati, diri-diri kita harus kuat menempuh dugaan. Agar kelak anak-anak didik kita tidak menjadi tempat menghambur kerunsingan, tidak terguris hatinya hanya kerana kegagalan kita mengawal perasaan. Kita harus terus berjuang mencari ilmu agar amanah seserius perkahwinan dan menjadi ibubapa kita hadapi dengan kebijaksanaan..

Adikku sayang, telah kita belajar di medan ilmu bahawa betapa tingginya tempat ibu dan ayah di sisi tuhan.. lihatlah ayah ibu kita dengan rasa kasing sayang penuh kemuliaan.

Satu ketika, diri kita pernah bahagia dan damai di pelukan ayah dan ibu. Kecomelan dan ketenangan wajah kita suatu waktu memberi kegembiraan di sudut hati mereka. Bolehkah kebahagiaan itu kita kembalikan?

Kita tertekan, lalu tanpa disedari, perasaan ayah ibu kita lukakan.

Adikku sayang, kita tidak mampu kembali ke masa lalu. Hari ini sahaja yang ada untuk kita membuat pilihan.. Kita memilih untuk memperbaiki keadaan. Kita memilih untuk memaafkan dan melupakan kesalahan.

Ibu ayah juga melakukan kesilapan, mereka juga sedar dan ingin bangkit membetulkan kesalahan. Lalu kitalah yang membangkitkan harapan pada mak dan ayah.

Mohon keampunan agar urusan diberi jalan keluar olehNYA. Agar ALLAH menyatukan hati kita dan ayahbonda. Agar ALLAH menjauhkan kita dari menjadi permainan syaitan durjana.

Manisnya,... betapa manisnya bila kesusahan birrul walidain ini kita redahi kerana meyakini janji tuhan. Manisnya terasa bila mengingatkan ayat-ayat ALLAH, bahawa DIA bersama-sama orang yang bertaqwa dan melakukan perbaikan.

Perjalanan berbuat baik dan membetulkan kesilapan bukan sehari dua, bukan seminggu dua..mungkin berbulan, mungkin bertahun, namun inilah langkah pertama.

Wednesday, March 3, 2010

Projek Dakwah & Tarbiyyah : Sepanjang Tahun Dan Hayat

Makna dakwah boleh diertikan dengan mengajak manusia kepada Allah dengan hikmah dan nasihat yang baik, sehingga mereka meninggalkan thaghut [jalan syaitan dan kesesatan], hingga beriman kepada Allah agar mereka keluar dari kegelapan jahiliyah menuju cahaya Islam.

Tarbiyyah pula antara lain bermaksud proses pembentukan peribadi muslim yang siap menanggung amanah sebagai khalifah dan hambaNYA.

Saya tidak akan lupakan pengorbanan murobi murobiyyah saya yang bersungguh-sungguh dan merancang dengan baik agenda dakwah dan tarbiyyah hingga saya termasuk dalam golongan mereka yang merasa bahagia dengan nikmat tarbiyyah, mengenal ALLAH dan Rasul, mengenal Islam sebagai cahaya dan sumber ketenangan yang amat besar. Alhamdulillah... [namun sejauh mana saya memanfaatkan nikmat iman dan tarbiyyah islamiyyah itu?]

Bermula lebih 5 tahun yang lalu, murobi dan murobiyyah [ orang yang mentarbiyyah] saya menghadapi cabaran masing-masing dalam menyampaikan islam dan membentuk kefahaman dan keperibadian saya [dan rakan-rakan seusrah] sebagai muslim soleh dan musleh. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih, moga ALLAH mengganjari mereka dengan kurnia yang besar lagi baik. Bukan bermakna sudah jadi soleh dan musleh namun permulaan tarbiyyah dari mereka mencetuskan keinginan yang alhamdulillah masih berdenyut hingga kini.

Masuk ke IPT di tengah bandaraya Shah Alam bukanlah sesuatu yang mudah dihadapi oleh anak muda yang cenderung dengan keseronokan dan apa sahaja yang ada di sekelilingnya. Jiwa yang rapuh akan tenggelam melayan nafsu lantaran iman yang tidak ditempa, dan ilmu agama yang terpinggir dari silibus dalam tahun-tahun pengajian.

Sebenarnya jika difikir secara serius adalah amat menakutkan membesar dan tinggal di dunia kini yang menyerap segenap kekuatan iman manusia. Generasi muda dan anak-anak sekarang melalui zaman dunia berada di hujung jari.

Dengan facebook, twitter, etc mereka saling bersosial tanpa batasan, percampuran lelaki perempuan dan pendedahan aurat di alam maya dan alam nyata, dengan handphone canggih mereka bebas menjelajah alam baru yang berselirat pornografi, judi, games khurafat dan lain-lain bentuk kelalaian hingga potensi akal, hati dan jasad generasi muslim melemah dan melemah menghadapi gegaran zaman.

Anak muda kini juga dihidangkan dengan hiburan keterlaluan, melalui movies, magazines, sports, fashion, concert serta segala program realiti tv yang menjauhkan lagi anak-anak ini dari hidangan Al Quran dan As Sunnah.

Murobi Murobiyyah saya datang ketika itu, dengan izin ALLAH pastinya, dengan misi mereka untuk mentarbiyyah generasi muda. Mereka ingin menyelamatkan pemuda dari terus lemah dengan arus zaman yang membaham moral dan agama kita.

Ketika itu, besar harapan mereka bahawa pada jiwa dan susuk gagah pemuda pemudi yang bergelar mahasiswa mahasiswi ini ada potensi yang boleh menyumbang kebaikan pada ummah dan agama ALLAH. Mereka tekad dan berkorban masa dan tenaga untuk menelusuri jalan para Rasul yang memimpin manusia kepada cahaya dan mengeluarkan dari kegelapan kejahilan.

Antara tajuk-tajuk terawal dalam usrah ketika itu ialah tentang Syahadah – saya diajar dan dijelaskan apa ertinya syahadah bagi kita sebagai seorang muslim. Sedangkan sebelum itu saya hanya tahu lafaz dan makna zahirnya...[dan masih banyak lagi untuk dipelajari..]. Melalui usrah juga saya diperkenalkan kepada Rasul SAW, apa keperluan insan kepada Rasul hingga usrah mingguan itu melahirkan cinta pada ALLAH dan Rasul.

Kini setelah kita mengakui mempelajari tentang ALLAH dan Rasul, adalah lebih berat untuk kita sampaikan pada orang lain. Kerana yang menjadi teramat berat juga adalah untuk kita sendiri mempraktikkan segala ilmu itu agar ia bukan sekadar teori yang tidak membumi di alam nyata.

Projek dakwah dan tarbiyyah yang besar ini sesungguhnya bermula dengan diri kita sendiri, kemudian disebarkan kepada orang lain. Malah ia akan sentiasa bergerak seiring , membangunkan ilmu dan keperibadian diri kita dan mengajak orang lain membangunkan potensi diri sebagai muslim dan mukmin.

Bermulalah dengan projek ini walaupun sedikit. Buat check list tentang letak duduknya amal dan iman kita, dan perlahan-lahan kita sampaikan pada insan dalam lingkungan kita berada. Menjadi teladan dalam keluarga. Membudayakan akhlak baik sesama adik beradik. Menghidupkan solat berjemaah dan tilawah dalam rumah.

Menjadi contoh di tempat kerja. Menjadi orang yang kerap meminta dan memberi nasihat. Memaksa diri berdamping dengan ilmu, terutamanya ilmu Al Quran dan As Sunnah namun tidak mengetepikan life skills yang lain. Menjadualkan aktiviti meneguhkan iman dan amal soleh, seperti mana kita menjadualkan waktu untuk 'cuti-cuti Malaysia', waktu untuk menziarah ibu bapa, waktu ’dating’ dengan suami, waktu menyumbang sedikit sebanyak dengan saudara-saudara muslim yang lain..

Ayuh kita terlibat dengan projek ini...!


”Ya ALLAH, bantulah kami untuk sentiasa mengingatiMu, mentaatiMu dan beribadah dengan terbaik padaMU. Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau tunjuki kami dengan jalan yang lurus..”









Dari jiwa yang berjuang..

Assalammu’alaikum wa rahmatullah.. Moga mama berada dalam kemanisan iman dan keteguhan taqwa..

Perjuangan saya telah bermula beberapa minggu yang lalu, alhamdulillah hingga saat ini ALLAH masih mengizinkan saya berada di alam rahim ini untuk menuju sebuah kehidupan yang lain.

Mama yang dirindui, saya bermula sebagai sel baru yang bernama Zygote, kemudian saya telah meneruskan perjalanan untuk menempel di rahim mama yang bakal menjadi tempat berteduh saya selama lebih kurang 38 minggu.

Mama, pada peringkat ini sebenarnya jantina saya sudah diketahui, hasil percantuman kromosom-kromosom mama dan papa yang telah berlaku. Tapi jantina apa..? Biarlah rahsia, hingga bulan-bulan seterusnya…lagipun mama dan papa kan bersyukur saja dengan apa jua rezeki yang ALLAH kurnia..insyaALLAH.

Tahukah mama, sepanjang kembara saya ke rahim mama, saya sentiasa membahagi-bahagi diri saya kepada sel-sel yang berganda-ganda banyaknya. Pentingnya sel-sel ini adalah untuk membentuk lapisan-lapisan, 3 lapisan, di mana setiap lapisan akan menghasilkan organ-organ yang berbeza pada tubuh saya kelak.

Dan bila saya telah berjaya sampai dan melekat di dinding rahim, ketika inilah mama telah mendapat status ibu mengandung. Alhamdulillah di tahap ini juga ALLAH Maha Kaya mengurniakan saya yang seberat lebih kurang 1 gram, satu tempat istmewa bernama placenta.

Mama yang dikasihi, ketika perjuangan saya sampai di sini, bermakna telah bermulalah kesulitan mama menghadapi hari-hari dengan ketidakselesaan fizikal. Mama rasa nak ke tandas selalu, mudah rasa penat, mual-mual, deria bau menjadi lebih sensitif dan beberapa simptom lain yang menguji kecergasan mama. Ini antaranya adalah tindak balas dari saya yang mula menghasilkan chemicals yang ada 2 fungsi.

Pertama, chemicals itu memberitahu pada badan mama bahawa saya telah tiba di dinding rahim mama, yang mana nama saya kini ialah embryo. Juga bahawa kehadiran saya akan mencetus beberapa perubahan pada mama, antaranya, your uterine wall softens, the mucus in your serviks thickens, and your breast begin to grow. Kedua, your immune system is suppressed so that the embryo is not treated as foreign and rejected, but it is allowed to grow [menurut yang ditulis Dr. Miriam Stoppard].

Mama, setelah minggu ketiga saya di alam ini, saya sebenarnya telah mengepam sendiri peredaran darah dengan jantung sendiri. Malah mungkin mama dan kawan-kawan seperjuangan mama kurang sedar bahawa pada minggu ketiga ini saya memasuki fasa yang sensitif dan penting iaitu pembentukan organ-organ dalaman. Mama sendiri pun menyedari kehadiran saya hanya selepas 5 minggu saya selesa berteduh dalam kasih sayang [rahim] mama yang ALLAH limpahkan pada kita.

Hmm..rasanya cukup setakat ini dulu. Saya mohon maaf atas kesulitan yang mama lalui sejak kehadiran saya. Mama, walaupun mama mudah penat, jangan manjakan diri dengan tidur banyak ya, mama boleh exercise yang ringan-ringan untuk pengaliran darah yang baik untuk mama dan saya.

Mama pun jangan lupa istiqamah dengan tilawah dan tadabbur Al Quran, yang menenangkan dan memotivasikan mama selalu. Kalau mama tenang dan lembut hati dengan Al Quran, insyaALLAH saya pun akan tenang dan bahagia dengan alunan dan peribadi AL Quran yang mama usahakan buat kita dan keluarga kita..


Sampai bertemu lagi,

Jiwa yang berjuang

p/s: Lupa nak pesan, mama banyakkan makan makanan yang segar lagi berkhasiat, no junk food and fast food ok :)

Membaca..apa yang dibaca..?


Berhentilah membaca, dan jangan berhenti membaca.

Berhentilah membaca majalah-majalah dan novel-novel picisan yang tidak memberi vitamin kecerdasan pada jiwa dan minda. Berhentilah membaca laman-laman web dan bahan bacaan lainnya yang penuh gossip, tentang kehidupan artis, tentang hubungan liar artis, tentang kisah runtuh rumahtangga artis dan orang-orang lain [jika bukan untuk mengambil pelajaran].

Namun, jangan berhenti membaca terjemahan Al Quran. Jangan berhenti membaca Al Quran hingga maknanya mampu menyembuh luka di hatimu. Jangan berhenti membaca Al Quran hingga ia mampu menimbulkan rasa takut pada tuhan. Jangan berhenti membaca ayat-ayat ALLAH, hingga destinasi dan peta hidup yang singkat ini tergambar jelas di minda dan tersentuh di hatimu.

Jangan berhenti membaca. Bacalah, itulah ayat ALLAH yang pertama di dalam AL Quran. Besarnya makna sebuah pembacaan, untuk kesinambungan kebahagiaan hidup di dunia sementara dan akhirat berkekalan. Bacalah, kerana membaca itu jalan meraih ilmu yang unggul.

Bacalah, bacalah dan bacalah.

Bacalah bahan-bahan yang boleh membantumu meningkatkan nilai diri sebagai anak yang dicintai.

Bacalah bahan-bahan yang mampu meninggikan izzah, iman dan amalmu sebagai muslimah.

Bacalah bahan-bahan yang mampu mendorong dirimu menjadi ibubapa yang amanah dan bertanggungjawab lagi disenangi dan dihormati.

Bacalah bahan-bahan yang memperbaiki dirimu sebagai suami dan isteri.

Bacalah bahan-bahan yang membantumu meningkatkan kebahagiaan dan kelancaran kehidupan – tentang masakan, kekemasan, pengurusan, kesihatan, kewangan, kemasyarakatan,...dan lain-lain.

Jangan berhenti membaca, kerana kurangnya membaca, dirimu akan terus di takuk lama. Bacalah, agar dirimu mampu mengmbara ke dalam minda dan cara hidup orang lain sebelum engkau menemui manusia di alam sebenarnya.

Berhentilah membaca, dan berhentilah mengikuti perkembangan tentang peserta Akademi Akasia dengan setiap musimnya. Berhentilah mengenali latarbelakang pasangan Sehati Berdansa.. Berhentilah membaca perkara yang tidak membawa kita ke mana, yang hanya mengenalkan kita pada para penghibur yang makin melalaikan diri.

Berhentilah membaca bahan-bahan yang mengajak kita ke arah pembaziran dan pemborosan. Berhentilah membaca majalah fesyen, pakaian, interior design seandainya ia hanya mendorong untuk menunjuk-menunjuk dan membeli di luar keperluan.

Jangan berhenti membaca, artikel-artikel kemiskinan dan kesusahan hidup yang orang lain hadapi. Jangan berhenti membaca kisah-kisah penyakit kronik yang manusia lain hadapi, agar kita mendapat kekuatan. Agar mendatangkan kesyukuran yang mendalam.

Jangan berhenti membaca kisah perjalanan insan agung bernama Muhammad. Telusuri kisahnya bersama keluarga, bersama para sahabat yang dijamin syurga dan yang menggebu imannya, bacalah kisahnya jerih perih membawa cahaya dan rahmat Islam kepada kita.

Jangan berhenti membaca AL Quran, yang mengenalkan kita pada pencipta. Jangan berhenti merenung dan berusaha memahami bait-bait indah dari kalam ALLAH buat pedoman mengharungi kehidupan.

Berhentilah membaca yang sia-sia dan berdosa, jangan berhenti membaca Ayat-ayatNYA dan hadis kekasihNYA.

How To Talk So Muhammad Will Listen..




Bila ada kesempatan bertemu adik-beradik, saya selalu ‘bergaduh’ dengan adik bongsu saya, Muhammad yang usianya menginjak ke Darjah Satu tahun 2010 ini. Saya penat bergaduh kerana merasa tidak tahan berhadapan dengan kerenah kanak-kanak sepertinya.

Dengan karekter lasak ‘tak reti duduk diam’ dan seribu permintaan serta pertanyaan yang pelbagai, saya mudah memilih marah untuk mendiamkan Muhammad.

Namun biasanya, selepas sesi marah-marah, saya rasa kesal, saya terfikir, adakah saya sebagai orang dewasa sahaja yang ingin perasaan saya dimengerti oleh nurani kanak-kanak sepertinya..? Adakah kemarahan saya berbaloi untuk menghidupkan nurani dan minda anak yang suci hati sepertinya..?

Inilah antara dialog yang berlaku antara saya dengan Muhammad:

"Kaklang, jom la main permainan ni dengan Muhammad.." ujar Muhammad memandangku penuh harap.

"Muhammad, kaklang dah letih, nanti-nanti lah kita main.." ujar saya dengan tegas dan marah bila Muhammad seolah mendesak ingin saya bersama bermain toys barunya. Muhammad pun pergi dengan wajah muram dimarahi. Saya rasa bersalah.

"Kaklang, Muhammad nak main basikal tu.." suatu ketika Muhammad merengek meminta basikalnya yang diambil orang.

“Muhammad kan dah besar, bagilah Aqil main dulu. Muhammad mengalah, nanti Aqil dah penat main, Muhammad main lah pulak.. faham tak..?” jua saya bernada tegas dan marah padanya yang terkebil-kebil melihat Aqil anak saudaranya yang berusia 2 tahun ‘merampas basikalnya.’ Muhammad tercegat di situ dengan wajah yang hampir menangis. Saya kemudian berasa bersalah.

"Muhammad nak tengok cd tu.. Muhammad tak nak mandi.." Ujar Muhammad sambil merenung wajah saya dengan muka masam.

"Dah berapa kali Muhammad tengok cd tu.. Pergi mandi sekarang.. SEKARANG… Dengar tak kaklang cakap!!!?" Lagi nada jerit dan tegang.. Muhammad dengan wajah masam dan rasa berat mengambil towel menuju ke bilik air.

Saya rasa bersalah, saya pula yang rasa sedih. Saya meletakkan diri mengimbau waktu kecil, saya ingat waktu-waktu yang perasaan saya sangat sedih kerana tidak didengari dan tidak difahami, luahan kanak-kanak ketika itu sering disambut dengan respon negatif dan menyaykitkan oleh orang-orang dewasa di sekeliling.

Saya tidak senang dengan karekter saya menghadapi situasi interaksi dengan Muhammad sebegini, lalu di libray UiTM Shah Alam tempat saya belajar, Alhamdulillah sahabat saya Nuraisyah Yunee, mempertemukan saya dengan buku bertajuk “How To Talk So Kids Will Listen And Listen So Kids Will Talk”.

Singgah di MPH Bookstore suatu waktu, saya membelinya, dengan beberapa bab pertama yang saya baca, saya cuba mempraktikkannya. Satu point pentingnya bagaimana untuk menjadikan anak lebih bertenang dan baik ialah – iktiraflah perasaan anak-anak. Dia akan mudah memahami arahan orang dewasa jika perasaannya didengari dan diakui.

Lalu saya pun berusaha menyusun dialog baru untuk berhadapan dengan Muhammad anak kecil yang bersih hatinya.

“Kaklang, jom la main permainan ni dengan Muhammad..”

“Muhammad suka ya nak main kapalterbang ni, best kan permainan baru ni. Tapi kan Muhammad, kaklang penat sangat, kita baru balik, bagi kaklang mandi dengan sembahyang dulu, nanti kita main sama-sama. Muhammad main sorang-sorang dulu boleh tak..? “ Ujar saya bertenang di sebalik kepenatan. Saya bercakap dekat memandang wajahnya, sambil mengusap bahunya. Dia mengangguk, berlalu juga dengan wajah bertenang, mungkin berasa lega saya memahami perasaannya. Saya juga lega saya mampu menyusun kata memahami keinginannya bermain permainan baru.

"Kaklang, Muhammad nak main basikal tu.." ujar Muhammad meminta simpati saya untuk mendapatkan basikalnya yang digodek Aqil si kecil.

“Ohh ya ke, Muhammad suka naik basikalkan.. Hmm boleh tak Muhammad pinjamkan dekat Aqil sekejap..? Nanti dia dah bosan dengan basikal tu, Muhammad ambil ya..Atau pun, Muhammad minta elok-elok, kalau dia tak bagi, Muhammad main lah permainan lain dulu ya..?” Saya berusaha bertenang mengungkap satu persatu, padahal tadinya geram mendengar perebutan basikal antara Muhammad dan Aqil. Saya berusaha mengiktiraf keinginannya. Muhammad mengangguk, wajahnya bertenang, lalu memilih permainan lain dari bakul permainan dan seolah terlupa basikalnya. Bukankah dia hanya ingin didengari..?

"Muhammad nak tengok vcd tu.. Muhammad tak nak mandi.." ujar Muhammad di suatu senja.

"Memang best kan vcd ni, Muhammad suka tengok cd ni ya, kaklang pun suka nak tengok. Sekarang dah waktu maghrib, Muhammad pergi mandi, jum ikut kaklang solat, lepas tu kita makan, lepas tu kita tengok sama-sama..ok tak..? Ujar saya dengan ceria dan berusaha memahami keinginannya.

Muhammad mengangguk dengan lega dan berlari ke bilik air tanpa saya perlu mengerut wajah, tanpa Muhammad juga perlu bermasam muka..

..Fuhh..tabahnya kalian para ibu saban hari berdepan dengan kerenah anak-anak.. ! Banyak sangat yang perlu saya bersedia dan belajar sebelum ALLAH titipkan putera dan puteri..

Itulah sedikit perkongsian kali ini, Apapun, dalam kita memikul apapun amanah di dunia, sebagai ibu, isteri, anak, pendidik dan lain-lain, ilmu dan kefahaman itulah yang perlu dibina dan ditingkatkan, agar segala amanah itu punya nilai sebagai amal soleh di sisi ALLAH.

Selamat membaca dan menambah ilmu..!




Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (11:112)

Kata seorang teman, kenapa setelah beberapa ketika, cinta pada ALLAH dan Rasul, jua cinta kepada islam menjadi seakan semakin pudar..? Sedangkan dulu saat mula-mula ‘mengenali’ islam, punya hamasah [semangat] yang tinggi. Hati sangat mudah tersentuh dan bergelora dengan pengisian yang bernuasa ketuhan dan perjuangan ummah. Waktu itu, terasa teguhnya cinta untuk terus melangkah di jalan dakwah dan tarbiyyah yang sulit, panjang dan meletihkan.

Luah seorang rakanku yang lain, Siew Lee [bukan nama sebenar] juga berkongsi rasa yang sama. Dirasakan semakin hari kian luntur izzah dan cintanya pada agama yang dimaklumi syumul dan indah ini. Dalam ia masih mengakui keberadaan ALLAH dan keingin meraih redhaNYA, hatinya makin melemah dan malap, tidak hangat dengan iman seperti awal- awal ia kembali menjadi muslim.

Kadangkala dia terasa ingin kembali ke pangkuan keluarga yang telah agak tersisih dan menyisihkan lantaran keputusannya meninggalkan agama nenek moyang. Sedangkan, ketika ia memilih menjadikan ALLAH sebagai tujuan dan arah ketaatan, hatinya merasa teguh di atas jalan mentauhidkan ALLAH.

Jadi, apa sebenarnya yang berlaku hingga kita ingin berpaling dan menjauh dari kebenaran dan keindahan iman ini..? Kenapa seakan tidak mahu lagi mencintai iman ini dan ingin membiarkan ia pergi hanyut dalam lautan kehidupan yang bergelora dengan ujian yang menipudaya…

Duhai saudara, aku juga berjuang mencari nilai keimanan dan bermujahadah menghidupkan rasa cinta pada NYA, RasulNYA dan agamanya yang tinggi. Ada detik-detik kemalasan, kebosanan, kelelahan menyerang dashyat hingga terasa aku memilih untuk melepaskan semua yang telah ku dakap erat sebelum ini..

Cinta berubah warna dan rasa hingga aku terasa ingin melalui kerehatan dan kesenangan tanpa perlu mujahadah untuk istiqamah di jalan menyebarkan risalah yang terasa amat sukar dan jauh ini..

Ya benar, cinta itu akan selalu berubah-rubah, pudar hingga rosak jika tidak ada penjagaan yang konsisten dan bersesuaian.Cinta itu mana mungkin segar mekar jika tidak dipupuk dan dibajai dengan cinta Yang Maha Agung. Di dunia ini, cinta itu akan membawa jemu dan hilang jika tidak diusahakan keindahannya…

Ayuh kita renung-renungkan apa yang boleh diperbuat agar terus kita meniti perjalanan kehidupan ini dengan semangat menjadi mukmin dan muttaqin yang terus memimpin diri dan insan keliling ke jalan yang benar.. Banyak yang boleh dilakukan, di sini di kongsikan sebahagian kecilnya.

Pertama, teruslah dekat dengan Al Quran. Cinta akan memudar jika amat jarang bertilawah, mentadabbur, memahami dan lebih penting, bagaimana mungkin cinta hadir pada ALLAH jika tidak berusaha untuk merealisasikan segala yang dibaca dan dipelajari dari ayat-ayatNYA..? Jika cinta rasa hambar, bertanya lah pada diri, di mana letaknya AL Quran dalam hati dan pekerti diri..?

‘Hurm, rasa macam tak ada masa nak bertilawah dan tadabbur..’

‘Masa itu ada kalau kita menyediakannya.. bangun awal dan bahagikan minit-minit yang ada dalam 24 jam sehari untuk bertilawah dan tadabbur..’

Kedua, seringlah berada dalam lingkungan yang solehah. Carilah dan dekatlah dengan majlis ilmu, dekatlah dengan orang-orang yang menjadikan syurga sebagai motivasi amal. Jika bi’ah itu kurang solehah, maka kitalah yang perlu kuat.. perlu sangat kuat untuk menghidupkan aura keimanan pada situasi yang sedemikian, bukan sekadar bergantung pada orang lain dan mengharap kekuatan keimanan mereka.

Carilah orang-orang yang berilmu, yang mana ilmunya tidak lain menjadikan dia dan kita semakin beriman, semakin dalam kecintaan.

‘Kat kampung susah, takde majlis ilmu, takde taa’lim dan daurah..’ Itu pula antara alasan kita.

Takpe, jadi kita lah orang yang pertama-tama memberi ilmu, untuk memberi kena memiliki.. maka jadikan masa di kampung untuk mendalami ilmu dengan membaca, membaca, atau gunalah apa jua sarana untuk belajar.. hingga akhirnya kita mampu membina bi’ah solehah sesama ahli keluarga, adik beradik, suami isteri, jiran tetangga dan sesiapa jua..insyaALLAH.

Cukup sekadar ini, insyaALLAH saudara-saudara pembaca sekelian, bersama kita berusaha memberi warna dan rasa manis pada cinta yang dikurnia ALLAh ini.. Mencintai iman, hingga amat besar kecintaanNYA pada Tuhan Yang Maha Menjadikan…



Prasangka Itu Membunuh



Kesalnya rasa hati apabila melihat prasangka-prasangka buruk yang bermaharajalela telah merosakkan hubungan kawan dan persaudaraan. Kesalnya rasa hati apabila prasangka-prasangka buruk terhadap seseorang telah memadam kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh orang itu.

Adilkah hanya mendengar cerita satu pihak untuk menilai konflik yang berlaku antara dua pihak? Adilkah hanya mengiyakan cerita sebelah pihak tanpa ada ruang untuk pihak yang satu lagi membela diri…?

Terlihat di hadapanku satu hubungan menantu dan mentua terputus selama beberapa tahun kerana prasangka si menantu bahawa mentuanya itu telah memburuk-burukkan dirinya – hanya dengan mendengar cerita orang, tanpa dia bersemuka dengan mentuanya untuk menilai dengan adil.

Hadir di hadapanku seseorang yang berprasangka telah menceritakan keburukan seseorang – keburukan itu dipercayai hanya dengan mendengar cerita orang tanpa ada tabayyun [clarification] untuk lebih adil menilai permasalahan.

Prasangka itu membunuh. Membunuh kasih sayang. Membunuh silaturrahim. Kerana kebanyakan prasangka itu salah, penuh dosa. Membiarkan syaitan ketawa gembira dengan campurtangannya yang terus menerus meletakkan diri manusia dalam prasangka.

Diri ini juga belajar nilai penting bahawa hubungan suami isteri itu mudah saja kucar kacir dengan prasangka-prasangka yang bermain di jiwa. Si suami berprasangka begini, si isteri berprasangka begitu. Sedangkan, jika mencari jalan mengkomunikasikan perasaan, prasangka tidak akan terus memecahbelahkan.

Gunakanlah setiap peluang dan keadaaan untuk menjernihkan prasangka. Manfaatkan teknologi untuk saling menjelaskan kekeliruan. Manfaatkan modal pancaindera yang ALLAH anugerahi untuk mematikan prasangka yang menipudaya. Bertanyalah, untuk mendapat jawapan. Diamlah dan jangan menyampaikan keburukan orang lain, jika itu hanya prasangka yang terbit memancar di lubuk perasaan.

Sungguh, hidup dalam prasangka itu menyedihkan, mengecewakan.,...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...